Waktu kecil anak yang memiliki berat badan berlebihan mungkin nampak comel. Namun apabila semakin membesar, kesannya tidak mampu mengawal berat badan lagi. Anak-anak perlulah dikawal pemakanan mereka sejak dari kecil. Sebagai mak ayah, jangan terlalu ‘layankan’ tekak anak, memanjakan mereka dengan memberi makanan yang tidak sihat selalu.

Namun demikian, jika memiliki anak yang obesiti ini, sokongan harus terus diberikan buat mereka. Beri galakkan untuk menurunkan berat badan dan mengawal pemakanan mereka. Dapatkan nasihat doktor jika memerlukan melakukan pembedahan pintasan atau gastrik bypass, jika sampai tahap membahayakan kesihatan serta menyukarkan pergerakan seharian.

Berjaya Hilang 100kg

Pernah digelar budak paling gemuk di dunia, Arya Permana, 13, berasal dari Kampung Cipurwasari di Jawa Barat Jawa Barat, Indonesia kini mampu tersenyum selepas berat badannya berjaya hilang lebih 100 kilogram (kg).

Arya, merupakan anak kedua hasil perkahwinan Rokayah dan Ade Somantri lahir dengan berat 3.17kg.Tiga tahun lalu, pada usia 10 tahun,berat Arya mencecah 192kg. Kehidupannya tidak seperti kanak-kanak lain di mana dia sukar berjalan selain terpaksa bersekolah di rumah.

Manjakan Anak

Pada mulanya Rokayah dan suaminya melihat peningkatan Arya sebagai ‘sihat’ dan mereka tidak risau langsung.Bapanya, Ade Somantri,48 mengakui dia dan isteri memanjakan Arya sejak berusia lima tahun.Ketika itu Arya suka makan mee segera, air gas berkabonat dan ayam goreng.

“Dulu kami gembira melihat dia semakin sihat dan beranggapan dia gembira dan anak yang sihat.Jika dia mahu minum atau makan makanan manis, kami beri sahaja. Jika dia mahu makan mi segera, kami masakkan untuknya.

IKLAN

“Tetapi beberapa tahun kemudian, selepas dia semakin besar dan beratnya tidak dapat dikawal, kami mula sedar dia sebenarnya sakit dan memerlukan rawatan.”

“Arya selalu lapar dan biasanya akan makan dua kali ganda dari orang dewasa makan pada satu-satu masa. Dia selalu penat dan mengadu semput.

“Dia hanya makan dan tidur dan bila tiada apa lagi yang boleh dibuat, dia akan masuk ke dalam kolam mandi dan duduk disitu beberapa jam.”

Pembedahan Pintasan Gastrik

Disebabkan berat berlebihan mampu memberi risiko kepada nyawanya, kedua ibu bapa Arya memutuskan untuk membuat pembedahan pintasan gastrik. Sekaligus dilaporkan menjadi kanak-kanak termuda yang pernah melalui pembedahan pintasan gastrik ini.

IKLAN

Menurut Ade, pada awalnya dia tidak mahu anaknya dibedah namun selepas doktor menerangkan dan menunjukkan prosedur pembedahan, dia akhirnya setuju.

“Jika dulu dia makan dua pinggan besar lima kali sehari, tetapi sekarang dia akan muntah jika makan berlebihan,

“Semenjak melakukan pembedahan pintasan gastrik tersebut, hanya 7 sudu makanan sudah cukup buat Arya kenyang,” katanya.

IKLAN

Kehidupan Lebih Gembira

Disamping prosedur itu, Arya juga menjalani diet yang ketat dan sihat iaitu ikan bakar, sup, buah dan sayur-sayuran sekaligus membantu penurunan berat badannya.Selepas beberapa inisiatif dilakukan beratnya turun kepada hampir 86kg.

Bagi Arya, dia kini lebih gembira kerana boleh berjalan kaki ke sekolah sejauh 1 km, bermain dan berenang bersama kawan-kawannya. Berbanding dahulu, tidak mampu melakukan apa-apa.Bukan itu sahaja, keyakinan dirinya juga semakin meningkat dengan saiz fizikal berat badannya kini.

Arya juga berharap dapat melakukan pembedahan bagi membuang kulit berlebihan setelah kehilangan hampir separuh berat badan asalnya, selepas menjalani peperiksaan nanti.

MW: Semoga perkongsian ini menjadi peringatan buat mak ayah agar memantau serta menjaga pemakanan anak-anak sejak dari kecil. Jangan terlalu memanjakan mereka dengan makanan yang tidak sihat dan minuman manis yang boleh menjadikan anak-anak berlebihan berat badan atau obesiti. Sekaligus boleh menyebabkan pelbagai penyakit buat mereka.

Sumber: Sinar Harian, Daily Mail