suami yang baik

Kebanyakan kaum isteri mendambakan suami yang baik untuk rebut kebahagiaan dalam rumah tangga.

Baik itu bukanlah bermakna suami yang ikut kehendak isteri setiap masa, tetapi lelaki yang baik boleh menyelami hati seorang isteri dan mampu bertolak ansur tika ada masalah.

Lebih dekat, istilah baik itu ada dalam perkongsian Puan Nieza termizi ini. Jemput renungkan seminit.

Suami Yang Baik Itu…

Memenuhi keperluan emosi isteri adalah salah satu dari nafkah batin.

Dalam rumahtangga, suami dan isteri menghadapi pelbagai perubahan emosi. Mula-mula kahwin segalanya indah. Hari demi hari, tahun bertukar ganti, kita mula menghadapi ujian dalam rumahtangga. Setiap pasangan pasti tidak akan dapat lari dari situasi menduga ni.

Bercakaplah dengan isteri apabila ada masalah. Jangan mengelak. Jangan minum kopi bersama kawan-kawan di restoran mamak. Jangan menyorok main game di dalam bilik. Jangan buat hal sendiri seolah tak ada apa berlaku.

Isteri diam, terus selidik. Isteri merajuk, terus pujuk.

Berani menghadapi masalah adalah tanda kekuatan seorang suami. Berbincang dengan isteri adalah tanda kita memenuhi nafkah batin untuknya. Mendengar rintihan isteri, diam ketika dia sedang marah, bersabar dengan karenahnya, memujuk dan menyapu air matanya adalah tanda kita memenuhi keperluan emosinya.

Suami tak bagi bunga, isteri tak kisah. Suami tidak hadiahkan kepingan coklat cudburry, isteri tidak sedih. Tiada rantai mahal, tiada percutian mewah, tiada teddy bear, tiada candle ligth dinner atau tiada taburan kelopak mawar atas katil. Semua itu isteri tidak peduli.

Yang dia peduli, apakah suami mendengar suara hatinya? Ketika dia sedang bersedih, menangis, penat, keletihan, marah, geram dan berkecil hati. Adakah suami menyedari dan mengerti?

Kadangkala isteri juga mahu luangkan masa bersama suami. Berdating berdua, berjalan ke tempat cantik, berpegangan tangan, berbual sambil berkongsi straw minuman, makan bersuap, selfie berdua dan seumpamanya adalah cara memenuhi keperluan emosi isteri. Alangkah indahnya perasaan isteri.

Cakap Baik-baik

Selain daripada itu, bercakaplah dengan lemah lembut dan gunakan perkataan yang baik. Jangan suka menyindir dengan maksud gurauan atau sebaliknya. Jika isteri berkecil hati, tercalarlah emosinya. Suami yang baik akan selalu mencairkan hati walaupun tidak mengeluarkan bahasa romantik.

Isteri adalah cerminan suami. Baik suami baiklah isteri (InshaAllah). Suami yang suka mendidik isteri bermakna dia sedang berusaha memenuhi nafkah batin untuk isteri. Beri nasihat dan tegur dengan cara yang baik bila dia tersilap, ajarkan dia tentang akidah islamiyah, ibadah, akhlak dan sebagainya. Jika suami tidak mampu, izinkanlah dia keluar ke kelas pengajian.

Begitulah..

Seperti kita tidak pernah mengabaikan nafkah zahir (duit belanja, pakaian baru, duit makan, segala keperluan dan kelengkapan diri untuk setiap bulan), begitu juga dengan nafkah batin. Jangan diabaikan. Kerana sesungguhnya nafkah batin bukan hanya keperluan di bilik tidur semata.