Kegembiraan enam remaja yang keluar untuk mandi-manda di Pantai Tanjung Lompat, Tanjung Balau, Penawar, akhirnya bertukar menjadi tragedi yang meruntun hati.
Dalam kejadian pada pagi Rabu ketika keadaan laut bergelora dan ombak kuat, empat daripada mereka dikhuatiri dihanyutkan arus.
Tragedi Pantai Tanjung Lompat
“Kami tidak tahu adik akan keluar berkhemah di tepi pantai, dia hanya maklumkan pergi bersama rakan-rakannya ke tempat lain.”
Demikian luahan kakak kepada seorang mangsa daripada empat remaja lelaki yang lemas di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar di sini hari ini.
Nur Adriana Dania Rumainoor, 24, menerima berita adiknya, Muhammad Thaqif Rayyan lemas selepas diberitahu rakannya pada pukul 7.30 pagi.
Dia menyifatkan adik bongsu daripada tiga beradik itu sangat rapat dengannya selepas kematian ibu mereka pada 2021.
Kakak Tak Tahu Adik Keluar Berkhemah Tepi Pantai

Jelasnya, segala pergerakan atau rahsia adiknya pasti akan dikongsi kepadanya terlebih dahulu berbanding bapa mereka.
“Dia memang terus terang dengan saya dulu, takkan beritahu ayah sebab saya yang ada dengan dia 24 jam. Kalau ada apa-apa info, sama ada saya beritahu ayah atau tunggu dia balik baru kami maklumkan.
“Tapi semalam dia tak ada cakap langsung nak pergi berkhemah kat sini. Dia cuma cakap nak pergi tempat lain. Pagi tadi sekitar pukul 7.30 pagi, kawan dia tiba-tiba datang rumah beritahu adik saya dah lemas,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Dalam kejadian pagi tadi, seramai 15 remaja semuanya berusia 16 tahun berkhemah sempena cuti sekolah di pantai berkenaan dan mandi sebelum enam daripadanya lemas.
Dua daripada mereka berjaya diselamatkan orang awam manakala empat yang hilang sebelum seorang daripadanya ditemukan tengah tadi.
Mayat Alif Taqiuddin Kamal Hasrul Mohamad ditemukan pukul pukul 1.15 petang manakala Muhamad Haiman Fitri Supian, Muhammad Adib Hafiz Kamal dan Mohamad Rayyan Thaqif Rayyan masih belum ditemukan.
Mengimbas perubahan sikap adiknya, Nur Adriana berkata, adiknya menunjukkan perubahan menjadi lebih pendiam.
“Seminggu dua ni memang dia tak banyak cakap, diam. Balik sekolah dia makan terus masuk bilik. Malam tadi pun dia cuma maklumkan nak keluar macam biasa.
“Malah akaun media sosial seperti TikTok pun dia hide daripada saya dan ayah, hanya kawan-kawan dia sahaja yang dapat lihat status perkhemahan mereka,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Rumainoor Salleh, 47, keluarganya reda dengan apa yang berlaku dan berharap jasad anaknya ditemukan untuk disemadikan.
“Kami sekeluarga reda dengan apa berlaku.. kalau dah tak ada, dapat bawa balik jasad dia pun kami dah cukup alhamdulillah,” katanya.
Dia langsung tidak menyangka niat anaknya untuk keluar rumah semalam berakhir dengan tragedi memilukan.
Dia yang bekerja syif malam hanya menyedari kehilangan anak bongsu daripada tiga beradik itu pada awal pagi selepas mendapati bilik tidurnya kosong.
“Dia cuma ada beritahu kakaknya nak pergi Johor ikut emak kawan. Saya balik kerja malam, pagi tadi bangun tengok bilik dia dah tak ada. Telefon banyak kali pun tak berangkat.
“Sekitar pukul 8.10 pagi, barulah saya terima panggilan telefon daripada anak maklumkan mengenai kejadian ini,” katanya.
Seorang sudah ditemukan, tetapi tiga keluarga masih menanti dengan penuh debar. Tiga lagi remaja yang masih belum ditemukan ialah Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal.
Bayangkan hati seorang ibu dan ayah yang sejak pagi menunggu khabar tentang anak mereka. Setiap kali telefon berbunyi, pasti ada harapan bahawa berita yang diterima adalah berita gembira.
Semoga Allah memberikan kekuatan kepada keluarga yang sedang melalui ujian berat ini dan semoga segala urusan pasukan penyelamat dipermudahkan.
Tragedi ini menjadi peringatan bahawa keadaan laut tidak boleh dipandang ringan. Ombak yang kelihatan biasa boleh berubah menjadi bahaya dalam sekelip mata.
Al-Fatihah buat mangsa yang telah ditemukan.