Nak hargai isteri bukan susah tetapi ramai lelaki yang susah nak buat dek kerana terselit sikap ego. Apa lagi kalau isterinya tak bekerja, sedap saja mengarah dan kritik bab pengurusan rumah tangga, masakan malah ada yang jenis siap naik tangan sesuka hati bila bertikam lidah. Eh, masa bercinta lain, dah kahwin lain!
Haaa… tetapi tak semua… hanya segelintir yang jenis berlakon baik! Kalau ikutkan pandangan Mizan Dzai ini pun, memang tepat dan rasanya kaum lelaki yang bergelar suami patut baca untuk peringatan.
Aku jarang mengulas isu-isu semasa, nak pula pasal artis Malaysia tapi bila institusi kekeluargaan dipermainkan aku cukup tak suka. Seolah-olah taklik perkahwinan yang kau lafaz sebelum ni bagai angin yang berlalu pergi.
Sepertinya kita yang lelaki dan suami ini lupa janji pada mertua, lupa janji pada isteri dulu dan paling mengecewakan, lupa janji pada orang tua kita sendiri yang siang malam mendoakan kebahagiaan dan kejayaan kita sebagai anak.
Aku ni lelaki, kau orang pun lelaki. Kita ni memang Tuhan ciptakan fitrahnya tertarik pada benda yang cantik, wanita yang cantik, juga pada rumah dan kereta yang cantik. Nafsu kita besar, kau orang pun faham. Kalau nak lawan fitrah, kita akan jadi geng kunyit yang dilaknat oleh Allah. Nak buat macam mana? Cuma, kita ni dikurniakan akal dan tanggungjawab sebagai seorang lelaki, suami dan bapa.
Ads
Sebelum kahwin kau memang akan menilai bakal pasangan dari segi luaran, penampilan, paras rupa dll. Tapi bila dah sebantal esok, kau akan lalui fasa dimana pasangan tahu busuk mana mulut kau bila bangun pagi, hebat mana bunyi dan haruman kentut kau.
Tak ada benda yang kekal kat dunia ni, Allah dah beritahu. Takkan ada, lebih-lebih lagi kesenangan, kesusahan dan paras rupa. Tak campur kecing atau berak lupa nak flush. Belum cerita spender dan stokin campak merata. Kau ada cara kau enjoy, aku ada cara aku enjoy. Takat karaoke, tak salah, tak berdosa pun. Yang salahnya bila kau usung perempuan ke hulu hilir masa bini kau tengah berpantang, masa sedang membaik pulih tenaga dan luka meneran keluarkan zuriat benih cinta demi perkahwinan kau.
Isteri dalam pantang sepatutnya kau jaga 24 jam. Emosi, keperluan dan semangat untuknya. Tak tengok isteri bersalin dalam labour room ke? Tak rasa bertambah sayang pada isteri ke, lepas anak kau keluar?
Ads
Janganlah sampai sanggup cederakan isteri sendiri demi perempuan lain yang belum gelebeh perutnya bawa zuriat kau. Bacul kau pukul isteri sebab perempuan lain. Kalau jadi depan mata aku, aku mesti join. Mesti. Perempuan bawa perut ni penat bang. Sangat penat, dengan alahannya lagi. Macam Eleena, aku baru keluar toilet lepas mandi dikatanya aku bau ikan kering, belum sakit pinggang lagi, itu belum asik keluar masuk toilet. Sampai ada perempuan yang terkencing dalam seluar sebab baby dok tekan-tekan pundi dia orang, tak boleh control langsung. Kekadang sampai menangis sebab letih. Kita yang lelaki ni paling letih, paling kuat pun tertidur.
Tolonglah kita lelaki ni jangan jadi jantan keparat yang sebelum kahwin hari-hari panggil sayang, lepas kahwin penumbuk yang melayang. Kau tengok Ayah Rani Kulup, muka punyalah ganas tapi sayang kat bini dia kau tahu? Sebab tu suka aku pesan, kurangkan melepak kurangkan enjoy, apa kau dapat kalau asik nak enjoy je? Member cabar, member hasut, macam-macam jadi nanti. Kalau tak ada urusan penting, luangkan masa dengan anak isteri. Dah kahwin buat cara dah kahwin. Hargailah isteri kita yang bertarung nyawa melahirkan anak-anak, cuba tenung wajah isteri di saat isteri sedang tidur, tak rasa sayang dan kesian ke? Bila kau curang tak rasa serba salah ke?
Jaga-jaga bang, bila kau rasa dah bosan dengan isteri, beratus lagi lelaki lain yang teringin atau nak menggantikan tempat kau. Sentiasa akan ada yang sanggup. Masa tu baru kau tahu langit tinggi ke rendah.
Ads
Isteri yang dalam berpantang ni, sakitnya tak hilang lagi. Eleena sampai sekarang tak boleh genggam tangan sekuat dulu. Sekali isteri kau jadi seorang ibu, berakhirlah masa tidur dia yang sempurna. Dunia, impian dan cita-cita dia hanya untuk kau dan anak-anak. Takkan kau sanggup keluar karaoke dengan perempuan lain sambil berpegangan tangan? Habis semua lelaki handsome macam aku kena cop Playboy, aku kalau nak pergi karaoke lepas ni pun line dah tak clear. Kah kah.
Tolonglah ingat, ingat, ingat. Lelaki dilahirkan untuk berkorban dan berjuang, bukan asik mengangkang. Kalau tak bersedia, tak puas lagi enjoy, yang kau kahwin tu pasal apa?
Perkahwinan ni saling melengkapi, bukannya mementingkan diri sendiri. Kita yang jantan ni asik nak mengikut Sunnah atau perbuatan Nabi kalau bab kahwin lagi atau bab perempuan, tapi ada tak ikut perbuatan Nabi Muhammad sendiri yang tak pernah memukul kaum wanita? (HR Ibnu Majah)
Isteri itu dijadikan dari tulang rusuk dari bahagian tepi. Dekat di lengan untuk dilindungi, dekat di dada untuk disayangi dan dekat di hati untuk dicintai.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri tak berkira bantu belanja rumah, suami jangan ‘pindahkan’ tanggungjawab. Dalam rumah tangga, perbelanjaan isi rumah adalah salah satu perkara utama yang perlu diuruskan dengan baik.
Isteri Tak Berkira Bantu Belanja Rumah, Suami Jangan ‘Pindahkan’ Tanggungjawab
Tanggungjawab nafkah, termasuk tempat tinggal, makanan, pakaian, dan keperluan asas lain, secara asasnya terletak di bahu suami. Namun, dalam realiti kehidupan hari ini, ramai isteri yang bekerja dan sanggup membantu suami menanggung perbelanjaan rumah tanpa berkira.
Sikap isteri yang ringan tulang ini memang wajar dihargai, tetapi ada segelintir suami yang mengambil kesempatan. Bila isteri sudah terbiasa berkongsi belanja, ada suami yang mula melepaskan tanggungjawab secara perlahan-lahan, sehingga akhirnya beban kewangan rumah tangga hampir sepenuhnya ditanggung oleh isteri. Ini bukan sahaja tidak adil, tetapi juga bertentangan dengan prinsip nafkah dalam Islam dan nilai rumah tangga yang harmoni.
Tanggungjawab Nafkah Tetap Milik Suami
Dalam Islam, suami bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyediakan nafkah kepada isteri dan anak-anak. Firman Allah dalam Surah An-Nisa’, ayat 34:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah membelanjakan sebahagian daripada harta mereka…”
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa nafkah keluarga adalah kewajipan suami, bukan isteri. Jika isteri membantu, itu adalah satu bentuk ihsan, bukan kewajipan. Oleh itu, suami tidak boleh menganggap sumbangan isteri sebagai satu ‘lesen’ untuk lepas tangan.
Jangan Ambil Mudah Pengorbanan Isteri
Seorang isteri yang bekerja bukan hanya membantu dari segi kewangan, tetapi dia juga masih perlu mengurus rumah tangga dan anak-anak. Bebannya menjadi berganda, bekerja di pejabat, pulang ke rumah mengurus keluarga, dan pada masa yang sama turut menyumbang kepada perbelanjaan. Jika suami tidak memainkan peranannya dengan baik, isteri akan terasa terbeban dan boleh menyebabkan tekanan emosi serta keletihan yang melampau.
Selain itu, suami yang membiarkan isteri menanggung segala kos rumah tangga tanpa berusaha memperbaiki kedudukan kewangannya boleh menjejaskan hubungan dalam perkahwinan. Isteri mungkin akan mula rasa tidak dihargai dan dipergunakan, yang akhirnya boleh membawa kepada masalah lebih besar dalam hubungan suami isteri.
Suami Perlu Ambil Tanggungjawab
Sebagai ketua keluarga, suami perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keperluan kewangan rumah tangga. Jika pendapatan tidak mencukupi, suami perlu berusaha mencari jalan untuk meningkatkan sumber rezeki, bukannya hanya bergantung kepada isteri. Ini termasuk mencari pekerjaan tambahan, mengurus kewangan dengan lebih bijak, atau mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu.
Jika isteri memilih untuk membantu, suami harus menghargai pengorbanannya dengan membantu dalam urusan rumah tangga dan tidak membebankannya secara berlebihan. Sikap memahami dan bertimbang rasa ini akan mewujudkan keseimbangan dalam perkahwinan serta mengukuhkan kasih sayang antara suami isteri.
Isteri yang tidak berkira dalam membantu belanja rumah adalah satu anugerah yang patut dihargai, bukan diambil kesempatan. Suami perlu sedar bahawa tanggungjawab utama masih terletak di bahunya. Jangan biarkan isteri terbeban hingga akhirnya dia merasa tidak dihormati atau dihargai.
Rumah tangga yang bahagia bukan hanya tentang wang, tetapi juga tentang rasa tanggungjawab, penghargaan, dan kasih sayang antara suami isteri. Jika kedua-duanya saling memahami dan berusaha sebaik mungkin dalam peranan masing-masing, insya-Allah, rumah tangga akan lebih harmoni dan diberkati.
Tidak dapat dinafikan akan berlaku perubahan yang agak ketara, bila wanita hamil pada peringkat usia 20,30 & 40-an. Yang pastinya, bila wanita semakin berusia, tenaga pun semakin berkurang, kerap rasa letih dan tak lagi sekuat dulu untuk ‘membawa’ kandungan selama 9 bulan. Emosi juga kerap terganggu.Meskipun, tiada umur yang khas untuk wanita merancang kehamilan. Tetapi jika wanita hamil pada peringkat umur tertentu, ia mempunyai kelebihan dan kebaikan tersendiri.
Hamil Di Usia 20-an
Minda : Mungkin dari segi minda, anda akan mengalami sedikit gangguan kerana umumnya pada usia 20-an, ia adalah waktu di mana ramai yang memilih untuk bekerja keras. Bahkan, ada segelintir yang akan melalui tekanan di pejabat kerana secara teorinya pada usia ini ramai yang masih belum cukup matang.
Tubuh : Majoriti wanita hamil pada usia 26 tahun. Pada usia muda ini tubuh anda masih lagi kuat dan dikatakan ia adalah waktu terbaik untuk hamil. Ia juga mampu mengurangkan risiko kanser ovari dan payudara. Apatah lagi pada usia muda ini, proses persenyawaan telur berlaku dengan lebih tinggi dan risiko keguguran kurang dari 12 peratus.
Bayi : Usia muda menjadikan purata tumbesaran bayi membesar secara abnormal adalah kurang. Jadi jangan bimbang ok!
Hamil Di Usia 30-an
Minda : Pada peringkat usia ini, diri anda akan lebih tenang dan cukup matang pabila sudah melepasi peringkat kepayahan mencari rezeki pada usia 20-an. Emosi anda juga akan lebih stabil pada peringkat ini.
Tubuh : Secara fizikal, tubuh anda masih lagi kuat, namun disarankan untuk anda hamil sebelum mencecah 35 tahun. Juga dinasihatkan supaya anda kerap mendapatkan rawatan dan nasihat doktor jika hamil pada usia ini kerana ditakuti masalah diabetes dan tekanan darah tinggi. Pada peringkat usia 35-40 tahun, risiko keguguran meningkat lebih tinggi kepada 25 peratus.
Bayi : Selepas usia 35 tahun, bayi dalam kandungan berisiko untuk menghidapi penyakit down syndrome. Puratanya sama tinggi dengan masalah keguguran. Pada usia ini juga, imun tubuh akan berkurangan dan anda dinasihatkan untuk menjaga kesihatan dengan lebih teliti.
Hamil Di Usia 40-an
Minda : Pada ketika ini, emosi anda akan lebih mudah terganggu. Emosi yang tidak menentu dan perasaan cepat berputus asa untuk hamil itu lebih bermaharajalela pada usia ini.
Tubuh : Tiada kata yang mana anda tidak boleh hamil ketika usia ini. Anda masih boleh mengandung dengan sihat tetapi pastikan anda mendapatkan pengawasan doktor dengan lebih kerap kerana pada peringkat ini, kadar keguguran lebih tinggi yang mana mencecah 50 peratus. Risiko penyakit diabetes dan penyakit-penyakit lain juga meningkat dua kali ganda. Bahkan, tahap kesuburan anda juga akan menurun dan tidak terkejutlah yang mana tubuh anda akan lebih lemah dan cepat penat pada peringkat umur ini.
Bayi : Jangan terkejut yang mana pada usia ini peratus untuk mendapat bayi kembar adalah lebih tinggi. Kajian mendapati yang mana tubuh wanita pada usia ini menghasilkan lebih banyak telur dari sebelumnya.
Orang lelaki ini bila ada hobi dia memang tak boleh nak ditahan-tahan. Lagi-lagi buat isteri yang baru berumahtangga, memang boleh buat gaduh kalau tak faham betul-betul hobi suaminya.
Ini kisah benar yang dillalui Cik Puan Ammy tentang hobi suami malah mana-mana hobi suami yang lainnya. Walaupun ia bukan sesuatu yang baru, namun bagus untuk diambil pengajaran.
Isteri Kecil Hati Sebab Suami Lebihkan Hobi Dari Dia
Sedang saya leka melihat page – page resepi di media sosial, saya terbaca sebuah luahan hati seorang isteri dimana dia amat berkecil hati kerana si suami lebih mementingkan hobi memancing berbanding dirinya dan anak – anak.
Sayu sungguh hati saya bila membaca luahan hatinya kerana si suami sanggup meninggalkan dia bersama anak – anak yang masih kecil sehari suntuk semata – mata kerana hobi dan kadang – kadang berhari – hari lamanya.
Jarang sekali si suami akan berada di rumah pada waktu – waktu cuti. Apatah lagi untuk membawa dia dan anak – anak keluar berjalan – jalan. Penat si isteri berseorangan menguruskan anak – anak dan rumah tangga. Jika dia meluahkan rasa hatinya, dia akan diherdik dan dimarahi malah di tangankan.
Alasannya si isteri cuba untuk kontrol atau sekat hobinya yang paling digemari sejak zaman bujang lagi.
Jika diminta agar dibawa bersama, dikatakan pula sebagai mengganggu. Tambah suami, jerit pekik anak – anak akan membuatkan semua ikan lari. Dapat saya bayangkan kehidupan dia dan anak – anak.
Dia dijadikan isteri semata – mata untuk menguruskan rumah – tangga, lebih senang dikatakan sebagai hamba suami tanpa dibayar dengan kasih dan sayang atau dengan ucapan terima kasih.
Untung Ada Suami Yang Tak Pernah Lupa Isteri Walau Gila Berhobi
Suami saya juga punyai hobi. Hobi yang baik untuk kesihatan. Suami saya menjadikan aktiviti berbasikal (Mountain Bike) sebagai hobinya sejak kecil lagi. Kadang – kadang suami saya akan berbasikal beribu batu jauhnya, samada bersama kawan – kawan atau bersendirian untuk kepuasan hati.
Saya bersyukur walaupun sehari suntuk dia di luar sana, dia tetap akan menghubungi saya bertanyakan samada saya dan anak – anak sudah makan atau belum. Suami saya pernah ajak saya ‘berkongsi’ hobi bersamanya walaupun saya mempunyai hobi saya sendiri.
Saya cuba untuk menjiwai minatnya. Saya selalu ikut dia berkayuh basikal dan saya dapat merasai keseronokkannya. Dia tidak pernah jemu menemani saya menghabiskan kayuhan berpuluh – puluh kilometer.
Dia juga tidak pernah penat menyuntik semangat pada saya. Minta saya habiskan kayuhan jika tiba – tiba semangat saya hilang sewaktu mendaki bukit yang tinggi atau kadang kala saya jatuh berkali – kali jika berkayuh di dalam kawasan hutan.
Awal tahun 2016 saya berehat sementara kerana mengandungkan anak saya yang ke-4. Selepas melahirkan, saya terus berhenti mengayuh. Tetapi kadang – kadang saya akan menemani suami jika ada jamboree atau kayuhan ceria bersama anak – anak sebagai tanda saya tidak pernah menghalang setiap hobinya selagi ianya tidak memudaratkan.
Suami saya juga pernah berhari – hari meninggalkan saya dan anak – anak jika dia dan rakan – rakannya ada aktiviti kayuhan di negara jiran.
Bezanya sebelum dia menerima tawaran untuk mengikuti aktiviti itu, dia akan bertanyakan pada saya terlebih dahulu samada saya ok ataupun tidak dan saya nak turut serta atau sebaliknya.
Kebanyakkannya saya akan menolak kerana saya faham, pada waktu itu dia akan meluangkan masa bersama basikal dan team kayuhannya.
Suami Kena Bijak ‘Beli’ Jiwa Isteri
Berbasikal bukanlah sesuatu yang mudah, Ia memerlukan mental serta fizikal yang kuat dan sihat tanpa sebarang gangguan. Bukan mudah untuk berkayuh mendaki bukit dan saya telah lalui detik – detik itu sehingga ada masanya saya menangis jika tiba – tiba terkena kekejangan otot di bahagian kaki.
Suami saya bijak menguruskan masa. Dia akan membahagi – bahagikan masa antara keluarga, kerjaya dan hobinya bersama kawan – kawan. Dia bijak ‘membeli jiwa’ saya dan anak – anak.
Suami saya berjaya menarik anak saya yang ke 3 bersama – sama menceburkan diri dalam bidang kayuhan memandangkan anak saya itu mempunyai hobi yang sama dan mungkin akan menjadi salah satu daripda cita – citanya kelak.
Berbalik kepada kisah wanita di atas, saya tidak menyalahkan dia dan tidak akan menghukum si suami kerana saya tidak berada di situasi tersebut. Namun sebagai isteri kita kena sentiasa sokong setiap apa yang diusahakan oleh si suami.
Tidak kiralah dalam urusan kerjaya, minat atau sebagainya asalkan ia tidak memudaratkan ikatan kekeluargaan dan mengabaikan tanggungjawabnya kepada keluarga.
Biarkanlah, itukan hobi dia. Kita juga akan marah jika hobi kita disekat oleh seseorang kan…? Satu perkara yang perlu kita ingat, jangan jadikan hobi suami kita sebagai satu alasan yang boleh mengancam keharmonian rumah tangga kita.
Kepada si suami pula, cubalah ‘beli’ jiwa si isteri dan anak – anak supaya mereka tidak rasakan bahawa mereka sedang ‘berkongsi’ insan yang mereka sayang dengan sesuatu yang lain.
Antara suami dan isteri perlulah ada sefahaman supaya sesuatu hobi itu tidak menjadi penghalang untuk kita berkasih sayang. Si suami juga harus cuba mengajak si isteri bersama – sama melakukan aktiviti kegemaran walaupun hanya sebagai peneman.
Pengantin baharu maut kemalangan motosikal berkuasa tinggi, rempuh Proton Saga. Seorang lelaki yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu berhampiran Bukit Grebar, pagi Rabu.