Salah satu pintu yang terbuka luas untuk meraih ganjaran pahala berlipat kali ganda di bulan ramadan daripada Allah Taala adalah melalui amalan bersedekah. Sesungguhnya tangan yang memberi adalah lebih baik daripada yang menerima.
Namun apabila adakah sedekah seseorang itu ikhlas atau tidak, semuanya bergantung pada hati dan hanya Allah Maha Mengetahui. Seperti yang tular sekarang yang mengatakan seorang ustaz sengaja mempertontonkan kebaikannya untuk meraih perhatian.
Sebaiknya ketahui bahawa tak salah tontonkan kebaikan yang kita lakukan kerana sekurang-kurangnya jadi pemangkin dan pengerak kepada orang lain untuk bersama-sama berbuat kebajikan. ‘
Pada suatu hari, aku pergi ke bank atas urusan permindahan sejumlah wang
yang agak besar.
Sebelum aku memasuki bank tersebut aku terlihat ada seorang kakak yang sedang memangku anak yang berusia tiga hingga empat tahun.
Sementara menunggu nombor giliran, aku hanya memandang-mandang dua beranak itu. Mereka peminta sedekah.
Setelah tiba giliran, aku terus ke kaunter dan keluarkan wang dari beg galas. Aku keluar wang yang diikat satu persatu. Aku susun.
“Eh encik! Kenapa bawak duit banyak macam itu saja? Masuk… Masuk ke dalam. Saya uruskan di dalam,” jelas seorang pegawai bank.
Ramai pelanggan lain menyaksikan apa yang diperkatakan oleh pegawai itu. Aku perasan semua memandang ke arah aku.
Aku terus masuk ke dalam.
Ads
Duit Yang Bukan Milik Ku
Setelah selesai urusan aku terus keluar. Memang aku perasan semua orang memandang ke arah aku.
“Eh jangan pandang aku begitu. Duit tu memang aku punya tapi bukan milikku” aku bermonolog.
Ya, duit itu aku kumpul sedikit demi sedikit akan aku gunakan untuk membina rumah anak-anak yatim. Projek aku yang sudah lama terbengkalai. Itu impian sebelum nafas terakhirku.
Semasa aku membuka pintu bank tersebut aku terdengar satu perbualan.
“Derma sikit seringgit dua, puan. Saya hendak beli susu anak ini,” ujar kakak peminta sedekah kepada seorang wanita.
Wanita tersebut juga baru keluar dari bank.
“Eh apa ini! Jangan minta sedekah dekat sini. Nak minta sedekah saja kerja. Bukan tak boleh buat kerja untuk tanggung anak pun. Pergi tempat lain,” balas wanita berbaju biru, berumur dalam lingkungan 40-an – garang, tegas.
Wakil Bersedekah
Aku hanya perhatikan gerak-geri mereka. Wanita itu berlalu pergi. Lalu aku dekati kakak peminta sedekah.
“Akak, ambil ini. Saya sedekah wakil untuk kakak baju biru tadi,” ujarku dengan suara yang kuat tujuan untuk didengari wanita tersebut.
Ads
Aku lihat wanita itu datang kembali menghampiri aku. Masak kali ni.
“Eh encik! Encik ini hendak perli saya ke? Jangan hendak menunjuk sangat ada duit banyak tadi.” Terus aku disapa wanita itu.
Memang sebenarnya aku hendak sakitkan hati wanita itu. Geram juga.
“Maaf akak. Kalau tak hendak bagi sedekah tidak perlulah hendak marah dia. Duit saya dapat kumpul semua duit itu pun sebab saya selalu sedekah. Rezeki kita murah. Dapat duit banyak itu pun untuk kebajikan bukan untuk saya.”
“Awak tengok itu. Semua orang dalam bank tu nampak. Konon buat baik. Malulah saya sebab awak buat begini,” sambung wanita itu lagi.
“Tak mengapa kak. Nanti akak perhatikan dari jauh apa akan berlaku di sini. Maaf saya terpaksa pergi.”
Orang Lain Turut Bersedekah
Aku terus pergi kerana tak mahu panjangkan pertengkaran. Aku masuk kereta yang diparkir berhampiran dengan bank.
Aku sendiri menunggu dan perhatikan apa wanita itu lakukan. Kelihatan dia tak pergi jauh dan membelek-belek telefon. Ber‘WhatApps’ gamaknya.
Ya, aku lihat setiap orang yang berurusan dalam bank itu akan menghulurkan sedekah kepada peminta sedekah itu. Satu-persatu aku lihat. Aku pasti wanita itu sendiri perhatikan apa yang berlaku.
Ads
Aku sendiri pun tak menyangka. Setelah kejadian pertengkaran aku dan wanita itu, semua orang hendak bersedekah. Mesej sampai.
Niat Sedekah Atau Menunjuk-nunjuk
Setelah kejadian itu berlaku, seperti biasa aku temui ayahanda untuk bertanya tindakan aku itu betul atau tidak. Tak dapat pahala kerana niat sedekah ingin menunjuk-nunjuk atau sebaliknya.
Ayahanda aku kongsikan satu hadis Rasulullah SAW dari Abi Masu’d Uqbah bin Amrin Al-Ansory al Adawyyi, Rasulullan SAW bersabda:
“Barangsiapa menunjukkan kepada kebaikan maka baginya pahala yang sama dengan orang yang melakukannya.”
Aku terus mengerti apa yang ayahanda aku sampaikan. Alhamdulillah aku faham.
Ebit Lew Pemangkin Orang Sedekah
Seperti mana kita tahu, sekarang banyak isu yang diperkatakan tentang Ustaz Ebit Lew. Ramai yang menyerang beliau. Mereka kata Ustaz Ebit Lew buat kebajikan untuk menunjuk-nunjuk, nak buat kebajikan tapi merakam video untuk dipertontonkan. Mereka pertikaikan keikhlasan beliau.
Niat Ustaz Ebit Lew untuk menyedarkan kita supaya berbuat baik seperti beliau. Ia sebagai pemangkin dan penggerak hati-hati kita untuk buat kebajikan.
Di sini aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan kepada semua esok ya.
Dr Zek
MW: Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua dan sedar bahawa betapa besarnya ganjaran pahala dalam bersedekah. Apatah lagi jika kebaikan yang kita lakukan menjadi ikutan orang lain.
Hidup adalah rentetan masalah yang tak akan pernah selesai. Berpuluh tahun kita dihempas ujian, letih, sedih, risau, takut dan sakit.
Sakit jasmani, sakit hati, sakit emosi, sakit akal berhadapan dengan pelbagai karenah manusia. Namun begitu Allah SWT memberi harapan pada yang menderita, letih dan risau:
“Cubaan akan menimpa mukmin dan mukminah, pada dirinya, anaknya, hartanya sehingga dia bertemu dengan Allah tanpa dosa sedikit pun.” (Hadis sahih Sunan Al-Tirmizi).
Ikuti perkongsian daripada Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam, juga penulis ruangan KELUARGA SAKINAH di dalam MAJALAH MINGGUAN WANITA.
Luar Jangkaan
Siapa sangka lelaki yang begitu sempurna menyayangi tiba-tiba menjadi amat menyakitkan isterinya. Tiada siapa tahu wanita yang pendiam dan taat akan berubah menjadi pengkhianat.
Anak yang kita doakan dan beri kehidupan mungkin akan tinggalkan kita tua sendirian, sakit, mati dalam rindu dendam. Harta dan pangkat yang kita jaga dan simpan demi waktu susah, akhirnya membuat kita tak percaya pada teman, saudara, keluarga. Kerana ada jenis manusia yang berperangai udang di sebalik batu, rupa-rupanya mengharap ‘sesuatu’ bila tak dilayan dia pun tak mahu berkawan.
Apabila garis takdir kita bermula daripada kemiskinan ,sesekali kita meraung kenapa aku yang dipilih. Terpaksa perut dihiris lapar, hati juga dihiris rasa malu dihina orang.
Beza Bahagia Dan Sedih
Berbicara tentang kesedihan dan kebahagiaan, bagai saudara kembar yang kadang tak mampu kita fahami perbezaan keduanya. Ada anak kita rasa susah tak ada anak pun susah, ada pasangan susah tak ada pun susah, bila kaya susah tak kaya pun susah, bila terkenal susah tidakpun susah.
Oh lemahnya manusia yang serba tidak sempurna, Maha Suci Allah dari sifat ketidaksempurnaan. Diciptakan kita yang lemah ini supaya kita bergantung pada Allah Yang Maha sempurna!
Jadi, akurlah apapun yang terjadi pada diri kita hari ini, esok dan selama-lamanya kita terima garis takdir kita sebagai sahabat!
Jangan Lari Daripada Masalah
Nak lari kemanapun masalah pasti mengejar kita, mahu tak mahu kena hadapinya. Kalau anda pilih menyerah padanlah muka terima segala derita, tetapi jika anda sudah berusaha setidak-tidaknya anda tidak menyesal bila tak berjaya. Seandainya suami anda bercinta dengan bekas teman sekolah, bagaimana anda menerima takdir ini?
Merajuk dan mengamuk kemudian anda berlagak suci sendiri dan sibuk dengan Tuhan? Silap, anda bukan memecahkan masalah tapi membiarkan ia semakin besar!
Buruk Bertukar Baik
Ikhtiarlah guna akal fikiran, belajar mencari punca masalah, bersemuka dengan suami jangan lari, berbincang sebagai manusia yang beriman, dapatkan bantuan kaunselor, orang alim yang amanah. Jika proses ini berjalan dengan baik tak satupun tertinggal dan anda sentiasa dalam keadaan positif tidak mustahil keburukan akan berubah menjadi kebaikan.
Tetapi jika takdir Allah menentukan suami bukan jodoh anda setelah bersusah payah berjuang, setidak-tidaknya anda berpuas hati dengan pencapaian terbaik yang Allah putuskan. Allah tetap membalas usaha baik itu dengan pahala. Usaha menyelamatkan perkahwinan adalah jihad, menang atau gagal bukan urusan kita, ia kuasa Allah! Jangan lari dari medan perang, sungguh ia ladang pahala anda, ikhtiarlah sampai habis kudrat dan biarkan Allah penentunya.
Bertenang, Berdialog Dengan Suara-Suara Positif
Kenapa Allah datangkan ujian? Sebab ia syarat masuk syurga, disamping itu ia mengajar manusia mengenal kelemahan dirinya, belajar bersabar, belajar akur dan taat pada Allah walau apa jua rintangan sekalipun. Beginilah cara kita berdiaolog dengan hati kemudian kita cuba berdialog dengan buku, dengan ulama bijak pandai, dengan Al-Quran, dengan hadis, dengan doa-doa kepada Allah. Berdialoglah, berfikir positif, kawal diri jangan biarkan orang-orang yang negatif mengawal diri anda. Allah berfirman: “Pada diri kalian sendiri, apakah kamu tidak memperhatikan?” (Surah al-Zariyat ayat: 21)
Mungkin selama ini kita tak kenal diri kita sendiri, tetapi apabila ada masalah datang baru kita belajar memahami emosi. Nikmatilah setiap tangisan yang anda tumpahkan, nikmatilah kesedihan dengan indah iaitu menghadirkan sangka baik pada Allah, hanya sangka baik saja yang dapat menekan luapan marah. Segala tentang takdir Allah adalah baik, kita hanya dipersilakan mengutip pahala di sepanjang jalan ini sampai akhirnya mendapat kepuasan hati yang reda bertemu Allah SWT.
Betapa kita telah lama terluka oleh ujian dan musibah dalam perjalanan penjang menuju kematian, masihkah lagi kita mengeluh oh anakku menyakitiku, suamiku mengkhianatiku, hartaku menyusahkanku, pekerjaanku membebankanku? Ya Allah jadikanlah kami bersahabat dengan takdir-Mu!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ustaz Khairul Anuar Basri ditanyakan soalan menjaga solat. Mengapa hidup individu ini tetap juga susah, hati tidak tenang dengan sikap suami dan anak-anak. Biarpun dirinya seorang yang cukup menjaga solatnya dalam hidup.
Bagi seseorang yang beragama Islam. Solat itu adalah wajib bagi muslim yang baligh dan berakal. Jika dapat dilakukan di awal waktu, tentunya lebih indah lagi.
Apabila ada pertanyaan sebegitu, Ustaz memberikan penjelasan akan hakikat solat dan juga ujian kehidupan.
Saya Menjaga Solat, Tetap Juga Hidup Susah
“Ustaz…. Ustaz cakap orang yang jaga solat tu orang yang berjaya.
Tapi kenapa saya jaga solat, hidup saya susah? Suami saya pemalas dan tak bertanggungjawab. Anak-anak saya tak pandai, degil dan tak dengar cakap.
Memang betul, ada orang yang hidupnya begini. Bahkan seringkali juga kita tengok orang yang tak jaga solat – bahkan tak solat pun – hidupnya jauh lebih baik dan cemerlang.
Kita kena ingat. Solat ini kewajipan kita sebagai hamba Allah. Soal balasan tidak timbul sama sekali sebab kewajipan adalah kewajipan. Solat tetap kena laksanakan walau dalam keadaan apa sekalipun.
Tapi janji Allah bagi orang yang solat dan jaga solat pun tak boleh dipandang enteng jugak. Allah bila berjanji, tetap akan ditunaikan. Allah tidak sesekali akan memungkiri janjiNya. Itu kita kena yakin.
Manusia tak sunyi dari ujian. Setiap manusia akan diuji dengan ujian yang berbeza-beza. Di saat kita melihat orang lain hidup senang, kita tak tahu ujian apa yang Allah timpakan kepadanya. Di saat kita merasa hidup orang lain lebih baik, kita tak tahu mungkin hakikat hidupnya lebih porak peranda daripada kita. Maka bersyukur dan bersabarlah.
Allah tidak akan menguji manusia sesuatu yang dia tidak mampu untuk memikulnya. Setiap kali diuji, ingatlah bahawa Allah nak beri sesuatu yang lebih baik di hujung cerita. Tak kiralah sama ada di dunia atau akhirat. Pasti pengakhirannya akan jadi baik dan mulia. Dapat kebaikan, pahala atau syurga.
Solat itu selain kewajipan, ia cara untuk kita dekatkan diri dengan Allah. Allah pun sebut supaya kita dirikan solat untuk ingat padaNya. Masa kita senang kita jaga solat. Masa kita susah pun kita kena jaga solat.
Semakin susah hidup kita, semakin tinggi sepatutnya tumpuan kita pada solat. Sebab Allah pun ajar kita untuk minta tolong denganNya dengan cara bersabar dan bersolat. Itu sebaik-baik cara meminta tolong.
Solat kena sabar. Sabar juga kena solat. 2 benda ni saling berkaitan dan saling bergantungan. Bila kita cakap sabar, maka sabar memerlukan masa. Rasulullah sendiri dalam banyak keadaan, tetap taat bersolat dan bersabar walaupun dalam kesusahan dan pertolongan dari Allah belum menjelang tiba.
Banyak kisah yang kita dengar dan baca, bagaimana seorang isteri yang bersabar dan tetap setia berdoa selepas setiap kali solat untuk kebahagiaan suaminya, akhir sekali suaminya berubah menjadi manusia yang lebih baik.
Tidak kurang pula kisah yang kita tahu, bagaimana seorang ibu yang bersabar dengan karenah anak-anaknya dan bangun malam untuk bersolat, bermunajat dan berdoa kepada Allah agar anak-anaknya sentiasa dijaga oleh Allah, akhirnya anak-anaknya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Kejayaan bagi orang yang solat dan jaga solat ni hakikatnya bukanlah kejayaan di dunia. Tapi kejayaan itu adalah kejayaan di akhirat. Itulah juga matlamat semua orang, nak berjaya di akhirat. Kalau dapat kejayaan sekali dengan di dunia, maka itu dah kira bonus la.
Jangan sesekali tertipu dengan situasi orang yang tak solat pun hidup senang dan berjaya. Kejayaan sebegitu adalah kejayaan yang menipu. Hidup mereka jauh dari Allah dan di akhirat nanti mereka pasti akan merana dan menyesal.
Jangan sesekali kecewa dan putus asa kalau kita jaga solat dan kita diuji dengan macam-macam ujian dunia. Itu tandanya Allah nak bagi kita pahala yang banyak. Di akhirat nanti mata kita akan terbeliak melihat banyaknya pahala yang kita ada hasil daripada ketaatan kita kepada Allah walaupun dalam kesusahan dan kepayahan hidup.
Orang yang jaga solat ialah orang yang ingat Allah. Orang yang ingat Allah, Allah pasti akan ingat dia. Orang yang tak solat ialah orang yang tak ingat Allah. Orang yang tak ingat Allah, Allah pasti akan lupakan dia.
#KAB
Mingguan Wanita :Selagi masih bernyawa semoga terus istiqamah dalam menjaga solat.
Hebatnya penciptaan dan kejadian manusia. Tiap daripada kita, dilahirkan dengan kehebatan dan kekuatan masing-masing.
Tidak berapa lama dahulu saya berpeluang berceramah kepada para jururawat perbidanan seluruh Negeri Sembilan. Kesempatan seumpama ini memang saya nanti-nantikan. Lantas saya bertanya kepada mereka tiga soalan yang saya simpan sekian lama.
Hebatnya, Saksikan Kelahiran Bayi
Maklumlah, merekalah saksi yang paling autoritatif kalau anda ingin tahu tentang kelahiran seorang bayi. Mereka telah menyambut entah berapa ramai bayi yang lahir ke muka bumi ini. Bayi tersebut telah pun menjadi ayah sehinggalah anak-anak mereka.
Soalan pertama saya, adakah ada atau tidak bayi yang dilahirkan ke muka bumi ini ‘ketawa’? Spontan saya terima jawapan yang seragam, “Tiada, mereka menangis”. Soalan kedua, menangis kuat atau perlahan? “Kuat”, kata mereka.
Kalau perlahan atau tidak menangis langsung, bayi tersebut merupakan bayi yang bermasalah, mental retarded, moron dan yang sewaktu dengannya. Soalan ketiga saya, bayi tersebut lahir disebabkan oleh ibunya push atau lahir atas kekuatannya sendiri! Jawapannya menakjubkan, iaitu lahir ‘atas kekuatan sendiri’.
Maka benarlah ayat Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia itu dalam sebaik-baik kejadian” (Surah al- Tiin : ayat 4)
Dengan perkataan lain, setiap kejadian insan ciptaan Allah SWT itu memiliki kehebatan dan kekuatan tersendiri serta mampu melakukan apa sahaja dengan izin Allah SWT. Kalau sudah hebat, tentunya tiada elemen-elemen yang berunsur negatif dalam kehidupan yang dijanjikan penuh dengan kejayan ini. Seperti mana ketika kita dilahirkan dahulu, kita diazan dengan lafaz al-falah (kejayaan).
Sebagai insan muslim mukmin, kita harus meletakkan sepenuh kepercayaan tentang janji Allah ini. Kalau bersungguh-sungguh, seseorang pasti akan berjaya. Pelajar yang rajin dan berusaha dengan gigih serta penuh komitmen, pasti dapat mencapai target. Ibu bapa yang prihatin dan bertanggungjawab tidak akan mudah kecewa, anak-anak akan berjaya dan rumah tangga akan bahagia. Yang penting, individu mesti mengekalkan diri dalam keadaan yang positif.
Hebatnya Bila Sentiasa bersikap positif
Cuba kita merujuk kepada peristiwa bagaimana malaikat Jibril a.s. mengajar Rasulullah s.a.w. Apabila Jibril a.s. menyebut, “Iqra’ ya Muhammad” (Bacalah wahai Muhammad). Lantas Rasulullah menjawab, “Aku tak tahu baca.” Malaikat Jibril a.s. terus dengan sikap positif menyeru Rasulullah membaca.
Pada kali ketiga, malaikat Jibril a.s. meminta Rasulullah SAW membaca sambil memeluk Rasulullah dengan erat serta penuh kasih sayang, maka fasih lidah Rasulullah membaca ayat-ayat dari surah al-‘Alaq yang diwahyukan ketika itu.
Pengajaran yang boleh kita ambil daripada peristiwa ini ialah sikap positif yang berterusan mampu memberikan kekuatan dan keyakinan diri untuk bertindak. Jadi apa tunggu lagi! Kita tidak seharusnya selalu melihat kelemahan sebagai halangan untuk berjaya. Sebaliknya, tumpuan kepada aspek-aspek positif dan kebolehan diri merupakan kunci utama menzahirkan peluang untuk terus berjaya.
Hebatnya Minda Kita, Bertindak Cemerlang Bila Kita Positif
Minda individu akan berfungsi dan bertindak cemerlang apabila individu itu berada dalam keadaan positif. Begitulah pandangan pakar bio-psikologi. Sekiranya individu negatif, tenaga elektromagnetik tidak dapat mengalir dengan baik, lantas tidak dapat membuka sumber daya yang dapat menggerakkan anggota tubuh pada kadar sewajarnya. Sebaliknya, fikiran positif boleh membuka ruang yang besar kepada pergerakan sumber daya ke tahap yang lebih besar.
Individu menjadi lebih bertenaga dan seimbang dari segi fikiran, emosi, tingkah laku dan rohani. Wujudlah ketenangan, keceriaan dan seronok dalam melakukan aktiviti yang akhirnya mencipta kecemerlangan dan kebahagiaan.
Tiga Prinsip kejayaan
Tiga prinsip untuk berjaya ialah pertama, pasang niat (attune your mind). Kedua, fokus (concentrate) atau khusyuk dalam bahasa ibadahnya, iaitu melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan penuh komited. Ketiga, buat sesuatu itu, selain untuk diri sendiri, lakukan juga untuk orang lain (do forother) atau berjemaah dalam bahasa ibadahnya iaitu kerja sepasukan (teamwork). Kerangka kerja yang bermatlamatkan kejayaan adalah menepati konsep bekerja sebagai satu ibadah.
Jadinya, setiap apa yang kita lakukan sekiranya berencana dan bermotifkan kejayaan, sebenarnya telah menepati ciri-ciri ibadah. Kalau ibadah maksudnya apa yang kita lakukan ini hanya sekadar untuk membenarkan ayat-ayat Allah SWT bahawa semua manusia diciptakan dengan potensi dan kehebatan tersendiri. Bukankah itu bermakna kita sebenarnya mencari keredaan Allah SWT?
Sumber: Dr. Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psiologi
Ibu tiga anak digilis lori simen ketika berhenti di lampu isyarat, kegagalan brek jadi punca. Seorang anggota penjara yang juga ibu kepada tiga anak,...