
Lelaki Bangladesh kahwini wanita lumpuh berusia 69 tahun sebelum dipercayai mempergunakan isterinya untuk mendaftarkan tiga syarikat yang kemudian digunakan bagi mengurus permohonan pekerja asing.
Menurut polis, suspek dipercayai mengambil kesempatan sebagai ejen berdaftar Jabatan Imigresen untuk menyediakan permit kerja palsu kepada warga asing.
Kegiatan itu terbongkar menerusi empat serbuan di sekitar Kulim pada 27 Jun lalu yang membawa kepada penahanan 24 individu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan mendapati lelaki warga Bangladesh berusia lewat 40-an itu berkahwin dengan wanita tempatan berusia 69 tahun yang lumpuh serta mempunyai tiga syarikat iaitu sebuah kedai runcit, kedai komputer dan syarikat kontraktor pembinaan bertaraf G7.

Lelaki Bangladesh Kahwini Wanita Lumpuh Usia 69 Tahun
Memetik sumber Sinar Harian, polis percaya syarikat-syarikat tersebut digunakan sebagai alasan bagi membolehkan permohonan pekerja asing dibuat.
“Siasatan mendapati suspek berkahwin dengan wanita tempatan dan mempunyai tiga syarikat iaitu kedai runcit, kedai komputer dan kontraktor pembinaan bertaraf G7.
“Polis percaya syarikat itu digunakan sebagai alasan untuk membolehkan permohonan pekerja asing dilakukan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Selasa.
Ambil Kesempatan Jadi Ejen Berdaftar Jabatan Imigresen
Adzli berkata, suspek dipercayai memperoleh bayaran kira-kira RM4,000 bagi setiap individu yang mendapatkan permit kerja.
Katanya, selepas menjadi ejen berdaftar Jabatan Imigresen, suspek dipercayai mengambil kesempatan menghasilkan permit kerja palsu.
“Dia mendapat upah kira-kira RM4,000 bagi seorang. Modus operandinya, apabila sudah menjadi ejen, pada masa sama dia mengambil kesempatan membuat permit palsu.
“Dia sudah menjadi ejen berdaftar, mempunyai syarikat dan boleh membuat permohonan permit. Individu yang ditahan beramai-ramai di rumah itu dipercayai sedang menunggu permit palsu dikeluarkan,” katanya.
Polis Rampas 40 Pasport Dan Permit Kerja Palsu
Dalam operasi itu, polis merampas 40 pasport, 10 telefon bimbit, empat komputer riba serta satu permit kerja palsu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket tersebut.
Semakan bersama Jabatan Imigresen mengesahkan semua pasport yang dirampas adalah tulen namun sebahagiannya bukan milik individu yang ditahan.
Pemeriksaan terhadap telefon bimbit milik salah seorang suspek turut menemukan dokumen pasport dan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang memaparkan gambar individu sama tetapi menggunakan nama serta nombor siri berbeza.
Bagaimanapun, semakan terhadap satu daripada nombor pasport berkenaan mendapati ia didaftarkan atas nama individu lain.
Analisis forensik terhadap komputer riba pula menemukan dokumen berkaitan permohonan kad UNHCR, templat kosong serta perisian yang dipercayai boleh digunakan untuk menyunting dokumen.
Anda mungkin berminat dengan

Seorang Lagi Suspek Masih Diburu
Dalam perkembangan sama, polis kini memburu seorang lagi lelaki warga Bangladesh berusia 33 tahun yang dipercayai turut menjadi dalang sindiket berkenaan.
Katanya, isteri suspek yang juga wanita tempatan berusia 33 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kesemua 24 individu direman sehingga 21 Julai bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen.
Polis turut meneliti kemungkinan memperluaskan siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Masa yang sama, polis tidak menolak kemungkinan terdapat individu lain yang turut terlibat dalam sindiket berkenaan dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan itu diminta tampil membantu siasatan, manakala tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan kemudahan permohonan pekerja asing.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

