Tumbuk pemandu wanita, anggota tentera ditahan Polis. Seorang anggota tentera telah ditahan pihak berkuasa selepas terlibat dalam insiden menumbuk seorang wanita yang memandu kereta di Jalan Persiaran Senawang 4, dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu.
Tumbuk Pemandu Wanita, Anggota Tentera Ditahan Polis
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, suspek berusia 35 tahun itu ditahan semasa hadir ke balai polis untuk memberikan keterangan berhubung insiden tersebut.
“Penahanan telah dibuat dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan mangsa yang berumur 28 tahun, menyebabkan lebam di rusuk kanan serta bengkak di bahagian belakang kepala,” katanya menerusi kenyataan media pada Ahad.
Beliau turut menjelaskan bahawa kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana pelaku disyaki menyebabkan kerosakan ke atas kenderaan milik mangsa.
Rakaman kejadian yang tersebar di TikTok menunjukkan suspek bertindak agresif terhadap mangsa selepas dipercayai berang anaknya dilanggar kereta yang dipandu wanita terbabit. Lelaki tersebut dilaporkan telah menumbuk kepala wanita itu dua kali. Adik kepada mangsa turut mendakwa bahawa kakaknya ditendang di bahagian perut.
Mohamad Hatta memaklumkan kejadian berlaku sekitar jam 10.15 malam dan melibatkan sebuah kereta Perodua Axia serta dua pejalan kaki – seorang wanita berusia 34 tahun dan anak perempuannya berusia 7 tahun.
“Siasatan awal mendapati pemandu Perodua Axia dalam perjalanan dari Mydin Senawang menuju ke arah Senawang, dan ketika tiba di lokasi kejadian, dua pejalan kaki itu tiba-tiba melintas jalan.
Ads
“Oleh kerana jarak yang terlalu dekat, pemandu tersebut tidak sempat mengelak lalu berlaku pelanggaran,” katanya.
Lelaki tersebut dipercayai bapa kepada kanak-kanak itu gagal mengawal kemarahan bertindak menyerang pemandu wanita berkenaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua pejalan kaki mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk mendapatkan rawatan.
Kes turut disiasat di bawah Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Ads
Dalam pada itu, pihak polis mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berkenaan insiden ini yang boleh menimbulkan ketegangan serta menyeru agar semua pihak mematuhi undang-undang.
Tambahnya, masyarakat juga dinasihatkan supaya lebih berwaspada ketika melintas jalan dan berhati-hati di kawasan sesak bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Dalam kemeriahan orang ramai sibuk membuat persiapan Hari Raya, aktres dan usahawan terkenal, Anzalna Nasir, memanfaatkan rezeki yang Allah beri dengan membantu sebuah keluarga yang ditemuinya secara tidak sengaja di hadapan Maybank, di Taman Melawati baru-baru ini.
Keluarga tersebut, ditemani anak kecil, sedang gigih menjual kuih raya demi mencari rezeki untuk menjaga ibu yang sakit.
Terpanggil dengan kesungguhan mereka, Anzalna yang juga merupakan duta jenama Jakel mengambil langkah spontan namun penuh makna — membawa mereka membeli baju raya di Jakel.
“Alhamdulillah, diberi rezeki untuk berkongsi dengan mereka. Terima kasih Encik Shah, Kak Rani dan Abang Aziz kerana bantu kami sepanjang sesi membeli-belah,” tulis Anzalna di Instagram miliknya.
Namun kisah ini tidak berhenti di situ. Selepas selesai membeli-belah, keluarga ini masih mahu menyambung berniaga di lokasi sama. Tapi Anzalna menasihatkan agar mereka berehat, memandangkan waktu hampir Maghrib.
“Saya cakap, biar saya yang beli semua kuih mereka. Saya ajak mereka balik ke rumah sementara tunggu suami datang jemput,” kongsi Anzalna lagi.
Sungguhpun dijemput duduk di sofa rumahnya, si ibu enggan — terlalu segan katanya. Dalam video dikongsikan Anzalna, kelihatan kedua-dua puteranya, Mohamad Eidress dan Mohamad Emirhan dilihat tidak kekok melayan tetamu ibunya itu.
Namun ibu kepada dua cahayamata ini agak terkilan kerana meskipun juadah berbuka telah terhidang, keluarga ini terpaksa pulang sebelum sempat menjamah hidangan bersama. Anzalna membungkuskan makanan untuk mereka bawa pulang.
Lebih menyentuh hati, walau sudah diberikan barang-barang raya dalam beg besar, si ibu menolak tawaran Anzalna untuk menghantar mereka pulang dengan kereta atau menggunakan perkhidmatan Grab.
Akhirnya, setelah mereka selamat sampai di rumah, Anzalna tidak dapat menahan air mata.
“Menangis saya masuk rumah. Kecewa tak dapat bantu lebih daripada itu. Tapi saya dah cuba sebaik mungkin,” tulisnya sambil menitipkan rasa syukur kerana dipertemukan dengan insan berhati mulia seperti mereka.
Satu tindakan kecil namun besar maknanya, keikhlasan yang menjadi inspirasi buat ramai. Untuk rekod, pasangan suami isteri ini sering menghulurkan bantuan kepada insan-insan yang memerlukan dan berkongsi rezeki sebagai salah satu amalan dan contoh tauladan yang baik untuk kedua putera mereka.
Semoga keprihatinan Anzalna menjadi asbab kebaikan berpanjangan untuk kita semua.
Dalam masa yang sama Anzalna berkongsi paparan WhatsApp bersama wanita tersebut yang menyatakan bahawa sumbangan orang ramai mencecah RM10 ribu dalam jangka masa yang singkat.
“Älhamdulilah, syukur ya Allah. Rezeki dia kak,”ujar Anzalna ketika dihubungi Mingguan Wanita.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas telinga pelajar berusia enam tahun yang gagal menulis huruf G.
Akibat kejadian itu, hari ini mahkamah Seksyen memutuskan dirinya bersalah hari ini dan didenda maksimum RM2000 atas kesalahan dilakukan tahun lalu terhadap pelajar berusia 6 tahun itu.
Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 61 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dan memerintahkan wanita itu dipenjara 20 hari jika gagal membayar denda.
Memetik laporan Harian Metro, mMengikut fakta kes, ibu kandung mangsa yang juga seorang juruaudit berusia 37 tahun dimaklumkan oleh anak sulungnya berusia 10 tahun pada 6 Mac 2024 mengatakan adiknya dipukul oleh tertuduh dengan menggunakan pen ‘marker’ di bahagian tangan kanan.
Tertuduh juga menarik serta memulas telinga mangsa kerana tersalah menulis huruf G, hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan terdapat kecederaan tisu lembut pada telinga kanan mangsa.
Mengikut pertuduhan pilihan, ibu tunggal itu didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak perempuan itu dengan cara memulas telinga mangsa di sebuah tadika di Taman Cempaka, dekat sini pada jam 11.30 pagi, 6 Mac tahun lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Jenifer Irithusamy yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum serta memberi peluang kepada anak guamnya menentukan kehidupan ke arah lebih baik.
“Tertuduh adalah ibu tunggal dan mempunyai dua anak, bekerja sebagai pengetua di tadika dengan pendapatan RM3,000 sebulan.
“Tertuduh memohon maaf kepada mahkamah, polis dan mangsa kerana perbuatan ini dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama lagi,” katanya.
Jenifer berkata, setiap tahun 15 hingga 20 kanak-kanak didaftar ibu bapa di tadika itu dan berharap anak guamnya diberi peluang kedua untuk berubah.
“Di bawah jagaan tertuduh, ramai kanak-kanak menjadi insan bijak dan tertuduh sangat berharap sisa hidupnya kini bersama keluarga tersayang,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon hukuman setimpal dan mahkamah mengambil kira kepentingan awam melebihi daripada kepentingan peribadi serta pengakuan bersalah bukan automatik untuk mendapatkan hukuman ringan.
TONTON VIDEO MENARIK DI SINI :-
Demikian luah Hawa Osman ibu kepada arwah Zulfarhan yang didera kejam ditekap dengan seterika wap sebanyak 90 kali termasuk di kemaluan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dalam episod kali ini, program Kongsi Kasih bersama Perfume Paradise meneruskan misi menyantuni insan-insan yang diuji dengan kesempitan hidup.
Kali ini, perjalanan membawa mereka ke Melaka, menyelami kisah seorang bapa tunggal yang cekal serta sebuah keluarga yang berjuang menghadapi dugaan kesihatan yang berat.
Abdul Rahim Wahab, seorang duda yang kehilangan isteri tercinta, kini memikul tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kepada anak-anaknya. Hidupnya bagaikan roda yang sentiasa berputar, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Tanpa pekerjaan tetap, Abdul Rahim bergantung hidup terhadap hasil laut dan melakukan kerja-kerja kampung untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga. Namun, cabaran hidupnya tidak terhenti di situ. Dua daripada anaknya merupakan pemegang kad OKU, menjadikan tanggungjawabnya lebih berat berbanding insan biasa.
Walaupun diuji dengan kesusahan, Abdul Rahim tidak pernah mengeluh. Baginya, anak-anak adalah amanah yang perlu dijaga dengan penuh kasih sayang. Kesabarannya dalam membesarkan mereka yang istimewa menjadi bukti keteguhan seorang ayah dalam mendepani kehidupan yang tidak menentu.
“Arwah isteri meninggal dunia pada tahun 2022 ketika umat Islam bergembira menyambut Hari Raya. Walaupun sudah hampir tiga tahun berlalu, segalanya berlaku dalam keadaan yang mengejutkan.
Namun saya bersyukur, dapat melaksanakan tanggungjawab menjaga arwah ketika dia sakit sehingga ke akhir hayat,” ujar Abdul Rahim berkongsi sedikit momen Istimewa bersama isterinya bersama pengacara, Haze Huzir.
Kehidupan seharian Abdul Rahim banyak berkisar mengenai anak-anak terutamanya dua anaknya dikategorikan sebagai orang kelainan upaya, sekaligus menuntut waktu dan perbelanjaan yang besar dalam mengharungi pelbagai aspek kehidupan.
“Anak sulung mempunyai masalah pembelajaran dan kategori lembam, manakala anak kedua pula mempunyai masalah penglihatan. Sebagai bapa sudah semestinya saya ingin melihat anak-anak berjaya dalam kehidupan. Namun apakan daya, Allah datangkan ujian ini kepada saya,”ujar Abdul Rahim lagi.
Selain dua orang anak yang memiliki kad OKU, abdul Rahim turut dikurniakan seorang anak perempuan yang kini mencecah usia 17 tahun. Namun, perjalanan hidup yang penuh dugaan dan ujian memberi tamparan hebat untuk remaja ini meneruskan Pelajaran apatah lagi selepas ibunya meninggal dunia.
“Semasa ibunya sakit, anak perempuan saya menjaga ibunya sehingga ke akhir hayat. Namun dia ‘hilang motivasi’ untuk belajar selepas kematian ibunya.
Harapan untuk melihat dia meneruskan cita-cita arwah ibunya tidak kesampaian apabila dia enggan meneruskan pelajaran. Kini, dia bekerja di taska dan tidak ambil SPM disebabkan tiada semangat selepas kematian ibunya,”ujar Abdul Rahim pasrah.
Kali ini, kunjungan penaja, Perfume Paradise ke kediaman Abdul Rahim turut membawa kejutan meraikan hari lahir bapa kepada tiga anak yang kebetulan jatuh pada hari penggambaran dilakukan.
Pihak penaja yang diwakili oleh Nur Afiqah Amran, pengasas Perfume Paradise bersama Ketua Pegawai Operasi Perfume Paradise, Mohd Safwan Shari turut menyampaikan beberapa sumbangan untuk meringankan beban keluarga ini serta memberi sedikit sokongan dan motivasi untuk meneruskan kehidupan yang penuh cabaran ini.
Riak wajah terharu tergambar di wajah insan ini yang banyak menanggung kesedihan dalam dirinya demi membesarkan anak-anak yang lebih memerlukan perhatian dari dirinya.
Selain menziarahi keluarga Abdul Rahim, kru Kongsi Kasih dan Perfume Paradise turut berkesempatan bertemu dengan Mhd Amin Md Ali, seorang pesakit buah pinggang tahap akhir yang perlu menjalani rawatan dialisis setiap dua hari sekali.
Hidupnya yang bergantung kepada rawatan ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun dia tetap tabah menghadapi ujian yang mendatang.
Penyakit buah pinggang kronik adalah keadaan yang menyebabkan fungsi buah pinggang merosot secara perlahan-lahan dari masa ke masa. Pada peringkat akhir, buah pinggang gagal berfungsi sepenuhnya, menyebabkan pesakit bergantung kepada rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang untuk terus hidup.
Keadaan ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor termasuk tekanan darah tinggi, diabetes, dan penyakit genetik. Selain kesan fizikal yang melemahkan, pesakit juga berdepan dengan beban emosi dan kewangan dalam menjalani rawatan berterusan.
Bersama isterinya, Shafaah, pasangan ini menetap di rumah waqaf sewa di bawah seliaan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Kesukaran hidup yang mereka hadapi benar-benar menyentuh hati, apatah lagi dengan keadaan kesihatan Mhd Amin yang semakin meruncing. Namun, dalam keterbatasan, mereka tetap berusaha menjalani kehidupan sebaik mungkin.
Melalui episod kali ini, Kongsi Kasih dan Perfume Paradise bukan sekadar menyantuni mereka yang memerlukan, tetapi turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini.
Lebih daripada itu, program ini membawa mesej bahawa dalam kesusahan, pasti ada sinar harapan jika kita saling membantu dan prihatin terhadap sesama insan.
Setiap episod Kongsi Kasih mengajak kita merenung erti sebenar keikhlasan dan pengorbanan. Semoga kisah-kisah ini menjadi inspirasi buat semua untuk terus menyebarkan kebaikan dan membantu mereka yang dalam kesusahan.
Jangan lupa saksikan Kongsi Kasih musim ke 4 setiap jumaat jam 7 malam.
Kongsi Kasih Musim ke-4 kini lebih wangi dengan Perfume Paradise.