Memeluk agama Islam adalah satu nikmat yang terhingga. Bukan sekadar dengan lafaz sahaja tetapi kita perlu jalani hidup sebagai muslim yang istiqamah dan belajar menjadi hamba yang kekal beriman. Itulah cabaran yang dilalui oleh Tham Mei Shan atau nama Islamnya Ilannur Afia Tham Mei Shan, 30 tahun selepas memeluk agama Islam lapan tahun yang lalu.

Tertarik Dengan Pergerakan Solat

Wanita yang berketurunan Baba Nyonya ini mengkagumi satu sikap budaya Melayu Islam iaitu mereka ini banyak beradab dan layanan seperti keluarga dan saudara sendiri. Kadang-kadang, semasa duduk bersama dengan kawan-kawan, dia selalu bertanya tentang Islam

“Pernah saya tanya soalan berkaitan pahala. Bagi saya darah berbangsa Cina ini fikirannya nak “untung” je. Saya tak tahu kenapa saya terikat dengan perkataan “pahala” itu macam dapat ganjaran besar pula, padahal tak nampak apa pun,” kata anak sulung daripada tiga orang adik beradik.

Semasa menuntut di UUM, Ilannur menerima private message bertanyakan tentang dirinya seorang Muslim atau tidak? Dari situlah, dia banyak berkongsi dengan pelajar senior ini tentang Islam.

“Kak Mira inilah yang banyak mengajar saya tentang Islam, menunjuk buku agama di Pusat Islam UUM dan menghadiahkan buku tafsir Quran pada saya. Pernah dia beritahu, dengan berzikir sambil berjalan pun dapat banyak pahala, sekecil-kecil perkara kebaikan kita lakukan pun dikira pahala. Saya tertarik lagi berkenaan ‘pahala’,” kata Ilannur yang menguatkan lagi untuk dia dalami Islam.

Hilang Rasa‘Bebanan’

Akhirnya, tanggal 11 Mac 2012, Ilannur mengucapkan syahadah di Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah dalam usia 22 tahun. Saat itu, terasa apa yang terbeban di kepala, di fikiran dan di hatinya terus hilang.

IKLAN

“Sebelum lafaz, perasaan takut dan segala bagai bermain di fikiran terutamanya penerimaan keluarga. Namun, selepas syahadah,  semua perasaan itu terus hilang perasaan itu,” katanya  yang menyambut syahadah tanpa ragu-ragu dan paksaan.

Pada masa yang sama, Ilannur merasakan terlalu banyak yang perlu dia pelajari dan masih berusaha untuk menimba ilmu.

“Saya lebih kepada kunjungan kelas mengaji Quran, ke kelas ilmiah dan kuliah, ceramah agama, bacaan dari buku-buku dan jika ada masa saya pergi melibatkan diri aktiviti NGO. Kawan-kawan juga banyak membantu dalam proses pembelajaran ini,” katanya lagi.

Bersama dengan kawan-kawan usrah.

Bertudung Balik Kampung

Sebaik memeluk Islam, Ilannur kuatkan diri untuk menghubungi ibunya dan memberitahu hal sebenar. Ibunya tidak cepat melantang atau marah, sebaliknya banyak mendiamkan diri. Cuma ibu Ilannur tidak tahu bagaimana untuk memberitahu kepada ayahnya yang sukar untuk terima kenyataan.

IKLAN

“Semasa cuti semester, saya pulang ke kampung dengan mengenakan tudung. Saya memohon maaf pada orang tua. Alhamdulillah, lama-kelamaan, mereka bleh menerima dan saya yakinkan kepada mereka, walaupun beragama Islam, saya tetap anak mereka dan tanggungjawab tetap sama,” katanya yang memberitahu, ayah sanggup membuat pair air bagi memudahkan Ilannur mengambil wuduk.

Hubungan dengan keluarga tidak pernah putus.

Dikurniakan Hidayah

Selepas lapan tahun lebih menjalani hidup sebagai seorang muslim, Ilannur merasakan banyak perubahan yang berlaku dalam kehidupannya. Dia bersyukur atas kurniaan hidayah untuknya. Pada masa yang sama, suaminya, Ulil Amri Salim, 30 tahun, banyak mengajar dan memberi sokongan motivasi tentang hal-hal agama.

“Suamilah yang sentiasa memberi kata-kata semangat, apabila timbul rasa putus asa dan saya banyak belajar sikap dan tingkah laku positif ini daripada suami saya,” katanya yang berkahwin pada Disember 2015.

IKLAN

Apa yang diharapkan oleh Ilannur agar ibu dan adik bongsunya dikurniakan hidayah dan terbuka hati untuk merasai nikmat Islam. Malah, adik lelakinya turut kembali kepada agama fitrah pada Mac 2019.