Penting rupanya tidur awal selepas Isyak. Sebab itulah fitrah kesihatan dan tumbesaran anak-anak. Salah satu kelebihan tidur awal, tubuh jadi kuat dan boleh bangun di sepertiga malam untuk amalan solat sunat. Ibadah sebegini mencerdaskan minda dan jadikan kita kental emosi dan fizikal.
Ini pula yang dijelaskan oleh Dr Hafiz Sulaiman. Bagaimana malam hari amat bermanfaat untuk memulihkan semula sel. Apa akan jadi jika kita tak tidur awal. Menakutkan..
5 Aktiviti Ini Berlaku Di Malam Hari
Aktiviti kesembuhan termasuk pembaikian sel-sel banyak berlaku pada waktu malam.
Apabila fungsi-fungsi badan seperti pencernaan, pergerakan otot, pemindahan dan pemprosesan maklumat melalui saraf dan otak mula berehat.
Proses pemulihan bermula sejurus sahaja saraf SCN di bawah kelopak mata menyedari malam sudah bermula.
Maka malam merupakan waktu penting untuk:
1. REST
2. REPAIR
3. RESTRUCTURE
4. REGENERATE
5. REJUVENATE
Kalau Tidur Lewat, Ini Yang Jadi
Apa berlaku jika kita tidak tidur waktu sepatutnya?
√ Hormon stres iaitu kortisol akan meningkat.
Ads
√ Apabila hormon stres meningkat, kortisol yang merupakan steroid antiradang badan akan menyekat signal untuk pemulihan dan pembaikian badan ini.
Maka jika kita tidur lambat:
– Badan akan stres kerana tidak cukup rehat.
– Kurang signal untuk pemulihan.
– Kurang masa untuk pulih.
– Steroid kortisol menyekat pertumbuhan sel badan.
– Steroid kortisol juga menyekat perembesan hormon tidur (melatonin) yang penting untuk mengurangkan stres.
– Melatonin juga merupakan ANTIKANSER & ANTISTRESS semulajadi yang sangat kuat.
– Apabila hormon stres kortisol ini tinggi, ia menganggu sistem pencernaan.
– Perkembangan otak juga terganggu.
Maka tidur awal selepas isya’ itu fitrah untuk kesihatan dan tumbesaran anak-anak.
Sama-sama kita jalankan amalan sunnah tidur awal dan bangun malam insha Allah..
Waktu Tidur Yang Fitrah
Beberapa hari ini, saya sangat teruja dengan ilmu baru yang saya temui. Sudah 3 hari, setiap malam saya menelaah bahan bacaan, video dan juga perbincangan berkaitan.
Rasa mengantuk juga sebab sudah biasa tidur pukul 10 malam. Kali ini minat punya pasal pulun study dengan bantuan kopi sampai pukul 3 pagi.
Keluarga dari kampung datang hujung minggu ni kelam kabut sambut. Tak bertenaga dan ceria seperti biasa sebab penat. Asyik menguap dan terlelap saja. Fikiran pulak asyik melayang di alam mimpi dan khayalan.
Ads
Petang tadi, ayahanda tegur. Kenapa nampak penat je. Ku jawab sibuk bisnes dan study lewat malam-malam. Memang dah biasa kami bincang pasal kitaran tidur dan manfaat kepada badan ni. Tapi ada sesuatu yang bermakna kali ini terpacul daripada mulutnya.
“Papa sekarang tidur paling lewat pukul 10 malam. Memang banyak sungguh beza jika tidur berkualiti. Waktu yang fitrah, tidur 5 jam pun lebih baik berbanding 8 jam.
“Orang muda memang tak hargai waktu sihat. Papa kesal fikirkan berapa ramai anak-anak muda yang tak tahu betapa pentingnya tidur awal. Betapa ramai yang melawan fitrah tidur lewat semata-mata bekerja.”
Saya tersentak dan terdiam.
Saya memang faham sangat natijahnya tidur lewat ni..saya selalu cerita kot pasal kitaran tidur ni. Hormon tidur melatonin lah.. kortisol lah.. tetapi manusia ni kadang-kadang terlupalah sebab itu kena saling mengingati sesama kita.
Umur 28.. Dah Botak!
Saya teringat waktu saya mula mendapat cahaya mata pertama..stresnya waktu tu sebab anak selalu sakit. Wife terpaksa berhenti kerja jaga anak sakit dan pendapatan isi rumah berkurang hampir separuh.
Maka berhempas pulas saya bekerja siang malam. Siang di hospital, part time bermalam di klinik swasta. Sampai boleh bilang jari berapa kali tidur di rumah dalam sebulan. Tengok pesakit pun muka mereka berkerut. Muka doktor dah macam zombie dah.
Kesihatan memang merudum teruk. Gula jadi tak stabil, rambut gugur. kulit jadi macam biawak kusam dan kering. Perut berangin puting beliung dan otak jadi separa sewel. Memori tinggal mKmori sejenak je.
Perut pula memboroi sebab craving je sokmo tengah-tengah malam.
Menggigil bila check gula umur 28 tahun lepas makan 7.8. Masa tu memang insaf habis. Tengok diri kat cermin memang dah nampak tua sangat.
Ads
Terfikir, umur 28 tahun dah botak. Umur 38 tahun jadi doktor with kencing manis kah? Mulai detik ketakutan dan keinsafan tu, bermulalah pengembaraan dan perjuangan saya ke arah kesihatan yang lebih baik.
Saya nekad walaupun waktu tu ekonomi belum stabil. Alahai..tak kaya pun buat part time lokum. Saving pun kejap je habis. Saya tawakkal dan usaha cara lain. Alhamdulillah dipermudahkan boleh survive sampai sekarang walaupun tak kaya hehe..
Tuan Puan Pembaca Yang Budiman
Kesihatan merupakan pelaburan terbaik yang sesiapa saja boleh buat. Jutawan terkaya China Jack Ma pernah berkata. “Apa guna kekayaan tanpa kegembiraan. Anda tidak akan gembira jika anda tidak sihat.”
Jika kita gagal dalam bisnes, insha Allah kita boleh bangkit kembali! Tapi jika Allah tarik nikmat kesihatan itu. Mungkin tidak semudah itu untuk kita bangkit.
Lebih malang jika kita tidak bangkit lagi setelah sakit. Fikirkan keluarga tersayang. Jika kita sakit, bukan sahaja kita mungkin menyusahkam mereka dari segi fizikal, tetapi juga emosi ahli keluarga lain mungkin juga terganggu.
Kepada kaum ibu, pastikan anak-anak tidur awal. Waktu tidur yang awal sangat penting untuk perkembangan otak yang sihat. Begitu juga untuk pertumbuhan yang optima.
Kepada anak muda, pesan saya, jaga waktu tidur. Sekali sekala outing lepak-lepak dengan rakan mungkin tak apa. Cepat-cepat kembalikan kitaran tidur dengan amalkan tabiat tidur awal.
√ Usah langgar fitrah badan kita.
√ Jangan salah guna kopi untuk langgar fitrah badan.
√ Jangan rosakkan badan dengan rokok dan arak.
Sedarlah sebelum terlambat bahawa kesihatan dan tidur khususnya merupakan pelaburan terbaik yang boleh kita buat. Ia merupakan antara nikmat dan rahmat terbesar yang dikurniakan kepada badan kita. Alhamdulillah.
Bagi petugas malam yang terpaksa bekerja shift dan menjalankan tanggungjawab kerana amanah yang digalas..para doktor, jururawat, polis, tentera, pak guard..
Semoga Allah memberi balasan setimpal atas pengorbanan anda. Saya tabik respek sokmo. Saya doakan Allah melindungi anda semua dan membalas dengan kesihatan dan rezeki yang baik.
Ameen..ya rabbal alamin..
Sumber/Foto : Facebook Hafiz Sulaiman
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Keterujaan seorang pelajar diragut apabila dia maut dalam perjalanan ke sekolah. Remaja ini menaiki motosikal baru yang dibeli bapanya untuk ke sekolah. Namun takdir mengatasi segalanya apabila pelajar ini meninggal dunia akibat kereta buat pusingan U di tempat yang salah.
Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut apabila motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta yang membuat pusingan U di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Rambutan pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Nurul Syahira Zamri, 16, dari Kampung Kolam, Jalan Chemor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke sekolah dengan menaiki motosikal jenis Honda SM Sport yang baru sahaja dibeli bapanya untuk kemudahan pergi ke sekolah.
Kereta Buat Pusingan U Secara Tiba-tiba
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Perodua Kenari dipandu wanita berusia 46 tahun membuat pusingan U secara tiba-tiba menyebabkan mangsa yang berada di laluan berkenaan tidak sempat mengelak.
“Keadaan itu menyebabkan mangsa dikatakan terlanggar bahagian tepi sebelah kanan kereta itu lalu tercampak di atas jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati lokasi kemalangan adalah kawasan dilarang membuat pusingan U. Ketika membuat pusingan, katanya, kereta berkenaan turut terlajak masuk ke laluan bertentangan menyebabkan satu lagi pelanggaran berlaku membabitkan kenderaan itu dengan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun.
“Bagaimanapun kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, cuma kerosakan pada kenderaan masing-masing.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu wanita tersebut tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.
Jelas A Asmadi lagi, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut kini diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
MW: MW merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan. Ternyata bukan mudah untuk menerima pemergian anak secara tiba-tiba begini. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan keluarga allahyarham tabah menerima ujian berat ini. Al-Fatihah.
Bila ada akaun di media sosial, lebih-lebih lagi bergelar selebriti memang ramai yang memerhati.Status apa yang dipost, gambar apa yang dikongsikan semuanya menjadi perhatian.Bila jarang post gambar berdua bersama pasangan juga boleh menjadi isu, orang fikir yang bukan-bukan.Sebenarnya kebahagiaan rumahtangga tak perlu ditayang selalu di media sosial pun dan ia bukanlah pengukur kebahagiaan rumahtangga.
Penyanyi berkumpulan wanita popular 90-an, Linda Rafar tidak terkecuali dan sering menerima pertanyaan daripada pengikut di laman sosial mengenai status rumahtangganya dengan pelakon, Syed Aiman.
Ia rentetan Linda atau Azlinda Rafar, 40, berkata, ramai yang bertanya mengenai perkara itu kerana mereka berdua dilihat jarang memuat naik foto bersama di media sosial.
Ibu kepada 5 orang anak lelaki ini menjelaskan mengenai perkara tersebut menerusi laman Instagramnya baru-baru ini bagi memberi penjelasan.
Takut Ada Yang Tak Suka
“Kenapa saya jarang post picture suami? Banyak betul soalan netizen bila tengok Linda kurang post gambar dan video live bersama suami.
“Sebenarnya, suami saya kurang suka gambar dia dimuat naik di mana-mana media sosial. Kita pun kurang suka nak post selalu foto suami takut ada orang yang tak suka dan cakap asyik promote suami dia je,” katanya.
Kongsi Gambar Anak, Aktiviti & Kerjaya
Dalam pada itu, bekas perserta program Gegar Vaganza musim kelima ini memaklumkan dia lebih selesa berkongsi foto anak-anak dan hal berkaitan aktiviti seni.
“Saya lagi suka kongsi foto anak dan aktiviti serta kerjaya. Harap lepas ni puas la hati netizen yang asyik tanya pasal suami saya.
“Saya dan suami masih bersama.. Insya-Allah hingga ke syurga!,” katanya.
Terdahulu, Linda melalui dua kali alam rumah tangga di mana menerusi perkahwinan pertama bersama Keifli Othman, dia dikurniakan dua anak lelaki iaitu Rezaril Keiflin, 17 dan Rezaiman Keiflin, (meninggal pada usia 12 tahun pada 2014).
Manakala perkahwinan kedua bersama pelakon Syed Aiman pada 2 Disember 2006 dan dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Syed Rezaqiib, 10, Syed Rezariiq, 7, dan Syed Rezaliif, 2 tahun.
MW:Setuju sangat dengan Linda Rafar.Pedulikan apa yang orang kata. Kebahagiaan tidak perlu dipertontonkan selalu, takut ada yang dengki dan tak suka. Apa yang penting hanya kita yang lebih mengetahui.
Gajet sudah satu keperluan dalam kehidupan masa kini. Peredaran zaman yang pesat kini membentuk sebuah cara hidup yang berbeza dengan zaman yang lepas. Arus teknologi yang kian deras mengubah cara hidup kita. Jika dahulunya tatapan kita adalah material berbentuk kertas dan buku namun sekarang peralihan kepada tatapan skrin. Segala maklumat berada di hujung jari tanpa batasan masa.
Pemberian Gajet Pada Anak Perlu Dikawal
Hakikat ini jika tidak dapat dikawal, secara individu dikhuatiri membentuk sebuah gaya hidup yang kurang sihat dari sudut emosi. Oleh sebab, kehidupan dengan gajet ini sudah membentuk gaya hidup seseorang malah masyarakat, maka ia juga turut menjadi perkara yang lumrah di kalangan kanak-kanak.
Gajet dan kanak-kanak adalah perkara yang sinonim kini kerana ini adalah zaman mereka. Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhamad, pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), juga salah seorang kolumnis di dalam Majalah MINGGUAN WANITA. FB:https://www.facebook.com/naznur.muhamad
Gajet Dan Anak Susah Nak Dipisahkan
Ibu bapa yang dihormati, oleh sebab itu pemisahan kanak-kanak dengan gajet sememangnya agak sukar tak kira anak remaja atau yang kecil. Ini kerana mereka hidup di dalam persekitaran yang menjadikan gajet sebagai salah satu daripada rutin kehidupan.
Bahkan, di rumah dan di mana-mana sahaja mereka berada, masyarakat sekeliling menggunakannya. Adalah menjadi lumrah jika mereka juga turut menunjukkan minat untuk memegang dan berinteraksi dengannya. Walau bagaimana pun, kanak-kanak terutamanya masih belum dapat membezakan antara perkara yang baik dan perkara yang perlu dielakkan. Jadi di sini peranan kita selaku ibu bapa perlu menjelaskannya kepada mereka.
Ini merupakan antara cabaran ibu bapa di abad 21 yang perlu dihadapi bukan dihindarkan, kerana anak-anak kita perlu juga didedahkan dengan gajet dan cara yang betul untuk berinteraksi dengannya.
Bahaya Guna Gajet Tanpa Pengawasan
Bagi saya, adalah lebih bahaya jika dia berkenalan dengan gajet secara sembunyi, tanpa pengawasan kita. Ini kerana, di dalamnya terdapat seribu satu kemudaratan jika tidak digunakan dengan tujuan dan cara yang baik. Jadi, anak-anak kita perlu tahu akibat dan implikasi negatif yang mungkin diperoleh sewaktu menggunakannya. Apatah lagi cara yang betul untuk berinteraksi dengannya.
Bayangkan sahaja, anak-anak kita berkenalan dengan gajet tanpa pengetahuan kita. Dia mungkin sahaja tenggelam dengan lambakan maklumat di dalamnya yang dia sendiri tidak tahu perkara tersebut baik atau tidak.
Apa laman web yang boleh dilihat, maklumat apa yang patut dihindarkan dan tidak perlu dilayari. Semua ini harus dipantau dan diberitahu secara jelas kerana anak-anak kita sangat baik persepsinya, dia mungkin sahaja akan percaya dan terpengaruh dengan segala maklumat yang dibaca atau ditonton.
Pembacaan, tontonan yang mempengaruhi emosinya akan juga mempengaruhi persepsinya terhadap diri dan kehidupan. Kepercayaan ini akan mempengaruhi tingkah lakunya. Lebih dikhuatiri, dia tidak dapat menceritakan hal tersebut kepada kita kerana takut akan dimarahi. Jadinya, kita tidak dapat memberitahunya apa yang betul dan apa yang seharusnya dihindarkan.
Memang Tak Salah Tapi…
Oleh yang demikian, tidak salah untuk memperkenalkan anak-anak dengan gajet kerana mereka hidup di dalam zaman yang sememangnya dipenuhi dengan gajet. Mereka harus tahu cara yang betul untuk berinteraksi dengannya.
Mungkin pada waktu ini, iaitu pada usia anak-anak kita yang masih kecil tumpuannya hanya pada permainan atas talian dan cerita kanak-kanak. Jadi, berikan dia panduan untuk memilih cerita yang baik dan permainan yang wajar. Kemudian berikan limit waktu. Setelah limit waktu tamat, ambil gajet tersebut daripada tangan anak dan komited dalam melakukannya.
Jangan Biar Terlalu Lama
Usah dibiarkan anak-anak terlalu lama dengan gajet. Mereka harus diberikan panduan, disiplin dalam berinteraksi dengannya. Mungkin sahaja mereka akan menangis dan memberontak apabila gajet itu diambil namun itu perkara biasa dalam proses mendidik dan mendisiplinkan anak.
Alihkan perhatiannya. Apabila perkara ini terbiasa dengannya. Dia akan faham bahawa dia hanya boleh menggunakannya pada had masa tertentu. Apabila dia makin dewasa, berikan panduan lebih jelas bagaimana berinteraksi dengan maklumat yang berada di dalamnya dan penggunaan media sosial yang baik. Insya-Allah panduan yang diberikan ini akan membantu mereka berinteraksi dengan dunia baru dengan baik.
Polis mengesahkan nota terakhir suspek tikam berusia 14 tahun dirampas ketika tangkapan, bukan di lokasi kejadian. Frasa “Dunia ini palsu, saya sudah menang” kini disiasat bagi mengenal pasti motif sebenar.