Dalam hubungan perkahwinan, perkara yang paling penting adalah komunikasi di antara suami isteri. Isteri lebih tahu perangan suaminya berbanding orang lain, hatta ibunya sendiri. Namun seringkali tak ramai isteri yang sanggup berterus terang perangai suami, sebab nak jaga hati dan tak nak buat suami terasa. Sekaligus tidak mahu mengeruhkan keadaan dalam rumahtangga.
Kalau setiap hari isteri berterus-terang, maka ramai suami yang akan TERASA. Sebab apa yang keluar dari mulut dia tu adalah fakta, hakikat, realiti.
Dia bercakap tentang apa yang dia lalui, apa yang dia rasa, apa yang dia nampak, apa yang dia hadap semasa hidup dengan kita.
Tapi, tak ramai isteri yang sanggup berterus terang depan suami sebab nak jaga hati dan perasaan suami. Tak nak suami terasa, tak nak suami jauh hati, tak nak suami pulaukan dan abaikan dia untuk apa yang suami dengar dari mulut dia.
Banyak ja perangai kita sebagai suami yang tak digemari isteri. Isteri tak suka kita buat macam tu, macam ni.. Cuma dia tak cakap depan-depan.
Tak Nak Keruhkan Hubungan
Dia cakap berlapik, dia cakap berkias. Orang perempuan dalam hubungan ni, dia lebih fikir bab tak nak buat sesuatu yang boleh menjejaskan hubungan, yang boleh mengeruhkan keadaan.
Kalau kita suami pun ada pemikiran yang sama, insyaAllah, bahagia rumahtangga…kalau kita nak isteri berterus-terang cakap kat kita tentang diri kita, maka kita kena terbuka untuk terima dan bermuhasabah.
Ads
Kalau kita ego, maka kita akan MARAH dengan setiap luahan isteri sebab kita tak boleh terima yang itulah sebenarnya DIRI KITA sendiri.
Mingguan Wanita: Ada benarnya perkongsian ini. Setiap perangai suami, hanya isteri yang benar-benar faham dan lebih mengetahui. Banyak sebenarnya perangai suami yang isteri pendamkan sahaja, demi nak jaga hati dan tak nak buat suami terasa.
Tuduh isteri mengada-ngada bila moody & beremosi, suami tolonglah faham! Rendahkan sikit ego. Sebagai seorang suami janganlah terlalu ikutkan perasaan.
Hormatilah isteri orang yang paling anda sayangi. Jangan sakiti hari mereka.
Kadang tu dek kerana terlalu penat bekerja dan menguruskan rumah tangga, emosi wanita kurang stabil. Fahamilah mereka, jangan biarkan isteri terus moody dan beremosi.
Para suami rendahkanlah ego dan jangan ikutkan perasaan. Layanlah permaisuri kamu dengan sebaiknya.
Tip dari Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah ini sangat berguna. Praktikanlah dalam rumah tangga ya!
“Aku ni suami. Takkan aku nak pergi minta maaf pula. Patutnya dialah minta maaf dengan aku. Nak emo tak tentu pasal, mengada-ngada. Buat penat je aku melayan semua ni.”
Selalu ada bisik hati berbunyi begini dalam hati suami.
Setiap kali pertengkaran, isteri salah.
Setiap kali jadi masalah, isteri jadi punca.
Setiap kali ada benda tak kena, isteri yang tak pandai jaga.
Habis tu, suami pula macamana?
Semua nampak betul sahaja.
Walhal, suami pemimpin rumahtangga. Segala keputusan dan tindakan suami kena pimpin dan atur.
Tok Abah tak kata semua para suami yang bermasalah.
Tidak sama sekali.
Namun sebilangan besar, inilah yang berlaku.
Tok Abah melihat kepada ratusan kes yang Tok Abah temui dari dahulu sehingga ke hari ini, banyak rumahtangga yang berat sebelah.
Kerana apa?
Isteri banyak masam muka, moody, beremosi dan buat perangai, maka ditudingnya jari kata isteri yang mengada-ngada.
Para suami, tak mahu sedikit pun turunkan ego dan duduk sama rendah dengan isteri.
Suami yang bijak, dia takkan pandang besar pada salah isterinya sahaja. Setiap kali berlaku masalah, dia akan tuding jari ke diri sendiri dahulu.
Mencari mana kelemahan dan masalah yang perlu dia perbaiki.
Kerana dia tahu, dia pemimpin dan perlu dia yang jadi penyelesaian kepada semua hal ini.
Sungguhpun jika para isteri itu salah, kalian tidak menghukum tetapi didik, bimbing dan bentuklah isteri menjadi lebih solehah dan sempurna di mata kalian,” Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah.
Mingguan Wanita : Suami sesekali kucuplah dahi isteri berikanlah semangat buat permaisuri hatimu.
Sedih tapi itulah realiti sekarang yang banyak terjadi apabila semakin banyak kes perceraian suami isteri golongan berusia melibatkan orang ketiga. Lebih dikesalkan masing-masing merupakan isteri mahupun suami orang. Tidak menjaga batasan hubungan di media sosial antara puncanya.
Sedih tapi itulah realitinya. Perceraian di kalangan suami isteri 40’an, 50’an malah 60’an angkara orang ketiga semakin banyak terjadi. Puncanya: Selingkuh – mencintai atau dicintai isteri atau suami orang.
Hubungan haram itu selalunya bermula daripada perbualan di wasap, messenger dan lain-lain media sosial, yang mulanya sekali-sekala, kemudian makin akrab.
Hubungan tercela itu berpunca daripada program re-union (sekolah, IPT, TADIKA) , teman sepejabat, kumpulan sehobi (bela kucing, bertanam pokok dan lain-lain) atau kumpulan berniaga bersama.
Pada awalnya memang perbualan santai, tidak ada apa-apa, kemulian meleret-leret sehingga mesra, bercinta, bertemu dan zina.
Ingatlah, wahai suami orang, haram menghubungi isteri orang dengan tujuan bersuka-suka (kononnya hanya untuk berbual bertanya khabar). Wahai isteri orang, adalah tercela melayan lelaki selain suami mu walaupun atas alasan bekas teman rapat, sahabat akrab atau kenalan lama.
Daripada perbualan santai, akhirnya menjadi satu kenikmatan, terus jadi ketagihan. Datang pula rasa kosong bila tidak berhubung Awas, pada ketika itu pintu kecurangan sudah terbuka.
Jika ada lelaki lain di hati Sang isteri, jika ada wanita bersuami di hati Sang suami, terkutuklah perbuatan itu… kau akan menempa neraka. Sepandai-pandai bersembunyi, dosa itu akan terbalas jua!
Saya menyentuh isu selingkuh sebab ia paling banyak berlaku. Bukan sahaja pada pasangan muda, tetapi juga yang sudah berusia. Bukan sahaja yang jahil, tetapi yang kelihatannya beragama – berjubah, bertudung labuh dan berlatar belakang agama.
Kepada kaum suami, kita pesankan jagalah maruah isteri orang lain. Menaruh hati kepada isteri orang ialah satu penyakit hati. Kemesraan dan keprihatinan perlu diberi kepada isteri sendiri.
Kepada kaum isteri, jagalah maruah mu. Di mana kau letak rasa malu mu? Hingga tergamak kau habiskan masa berceloteh, mengadu, bercanda akhirnya bermesra dengan membelakangkan suami mu yang halal?
Jangan berhujah yang engkau tidak tahu, tidak ada apa-apa, hanya saja-saja, sedangkan hati kecil mu telah pun membisikkan bahawa semua itu salah kerana menentang fitrah dan mengundang fitnah.
Sekali pasangan mu terluka, bukan mudah untuk disembuhkan apalagi dimaafkan serta dilupakan. Kau telah berlaku zalim kepadanya. Kau telah mengkhianati kepercayaannya.
Jangan sekali-kali beralasan, kesunyian, pasangan tidak pandai membelai, tidak empati, tidak cantik, hilang aura dan sebagainya. Itu semua madah syaitan.
Percayalah, kemanisan yang kau cicipi dalam sembunyi pasti terbongkar jika tidak di dunia, pasti di Padang Mahsyar. Di sana kau akan merangkak memohon belas kasihan pasangan mu…dengan penuh hina dan kasihan mohon keampunan.
Saya pernah bertemu seorang lelaki separuh umur menangis teresak-esak selepas solat Dhuha di sebuah masjid. Bila saya dekati dan bertanya mengapa?
Dia menjawab, “Saya sangat sedih, isteri saya meninggalkannya kami anak beranak selepas kembali bercinta dengan kekasih lamanya zaman sekolah.” Puncanya, perbualan biasa selepas re-union sekolah.
Saya pernah bertemu seorang sahabat (ustaz) yang berada dalam dilema bila bekas kekasih lama muncul kembali menagih cinta lama yang masih membara(baca: old fire).
Cinta mereka terpisah kerana dihalang ibu-bapa. Dia berkata, “kami terlalu mencintai.”
Saya memujuknya dengan berkata, “dia ada suami. Ustaz ada isteri. Anak masing-masing pun berderet. Hendak diapakan cinta itu?”
Bila dia memberi pelbagai alasan, saya terus menegaskan, “cinta bukan Tuhan. Hingga segala kehendaknya perlu diturutkan.” Bagaimana bertemu kembali? Lewat FB.
Saya pernah menghadapi seorang suami yang begitu terluka apabila mengetahui isterinya yang begitu disayanginya punya hubungan dengan lelaki lain.
Bila saya bertanya, sejauh mana perhubungan itu, dia menjawab, “belum ada hubungan badan, dating dan sebagainya. Tetapi mereka saling meluahkan perasaan, bertukar-tukar gambar dan berkongsi cerita masa lalu dan kini.”
Bila saya katakan tidak mengapa, kerana belum serius. Suami itu menjawab, “tetapi saya tidak sangka sama sekali isteri saya sanggup melayan hingga begitu sekali. Saya bertungkus lumus mencari rezeki, dia bersuka-suka, bergurau dan bercanda dengan lelaki lain.”
Masih cinta? Tanya saya. Bila dia mengiyakan saya pun berkata, “maafkan, jangan berdendam. Jika boleh belajar melupakan. Jika melupakan terlalu sukar, tidak mengapa. Tetapi jangan sampai itu semua mempengaruhi perjalanan rumah tangga selepas ini. Move on!” Pertemuan, lewat aplikasi messenger.
Ketika menjalankan program-program latihan lebih 24 tahun pada organisasi swasta dan kerajaan, banyak sekali saya temui kes selingkuh sesama rakan sekerja yang melibatkan isteri dan suami orang.
Saya melihat sendiri justifikasi Rasulullah SAW berpesan tentang hal ini pada khutbah baginda yang terakhir. Pada hal ketika itu, Islam sudah sampai ke kemuncaknya dan bibit-bibit empayar Islam sudah kelihatan.
Namun pesan Rasululllah SAW kembali kepada basic – soal asas dan teras – soal rumah tangga. Suami diingatkan, tentang kewajiban memberi nafkah, memberi kasih sayang, berlembut dan melayan isteri dengan baik. Bertanggung jawab.
Manakala isteri, dipesan dua perkara: Jangan membawa masuk orang yang tidak disukai suaminya ke dalam rumah dan dilarang melakukan zina! Jaga ikhtilat.
Hancur rumah tangga, hancur ummah. Justeru, kamu yang terbaik ialah kamu yang terbaik kepada keluarganya, begitu wasiat Rasululllah SAW.
Semasa forum Maulidur Rasul di PPUM baru-baru ini, Dai Anas (yang menjadi moderator) juga meluahkan kebimbangannya tentang kes-kes selingkuh yang semakin meningkat.
Menurutnya, itu yang dinyatakan oleh seorang pakar kaunseling yabg tersohor Tanah Air – Haji Husyim yang banyak berdepan dengan kes-kes perceraian angkara orang ketiga. Puncanya, ikhtilat di dalam sosial media!
Marilah kita berdoa, yang terlanjur silap, kembali bertaubat. Yang masih degil, menyedari kesalahan dan terus istighfar. Ya Allah, kerana cinta ku katakan jua hakikat yang pahit ini. ‘Auzubillah.
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Memang cukup membimbangkan apabila kes curang melibatkan orang ketiga semakin meningkat. Bukan sahaja orang muda namun golongan berusia juga tidak terkecuali. Semoga kita mengambil pengajaran dan nasihat yang dikongsikan ni, jagalah batas perhubungan di media sosial yang boleh menjadi punca bibit selingkuh.
Jika bukan isteri menghulur, maka semua dalam rumah kebulur. Nasib isteri lebih teruk dari seorang hamba! Allahu Akhbar, jauhkanlah nasib seorang wanita bergelar isteri yang diperlakukan seperti hamba dalam bahtera yang dibina.
Hari ini ramai wanita yang berada dalam dilema. Mana tidaknya, rumah tangga yang dibina bersama insan disayangi terpaksa diharungi dengan penuh penderitaan.
Ada yang akui suaminya baik namun dari segi nafkah perbelanjaan harian golongan isteri yang lebih banyak menghulur.
Penulisan penuh bermakna dan perkongsian manfaat dari Puan Sharifah Zahidah menerusi akaun Facebooknya membuka mata para wanita di luar sana terutama mereka yang masih belum bertemu jodoh agar mencari seorang calon suami yang baik dan bertanggungjawab.
Janganlah hanya mencari lelaki yang baik saja ya, carilah lelaki yang bertanggungjawab. Mudah dan ringkas saja namun hal nafkah biasanya selalu terlepas pandang.
“Ramai wanita berdepan dengan kebuntuan apabila diuji dengan suami yang ‘tidak kecil baiknya, tetapi tidak besar pula jahatnya.’ Ini adalah dilema yang paling banyak wanita hadapi. Teruskan membaca.
Suaminya bukan orang jahat.
Tidak mencaci maki.
Tidak memukul.
Tidak panas baran.
Tidak kaki perempuan, kaki botol atau kaki dadah.
Bahkan ada juga baiknya.
Sesekali atau kerap kali berjemaah di masjid.
Selalu ikut aktiviti-aktiviti agama.
Rajin main dengan anak-anak.
Hormat orang tua.
Suka meneman isteri ke sana ke mari.
Tetapi….
Segala beban nafkah diletakkan di pundak sang isteri.
Kereta rosak isteri kena pergi baiki dan keluarkan wangnya untuk kereta sendiri termasuk kereta suami.
Yuran sekolah anak-anak 100% ditanggung isteri. Suami menambah RM100 setahun sekali.
Yuran pengasuh anak juga sama.
Apatah lagi susu, pampers, baju dan alat pendidikan untuk anak-anak. Semuanya di bahu isteri. Si suami sekadar jadi tukang bawa pergi membeli, tetapi beban kewangan semua di bahu isteri.
Ikan, sayur, beras, minyak, rempah ratus. Semuanya isteri perlu siapkan dan sponsor. Ada juga sesekali suami bawa balik telur, tepung dan beras sekampit dua; katanya ’melunaskan nafkah keluarga’ yang belanjanya sekitar RM50 sahaja.
Si suami yang manis dengan senyuman pada anak dan isteri ini fikir; ayam, ikan dan dan daging yang mereka 6 beranak itu nikmati, semuanya turun dari langit.
Belum kira bab perabot dan kelengkapan di rumah, bayaran sewa rumah, bil air, api, elektrik dan internet.
Jika bukan isteri yang membayar, sudah lama mereka bergelap gelita.
Kata suami,
“I tahu you taste tinggi. I support saja apa yang you suka. You beli mesin basuh mana you suka, peti apa you nak. I izinkan you beli ikut selera you..” Sambil tersengih-sengih lagak suami misali.
Bila sampai di kaunter untuk bayaran, suami hilang tanpa bayangan. Terkial-kial isteri sekali lagi keluarkan segala simpanan demi mencukupkan keperluan asas dalam kediaman.
Kemudian isteri sebegini jumpa saya, dan mengadu;
“Puan, suami saya baik Puan. Saya sayang dia. Dia pandai buat lawak. Dia selalu senyum dekat saya dan anak-anak. Tak pernah maki atau pukul saya. Tapi kenapa saya rasa STRESS dan TAK BAHAGIA? Kufurkah saya Puan? Orang lain suami kaki pukul, perompak, lari dari rumah tinggalkan anak bini. Saya ni dah bertuah dah suami tak buat semua tu. Tapi kenapa saya betul-betul hilang bahagia dan rasa terlalu penat menjadi isteri dia… Berdosakah saya?”
Saya tarik nafas panjang.
Dan saya mulakan dengan soalan,
“Dari segi urusan kewangan rumahtangga macam mana? Siapa bayar segala belanja rumah, makan, utilities, sekolah anak-anak, kesihatan, kecemasan, belanja balik kampong semua tu…”
Belum saya habis sebutkan satu persatu dia sudah memintas,
“Saya puan. Saya semuanya tanggung apa juga belanja. Kadang-kadang ada juga dia hulur seratus dua.. Sebab gaji dia lebih kecil dari gaji saya..”
“Gaji lagi kecil dari Puan? Maafkan saya bertanya, berapa kecil tu? Berapa gaji Puan dan berapa gaji dia?”
“Gaji saya RM3500, gaji dia dalam RM2800 macam tu.”
“Beza RM700. Tapi tanggungan semua di bahu Puan atas alasan suami gajinya lebih kecil?” Saya sekadar menduga. Ada bayangan keliru yang nyata di wajahnya.
“Sekarang Puan keliru, apa yang membuatkan hilang sudah senyuman di bibir Puan, tak rasa kebahagiaan tapi sang suami sentiasa tenang dan kelihatan ‘menyenangkan’ di mata Puan? Kalau Puan yang berada di posisi suami Puan sekarang, agak agak Puan bahagia tak?”
Persoalan demi persoalan saya lontarkan untuk dia mencari jawapan.
Akhirnya saya tanya,
“Sebenarnya, puan tahu ke apa yang membuatkan suami sentiasa tersenyum bahagia tapi puan menjeruk rasa dan menderita?” Saya bertanya tanpa berselindung apa-apa lagi.
Tugas saya bila mendengar, adalah membawa dialog kami kepada satu kesimpulan yang membuka mata dan letak duduk perkara bagi mereka yang bercerita.
Bukannya saya yang perlu beri jawapan. Bahkan jawapan itu perlu dicari sendiri oleh sang isteri yang meluahkan.
Masalah ini, dilema ini, bukan seorang dua wanita yang merasa. Tapi sangat ramai dalam kasut yang sama.
Dia rasa dia bahagia sebab suami tak caci tak cela dia. Tak main judi tak makan pil kuda. Tapi dalam masa yang sama, hampir seluruh jiwa raga dia sudah ‘HILANG’ dalam rumahtangga yang dibina. Sedangkan suami bersenang lenang bersuka ria melepaskan segala tanggungjawab di bahu isterinya.
Bahkan lepas beberapa ketika, ada suami yang tiba-tiba perasan,
“Banyak pula wang aku ini.. Boleh ‘menanggung’ seorang isteri lagi nampaknya”
“Banyak pula masa lapang aku ni. Asyik ditinggal isteri yang sibuk bekerja sampai jiwa rasa sunyi. Nampaknya kena cari lagi calon isteri..”
“Banyak lagi tenaga aku ini rupanya. Tiba-tiba rindu suara tangis dan ketawa bayi. Bolehlah tambah bini untuk menambah bayi..”
Dia tak tahu wang yang banyak itu sebab isteri yang melepaskan hak-haknya sebagai isteri demi menyenangkan suami.
Dia tak tahu masa lapang yang banyak sebab dia tak pernah nak bantu isteri dalam hal ehwal rumahtangga walhal keduanya bekerja.
Dia tak tahu tenaga yang banyak bukan sebab dia masih muda perkasa, tapi sebab keringat jantannya yang tak pernah diguna!
Suami makin senang lepas kahwin sebab dibela isteri yang melunaskan serba serbi tentang keluarga. Isteri pula dari anak dara jelita dah bertukar menjadi naga gara-gara keringat dan segala upayanya diperguna untuk membela seorang bayi tua.
Akhirnya, isteri nampak serba tak kena sebab asyik serabut dan hilang sinar di muka. Suami nampak sempurna ala-ala jejaka idaman Malaya sebab selalu tampil kemas bergaya, senyum setiap masa.
Kawan,
Suami yang BAIK dan suami yang BERTANGGUNGJAWAB adalah 2 perkara yang berbeza.
Seorang lelaki boleh jadi suami yang baik tapi langsung tak bertanggungjawab. Seorang lelaki juga boleh jadi suami yang tidak berapa baik tetapi bertanggungjawab.
Kedua ini adalah karakter yang berbeza yang WAJIB dimiliki oleh seorang ketua keluarga.
Suami tidak baik yang bertanggungjawab akan MEMBELI isterinya dengan harta. Dia tabur harta pada isteri, menafkahi secukupnya – tetapi ada perempuan lain, menonton porno, berkata-kata kesat, bermuamalam dengan kelat, meninggalkan solat dan sebagainya. Dia MEMBELI isteri dengan menyempurnakan keperluan materi tetapi dia tetap gagal sebagai seorang ketua keluarga.
Suami baik yang tidak bertanggungjawab pula MEMPERKULI isteri dengan layanan baiknya kepada isteri. Anjing mana tak setia dengan Tuan kan? Itupun belum tentu kesetiaan yang berpanjangan. Hujung usia, diduakan juga sang isteri ’tua.’
Dalam situasi pertama, ramai wanita dilema tapi dia SEDAR sesuatu tidak kena. Tapi situasi kedua, adalah apa yang LEBIH berbahaya kerana wanita ini tidak sedar apa yang dilalui, dek kerana tersorok dengan baiknya perilaku seorang suami menyebabkan dia merasa tiada apa-apa yang salah dalam rumahtangganya.
Sedar-sedar, sosok seorang isteri yang penyayang, isteri yang menjadi penyejuk hati, isteri yang menjadi sumber ketenangan keluarga – semuanya sudah ’HILANG’.
Yang ada dalam rumahtangganya, cumalah seorang suami yang memperkuli isteri dan seorang wanita yang menjadi hamba.
Kawan,
Hamba pun kadangkala lebih mulia dari isteri yang diperguna.
Kenapa?
Sekurang-kurangnya hamba disuruh buat kerja. Tetapi upahnya adalah makan, pakai dan tempat tinggal yang disedia. Dia tak pening memikirkan segalanya.
Sudahlah segalanya dia usahakan dengan tulang 4 keratnya. Makan, pakai dan tempat tinggal pula dia perlu sediakan kepada ‘tuannya’? Segala masalah rumahtangga juga, terbeban atas dirinya untuk diselesaikan.
Rupanya, nasib seorang isteri boleh jadi lebih teruk dari seorang hamba. Inilah isteri yang telah ‘HILANG’ fungsinya dalam rumahtangga.
Yang ada kini, seorang suami kepada suaminya sendiri,” kongsi Sharifah Zahidah.
Status hubungan pelakon, Fikry Ibrahim dan isterinya, Siti Khalizah Alihan kembali menjadi perhatian apabila mereka tidak lagi saling mengikuti akaun Instagram masing-masing.