Hujung minggu waktu yang ditunggu-tunggu untuk habiskan masa bersama keluarga. Setiap orang ada cara tersendiri untuk luangkan masa berkualiti bersama orang-orang yang disayangi. Ada yang pergi bercuti, ada yang piknik di pantai dan sebagainya. Ada juga yang lebih suka lepak dekat rumah sahaja. Sebenarnya ‘percutian’ di rumah juga bakal memberi kesan yang menyeronokkan kepada anda dan keluarga kalau kena gayanya.Aktiviti kat bawah ni kalau buat bersama dengan ahli keluarga yang lain pasti hari minggu anda tak bosan dan terisi. Tak payah keluar rumah, dapat jimat duit paling penting dapat eratkan hubungan yang ada.
1. Deko bilik anak-anak
Kadang-kadang anak-anak bosan tengok deko yang sama dalam bilik atau bilik permainan mereka. Jom susun semula perabot dan dekorasi yang ada untuk berikan nafas baru bagi ruangan tersebut. aktiviti macam ni bukan sahaja menjadikan bilik yang kecil kelihatan lebih teratur dan selesa, dengan melibatkan anak-anak tentang pemilihan warna bilik dan kedudukan barang dalam bilik mereka sedikit sebanyak dapat buatkan mereka rasa teruja dan tak kisah walaupun hanya berada di rumah pada hujung minggu.
2. Masak menu kegemaran keluarga
Ads
Memasak dengan keluarga adalah alternatif yang pastinya menyeronokkan untuk mengisi ‘percutian’di rumah. Pilih beberapa menu makanan yang disukai oleh kebanyakan ahli keluarga. Sebagai contoh, nasi ayam, spaghetti, kek keju atau hanya cucur bilis, itu sudah cukup buat anak-anak rasa seronok. Bahagikan tugas untuk anak-anak buat supaya mereka tak bosan atau sekadar memerhati. Bagi mak-mak yang ada anak kecil, jangan lupa awasi si kecil pula ya. Dengan cara ini juga anda secara tidak langsung mengajar mereka untuk lebih berdikari dan punya rasa tanggungjawab.
3.Kelas seni di rumah
Ads
Kanak-kanak memang suka buat aktiviti seni, melukis, mewarna, mereka gelang tangan sendiri, membuat slime dan sebagainya adalah salah satu aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh mereka. Persiapkan dengan barangan yang diperlukan bagi melancarkan aktiviti seni anda di rumah. Aktiviti sebegini memang bagus untuk penerokaan kreativiti si kecil di rumah.
Bagi rumah yang mempunyai laman yang luas dan besar, anda boleh menghias laman anda dengan tanaman hijau. Selain tanaman untuk mencantikkan lamantanaman herba juga boleh ditanam untuk kegunaan sendiri. Jangan lupa untuk menjemput anak turut serta dalam aktiviti anda kerana secara tidak langsung, mak dan ayah boleh mengajar si kecil bagaimana untuk menanam tumbuh-tumbuhan dan bunga hiasan pada mereka. Aktiviti ini sangat berguna untuk kanak-kanak, salah satunya adalah untuk mengajar kanak-kanak tentang tumbuhan hijau yang baik untuk kesejahteraan bumi. Antara trik yang boleh anda buat bagi menarik minat si kecil adalah dengan mengajak mereka untuk mengira bilangan bunga atau meneka warna bunga yang ada di laman, mereka tentu seronok!
5.Berkhemah
Puas dengan melihat halaman rumah lebih cantik dan bersih. Satu idea kreatif lain untuk menghabiskan sisa cuti dengan keluarga adalah dengan berkhemah di laman rumah. Sediakan khemah, bantal, mainan kegemaran dan peralatan bbq. Susun jadual seakan-akan perkhemahan sebenar di luar, waktu malam pula buat bbq bersama sambil menyanyi dan bercerita. Jangan lupa ubat nyamuk ya, barulah si kecil tak serik nak berkhemah lagi di luar tanpa gigitan nyamuk.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Badan berpeluh, jangan basuh muka..nanti tumbuh panau.
Kadang-kadang, kita tak sedar ada panau yang datang menyinggah kat muka. Bagi anda yang bernasib baik, panau ada kat belakang atau anggota badan yang tidak dapat dilihat.
Begitu juga anak-anak, panau mungkin mudah diperoleh pada anak-anak, lebih-lebih lagi pada anak yang aktif. Sebab itu, orang tua cakap, kalau badan berpeluh, jangan basuh muka, panau cepat melekat.
Satu hal pula untuk merawatnya. Kalau dibiarkan,makin banyak pula panau akan tumbuh. Sekarang, tak perlu risau, ada cara yang mudah untuk mak-mak rawat panau yang melekat di muka atau mana-mana anggota badan. Cuba cara ini.
Buah Pinang
Ambil air perahan buah pinang dan sapukan pada bahagian kulit yang berpanau. Amalkan selalu.
Daun Kesum Dan Minyak Tanah
Campurkan segenggam daun kesum dengan minyak tanah. Gosokkan pada bahagian kulit yang berpanau. Amalkan setiap hari.
Halia
Ambil halia sebesar ibu jari dan tumbuk hingga lumat. Tepekkan halia yang telah ditumbuk pada bahagian kulit yang berpanau. Biarkan selama 15-20 minit. Basuh dengan air bersih. Amalkan selalu.
Bawang Putih Dan Halia
Tumbuk dua ulas bawang putih bersama sedikit halia. Sapukan pada bahagian kulit yang berpanau. Biarkan sehingga kering. Amalkan setiap hari.
Lengkuas
Tumbuk beberapa ketul lengkuas dan ambil air perahannya. Sapu air lengkuas pada bahagian kulit yang berpanau.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bergelar ibu tunggal ketika anak masih kecil dan masih belum memahami situasi yang berlaku bukanlah perkara yang mudah. Banyak perkara yang perlu dijelaskan dengan lebih berhati-hati agar anak mudah mengerti serta tidak terasa hati akan perpisahan tersebut. Ramai mengetahui, meskipun telah hampir dua tahun menempuhi penceraian, Nurfarahin Romli atau lebih dikenali Farah Lee,29 tetap menjaga hubungan baik dengan bekas suami Ally Iskandar,42.
Farah Lee ada berkongsi cara mudah dia membuatkan anaknya Maream Esabel, 4 faham tentang perpisahan antara dia dan bekas suami, Ally Iskandar didalam laman Instagram. Selain berkongsi berkongsi tip tersebut, Farah juga menasihatkan agar mak ayah yang mengalami situasi sama, tidak memisahkan kasih sayang antara anak dengan mak/ ayahnya.
Sedang tengok Omar & Hana, sampai kat part the whole family berkumpul, omma test Maream,
O: Maream, kenapa family Maream tak macam tu.? Dorang Omma dan Daddy dia duduk sama-sama, tapi Maream duduk dengan omma je.? M: Hmmm.. Sebab kan kalau duduk sama-sama nanti gaduh.. Sebab tu Maream duduk dengan omma je. Tapi okay je, kan.? Ni kan family kita. O: *terharu*
Teringat soalan interview yang Farah terima tempoh hari. So Farah share kat bawah ya pada siapa yang selalu tanya macam mana Farah fahamkan Maream tentang family dia yang ‘lain’ dari kebanyakan family kawan-kawan dia ni.
“Q : Pernah tak anak bertanya perihal bapanya? Dan bagaimana Farah menjawab soalan ini agar anak faham situasi yang dihadapi oleh Farah.
A : Farah bagitahu Maream yang Daddy dan Omma tak boleh duduk sama-sama nanti gaduh hehe.. Dengan usia sekarang, Farah tak rasa Maream faham dengan apa yang berlaku tetapi Farah sentiasa terangkan pada Maream (sejak hari pertama – Maream was 2 tahun 3 bulan) yang keluarga dia agak lain berbanding kebanyakan keluarga lain, dan kelainan bukanlah sesuatu yang salah tetapi ia memberikan warna dalam kehidupan.
Yang penting, jangan pisahkan kasih antara ibu bapa dengan anak, tak kira apa masalah antara anda berdua. Anak kita mungkin terpaksa berusaha membesar dalam ‘broken family’, pisahkan kasih antara mereka hanya menjadikan kita ibu/bapa yang pentingkan diri sendiri.
Juga, elak untuk aibkan mana-mana pihak kerana mengetahui aib ibu bapa boleh menggangu perkembangan emosi anak-anak; boleh berkemungkinan mereka akan membesar dalam dendam, atau mempunyai keyakinan diri yang rendah.
Anak-anak akan belajar menyesuaikan diri dengan kelainan ini dan bila tiba masanya, mereka akan faham dan boleh fikir sendiri. Keluarga yang tidak sempurna bukan alasan untuk anak-anak mendapat kasih sayang yang tidak sempurna juga.”
— Hope this helps. Being a single mom is never easy, it’s a hard work but always worth it. Trust me.!
Pada yang nak ‘suruh’ kami berbaik semula, rasanya tak perlulah komen begitu di sini ya. You’ll never know the struggles we’ve been through so please give us space.
Semoga pesanan Farah Lee ini boleh dijadikan panduan buat pasangan suami isteri lain yang sedang berada dalam dilema seperti ini. Jangan pentingkan diri sendiri dan jadikan anak mangsa keadaan. Berusahalah berbaik-baik dengan bekas suami/isteri agar anak-anak mendapat kasih sayang yang sempurna.
Setiap isteri yang mengandung, alahan yang mereka lalui berbeza. Ada yang alahan teruk, ada yang langsung tak kena alahan. Alhamdulillah, jangan pula bandingkan atau kecam kata wanita mengandung alahan tu mengada. Hmm.. tolong faham sebab ujian ibu mengandung tu berbeza.
Puan Nora Azni, isteri kepada Akhtar Syamir (BroOhsem) mengandung kali ketiga dengan alahan yang cukup dahsat. Sampai tak boleh bau masakan. Pengalaman menjaga isteri yang alahan dikongsikan suami ini.
Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tapi mahu menunjuk cara yang dia lakukan. Semoga boleh jadi panduan untuk pasangan lain, apa nak buat bila isteri alami alahan mengandung.
Perkongsian beliau ini amat berguna kepada semua suami dan orang di sekeliling ibu mengandung yang mengalami alahan yang teruk. Jadi anda boleh faham dan bersedia apabila keadaan ini menimpa diri dan keluarga kita.
Benar, tidak semua wanita akan mengalami alahan mengandung dan tidak semua wanita yang mengalami alahan mengandung akan melalui pengalaman yang sama. Ada yang tidak begitu serious ( loya sedikit, muntah di pagi hari sahaja dan hanya sebulan dua ) dan ada yang betul – betul teruk sehinggakan ia memberi kesan kepada semua yang berada di sekeliling ibu mengandung tersebut.
Jadi, jika semasa anda (ibu) mengandung dan tidak mengalami alahan yang teruk, janganlah memandang serong kepada wanita yang mengalami alahan yang teruk kerana apa yang mereka lalui tidak sama dengan anda.
Anda patut bersyukur kerana perjalanan anda dipermudahkan. Dan janganlah anggap mereka ini manja, mengada – ngada dan sengaja berlakon yang mereka itu sakit kerana alahan mengandung ini bukanlah perkara yang ringan. Saya pernah baca komen follower saya yang beliau pernah alahan yang amat teruk sehingga keguguran.
Perlu juga tahu yang alahan yang teruk ini mungkin tidak terjadi semasa mengandungkan semua anak. Kadang – kala anak pertama dan kedua alahannya sederhana, tapi anak ketiga alahan mengandungnya amat teruk. Jadi bersedialah dari awal.
Kita mungkin biasa tengok orang mengandung makan asam atau apa – apa makanan yang masam. Ini kerana tekak mereka loya. Makanan jadi tiada rasa dan memualkan. Jadi mereka perlukan benda yang masam untuk bagi ada rasa dalam mulut dan tekak.
Nampak macam biasa je kan? Tapi masalah datang bila mereka jadi tak ada selera untuk makan. Kalau orang macam saya tiada selera makan itu bagus, tapi untuk ibu mengandung, tiada selera makan itu satu masalah.
Ini kerana anak dalam kandungan itu perlukan zat untuk berkembang dan ibu itu sendiri perlukan zat harian untuk berfungsi sebagai manusia normal.
Bila tiada zat dan tenaga yang masuk, mereka juga akan menjadi lemah. Bayangkan radio yang kekurangan bateri, bunyinya semakin lemah dan meleret. Itulah perumpamaan keadaan tenaga mereka bila kerap tak makan.
Dalam kes saya, isteri langsung tidak ada tenaga untuk berdiri lama. Hanya terlentang di katil dan terpaksa menggunakan seluruh jiwa raga untuk bangun ke tandas dan melayan muntah yang sentiasa datang.
Ini perkara biasa pada mulanya. Setiap pagi akan muntah. Ubat gigi akan jadi musuh. Berus gigi akan jadi lawan. Tapi, lama kelamaan ia akan menjadi semakin bermasalah. Muntah ni keluarkan isi perut. Jadi pada mulanya perut masih banyak isi kerana loya masih tak kuat.
Namun, lama – kelamaan oleh kerana si ibu tidak makan, apa lagi yang akan keluar bila muntah? Air. Itu sahaja yang akan keluar. Dan apabila tiada apa lagi yang mampu keluar dari badan tetapi masih muntah, tekak akan mula sakit, perut akan mula sakit satu badan dari depan sampai belakang, atas sampai bawah akan sakit dan lenguh yang amat sangat.
Jika anda alami perkara yang sama seperti yang saya gambarkan ini, saya amat bersimpati dengan anda.
Bau itu tak boleh, bau ini tak boleh. Anda baru masak air dalam periuk kecil, ibu mengandung dah dapat bau hangit kat bawah periuk kecil tu. Sedangkan bagi orang biasa, kita tak bau pun benda tu. Jadi, apa juga aktiviti dapur akan jadi terbatas.
Kerana hidung mereka jadi “super sensitive” dan percayalah yang tiada satu bau pun yang ok. Semuanya busuk. Dan jangan terkejut bila isteri tak suka bau badan suami. Walaupun semasa tak mengandung isteri boleh tidur bawah ketiak suami sepanjang malam. Bertabahlah ye.
Jika deria bau mereka terlebih sensitif, perasaan mereka juga terlebih sensitif. Ibu mengandung akan mudah marah, mudah sedih, mudah terasa dan lain – lain lagi.
Adalah amat penting semua yang berada di sekeliling memahami situasi ini supaya keadaan tidak akan menjadi buruk seperti perbalahan dan makan hati sesama ahli keluarga.
Ibu mengandung akan terdedah kepada bermacam penyakit yang selama ini jarang sangat datang. Contohnya demam, batuk sakit badan dan jangkitan kuman. Kebanyakannya datang apabila tiada zat makanan yang masuk dan menjadikan antibodi mereka lemah.
Bayangkan masalah muntah bercampur dengan batuk dan demam. Hanya yang mengalami je tau betapa lemahnya fizikal dan mental ibu mengandung tersebut dan pasangan yang di sisi mereka.
Pengalaman saya? Sehingga isteri dimasukkan wad kerana kuman di dalam darah yang amat tinggi sehingga isteri mengalami kesukaran untuk bernafas. Betul – betul cemas ketika itu.
Ini adalah 5 perkara paling penting yang dilalui oleh ibu mengandung dan bagi yang terkena alahan yang teruk, 5 perkara ini menjadi berkali – kali ganda teruknya.
1. Redha dengan keadaan yang berlaku ini. Kena terima dengan hati yang terbuka. Kita sedang diuji kali ini. Kita perlu bersyukur kerana ia terjadi, kerana ada suami isteri tak pernah diuji sebegini kerana mereka tidak ada rezeki untuk dapat zuriat.
Jadilah suami yang positif, fikirkan hadiah yang kita sekeluarga akan dapat apabila kita berjaya harungi benda ini nanti. Seorang anak penyambung keturunan kita.
2. Sabar. Saya tak dapat nak tekankan dalam bertulis sebesar mana pentingnya anda perlu bersabar bila melalui masa ini. Kena sabar bang. Untuk anak ketiga ini saya dua tiga kali tertunduk dan terduduk. Saya telah berikan segalanya tapi masih tidak cukup kaki dan tangan saya untuk menguruskan isteri dan anak – anak.
Anda akan rasa penat, anda akan rasa kecewa, anda akan rasa marah. Jadilah suami yang baik, jeritlah sambil bantal ditutup di muka. Lepaskan semuanya di situ. Jangan lepaskan kepada anak dan isteri. Biar mereka nampak kita kuat, kita positif kerana hanya kita tempat mereka berharap. Tiada yang lain.
Tanggungjawab seorang ketua keluarga bukan boleh diberi kepada sesiapa. Hanya yang kuat sahaja yang akan diamanahkan untuk menjaga keluarga. Pegang amanah itu, pegang tanggungjawab itu dengan erat. Tabahkan hati dan bersabarlah.
Buanglah segala ego yang ada jauh – jauh. Isteri anda akan bersalin nanti, anda tidak akan dapat rasai betapa itu beribu – ribu kali ganda lebih sakitnya dari apa yang kita lalui sekarang.
3. Ganti tempat isteri dalam menguruskan rumah dan keluarga. Dapur, baju, rumah. Ini 3 elemen penting dalam pengurusan rumah yang isteri kita dah berada di tahap tertinggi sehinggakan kita tak sedar apa yang mereka dah buat. Buat suami, biasa tak kita tanya isteri, “baju I mane ye?”. Kita hanya nampak baju. Tapi sebenarnya ada beberapa peringkat sebelum baju tu tersedia untuk seorang suami pakai.
Pertamanya baju itu perlu dibasuh, kedua disidai, ketiga dilipat dan akhirnya digosok untuk menjadikannya tersedia. Kita sering tak sedar benda ni. Kita nampak baju je. Proses dia kita tak nampak.
Masuk bab makanan pun sama. Penyediaan bahan masakan, masak, hidang dan kemas serta basuh pinggan. Dan jangan lupa, sesi memberi anak makan yang sebelum ini kita tak peduli sangat pun. Sedar – sedar je anak dah kenyang kan?
Jadi bila kita sebagai suami nak ganti peranan isteri, kita akan terkejut. Semua proses itu datang sekaligus. Tangan dua tak cukup. Kaki dua tak cukup. Otak satu tak cukup. Masa tak cukup. Tenaga tak cukup. Rehat tak cukup. Tidur tak cukup. Duit pun jadi tak cukup.
4. Pengawalan stress / tekanan. Memang kita sedia maklum, lelaki lebih baik dalam menguruskan tekanan. Tetapi bila dalam keadaan ini, kita akan tercabar. Kita tidak biasa berada di luar kawalan. Lelaki selalunya dapat mengawal keadaan.
Tapi bila semuanya di luar kawalan, isteri sentiasa sakit, anak sekolah tak terurus, anak kecil tak terjaga, rumah yang dah 2 kali masuk surat khabar sebab deko yang menarik pun, dah jadi tongkang pecah, dapur dah terbalik macam kat dapur kedai tomyam bila nak tutup kedai dan semuanya terjadi serentak, dan kita kena pergi kerja pulak.
Saya sebenarnya hampir gagal mengawal tekanan ini. Ini perkara yang serious. Lelaki yang hilang pertimbangan adalah lelaki yang berbahaya. Ada yang give up terus dan lari. Kepada isteri. Cubalah tenangkan suami anda. Peluk. Peluk. Peluk. Kami perlu diingatkan yang segalanya pasti berbaloi nanti.
5. Pengurusan kewangan. Akan menjadi teruk. Ketirisan yang banyak bakal berlaku. Kadang – kala kita tak dapat kawal langsung. Isteri teringinkan itu ini. Kita kena beli juga kerana dia dah tak makan berhari – hari. Nak masak, kita memang tak selalu sempat.
Di tambah pula dengan isteri yang tak boleh bau masakan. Anak – anak perlu makan. Nak tak nak, banyak duit akan dikeluarkan untuk membeli makanan setiap hari. Saya hanya dapat bagi bayangan apa yang berlaku, saya tak dapat nak nasihat macam mana nak uruskan kewangan pada masa tu kerana saya sendiri gagal. Hahaha..
6. Jaga hati anak – anak. Mereka tak faham. Mereka kecil lagi. Kita kena jaga perasaan mereka. Cuba beri terangkan kenapa ibu mereka sebegitu. Kenapa papa dan mama tiada masa yang cukup untuk melayani mereka dan kenapa kadang – kala mereka dimarahi tanpa ada sebab yang kuat.
Pada masa ini juga kebarangkalian mereka akan tunjukkan sedikit pemberontakan jiwa. Dalam erti kata lain, buat perangai. Kita yang tak cukup masa untuk semua benda, terpaksa mengadap dinding yang diconteng, baju sekolah yang kotor sangat dan macam – macam lagi.
Mereka sebenarnya perlukan perhatian dan kasih sayang. Cubalah sehabis baik melayan anak – anak. Mereka amat memerlukannya kerana ibu mereka tidak dapat melayani mereka seperti selalu.
7. Yang paling penting, jaga isteri. Mereka mabuk, loya, penat dan segala – galanya. Pastikan anda sentiasa berada di samping mereka kerana kita amat di perlukan. Nak bangun, mereka perlukan bantuan kita.
Bila mereka muntah, tolonglah gosok belakang isteri kita. Lihatlah sendiri bagaimana badan isteri yang turun naik dan menggeletar akibat muntah yang teruk. Air mata yang terkeluar akibat menahan keperitan muntah. Air di hidung yang keluar kerana tiada lagi kawalan badan.
Letaklah diri di tempat isteri. Mereka sedang sakit. Bantulah mereka. Beri galakan dan kata – kata positif. Mungkin ada yang boleh terima. Mungkin ada suami yang kena tolak terus sebab jiwa mereka tengah kacau. Jangan pulak kita melenting.
Dan yang paling penting, jangan tambah beban kepada mereka. Permudahkanlah urusan mereka. Cari cara untuk mudahkan mereka bergerak, bantu mereka mandi. Syampukan rambut, sabunkan badan. Kadang – kala mereka terlalu lemah untuk buat perkara asas sebegitu.
Sentiasa juga tanya apa lagi yang boleh dibantu, apa yang mereka mahukan dan perlukan. Mungkin kita tak tahu pada masa itu. Tapi isteri kita amat – amat menghargai apa yang sedang kita lakukan untuk mereka.
Kepada yang telah baca sehingga ke tahap ini, terima kasih saya ucapkan. Semoga anda dapat rasakan apa yang telah saya lalui dan dapat lebih memahami situasi alahan mengandung ini.
Apa yang saya dapat dari pengalaman ini, saya jadi suami yang lebih baik dan ayah yang lebih baik buat anak – anak. Keluarga kami jadi lebih rapat dan rumah jadi lebih aman dan teratur kerana suami sendiri pun dah pandai mengemas dan membasuh. Hehehe..
Semoga bermanfaat kepada semua. Semoga kehidupan kita sekeluarga lebih manis dan harmoni kerana kita saling faham memahami.
Silakan follow saya dan isteri, Nora Azni di facebook dan instagram. Doakan semuanya selamat dan dipermudahkan ye. Due pada 20 Oktober 2018 nie.
Nota : Artikel ini saya ( Akhtar Syamir / BroOhsem ) tulis sendiri berdasarkan pengalaman saya sendiri. Jika ianya berbeza dengan apa yang anda lalui, ambillah yang positif sahaja.