Tiada satu pasangan pun yang mahukan perpisahan. Namun jika sudah tersurat dan ditakdirkan perpisahan berlaku terpaksalah terima takdir dengan hati yang berat.
Begitu juga dengan kemelut rumah tangga yang berlaku pada pelakon dan pengarah Mohd Saufi Zami dan pasangannya Zamzarina Mohammed.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 5 Disember 2003 dan dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Ammar Shah Saidi,15, Aliff Shah Syedi,13, dan Arrif Shah Saidi, 8, akhirnya sah bercerai talak satu, pada jam 10.47 pagi semalam, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Lafaz Cerai Talak Satu
Lafaz cerai itu dibuat Mohd Saufi atau lebih dikenali sebagai Opie Zami, 46, terhadap Zamzarina, 43, di hadapan Hakim Syarie, Ahmad Mahir Zanial.
Hakim Ahmad Mahir mendengar lafaz cerai itu, kemudian mensabitkan perceraian dengan talak satu terhadap pasangan itu dan memerintahkan Zamzarina menjalani tempoh idah selama tiga bulan, termasuk Opie perlu mendaftarkan perceraian mereka dan sijil nikah dibatalkan.
Zamzarina selaku plaintif memfailkan penceraian terhadap Opie selaku defendan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 pada 16 Mac lalu.
Terdahulu, suasana dalam mahkamah bertukar hiba apabila pasangan itu menangis ketika bermaafan dan bersalaman buat kali terakhir sebagai suami isteri sebelum Opie melafazkan cerai.
Pada prosiding itu, Opie tidak diwakili peguam, manakala Zamzarina diwakili peguam syarie, Azmanira Ismail@Zanudin.
Ads
Saya Gagal Bantuk Isteri Menjadi Isteri Mithali
Bekas isteri Opie.
Seperti mana yang dipetik menerusi Sinar Plus, Opie menjelaskan masalah rumah tangga dia dan isterinya sudah lama berlaku.
“Ia terlalu peribadi untuk dikongsi dan hanya mengharapkan agar penceraian ini merupakan keputusan yang baik antara kedua belah pihak.
“Saya buat keputusan ini dengan rela dan reda dan dalam situasi ini saya yang salah dan isteri saya tidak salah kerana saya yang gagal membentuk isteri menjadi isteri mithali.
Ads
“Lepas ini saya akan uruskan hak penjagaan anak-anak dan tuntutan nafkah,” katanya.
Bagaimanapun bekas isterinya Zamzarina yang turut ditemui luar mahkamah berkata, ketiga-tiga anak mereka kini dalam jagaannya.
“Saya telah naik ke mahkamah sejak 2016, 2018 dan kini 2020 tetapi akhirnya perkahwinan kami menemui noktah hari ini.
“Kami akan berbincang untuk tindakan selanjutnya berhubung tuntutan nafkah,” katanya.
Bergelar seorang pendidik bukanlah satu kerjaya yang mudah. Memberi ilmu kepada anak bangsa merupakan satu pengorbanan yang sangat besar. Apatah lagi bukan semua orang boleh bersabar dalam mendidik kanak-kanak. Ini kerana pelbagai kerenah yang bakal mereka hadapi sepanjang mengajar. Personaliti yang memenuhi ruangan Keranamu Guru kali ini, menjadikan kerjaya ini sebagai yang paling dihormati. Bukan kerana dipaksa malah Anis Salwa Alauddin, 31 menyatakan darah pendidik sudah seabati dalam dirinya.
“Saya tidak pernah rasa terpaksa menjadi seorang guru kerana darah pendidik mengalir dalam diri saya dan itu adalah cita-cita saya, iaitu mendidik anak bangsa menjadi modal insan yang produktif kepada masyarakat dan negara.
“Ibu bapa saya adalah pendidik. Mereka adalah pendorong terbesar saya untuk masuk ke bidang perguruan ini selain minat saya yang mendalam terhadap profesion ini. Ibu bapa saya telah meletakkan kepercayaan kepada saya untuk mengikuti pengajian selama lima tahun setengah di IPG KPT, Cheras iaitu kohort pertama guru Ijazah keluaran maktab (kini dikenali sebagai Insitut Pendidikan Guru). Latihan yang secukupnya telah diberikan kepada kami graduan IPG untuk menjadikan kami seorang guru yang berdedikasi. Ibu saya seorang mantan pengetua SMK Sg Soi, Kuantan Pahang merangkap Guru Cemerlang Bahasa Melayu dan pada usia emas, beliau mendapat Anugerah Tokoh Guru Daerah Kuantan. Keupayaan seorang ibu yang berkerjaya dan membesarkan 12 orang anak adalah sesuatu yang membanggakan saya. Arwah bapa saya merupakan seorang Pengurus Hal Ehwal Pelajar IKIP, Kuantan sebelum beliau bersara,” ungkap guru yang sudah lapan tahun berpengalaman mengajar ini.
Pandai Menyanyi
Dalam mengajar, Anis Salwa juga menyelitkan unsur seni dengan menyanyi, katanya, “Syukur ke hadrat Ilahi kerana diberi minat dan kebolehan menyanyi. Justeru, saya banyak menyelitkan unsur didik hibur dengan nyanyian kerana saya percaya ia serba sedikit dapat membantu murid untuk lebih tertarik dengan pembelajaran dan mudah mengingat. Sebenarnya saya memang bergiat aktif dalam bidang nyanyian juga. Tidak dinafikan, murid-murid teruja apabila saya merupakan ‘penyanyi’ dan mereka kerap menonton nyanyian saya di saluran YouTube.
“Murid menjadikan diri saya sebagai contoh ikutan mereka. Itu adalah satu pemangkin semangat saya untuk menjadi yang terbaik di mata mereka. Saya cuba bersikap proaktif dalam menjalankan tugas dan amanah. Cuba memberi dan membuka peluang kepada diri untuk mengembangkan potensi diri yang ada dalam pelbagai bidang. Saya sering mendidik mereka untuk tampil berani di hadapan orang ramai dan menepis segala ketakutan yang ada untuk berjaya,” terang Anis Salwa yang pernah menjadi Johan beberapa penglibatan seperti Johan Bintang Klasik Nasional Peringkat Kebangsaan 2007, Johan Bintang Klasik Nusantara Peringkat Nusantara 2007, Johan Kebudayaan Peringkat Negeri 2015, Johan Kebudayaan Peringkat Kebangsaan 2016 dan Undangan persembahan bersama Radio Klasik, RTM & Majlis-majlis Diraja.
Beza Mengajar Sekolah Bandar & Luar Bandar
Pernah mencurahkan bakti di SK St Francis, Sitiawan Perak (2011-2014) dan kini mengajar di SK Gulau, Sik Kedah. Ibu kepada dua orang anak ini, merupakan guru Bahasa Inggeris dan Matematik.
“Pengalaman mengajar sekolah bandar dan luar bandar. Ternyata pengalaman sungguh berbeza. SK St Francis merupakan sekolah bandar, cabaran mengajar anak murid (lelaki sahaja) pelbagai bangsa dan majoriti berbangsa India. Dapat mempelajari budaya belajar dan bekerja yang menjadikan saya seorang guru yang tegas dalam mendidik.
“Di SK Gulau di mana saya sedang berkhidmat di sini. Sekolah luar bandar. Jauh dari pekan Sik, Kedah. Majoriti Melayu dan beberapa murid Siam. Budaya belajar dan mengajar yang sangat berbeza. Murid di luar bandar bersifat introvert (malu dan pendiam). Enggan bertutur dalam Bahasa Inggeris. Selain itu, penerimaan murid terhadap guru baharu yang tidak bertutur dialek tempatan mereka adalah sangat sukar. Murid di sini juga menjadikan Bahasa Inggeris sebagai satu bahasa asing iaitu bahasa ketiga mereka. Mereka seolah-olah menolak bahasa ini. Tetapi, lama-kelamaan bahasa ini dijadikan satu budaya buat mereka supaya mereka tidak ketinggalan dengan arus perdana yang rata-rata memerlukan penguasaan Bahasa Inggeris di peringkat global. Usaha membentuk budaya ini mengambil masa lebih dua tahun. Alhamdulillah, pertuturan harian (basic conversation) mereka perlahan-lahan dapat dikuasai,” ungkap Anis Salwa.
‘From Zero to Hero’
Anis Salwa juga menyatakan ibu bapa menghantar anak mereka dengan suatu harapan. Murid hadir ke sekolah dengan satu impian. Adalah menjadi satu kepuasan buat dirinya apabila dapat merealisasikan impian mereka. Dari tidak mengenal apa-apa sehingga bijak tulis dan baca.
“Saya suka membentuk sahsiah murid supaya mereka menjadi lebih kreatif, inovatif dan berdaya saing. Dalam pengajaran, saya melibatkan murid dalam aktiviti berkumpulan supaya dapat meningkatkan kemahiran interpersonal dan komunikasi sesama mereka,” sambung Anis Salwa.
Hadiah Istimewa
Anis Salwa juga turut menerima pelbagai kad ucapan dan hadiah istimewa daripada anak muridnya.
“Murid sekolah rendah mempunyai daya apresiasi yang tinggi terhadap guru mereka. Oleh itu, saya kerap menerima kad-kad ucapan, hadiah-hadiah daripada murid-murid. Walau bagaimanapun, saya tidak pernah menerima naskhah yang berunsur surat cinta tetapi lebih kepada apresiasi seorang murid kepada gurunya. Adalah menjadi kebiasaan apabila murid-murid menyatakan rasa sayang terhadap guru mereka.
Pada setiap Hari Guru, saya turut menjadi tumpuan murid. Banyak hadiah yang diterima. Hadiah paling bermakna ialah hadiah sekotak kurma daripada seorang murid Siam.
“Pada 2018, saya terpanggil untuk menyanyikan sebuah lagu khas buat guru-guru di Malaysia sempena Hari Guru 2018. Saya tidak menyangka video tersebut mendapat perhatian ramai dan tular di Facebook.
Cabaran Utama
Tidak dinafikan, beban tugas seorang guru adalah sangat banyak. Walau bagaimanapun, Anis Salwa menyatakan dia perlu bijak mengawal emosi dan cuba sedaya upaya menerima segala pembaharuan yang berlaku. Antara cabaran yang dihadapi pada sebagai guru masa kini antaranya, “Kehendak masyarakat terutama ibu bapa yang berkobar-kobar ingin melihat anak mereka berjaya adalah bukan semata-mata di bawah didikan seorang guru. Guru-guru perlu mengembleng tenaga bersama-sama ibu bapa untuk memastikan kejayaan anak-anak.
“Kecanggihan teknologi mempengaruhi pemikiran anak bangsa yang kadangkala lebih celik daripada gurunya. Kini dunia tanpa sempadan, semua maklumat di hujung jari. Oleh itu, guru perlu menjadi lebih progresif dan kreatif dalam menangani masalah ini. Pengajaran konvensional (cara lama – chalk and talk) bukanlah tidak relevan pada masa kini. Tetapi kanak-kanak gen Y dan Z ini lebih bersikap aktif dan suka meneroka sesuatu yang baru. Mereka perlu diajar untuk berkomunikasi dengan baik dan berupaya menyelesaikan masalah harian dengan sistematik. Oleh itu, pengajaran guru perlu pelbagai dan menerapkan unsur-unsur pembelajaran abad ke-21; iaitu pembelajaran berpusatkan murid. Arus pemodenan dan pengaruh luar serba sedikit memberi impak kepada pembentukan sahsiah murid. Guru menjadi agen bagi menepis pengaruh-pengaruh negatif daripada menular masuk ke dalam pemikiran anak-anak terutama di sekolah rendah.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Jangan dok merapu jumpa bomoh, ikut ja nasihat doktor. Pi buat rawatan kat hospital, itu yang terbaik untuk rawat kanser,”tegas bekas pesakit kanser prostat, Zakariya Ali. Dia tak nafikan memang gerun bila disahkan kena kanser prostat 14 tahun lepas.
Macam orang lain juga, Pakcik Zakariya ni pun dihantui rasa takut. Tambah pula bila doktor cakap, kena bedah buang pundi kencing sebab sel kanser dah merebak. Memang tak tidur malam dibuatnya.
Dalam keadaan yang serabut, ada saudara mara yang cadangkan jumpa bomoh untuk rawatan alternatif. Kononnya penyakit kanser dapat dirawat dan tak payah buang pundi kencing. Sebab takut bercampur serabut, Pakcik Zakariya cubalah rawatan tersebut. Memang merapu sangat kaedah rawatan bomoh ini, mujur dia sedar bomoh tu hanya nak duit.
Bomoh Ambil Kesempatan
Tak dinafikan memang ramai bomoh yang ambil kesempatan dalam kesempitan orang. Jadi hati-hatilah dengan bomoh yang mempunyai niat tak baik. Ini adalah kisah benar, kisah ayah saya sendiri. Niat saya hanya mahu berkongsi cerita agar pembaca di luar sana tak jadi mangsa tipu bomoh yang tidak bertanggung jawab.
Saya juga pernah baca kisah seorang doktor yang menghidap kanser limfoma, ada yang cadangkan dia cuba rawatan alternatif. Kononnya penyakit kanser yang dihidapi boleh dipindahkan pada ayam. Memang lain macam bomoh ni gebang, mujur doktor ini jenis yang rasional. Dia menolak kaedah bomoh tersebut dan memilih melakukan rawatan di hospital.
Untuk lawan kanser, bukan je pesakit kena positif tapi keluarga kena main peranan. Saya masih ingat dengan jelas peristiwa 14 tahun lalu. Apabila abah saya disahkan menghidap kanser prostat, saya dan adik beradik terkejut bukan kepalang kerana abah seorang yang sihat dan sangat aktif.
Abah sangat down ketika itu, semangatnya direntap. Jiwanya seakan mati. Kami sedar kami tidak boleh membiarkan abah larut dalam kesedihan. Kami pujuk abah melakukan pembedahan, berat hati abah kerana sel kanser sudah merebak. Pundi kencing abah terpaksa dibuang.
Pembedahan yang dijangka selama lapan jam berlarutan sehingga 10 jam. Saya begitu resah, abah selamat namun koma kerana berlaku pendarahan. Kami sudah sematkan di minda dan hati, abah akan sihat kembali. Kami tiupkan kata-kata semangat di telinga abah, kami temani abah di hospital.
Alhamdulillah! Dengan izin Allah abah sihat dan kembali cergas. Malah abah bebas daripada kanser. Sungguh saya kagum semangat juang abah, doa saya agar abah terus diberi kesihatan yang baik dan dirahmati Allah. Semoga semangatnya mengalir di dalam diri saya!
Kena Ceria, Fikir Baik-Baik & Jangan Stres
Saya tanya abah apa rahsia melawan kanser…Abah kata kena reset minda. Fikir baik-baik, jangan stres. Hidup ini adalah apa yang kita sangka. Jadi fikir dan bayangkan kita gembira dan sihat di samping keluarga.
Abah juga pesan, jangan dok merapu pi jumpa bomoh, ikut ja nasihat doktor. Buat rawatan di hospital dan makan makanan berkhasiat. Jangan terpengaruh dengan rawatan yang bukan-bukan bimbang nanti sakit makin melarat.
Apa yang abah buat, dia terus stop makan fast food dan makanan 3 in one. Abah pesan lagi, bukan minda dan fizikal je kena jaga, rohani pun kena bagi ‘makan’. Banyak-banyak baca al-Quran dan zikir. Itu yang abah amalkan. Alhamdulillah, 14 tahun berlalu abah kini kanser survival.
Tahun lepas abah pernah kena strok muka. Dia tak patah semangat, walau muka senget. Dia positif je, senyum je. Tidur malam mata kena tutup dengan kapas, sebab mata abah tak boleh tutup sebelah lepas kena strok.
Abah sentiasa fikir positif, tak culas buat fisioterapi. Alhamdulillah, dalam masa tak sampai sebulan abah sembuh. Doktor pun tekejut sebab umur abah dah 77 tahun, kalau ikutkan peluang untuk sembuh memang tipis. Semua ini percaturan Allah.
Kesimpulannya, walau diuji sakit kita kena positif dan bangkit kembali. Jangan mengalah. Saya juga doakan pembaca bersemangat dan tidak putus asa berdepan dengan ujian sakit. Yakinlah pasti ada hikmah di sebalik ujian. Anak, cucu atau kawan-kawan hanya boleh bagi nasihat dan semangat, kitalah yang kena positif kalau nak sihat.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah, Sayang semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Anak sumbing, jangan sesekali salahkan keturunan “Allah nak bagi saham pahala pada kita untuk membesarkan anak-anak yang sumbing”.
Sumbing merupakan rekahan yang terjadi pada bahagian struktur bibir atau lelangit. Dalam sesetengah kes, masalah sumbing boleh berlaku kepada kedua-dua bahagian tersebut.
Ia berlaku apabila struktur muka tidak bercantum sepenuhnya ketika dalam proses tumbesaran janin.
Ibu bapa yang dikurniakan anak dengan masalah sumbing jangan bimbang kerana masalah ini boleh dirawat. Malahan rawatan yang sesuai untuk bayi selepas dilahirkan juga ada dan ia disusuli dengan beberapa rawatan tertentu bergantung kepada peringkat usia.
Anak Sumbing, Jangan Sesekali Salahkan Keturunan
Seperti yang umum ketahui, penyanyi Lan Solo dan isteri Sheila Hassim telah dikurniakan seorang anak yang sumbing. Kini usia Nur Amna Quxandra atau lebih mesra dengan panggilan Xandra yang dilahirkan pada 24 Februari sudah berusia 4 tahun.
Menerusi perkongsian terbaru Sheila Hassim menerusi akaun Instagramnya, Shiela menasihati ibu bapa yang dikurniakan anak sumbing jangan cepat berasa rendah diri.
Malah ada beberapa tip yang dikongsikan sangat berguna terutama buat pasangan yang bakal menimang bayi yang sumbing.
InsyaAllah penerangan yang diberi cukup bermanfaat dan paling penting jangan panik dan carilah saluran info yang berguna.
“Lately ni ramai dm KY tny progress cleft bibir Xandra.. .
“Ok KY share la perjlnn spjg 4 thn sejak Xandra lahir.. .
“Video ni KY ambik mlm tadi masa dia tido supaya nmpk jelas kesan jahitan dia skrg. .
“Xandra operate bibir kat PPUM.. masa umo 3 bulan dan berat masa tu ngam2 5kg.. .
“Bil hospital yg kene byr dlm rm 700++ je x silap sbb ada subsidi masa tu drpd NGO yg mmg bantu anak2 sumbing.
Jangan Panik & Jangan Baca Info Yang Salah
“So, parent yg dah detect baby cleft, cepat2 register dgn CLAPAM ya.. hny mereka yg pakar dlm mengendalikan proses baby cleft dr lahir & akan guide kita smpi la baby selamat operation.. .
“Call 0122059140 (Pn Zuraini) bgtau je kondisi baby. .
“Jgn panik & jgn baca drpd mana2 grup yg info nya x sahih.. sbb nanti mental down.. .
“Parent yg ada anak cleft mcm Xandra ni, uols kene enjoys the moment.. bukan pk kenapa boleh sumbing & start salah menyalahkan smpi keturunan pon terkait sama.
Anak Sumbing Bukan Cacat
“Semua ni Allah nk bagi saham pahala pd kita utk membesarkan anak2 cleft.. .
“So mommy & daddy out there.. anak sumbing bukan cacat.. malah mereka akan memberikan senyuman paling cantik bila dah selesai operate nanti.. .
“Enjoy the moment okay,” kongsi Sheila.
Gambar terkini Xandra.Gambar semasa bayi. Sebelum dan selepas pembedahan.
“Kita ada hak untuk bergerak, tak perlu kasihan dan merasakan saya perlu duduk di rumah saja. Apa yang penting, saya seronok dan bahagia dengan apa yang saya buat,” – Ikuti perkongsiannya dalam Kisah Inspirasi Sukses MW.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mayat tiga beranak ditemui mereput di dalam rumah, anak lelaki autistik. Tiga mayat yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan ditemukan dalam sebuah rumah di Jalan Bukit Kristal di sini pada Selasa.