‘Ditinggal Berhari-hari Dengan Anak Kecil’ Tak Salah Suami Ada Hobi, Asal Tahu Cara Nak ‘Beli’ Jiwa Isteri

Orang lelaki ini bila ada hobi dia memang tak boleh nak ditahan-tahan. Lagi-lagi buat isteri yang baru berumahtangga, memang boleh buat gaduh kalau tak faham betul-betul hobi suaminya.

Ini kisah benar yang dillalui Cik Puan Ammy tentang hobi suami malah mana-mana hobi suami yang lainnya. Walaupun ia bukan sesuatu yang baru, namun bagus untuk diambil pengajaran.

Isteri Kecil Hati Sebab Suami Lebihkan Hobi Dari Dia

Sedang saya leka melihat page – page resepi di media sosial, saya terbaca sebuah luahan hati seorang isteri dimana dia amat berkecil hati kerana si suami lebih mementingkan hobi memancing berbanding dirinya dan anak – anak.

Sayu sungguh hati saya bila membaca luahan hatinya kerana si suami sanggup meninggalkan dia bersama anak – anak yang masih kecil sehari suntuk semata – mata kerana hobi dan kadang – kadang berhari – hari lamanya.

Jarang sekali si suami akan berada di rumah pada waktu – waktu cuti. Apatah lagi untuk membawa dia dan anak – anak keluar berjalan – jalan. Penat si isteri berseorangan menguruskan anak – anak dan rumah tangga. Jika dia meluahkan rasa hatinya, dia akan diherdik dan dimarahi malah di tangankan.

Alasannya si isteri cuba untuk kontrol atau sekat hobinya yang paling digemari sejak zaman bujang lagi.

Jika diminta agar dibawa bersama, dikatakan pula sebagai mengganggu. Tambah suami, jerit pekik anak – anak akan membuatkan semua ikan lari. Dapat saya bayangkan kehidupan dia dan anak – anak.

Dia dijadikan isteri semata – mata untuk menguruskan rumah – tangga, lebih senang dikatakan sebagai hamba suami tanpa dibayar dengan kasih dan sayang atau dengan ucapan terima kasih.

IKLAN

Untung Ada Suami Yang Tak Pernah Lupa Isteri Walau Gila Berhobi

Suami saya juga punyai hobi. Hobi yang baik untuk kesihatan. Suami saya menjadikan aktiviti berbasikal (Mountain Bike) sebagai hobinya sejak kecil lagi. Kadang – kadang suami saya akan berbasikal beribu batu jauhnya, samada bersama kawan – kawan atau bersendirian untuk kepuasan hati.

Saya bersyukur walaupun sehari suntuk dia di luar sana, dia tetap akan menghubungi saya bertanyakan samada saya dan anak – anak sudah makan atau belum. Suami saya pernah ajak saya ‘berkongsi’ hobi bersamanya walaupun saya mempunyai hobi saya sendiri.

Saya cuba untuk menjiwai minatnya. Saya selalu ikut dia berkayuh basikal dan saya dapat merasai keseronokkannya. Dia tidak pernah jemu menemani saya menghabiskan kayuhan berpuluh – puluh kilometer.

Dia juga tidak pernah penat menyuntik semangat pada saya. Minta saya habiskan kayuhan jika tiba – tiba semangat saya hilang sewaktu mendaki bukit yang tinggi atau kadang kala saya jatuh berkali – kali jika berkayuh di dalam kawasan hutan.

Awal tahun 2016 saya berehat sementara kerana mengandungkan anak saya yang ke-4. Selepas melahirkan, saya terus berhenti mengayuh. Tetapi kadang – kadang saya akan menemani suami jika ada jamboree atau kayuhan ceria bersama anak – anak sebagai tanda saya tidak pernah menghalang setiap hobinya selagi ianya tidak memudaratkan.

IKLAN

Suami saya juga pernah berhari – hari meninggalkan saya dan anak – anak jika dia dan rakan – rakannya ada aktiviti kayuhan di negara jiran.

Bezanya sebelum dia menerima tawaran untuk mengikuti aktiviti itu, dia akan bertanyakan pada saya terlebih dahulu samada saya ok ataupun tidak dan saya nak turut serta atau sebaliknya.

Kebanyakkannya saya akan menolak kerana saya faham, pada waktu itu dia akan meluangkan masa bersama basikal dan team kayuhannya.

Suami Kena Bijak ‘Beli’ Jiwa Isteri

Berbasikal bukanlah sesuatu yang mudah, Ia memerlukan mental serta fizikal yang kuat dan sihat tanpa sebarang gangguan. Bukan mudah untuk berkayuh mendaki bukit dan saya telah lalui detik – detik itu sehingga ada masanya saya menangis jika tiba – tiba terkena kekejangan otot di bahagian kaki.

Suami saya bijak menguruskan masa. Dia akan membahagi – bahagikan masa antara keluarga, kerjaya dan hobinya bersama kawan – kawan. Dia bijak ‘membeli jiwa’ saya dan anak – anak.

IKLAN

Suami saya berjaya menarik anak saya yang ke 3 bersama – sama menceburkan diri dalam bidang kayuhan memandangkan anak saya itu mempunyai hobi yang sama dan mungkin akan menjadi salah satu daripda cita – citanya kelak.

Berbalik kepada kisah wanita di atas, saya tidak menyalahkan dia dan tidak akan menghukum si suami kerana saya tidak berada di situasi tersebut. Namun sebagai isteri kita kena sentiasa sokong setiap apa yang diusahakan oleh si suami.

Tidak kiralah dalam urusan kerjaya, minat atau sebagainya asalkan ia tidak memudaratkan ikatan kekeluargaan dan mengabaikan tanggungjawabnya kepada keluarga.

Biarkanlah, itukan hobi dia. Kita juga akan marah jika hobi kita disekat oleh seseorang kan…? Satu perkara yang perlu kita ingat, jangan jadikan hobi suami kita sebagai satu alasan yang boleh mengancam keharmonian rumah tangga kita.

Kepada si suami pula, cubalah ‘beli’ jiwa si isteri dan anak – anak supaya mereka tidak rasakan bahawa mereka sedang ‘berkongsi’ insan yang mereka sayang dengan sesuatu yang lain.

Antara suami dan isteri perlulah ada sefahaman supaya sesuatu hobi itu tidak menjadi penghalang untuk kita berkasih sayang. Si suami juga harus cuba mengajak si isteri bersama – sama melakukan aktiviti kegemaran walaupun hanya sebagai peneman.

Sumber/Foto : Cik Puan Ammy

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI