
Isu gaya hidup songsang dalam drama “Madu atau Racun”, Menteri Agama tegas tolak penayangan.
Hangat diperkatakan mengenai isu pemaparan gaya hidup songsang dalam drama Madu atau Racun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan tampil menyatakan pendirian tegas dengan menolak penayangan drama berkenaan.
Drama yang menampilkan Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha itu sebelum ini mencetuskan kontroversi di media sosial susulan beberapa adegan yang dianggap tidak sesuai dengan budaya serta pegangan agama masyarakat.
Isu Gaya Hidup Songsang Dalam Drama “Madu atau Racun”

Antara yang menjadi perhatian ialah karakter Nikita lakonan Elisya yang mempunyai perasaan terhadap kaum sejenis sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penonton.
Kontroversi tersebut turut membawa kepada seruan daripada pengguna media sosial supaya tayangan drama bersiri 12 episod itu dihentikan selain ada yang menggesa orang ramai memboikotnya.
Malah, Elisya sebelum ini turut tampil memberi respons terhadap kritikan yang diterimanya. Pelakon itu terbuka menerima pandangan terhadap dirinya dan drama tersebut namun meminta orang ramai tidak mengheret ibu mentuanya, Sheila Rusly serta ahli keluarga lain dalam kontroversi berkenaan.

Terbaharu, isu tersebut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan yang menegaskan bahawa pihaknya menolak penayangan drama Madu atau Racun.
Menerusi kenyataan media, beliau berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat kesal dengan penerapan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan sama ada secara tersurat mahupun tersirat.
“Penerapan unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran ini perlu dibendung agar pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda sentiasa terpelihara,” katanya.
Zulkifli menegaskan prinsip ajaran Islam sentiasa meletakkan keutamaan kepada pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tata susila kehidupan beragama.

Menurutnya, pemaparan gaya hidup songsang adalah bertentangan sama sekali dengan nilai murni tersebut.
Susulan kontroversi drama Madu atau Racun ini, tegasnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan drama terbabit dan mengambil tindakan susulan.
Semakan dan tindakan berkenaan akan berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM Bil. 4/2015) serta peruntukan undang-undang sedia ada.
Anda mungkin berminat dengan
Langkah itu bagi memastikan sebarang kandungan media disiarkan secara sahih selain memelihara kesucian agama.
Dalam masa sama, Zulkifli menyeru semua penggiat seni, penerbit dan stesen penyiaran supaya lebih peka serta bertanggungjawab dengan menjadikan garis panduan rasmi yang ditetapkan sebagai rujukan utama dalam menghasilkan karya.
“Industri seni dan platform media sepatutnya dimanfaatkan sebagai medium menyemaikan nilai-nilai kebaikan, bukannya mencetuskan polemik yang menjejas keharmonian norma masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh umat Islam supaya bersama-sama mempertahankan kesucian agama dan akhlak dengan penuh ketaatan serta kebijaksanaan.

download sekarang!
