“Tidak dinafikan terlalu banyak kebaikan membaca kitab suci Al-Quran. Kadang-kadang kita sendiri tidak terjangkau begitu tinggi kebaikan membaca dan menghafaz Al-Quran,” Jelas Hasmah Haji Abdul Rahman, 44 tahun, yang mengalaminya sendiri.

Ibu kepada enam anak ini memiliki ceritera berbeza pada setiap kelahiran anaknya. Antara kelahiran yang diingati adalah ketika kelahiran anak ketiganya. Kala itu tanpa sebarang tanda, dirinya terpaksa di tahan di hospital kerana bacaan tekanan darahnya yang terlalu tinggi.

“Mulanya saya sekadar memenuhi temujanji pemeriksaan bulanan ketika mengandung, sapa sangka akhirnya kena tahan pula sebab bacaan tekanan darah terlalu tinggi. Padahal ketika itu saya langsung tidak rasa pening atau apa-apa tanda melahirkan.

“Bimbang akan keadaan kandungan, saya turutkan sahaja kehendak doktor dan terus di bawa ke hospital. Biar pun mula-mula nampak tenang, akhirnya perasaan saya mula bercelaru bila doktor sarankan saya untuk jalani pembedahan kerana bimbang apa-apa berlaku jika tekanan darah tidak turun.

“Dalam menunggu keputusan doktor untuk memberi ubat kepada saya, saya curi masa membaca surah Yasin dengan bersungguh-sungguh berserta niat agar segala urusan saya dipermudahkan. Bersungguh saya pinta pada Allah agar saya tidak perlu dibedah dan dapat bersalin normal.

“Akhirnya ketika doktor mahu memeriksa laluan dan ingin memberi ubat untuk saya turunkan tekanan darah, doktor dapati kepala bayi telah berada di bawah dan saya bersedia untuk bersalin pada bila-bila masa. Alhamdulillah, akhirnya Allah telah buktikan kekuasaannya apabila saya selamat melahirkan anak saya secara normal,” ungkapnya sebak.

Tidak Berhenti Membaca Surah Yassin dan Serahkan Pada Allah, Akhirnya Hasmah Terselamat Daripada dibedah
Setiap anak cerita kelahirannya berbeza, tetapi berkat mengaji Al-Quran, segalanya dipermudahkan Allah.

 Lahir Lapan Bulan

IKLAN

Begitu juga kelahiran anak ke-lima, dirinya lahir ketika kandungan mencecah lapan bulan. Bayangkan ketika di hospital, pihak doktor berkali-kali mengingatkan bahawasanya melahirkan anak ketika kandungan lapan bulan adalah berisiko.

Namun bagi Hasmah, dia berserah segalanya pada Allah. Jika telah ditentukan serta ditakdirkan bahawa anaknya keluar ketika lapan bulan dan berlaku sesuatu di luar kebiasaan, dia reda. Biar pun lahir ketika lapan bulan kandungan, bayinya normal dan tidak perlu ditahan di hospital. Malahan, sihat hingga ke saat ini “bayi ajaib” yang tidak sabar-sabar mahu keluar dari perut ibunya.

Manakala ketika mengandungkan anak bongsu yang ke-enam, Hasmah mampu khatam Al-Quran kurang sebulan ketika bulan Ramadan. Saat itu, dia bersama-sama rakannya yang lain menyahut cabaran untuk khatam Al-Quran dalam jangka masa singkat. Siapa sangka biar pun lelah dengan sarat mengandung di bulan puasa pula, akhirnya Hasmah dapat khatam Al-Quran dengan niat memberi kekuatan kepada anak dalam kandungan serta dipermudahkan proses bersalin.

Tambah Hasmah, bagi dirinya tidak pernah menghadkan beberapa surah sebagai amalan ibu hamil. Sebaliknya banyakkan masa bersama Al-Quran sepanjang mengandung, jadikan Al-Quran teman akrab dan yakini setiap ayat yang tercatat dalam Al-Quran. Tetapi tidak nafikan, Surah Yusuf dan Maryam antara surah yang kerap dibaca oleh ibu hamil.

 20 Tahun Ajar Mengaji

IKLAN

Hasmah sebenarnya bukanlah ustazah yang calang-calang orangnya, malah hampir 20 tahun mengajar dan mendidik anak-anak bangsa mendekati Al-Quran sejak tahun 1998 lagi. Dirinya yang pernah menuntut di Pusat Tahfiz seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) dan kini dikenali sebagai Darul Quran tidak pernah sekali pun menolak betapa pentingnya membaca Al-Quran.

Biar pun tidak berkesempatan melanjutkan pelajaran dalam pengajian Al-Quran di Mesir ketika mengikut suaminya ke sana, tetapi ia sama sekali tidak mematahkan semangatnya. Sebaliknya, dia ingin terus berbakti kepada masyarakata setelah pulang ke tanah air tercinta.

Ditawarkan menjadi salah seorang sebagai tenaga pengajar di Darul Quran adalah peluang yang dinantikan. Tetapi jodohnya tidak lama di sana kerana perlu mengikut suami bertugas di Pulau Pinang.

Tetapi ternyata setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya jika kita benar-benar ikhlas. Setiap kali suaminya berpindah serta memegang jawatan Imam Besar, Hasmah turut dipelawa untuk bekerja dan antara lokasi yang pernah dia mengajar adalah di Pusat Tahfiz Antarabangsa Pulau Pinang, Tahfiz di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kini Hasmah selesa untuk mengajar dari rumah dan surau berdekatan.

IKLAN

“Setiap kali suami posting, saya dan anak-anak akan ikut serta. Setiap kali itu juga saya dapat peluang untuk ajar orang mengaji. Sekarang pun saya masih mengajar mengaji cuma sekarang fokus dari rumah sahaja, lebih mudah. Saya juga terbuka untuk mengajar anak-anak hinggalah dewasa. Kadang-kadang saya mengajar di surau-surau.

“Paling tidak dilupakan ketika mengandung anak keempat, saya dapat tamatkan pengajian saya di peringkat Ijazah dalam bidang Al-Quran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Rasa bangga dengan keupayaan diri walaupun saya buat PJJ, tetapi saya mendapat keputusan yang cemerlang. Saya sendiri tak percaya saya mampu lalui semua itu.

“Bayangkan saya perlu berulang-alik setiap minggu dari Penang untuk kelas dan sebagainya dengan membawa perut lagi. Alhamdulillah segalanya Allah aturkan dengan baik. Saya turut menolak tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat master kerana merasakan cukuplah setakat itu, biar pun suami tak menghalang,” jelasnya lagi.

Harapan Hasmah kini, biarpun dihambat usia dan komitmen kepada keluarga, dirinya sentiasa meletakkan Al-Quran di tempat terpenting. Tidak dinafikan ketika masih bujang dan tiada komitmen, masanya memang lebih banyak untuk Al-Quran, sebaliknya kini dirinya cuba melakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri.

Tidak Berhenti Membaca Surah Yassin dan Serahkan Pada Allah, Akhirnya Hasmah Terselamat Daripada dibedah
Ustazah Hasmah banyak luangkan masa hidupnya dengan mengajar mengaji Al-Quran.

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI