Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya ingin berkongsi kisah saya yang ingin dimadukan oleh suami dengan alasan saya kurang pandai bergaya.
Serba Sedikit Tentang Saya
Saya seorang isteri dan ibu kepada tiga puteri berusia 11, 13 dan 16 tahun dan dua putera berusia 9 dan 5 tahun. Seorang suri rumah tangga dan saya sendiri yang memilih untuk tidak bekerja selepas melahirkan anak kedua dahulu. Suami seorang akauntan di sebuah syarikat swasta.
Saya bersyukur kerana suami mampu memberikan segala kesenangan untuk saya dan anak-anak. Dek kerana sibuk dengan anak-anak, saya jarang menemaninya keluar ke majlis-majlis anjuran syarikat atau client. Bila ada waktu hujung minggu barulah saya dan anak-anak dibawa keluar oleh suami, berjalan atau menonton wayang.
Hidup saya bahagia walau pun saya sedar hubungan saya dan suami agar renggang. Kami makin jarang bercakap dan kalau bercakap, hanya soal anak-anak. Suami juga sering kali pulang lewat kerana sibuk dengan kerja dan sering juga perlu bertugas di luar daerah sama ada di dalam mahu pun luar negeri.
Perubahan
Saya sebenarnya tidak sedar bila suami mula berubah. Namun bila anak-anak mula lahirkan rasa sedih kerana papa semakin sibuk dan jarang keluar bersama, hati saya mula terdetik. Ya, dah lama juga kami tak keluar bersama.
Hujung minggu suami sibuk dengan kerja dan bermain golf. Hairan juga kerana dulunya dia sibuk juga tapi sekurangnya sehari akan digunakan untuk bersama kami. Kebelakangan ini, dia lebih banyak menyuruh saya keluar dengan anak-anak saja dan memberikan saya wang untuk berbelanja. Puan, memang benar duit itu penting. Tapi saya dan anak-anak juga perlukan perhatian dan kasih sayang suami. Duit yang ditabur pada kami tak mampu buat kami bahagia.
WhatsApp Misteri
Baru-baru ini, saya ada menerima whatsApp daripada seseorang yang tiada nama. Cuma dia menyatakan suami saya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan rakan baiknya. Dia kasihan pada saya yang terlalu baik katanya. Lantas dia membocorkan rahsia itu pada saya. Turut disertakan nombor wanita itu. Hanya Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu namun saya tak cepat melatah.
Saya cuba bersabar melihatkan kelakuan suami. Ya, memang banyak yang mencurigakan. Saya memberanikan diri untuk menghubungi wanita yang dikatakan punya hubungan dengan suami saya itu. Puan, ternyata dengan berani wanita itu mengakuinya. Katanya sudah beberapa bulan mereka bersama dan hubungan mereka serius. Lantas saya memberanikan diri bersemuka dengan suami hari itu juga.
Pengakuan
Dia mengakui dia ada kekasih lain. Yang membuatkan saya rasa sedih, marah dan sakit hati, bila ditanya sebabnya, katanya kekasihnya itu boleh dibawa menemaninya ke majlis-majlis dan pandai bergaya. Puan, luluh hati saya. Teruk sangatkah saya di mata suami? Bukan saya tak nak ikut dia, tapi dia yang tak benarkan. Katanya kasihan pada anak-anak.
Sebagai isteri, saya tetap jaga penampilan di mata suami. Saya kecil molek dan wajah saya kata orang lebih awet muda daripada usia sebenar. Tapi ya, saya tak suka bersolek tebal atau seksi seperti kekasih baru suami yang ditunjukkan sendiri oleh suami, yang berterus terang meminta saya bersedia untuk dimadukan bila-bila masa saja!
Puan, saya sangat sedih tapi saya tak mampu nak kongsikan dengan sesiapa pun termasuk anak-anak dan keluarga. Hanya seorang rakan baik yang tahu kisah saya ini. Apa yang patut saya lakukan? Saya tak sanggup bermadu kasih.
Isteri Tertekan, Perak
SARANAN KAUNSELOR
Wanita yang bergelar isteri sebahagian besarnya akan mencurahkan sepenuh kasih sayang, kesetiaan dan kepercayaan kepada suami dan anak-anak yang Allah kurniakan kepadanya.
Baginya, memadai Allah kurniakan suami yang baik, yang tidak menduakannya dan anak-anak yang baik akhlaknya, mengatasi kekayaan yang diberikan oleh suami. Sekadar ada rumah, kenderaan, wang saku dan keperluan diri dan keluarga yang mencukupi sudah boleh menjadikan seorang isteri bahagia.
Harapan isteri, dengan memberi tumpuan kepada suami dengan memberi layanan yang baik dan mentaati perintah suami, akan mendapat layanan yang baik juga dari suami, khususnya tidak ada wanita lain yang hadir dalam hidupnya.
Namun, Allah memberikan ujian kepada isteri yang baik dengan menjadikan suami punya hati dan cinta wanita lain selain daripada dirinya. Ujian yang Allah berikan itu adalah untuk meningkatkan keimanan isteri. Pun begitu, cara mengendalikan suami punya beberapa alternatif, reda dan terima ketentuan Allah, atau mahu berjuang mempertahankan suami hanya untuk dirinya sahaja.
Mampu ke…?
Persoalan suami mampu atau boleh berlaku adil itu adalah soal kedua. Yang utama adalah Islam mengizinkan suami berkahwin selagi mana dia mampu dan berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Bukan mudah jika dia memikul amanah itu. Semuanya dipersoalkan di hadapan Allah jika dia tidak berlaku adil.
Oleh itu, bukanlah kita sebagai wanita boleh mempertikaikan hukum Allah atau melarang suami dari berkahwin lagi kerana Allah yang cipta hukum itu, maka dia tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Kepada isteri seperti puan yang berhadapan dengan suami yang mahu berkahwin lain, ada tiga pendekatan yang puan boleh pilih.
Pertama, meredai suami berkahwin lagi dan puan kekal sebagai isterinya. Jika ini puan melepasi ujian ini, Masya-Allah, hebatnya puan sebagai isteri solehah yang dijanjikan syurga Allah. Kedua, puan menyebut puan tidak dapat menerima poligami, iaitu dimadukan, maka puan boleh memohon perceraian. Namun ini amatlah dibenci Allah, namun ianya dihalalkan Ketiga puan menolak sekeras-kerasnya wanita itu berkongsi kasih dengan puan.
Pilihan
Saya tidak pasti manakah pilihan yang puan akan ambil tindakan. Pertama buat solat istikharah apakah cara terbaik yang puan akan lakukan. Berdasarkan apa yang puan coretkan dalam kisah ini, saya mengandaikan puan buat pilihan ketiga, iaitu tidak mahu berkongsi suami. Mungkin beberapa pendekatan ini boleh membantu, namun ianya tidak semudah yang dijangka.
Berkemungkinan besar ianya akan gagal, kerana kuatnya dorongan cinta. Namun puan jangan berputus asa. Pertama, puan perlu bersyukur kerana suami adalah orang yang bertanggung jawab terhadap isteri dan anak-anak. Keperluan puan dan keluarga senantiasa dipenuhi. Persepsi terhadap suami perlu positif jika puan mahu memenangi kembali cinta suami.
Puan juga perlu menukar penampilan, sentiasa bergaya khususnya di hadapan suami. Puan sahaja yang tahu apa kegemaran suami. Kedua, jika masih tidak berubah, puan boleh berbincang dengan suami tentang hasrat puan yang tidak mahu dimadukan.
Saja Cari Alasan
Alasan suami puan tidak dibawa ke sana sini kerana kurang penampilan hanyalah alasan seorang lelaki yang mahu mencuba menu dan cita rasa yang lain. Dia akan tetap begitu. Puan teruskan berhias untuknya. Jika tiada perubahan, puan boleh libatkan ahli keluarga yang paling disegani oleh suami, sama ada sebelah suami mahu pun sebelah keluarga puan.
Ketiga, puan perlu berani berjumpa wanita itu bersama ahli keluarga terdekat dan nyatakan bahawa puan tidak mahu dimadukan. Jika wanita itu masih berkeras dan suami juga mahu meneruskan hasratnya, dan puan juga sudah tidak mampu membendung keadaan, maka jangan mudah mengalah.
Cuba alihkan fokus puan kepada perkara lain daripada hanya fokus kepada suami. Jangan megalah kepada “emosi” yang kalah seperti sedih, tidak boleh terima kenyataan suami ada yang lain. Dan pelbagai minda dan perasaan negatif yang hadir dalam diri puan. Saya rasa daripada apa yang puan nyatakan suami ada harta. Jika nampak suami beri beria-ria mahu kahwin, minta dia buat wasiat, iaitu harta tertentu untuk milik puan. Biar puan kalah hati, tetapi menang yang lain.
Alih Fokus
Minta suami izinkan puan menceburi bidang perniagaan atau bidang yang puan minati. Apabila puan aktif dalam bidang ini, maka pemikiran dan perasaan puan akan dikuasai oleh faktor lain yang bukan suami dan hal-hal yang berkaitan dengan dirinya. Maka hati puan akan sedikit tenang.
Ingat bahawa hidup ini bukan hanya untuk seorang lelaki bergelar suami, tetapi kepada ramai manusia, selagi mana ianya tidak menyalahi hukum dan adat. Dan apabila puan kurang fokus kepada suami, secara tidak disedari fokus suami akan beralih kepada puan.
Dalam mengendalikan pendekatan ini, puan perlu bijak dan pastikan puan dalam kedudukan yang kuat khususnya dari segi emosI. Tanda Allah sayang kita, adalah Allah hadirkan ujian untuk kita. Agar kita akan lebih dekat dengan Allah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI