Hati-hati ya suami, sebelum tuding jari kata isteri nusyuz, perati dulu diri sendiri. Bila suami abaikan perkara-perkara ini, salah satunya sering cakap ‘kasar’ dengan isteri pun boleh dah dianggap nusyuz kepada isterinya.
Cakap ‘kasar’ yang bagaimana? Peguam Syarie, Fahmi Ramlidari Khairul Fahmi Associates jelaskan selebihnya tanda-tanda suami nusyuz atau kata lainnya, ingkar dengan perintah Allah.
Jangan Ingat Isteri Jer, Suami Pun Boleh Nusyuz
Ramai yang tau, apabila isteri enggan taat pada perintah suami, disisi syarak ia disebut sebagai nusyuz. Jika seorang isteri disabitkan nusyuz oleh Mahkamah, maka, dia dah tak berhak untuk terima nafkah dari seorang suami.
Tapi, ramai yang tak tahu, selain isteri, suami juga boleh dikira sebagai nusyuz. Cuma perkara ini jarang kedengaran sebab isteri jarang nak mohon suami disabitkan nusyuz sebabnya, suami yang beri nafkah khasnya. Tapi, sama ke nusyuz isteri dan suami? Mari saya kongsikan.
Bila Yang Dikatakan Suami Nusyuz?
Kalau isteri isteri itu dianggap nusyuz bila dia tidak mentaati perintah suaminya, maka suami pula dikira nusyuz bila dia mengabaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada dirinya sebagai suami.
Apa Tanda-tanda Suami Nusyuz?
Nusyuz suami melalui percakapan;
– Suami boleh dikira nusyuz disisi syarak jika dia seringkali tidak mahu bercakap dengan isterinya dan bercakap kasar. Kasar disini bermaksud sering memanggil isteri dengan perkataan yang keji dan tidak sepatutnya. Dan ada ketika memberi gelaran yang jijik pada isteri dan mencarut dalam perbualan.
Ads
– Suami juga boleh dikira nusyuz jika dia mengarahkan isterinya untuk melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak. Contohnya, menyuruh isteri melacur untuk cari pendapatan. Nauzubillah.
Nusyuz suami melalui perbuatan;
– Suami dikira nusyuz bila dia langsung tidak melakukan hubungan kelamin dengan isterinya tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak. Bahkan lebih teruk bila dia berzina dengan wanita lain selain dari isterinya untuk puaskan nafsu.
– Paling dikira nusyuz bila suami bertindak kejam dan keras terhadap isteri seperti memukul, menarik rambut, menggigit dan lain-lain yang boleb datangkan kecederaan pada tubuh badan isteri. Kasihankanlah isterimu itu wahai lelaki.
Ads
– Nusyuz juga bagi suami yang tidak menyediakan nafkah yang sewajarnya dari segi makan minum, pakaian dan tempat tinggal kepada isteri tetapi menghabiskan duitnya kepada benda yang tidak berfaedah seperti membeli rokok. Mintak maaf, ini hakikat.
– Tidak memelihara kehormatan isteri juga boleh dikira sebagai nusyuz dimana sering membuka aib isteri tambah-tambah hal dalam kain. Dan nusyuz juga bagi suami yang berpoligami tetapi tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya.
Nusyuz Suami Tidak Dituntut Di Sisi Undang-undang
Walaupun nusyuz suami ini tidak dituntut disisi undang-undang, tetapi dosanya amatlah besar disisi Allah kerana isteri itu adalah amanahnya yang paling besar. Saya sangat tidak bersetuju bila kaum suami asyik salahkan isterinya nusyuz sedangkan dia tidak semak kenusyuzan dia terlebih dahulu sebelum nak nusyuzkan isteri.
Fahmi : Sebenarnya tak ada peruntukan undang-undang khas yang bercerita tentang nusyuz suami. Kalau nusyuz isteri pun hanya ada pada seksyen cerita tentang nafkah sahaja jika isteri nusyuz.
Sebabnya, nusyuz ini kesannya tak boleh terima nafkah. Jadi, kalau mahkamah buat juga sabitan nusyuz pada suami. Tak ada apa-apa kesan di sisi undang-undang sebab suami yang bagi nafkah. Cuma kesan di sisi Allah sahaja kalau suami ini nusyuz iaitu langgar amanah Allah.
Jadi, tak boleh heret ke mahkamah untuk nusyuz. Lagipun, isteri takkan buat sabitan nusyuz dah pada suami, baik terus fail fasakh sahaja.
Sumber/Foto : Fahmi Ramli yang banyak berkongsi info isu syariah di fanpagenya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bagi sesetengah wanita, setua mana pun usia, syahwat tidak pernah ‘tua’, bahkan akan sentiasa muda. Pada usia emas sekali pun, keupayaan seksual masih pada tahap sama, malah kadang-kadang semakin memuncak.
Ikuti perkongsian daripada Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj, motivator yang juga penulis tetap ruangan Motivasi di dalam Majalah Mingguan Wanita berkenaan topik ini.
Ini bukanlah perkara luar biasa, sebenarnya ia adalah fenomena yang bakal dialami oleh semua orang. Andainya panjang umur dan sihat, lihatlah syahwat anda terus di situ sebagaimana anda masa muda-muda dahulu.
Bezanya, taste anda mungkin berubah. Kalau dulu, terangsang bila melihat teruna, maklum ketika itu pun dara, tetapi kini beralih pada lelaki muda penuh keterampilan pula.
Dalam saat beginilah ramai wanita akhirnya menjadi mangsa. Apabila terlalu meminati, dia akan berkahwin lagi, kadang-kadang pasangannya jauh lebih muda. Meskipun ada yang jujur, tetapi tidak kurang lelaki muda yang lebih terangsang oleh harta benda yang dimiliki oleh wanita berusia itu tadi.
Saya menulis begini kerana kes wanita berharta akhirnya tertipu oleh lelaki muda semakin banyak. Sekurang-kurangnya boleh dikatakan setiap tiga bula,n saya akan mendapat kes begini, selalunya setelah ‘nasi menjadi bubur’, iaitu sudah pun berkahwin.
Antara kes terbesar ialah seorang jutawan wanita yang amat berjaya. Dia memiliki kilang sendiri tetapi akhirnya diisytiharkan muflis akibat muslihat suami.
Beliau pada mulanya menjadi penjamin suami ketika membuat pinjaman bank berjumlah hampir RM5 juta, tetapi disebabkan suaminya gagal menjelaskan hutang, dia menjadi buruan institusi kewangan sehingga semua hartanya disita selepas diisytiharkan muflis.
Ketika hidupnya terumbang-ambing, dia diceraikan hanya dengan SMS dan pada masa sama bekas suaminya itu membina hidup baru dengan membuka perniagaan serta berkahwin lain!
Bukanlah semestinya lelaki muda itu tidak baik, malah sewaktu saya remaja, saya pernah berjiran dengan seorang wanita tua berusia 60-an sedang suaminya anak muda berusia 20-an sahaja. Kelihatannya mereka sangat bahagia dan setia.
Daripada cakap-cakap penduduk setempat sebenarnya anak muda itu kekasih kepada anak isterinya sekarang, tetapi entah macam mana wanita yang sepatutnya menjadi ibu mentuanya itu telah jatuh cinta terhadapnya lalu mereka berkahwin. Bayangkan bekas kekasih kini adalah anak tiri dan mereka tinggal serumah bersama-sama.
Sememangnya saya lihat ada gambaran kesedihan di wajah anak gadis itu. Dia jarang keluar rumah dan apabila keluar misalnya menyidai pakaian, membuang sampah dan sebagainya, jarang senyum.
Kemurungan jelas terpapar di wajahnya. Ya, memang itu sesuatu yang amat menyedihkan. Saya kagum dengan gadis berkenaan kerana masih dapat meneruskan hidup di bawah satu bumbung meskipun sakit. Saya selalu membawakan kisah ini kepada gadis yang mirip-mirip menghadapi kisah serupa, menghubungi saya untuk mendapatkan motivasi dan kekuatan diri.
Nyata dia sangat kuat kalau dibandingkan dengan kisah seorang lelaki berusia 30-an yang memotong alat sulitnya sendiri berhampiran sebuah restoran di Danau Kota, Setapak. Dia dikatakan putus cinta.
Pesanan buat semua wanita berjaya yang hidup bersendiri sekarang, berpada-pada apabila anda seperti terasa jatuh cinta semula, anda akan selalunya terjatuh cinta dengan lelaki muda. Semak betul-betul latar belakangnya, uji keikhlasannya dan berpuas hatilah dengan bukti-bukti yang ditunjukkannya, bahawa dia juga mencintai anda sejujurnya, bukan oleh harta benda yang anda miliki itu.
Perkahwinan kali kedua seperti ini harus menjadi sebab untuk lebih berjaya dan kaya. Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya ALLAH SWT tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi ALLAH hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.” – (Muslim)
Sememangnya dunia ini turut didiami oleh mereka yang hanya memikirkan untuk hidup senang dengan bermodalkan cinta murahan ataupun plastik semata-mata.
Sebelum terlajak mencintai, jangan sekali-kali terlalu melihat pada ketampanannya hari ini, sebab sekali anda telah bergelar seorang isteri, segala-galanya boleh terjadi andainya dia tidak memiliki sekeping hati yang betul-betul boleh dipanggil hati.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sesetengah anak, ada yang menyusu badan lebih dari dua tahun. Malah tak mahu berhenti walaupun dah dekat usia 4 tahun. Mak pun cuba macam-macam petua nak bagi anak bercerai susu badan.
Letak sirap, letak serbuk kopi, malah sapu gincu dekat payudara mak. Sebab nak bagi anak rasa gerun dan takut nak menyusu bila tengok benda pelik-pelik dekat ‘aset’ ibu. Jururawat KKM ini, Lara Marina Radzaliberkongsi sebab kenapa ibu sama sekali tidak digalakkan bertindak sedemikian.
Meletakkan bahan-bahan pada payudara ibu bagi tujuan mengelakkan anak anda untuk menyusu badan adalah TIDAK DIGALAKKAN.
Contoh : Meletakkan gincu supaya anak takut untuk menyusu, meletakkan asam jawa dsb. Ia boleh menyebabkan gangguan psikologi pada anak.
Macam anda setiap hari diberi makan nasi, tiba-tiba suatu hari anda disekat tak boleh makan nasi.
Kasihan emosi anak tercedera apabila kita buat sesuatu yang tak sepatutnya malah anda tak perlu menipu pun untuk bagi anak anda berhenti menyusu.
Tergamak ke anda sebagai ibu menipu anak cakap susu anda basi dan sebagainya sedangkan anak anda kalau makan, mereka akan tahu makanan apa yang rasa pedas, rasa manis, rasa masam dan rasa pahit.
Tak patut kerana susu adalah yang terbaik yang Allah anugerahkan pada anda untuk anak anda membesar secara sihat, cergas dan cerdik malah dengan susu lah segala antibodi disalurkan kepada anak anda.
Bercerai susu (Weaning off) adalah menghentikan penyusuan susu ibu dan menggantikan dengan makanan dan sumber lain secara beransur-ansur.
Kebiasaannya kanak-kanak akan bercerai susu secara sendiri di antara umur 2 hingga 4 tahun.
Sebab-sebab ibu dan anak bercerai susu :
So, berikut adalah cara terbaik untuk anda dan anak anda bercerai susu :
1. Jangan tergesa-gesa.Lakukan secara berperingkat mengikut kesediaan ibu dan anak. Bila berperingkat, dapat mengelak keadaan payudara yang penuh dan sakit, keberangkalian untuk mendapat jangkitan mastitis pun berkurang.
2. Bercerai susu secara tiba-tiba adalah TIDAK digalakkan sama sekali kerana ia boleh menyebabkan masalah kepada ibu dan anak.
Masalah pada ibu contohnya saluran duktus pada payudara ibu boleh tersumbat, payudara menjadi penuh dan sakit serta jangkitan mastitis.
Si kecil pula akan berasa diri mereka tidak disayangi lagi dan mungkin boleh menyebabkan perubahan sikap .
3. Kurangkan kekerapan menyusu atau pam keluar sedikit sahaja susu, jadi ia akan dapat mengurangkan penghasilan susu.
4. Memendekkan tempoh penyusuan. Jika anak menyusu selama 30 minit, kurangkan tempoh tersebut secara beransur-ansur.
5. Don’t offer and don’t refuse. Jangan menawarkan anak dengan susu sekiranya anak tidak meminta untuk disusukan DAN jangan pula menolak jika anak meminta untuk disusukan.
6. Ajar anak minum susu pakai cawan/sippy cup. Letak cawan di meja, dan cakap pada anak, “Adik sekarang dah besar, kena minum susu dalam cawan.”
Mungkin pada awalnya mereka menunjukkan tanda memprotes, tetapi kita perlu tegas, jangan cepat mengalah.
7. Memberi anak secara kerap makanan dan minuman, jadi ia mengurangkan rasa lapar dan dahaga anak seterusnya mengelakkan anak menyusu.
8. Cuba tangguhkan penyusuan. Kalau anak meminta untuk disusukan, alih perhatian dengan mengajak mereka melakukan aktiviti lain.
9. Cuba fahamkan anak kenapa perlu berhenti menyusu. Terangkan pada anak, bahawa dia sudah besar dan bukan lagi baby. Kalau dah besar, nanti nak pegi sekolah tak boleh dah minum susu mama. Baby je yang menyusu. Terangkan apa dan mengapa etc.
Jika langkah-langkah tersebut belum berjaya, maka ibu mestilah faham bahawa anak masih belum bersedia untuk bercerai susu.
Ingat! Proses bercerai susu PERLU lah secara berperingkat, bukannya secara mengejut. Proses bercerai susu bukannya hari ini menyusu dan esok/minggu depan terus stop. BUKAN.
Jika anak anak tiba-tiba rindukan pada menyusu, beritahu mereka bahawa mereka boleh cium dan peluk anda atau berlakon menyusu, tetapi TIDAK boleh lagi menyusu sebab mereka dah besar.
Kata penulis, Khadijah Mohamad Nor, kisah yang dikongsikan ini didedikasikan untuk arwah kakaknya yang berjuang melawan kanser sebaik disahkan hamil tiga bulan.
Hebatnya arwah kakak, dalam disahkan kanser bertekad meneruskan kandungan hingga selamat bayinya dilahirkan. Malah kakaknya yang sentiasa menjaga solat dalam apa jua keadaan dihadiahkan kesempatan olehNya menunaikan umrah biarpun baru dua minggu usai menjalani pembedahan.
Tulisnya,
Hari ini (ketika status ini dimuatnaik) umat Islam di Malaysia dan yang seangkatan dengannya meraikan Hari Raya Aidiladha yang sinonim dengan ibadah korban.
Perayaan ini disambut sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sanggup menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS kerana menurut perintah Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud:
“Daging-daging dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (Keredhaan) Allah, tetapi Ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”.
Berkat keikhlasan Nabi Ibrahim melaksanakan suruhan Penciptanya, maka Allah Yang Maha Baik telah menukarkan seekor kibas yang besar sebagai ganti korban Ismail.
Subhanallah, banyak sebenarnya ibrah yang boleh kita dapati melalui kisah Nabi Ibrahim yang sanggup berkorban apa sahaja demi Tuhan yang dicintai.
Ini termasuklah meninggalkan isteri tersayang, Siti Hajar di padang pasir yang tandus bersendirian bersama anak mereka, Ismail.
Berbicara tentang aspek ini, hatiku terpanggil untuk berkongsi kisah pengorbanan arwah kakak, Siti Annisah Mohamad Nor ketika diuji dengan masalah kesihatan.
Aku dan arwah hanya berbeza jarak setahun. Dia anak kelapan, manakala aku anak kesembilan daripada 14 beradik (7 lelaki dan 7 perempuan).
Allahyarhamah disahkan menghidap penyakit paling digeruni kaum Hawa, kanser payudara pada usia 31 tahun.
Lebih menyedihkan berita itu diterima ketika arwah sedang hamil anak keempatnya pada usia kandungan hampir tiga bulan.
Masih kekal dalam ingatanku pada tarikh 13 Disember 2013 bila mana arwah kakak memaklumkan perkara tersebut kepada kami semua melalui group WhatsApp keluarga.
Allahuakbar, aku yang ketika itu berada di sebuah sekolah di Ampang untuk mendaftarkan persekolahan anak terkedu membaca mesej tersebut.
Secara tiba-tiba air mata mengalir keluar tanpa dipinta.
“Abang, kak Nisah confirm kanser payudara stage 3. Ya Allah, kesiannya dia,” tuturku pada suami di sisi.
Suasana tiba-tiba sepi seketika. Kegembiraan kami untuk mendaftarkan anak terbantut dek berita yang tidak diduga.
Kerana apabila menyebut tentang kanser, sudah terbayang di mataku ia pasti berakhir dengan kematian. Cuma persoalannya cepat atau lambat.
“Ya Allah kepadaMu kami berserah. Kurniakanlah kekuatan pada kakakku menghadapi ujian hidupnya. Selamatkanlah kandungannya,” tulus doa yang kupanjatkan buat kak Nisah dalam hati.
Sebelum arwah membuat pemeriksaan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), dia telah menghidap demam yang on off hampir sebulan.
Ia diikuti dengan rasa lemah-lemah badan selain mempunyai ketulan di bahagian pangkal lengan.
Seminggu selepas keputusan diagnosis diperoleh, kak Nisah memberitahu kami sekeluarga bahawa dia enggan meneruskan rawatan kemoterapi sebaliknya mahu mencuba rawatan alternatif terlebih dahulu.
Tujuannya cuma satu kerana ingin menyelamatkan bayi dalam kandungan.
“Akak bukan tak sayangkan nyawa, tapi siapa tahu baby ini anak perempuan. Lepas ni mesti akak dah tak boleh mengandung lagi,” katanya menjelaskan hasrat hati yang begitu mahukan anak perempuan selepas dikurniakan tiga anak lelaki.
Kami hanya akur mendengar penjelasannya walaupun dalam hati bimbang bagaimana dia akan meneruskan kehamilan di saat berdepan penyakit yang mengancam nyawa itu.
Apa yang pasti, kakak sangat kuat dan tidak pernah berputus asa mencuba pelbagai rawatan alternatif dalam usaha melawan kanser payudara.
Malah, dia dan suaminya, Azwan Abdullah sanggup mengeluarkan wang sehingga RM30,000 semata-mata untuk membeli ubat daripada seorang pakar yang dikatakan mampu menjadi penawar kanser yang dihidapi.
Ketika menziarahinya di rumah mertua, aku melihat deretan ubat yang dibeli itu memenuhi ruang meja makan bersaiz besar.
Daripada ubat jenis tablet, serbuk hinggalah cecair, semuanya ada.
“MasyaAllah..macam mana kak Nisah nak makan ubat ni. Banyaknya,” bisikku sendirian.
Dalam proses ikhtiar untuk pulih, arwah sentiasa berusaha mencari rawatan yang dirasakan sesuai.
Habis wang ringgit, tenaga dan masanya digunakan bagi tujuan tersebut.
Apa yang lebih mengejutkan, sewaktu dimasukkan ke hospital akibat komplikasi kehamilan, kakak begitu tegar untuk tidak memberitahu doktor bahawa dia merupakan pesakit kanser payudara.
“Lecehlah kalau beritahu doktor, nanti macam-macam prosedur pula nak dibuat. Allah ada,” ucap kak Nisah tanpa sebarang riak kebimbangan di wajahnya.
Dengan tubuhnya yang kurus, kami rasa sayu dan hiba melihat keadaannya tetapi kesedihan itu tidak dipamerkan ketika melawatnya.
“Kita semua kena kuat, jangan tunjukkan perasaan sedih depan Nisah. Dia perlukan sokongan kita semua,” nasihat kakakku, Siti Hanim, 45, pada kami adik-beradik.
Berkat doa semua dan kuasa Allah, arwah kakak akhirnya selamat melahirkan bayi perempuan secara normal pada 24 Mac 2014 ketika usia kandungannya tujuh bulan.
Bayi pramatang seberat 1.3 kilogram itu diberi nama Fatimah As-Syifa dan dia menjadi simbol kekuatan kakak sebagai pesakit kanser.
Menurut seorang lagi kakakku, Siti Mariam, 40, dia tidak dapat melupakan saat mendengar perbualan seorang jururawat dengan arwah.
“Payudara sebelah kanan puan dah keras sangat. Bengkak susu ni. Nanti puan tuam dengan tuala panas ye untuk kurangkan bengkak tu,” ucap jururawat tersebut sambil menekan-nekan bahagian payudara arwah yang membengkak.
Pada waktu yang sama arwah membuat mimik muka seolah-olah meminta kak Siti jangan memberitahu perkara sebenar kepadanya.
“Disebabkan tak tahan melihat situasi itu, akak terus lari keluar dari wad dan menangis semahunya,” imbau kak Siti mengenai peristiwa lalu.
Usai tempoh berpantang, kak Nisah tetap enggan mendapatkan rawatan kemoterapi di hospital.
Dia masih setia dengan rawatan alternatif hasil sokongan kumpulan rakan-rakan survivor kanser.
Pernah satu ketika, arwah mengajak abang ipar, Mohd Fauzie dan kakak, Siti Hanim menemaninya ke Kelantan untuk menjalani rawatan alternatif disebabkan suaminya tidak dapat turut serta atas kekangan tugas.
Memandangkan mahu bermusafir jauh, suamiku menawarkan kereta Viosnya untuk digunakan semata-mata mahu kak Nisah berasa selesa.
Bagaimanapun selepas keadaan kesihatannya semakin merosot, kakak akhirnya bersetuju dibawa ke hospital.
Itupun selepas dipujuk mak dan abah.
Sejak itu sekitar Mac 2015, HUKM mula menjadi rumah keduanya.
Kakak berjaya menjalani lapan cycle kemoterapi selain beberapa rawatan radioterapi.
Apa yang sangat kami kagumi, walaupun dalam keadaan menahan sakit dan kurang bermaya, arwah kakak tidak pernah meninggalkan solatnya.
“Dia akan minta bantuan untuk berwuduk dengan cara semburan air.
“Waktu den ratakan air wuduknya, kelihatan wajahnya tenang sekali. Allahurabbi…kuatnya kak Nisah,” jelas adik perempuan bongsu kami, Siti Salbiah, 27, yang sering menemani kakak di hospital termasuk ketika menginap selama tiga minggu di sebuah homestay di Melaka bagi tujuan berubat.
Sepanjang kakak dirawat di hospital, saya akan cuba melawatnya sekerap yang mungkin kerana ia terletak berdekatan dengan pejabat Kosmo di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
“Ijah, nanti tolong belikan akak milo ye kalau datang. Milo dah habis,” antara mesejnya melalui WhatsApp yang masih ku simpan hingga kini.
Pada awal Januari 2016, kakak menjalani pembedahan mastektomi untuk membuang sebelah payudaranya.
Ironinya pembedahan itu dilakukan hanya dua minggu sebelum tarikh arwah dijadualkan menunaikan umrah bersama suaminya.
Dalam keterujaannya untuk ke Tanah Suci, kami sekeluarga yang risau tentang keadaan kesihatannya.
Namun, Subhanallah… kakak berjaya melaksanakan ibadah umrah dengan sempurna.
Wajahnya penuh berseri ketika menghantar gambar berlatarkan Kaabah di group WhatsApp keluarga.
Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan pada Ilahi atas nikmat yang dikurniakan padanya.
Bagaimanapun, sebagai manusia yang telah ditentukan ajalnya, tiada yang mampu menghalang takdir Allah.
Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 145 yang bermaksud:
“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.”
Selepas mengharungi tiga tahun yang penuh dugaan sebagai pesakit kanser payudara, kakak akhirnya dijemput pulang bertemu Ilahi pada hening pagi 15 Oktober 2016, dua hari selepas hari lahirku.
Kali terakhir melawatnya pada 13 Oktober bersama hari Khamis malam Jumaat, arwah sudah tidak mampu berbicara.
Bening matanya seolah-olah mahu berkata sesuatu, namun tidak terluah.
Selesai membacakan surah Yassin buatnya, aku memegang tangan kakak dan mengucup dahinya lama sambil berkata: “Malam esok den datang lagi ye kak Nisah. Den minta maaf atas segala salah silap.”
Entah mengapa, selepas habis kerja keesokan harinya, badan terasa lemah membuatkan niat untuk pulang ke kampung menziarahi kakak seperti yang dijanjikan kepadanya tidak kupenuhi.
“Takpelah abang, esok pagi-pagi la kita balik. Nanti terus lawat kak Nisah. Macam tak larat pula nak balik malam ni,” syorku kepada suami yang kemudian menurut sahaja keputusan itu.
Bagaimanapun, deringan telefon kira-kira pukul 4.30 pagi mengejutkanku dari lena.
“Kak ijah, kak nisah dah takde. Dia meninggal pukul 4 tadi. Abang Azwan baru bagitau,” sayup-sayup suara seorang lagi adikku, Khamsiah mengkhabarkan berita sedih itu.
Ya, ternoktah juga penderitaan kak Nisah di dunia. Apa yang pasti, semangat juang dan ketabahannya berdepan ujian hidup sangat kami kagumi.
Bak kata pepatah, kasih ibu membawa ke Syurga, itulah makna pengorbanan seorang ibu yang sukar dicari ganti.
Begitu juga dengan pengorbanan suami arwah, abang Azwan yang telah melaksanakan tanggungjawab menjaga kakak dan anak-anaknya dengan baik.
Apa tidaknya, sepanjang arwah sakit abang Azwan yang merupakan cinta hati kak Nisah sejak mereka berusia 14 tahun, menguruskan makan pakai dan persekolahan anak-anak.
Kini, walaupun telah berkahwin lain dan dikurniakan seorang anak lelaki bersama isteri barunya, dia tetap akan meluangkan masa membawa anak-anak arwah kakak ke rumah mak dan abah.
Ahmad Atoillah, 12, Mahmud Said Mamduh, 11, Ahmad Zahid, 8, dan Fatimah As-Syifa, 5, kini membesar dengan sempurna.
Dan pastinya Syifa yang mewarisi wajah persis arwah uminya akan sentiasa menjadi lambang ketabahan dan kekuatan seorang wanita bergelar ibu dalam perjuangan melahirkan anak itu ke dunia.
Mohon hadiahkan Al Fatihah buat arwah kakak, Siti Annisah Binti Habibah sebagai bekal buatnya di alam barzakh.
Semoga rohnya berbahagia di sisi Tuhan dan dikurniakan ganjaran syurga tertinggi, Syurga Firdaus asbab pengorbanan yang telah dilakukan. InsyaAllah Amin…
Selamat Hari Raya Aidil Adha 1440H buat semua. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah yang tiada batasan sentiasa memayungi kita hendaknya.
Minggu ini media tular dengan kes keganasan rumah tangga yang melibatkan seorang penjawat awam berusia 39 tahun. Sedih, habis cedera badan dan lebam pada muka yang dipercayai dipukul suaminya%