Jiwa lelaki ni rapuh. Tinggi manalah pangkat mereka pun, bila tiba bab kasih sayang, orang lelaki memang rapuh. Jangan sampai jiwa mereka kosong tanpa kasih sayang. Walau sudah beristeri, andai perkahwinan masih terasa hambar.. oh makin mudahlah jiwanya rapuh.
Sebab itu, lelaki kena bina benteng keimanan yang tinggi dalam diri mereka. Dan sebab itulah tuhan cuma memberikan satu nafsu saja pada lelaki. Kalaulah 9 nafsunya macam perempuan, makin retak berderailah jiwa rapuh mereka.
Sakit hati kan isteri bila hidup dalam sebuah perkahwinan diterajui lelaki curang. Bak ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Ikatan benang takkan pernah lurus. Sentiasa bengkang bengkok, malah mudah benar hanyut ditiup badai.
Bagaimana mahu menawan jiwa lelaki yang rapuh ini wahai isteri. Solusi ini mungkin jadi bagi sesetengah isteri, mungkin juga tidak menjadi. Sebabnya, ujian tuhan itu berbeza-beza ikut kemampuan seseorang.
Ads
Namun ini sekadar idea untuk dipraktikkan agar suami berjiwa rapuh ini tiada alasan untuk curang.
Jangan Beri Suami Beralasan Untuk Curang, Ini 3 Tipnya
Pertama : Setiap Hari Bisikkan ‘Cuma Saya Satu-satunya Isteri Abang, Tiada Dua, Tiada Tiga’
Bunyinya macam paranoidkan. Tapi percayalah hipnosis sebegini menjadi. Lagi-lagi jika anda bisikkan pada malam-malam hari sebelum masuk tidur, ketika anda mahu meminta maaf dari suami. Ingat ya isteri. Kita kena kerap minta maaf dekat suami hari-hari.
Ads
Walaupun kadang suami perli balik ke camane (biasalah lakikan ego tinggi, kes-kes macam ni mesti ada punya) buat tak faham je. Teruslah minta maaf. Sebab kita takkan tahu adakah malam itu hari terakhir untuk kita bertemunya.
Kenapa kata-kata atas tu sangat berkuasa. Sebab dalam tak sedar, kita dah selitkan dalam minda bawah sedar suami yang kitalah satu-satunya isteri dia. Dan bayangkan kalau bertahun-tahun itu yang kita selitkan tanpa sedar. Tak melekat lagi.. tak taulah..
Kedua : Penuhkan Jiwa Suami Dengan ‘Senjata’ Kasih Sayangmu Wahai Isteri
Haa.. kalau dah selit kata-kata atas tu, jangan pula kita abaikan emosi suami. Kita kena penuhi dengan kasih sayang yang mana rahsia rumah tangga ini anda saja yang tahu. Jangan didedah-dedah rahsia itu. Karang ada je yang nak mengendeng. Eh!.. Eh! Bukan paranoid okay.
Ads
Antara senjata kasih sayang tu yang boleh dishare dekat sini tentulah belaian manja, urutan; kalau nampak suami tu letih urutlah badan, tangan atau kakinya. Minuman panas dari air tangan isteri. Sambil itu, tanya dia nak minum apa macam kat kedai makan tu. Lembut dan manja je.
Guna bahasa yang lembut ketika berdua dengan suami. Jangan berkasar. Kalau nak merajuk pun kena ada skill merajuk tu. Bukan main taram je. Padah nanti. Masakkan makanan best untuk suami. Kalau merajuk pun masakkan juga, cuma kalau tak bersuara tu nanti suami faham sendiri. Jangan lama-lama merajuknya, 3 hari dah cukup.
Ketiga : Bila Cuma Berdua ‘Gila-gila’ Tu Tak Salah Pun
Kalau segan ada anak-anak, bila berdua dengan suami, jadilah isteri seperti mula-mula anda bercinta dengannya dulu. Tak salah pun jadi ‘gila’gila’ bila berdua-duaan saja dengan suami. Biarkan dia rasai, diri anda tak pernah berubah dari mula kahwin sampailah anak 9.. eh!
Fizikal tak nafikanlah akan ada perubahan. Maksudnya disini, jiwa kita masih sama macam dulu-dulu. Sebab itu orang kata nak cari ‘soulmate’ tu tak senang. Sebab rumahtangga akan jadi kental dan kuat apabila suami mahupun isteri merasakan mereka telah bertemu ‘soulmate’ mereka. Yang melengkapi jiwa dan membolehkan mereka menikmati anugerah bahagia hidup berumahtangga yang Allah beri.
Hmm.. cukuplah tiga dulu ya. Karang beri lebih-lebih pun.. bila dipraktik sangat perasan plak suami kita semacam nak hipnosis dia bagi tak curang. hahaha.. Tapi apa salahnya pun kan, suami sendiri dan menjadi tanggungjawab isteri untuk memberi rasa cinta dan kasih sayang untuknya.
Cuma pesan orang tua saya, walau macam mana sayang pun dengan suami kena simpan sikit dalam 20 peratus macam tu untuk kita sayangi diri kita sendiri. Kalau terluka tidaklah teruk nanahnya. Tidaklah mendoakan.. cuma ada bagusnya pesan orang tua saya ni kan?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Cemburu memang perlu ada dalam rumah tangga. Walaupun cemburu itu tanda sayang kata kebanyakan orang tapi kalau berlebihan boleh menjadi racun dalam rumah tangga. Apa yang anda fikir sekiranya suami tidak pernah persoalkan anda keluar pada bila-bila masa dengan lelaki lain? Dah tak sayangkah?
Berikut perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya dari Promind Training And Consultation.
Saling ‘Menguji’ Pasangan
Untuk memujuk hati maka anda kata itu memang janji yang anda sendiri minta dia penuhi sebelum berkahwin dulu. Maklumlah tempat anda bekerja memerlukan anda bertemu dengan ramai orang atas berbagai-bagai urusan.
Namun setelah beberapa tahun berkahwin, tidak pernah sekali pun dia bertanya dengan siapa anda keluar walaupun jelas anda ada bercerita tentang betapa kacaknya pelanggan syarikat anda itu.
Berhak Cemburu
Saya boleh sahkan memang ada suami begitu tetapi saya tidak mahu mengulas dalam ruang kecil Nota Untuk Isteri ini. Cuma izinkan saya ubah sedikit soalan tadi.
Apa pula anda fikir jika suami anda yang kacak, sado dan bergaya itu selalu bertemu klien-klien wanita atas urusan kerja? Adakah mendebarkan perasaan anda jika suami selalu menerima panggilan telefon di waktu malam yang suami kata semuanya atas urusan kerja?
Saya percaya anda lebih sanggup dicurah timah panas ke dalam lubang telinga berbanding mendengar bunyi telefon daripada pelanggan wanita yang menelefon suami di waktu malam yang semuanya atas urusan kerja. Maaf jika contoh ini agak keterlaluan tetapi saya setuju anda berhak untuk cemburu dan berhak menjalankan proses soal siasat atas pelanggan itu.
Cemburu Hingga Asyik Bertengkar
Namun bagaimana jika anda sentiasa cemburu setiap kali suami pergi ke pejabat? Jika suami anda seorang doktor ada membayangkan ada saja jururawat muda berkenan dengan suami anda.
Jika suami anda seorang guru, anda sentiasa syak ada pelajar tingkatan 6 yang memandang suami anda dengan perasaan lain. Jika suami anda seorang usahawan berjaya, anda selalu menyerbu ke pejabat kerana tidak percaya kepada setiausaha kepada suami anda.
Memang anda merasa cemburu sebab anda sayang tetapi apalah gunanya rasa sayang itu jika setiap hari anda bertengkar dengan suami disebabkan perkara itu?
Cemburu Itu Perlu
Saya kata cemburu itu memang perlu dalam rumah tangga. Ianya umpama vitamin atau antibiotik yang boleh mencegah apa-apa ancaman terhadap kebahagiaan anda. Namun ianya juga boleh menjadi racun merbahaya jika tidak terkawal.
Rasa cemburu yang keterlaluan menunjukkan anda sentiasa merasa ‘terlalu kurang’ berbanding orang lain sehingga menyakitkan perasaan anda terhadap suami.
Anda selalu terasa tidak selamat dan terasa akan ditinggalkan pada bila-bila masa disebabkan orang lain. Puncanya mungkin bukan daripada suami atau perempuan lain tetapi datang dari dalam diri sendiri. Anda mungkin ada rahsia gelap, pernah menjadi mangsa pencabulan emosi atau seksual semasa kecil atau kesan daripada cara anda dibesarkan sebelum ini.
Suka Bandingkan Diri Sendiri
Bukan satu rahsia orang perempuan selalu membandingkan diri mereka dengan orang lain. Siapa kulitnya paling putih dan gebu, siapa yang lebih cantik, siapa yang lebih seksi dan seterusnya. Walaupun berbuih mulut suami menyatakan anda wanita paling cantik di matanya tetapi anda tetap tidak percaya.
Masalah bermula apabila anda merasa yang anda betul apabila merasa suami sentiasa terus mencari perempuan lain yang lebih cantik berbanding anda. Ini bukan masalah suami tetapi masalah anda tidak yakin kepada diri sendiri.
Lelaki Tak Suka Wanita Tak Yakin Diri
Lelaki sangat tidak suka kepada perempuan yang tidak yakin kepada diri sendiri. Apa yang anda bayang-bayangkan dalam kepala itu menjadikan anda cemburu buta dan akhirnya bertukar menjadi realiti ngeri yang benar-benar berlaku.
Apa yang anda boleh elak jika rasa cemburu itu menjadi semakin teruk? Segalanya terserah pada anda. Jika anda rasa punca cemburu itu ada benarnya maka tindakan untuk berubah adalah penyelesaian terbaik. Contohnya sejak kebelakangan ini mesin penimbang di rumah semakin memberi petunjuk yang anda semakin memberat. Terimalah hakikat itu dan bertindak untuk mengubahnya.
Pergilah bersenam atau apa sahaja sehingga keadaan kembali terkawal. Jika suami ikhlas menegur cara anda berpakaian di rumah maka terimalah teguran itu dan berubahlah. Jika anda cemburu kerana anda ada rahsia gelap maka keluarlah daripada sejarah itu. Anda tidak boleh ubah apa yang sudah berlaku tetapi anda boleh membetulkan keadaan untuk masa yang akan datang.
Sumber: Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation
Mulanya sekadar berkongsi hobi yang sama. Siapa sangka akhirnya saling jatuh cinta dalam hubungan yang terlarang. Bila jatuh pada orang yang salah, pelbagai masalah pula yang muncul. Ikuti perkongsian seorang wanita kepada MW.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan sembilan tahun. Merupakan seorang guru dan begitu juga dengan suami.
Saya tinggal di sebuah kawasan perumahan di pinggir kota. Kebanyakan yang tinggal di situ adalah ibu bapa muda yang usianya lebih kurang saya dan suami. Saya juga jenis yang gemar mengikuti apa-apa kegiatan di kawasan perumahan tak kira anjuran masjid atau sebagainya. Manakala suami pula agak ‘culas’, pada masa terluang lebih dengan hobi memancingnya hingga saya sering kali ‘naik angin’.
Tapi bagi saya, perlu untuk mengenali jiran tetangga kerana jika ada kecemasan, boleh juga meminta pertolongan.
Gemar Masak
Pada masa terluang, saya gemar memasak kerana bagi saya itulah terapi untuk melepaskan tekanan bahkan minat itu memang hadir sejak kecil kerana suka membantu mak yang merupakan pengusaha kantin.
Memandangkan anak-anak masih kecil dan tidak terlalu banyak makan, saya sering kali berkongsi makanan yang dimasak dengan jiran tetangga. Maklumlah, dah terbiasa masak dalam kuantiti yang agak banyak. Daripada membazir, lebih baik sedekah pada jiran tetangga. Secara tak langsung makanan itu penyambung silaturahim antara jiran.
Jiran sebelah kiri rumah saya berbangsa Cina dan suka dengan masakan saya terutama kek keju hasil air tangan saya. Malah acap kali mereka menempah jika ada keraian di rumah atau di pejabat mereka.
Manakala jiran sebelah kanan rumah pula pasangan Melayu dan punya tiga orang anak. Dengan mereka saya paling rapat malah anak-anaknya yang berkawan dengan anak-anak saya dan sering ke rumah saya. Malah kata mereka, seronok bila ke rumah saya kerana boleh makan macam-macam.
Rapat
Pasangan jiran saya itu isterinya, saya kenalkan sebagai K juga guru seperti saya manakala suaminya, M, seorang pensyarah. bekerja swasta. Namun si isteri memang jarang masak, itu pun saya ketahui menerusi anak-anak mereka. Malah M yang suka memasak dan sering kali memasak.
Dipendekkan cerita saya dan M sering bertukar resipi menerusi whatsapp. Entah bila bermula, kami juga mula berkongsi masalah kerja, soal anak-anak. Tanpa disedari, kami telah menjalinkan kemesraan di luar batas antara jiran!
Puan, kami berdua saling menyayangi. Pernah kami cuba tepis perasaan itu namun tak berjaya. Ia tidak diketahui oleh pasangan kami. Tak dapat dibayangkan apa akan jadi kalau mereka tahu.
Saya sendiri sedar saya berdosa kerana menduakan suami. Tapi bagaimana saya boleh tepis perasaan ini sedangkan setiap hari kami akan bersua muka? Perlukah saya berpindah tapi saya tak mampu untuk membeli rumah lain ketika ini. Saya ingin keluar dari perangkap cinta terlarang ini tapi tak mampu…
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Imam Ghazali pernah bertanyakan lima persoalan kepada anak muridnya. Antara satu soalan yang ditanya apakah yang paling besar dalam dunia ini?
Pelbagai jawapan diberikan oleh anak muridnya. Tiada satu jawapan yang betul. Maka Imam Ghazali memberitahu jawapannya kepada anak muridnya bahawa yang paling besar dalam hidup ini adalah nafsu. Apakah yang dimaksudkan dengan besar? Besar di sini bermaksud manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada…apa yang Allah telah kurniakan senantiasa rasa tidak cukup.
Menarik
Mungkin pada ketika itu manusia rasa cukup dan tiada kekurangan dalam dirinya, namun apabila ada sesuatu yang menarik di mata dan di hatinya, atau lazat atau menimbulkan kesukaan dan kegembiraan yang teramat sangat.
Maka dia akan mudah terpaut dengan apa yang sedang dirasainya dan keinginan memilikinya amat tinggi tidak kira dalam apa jua bentuk sehingga dia terlupa adakah kenikmatan dan kegembiraan yang sedang dirasainya ketika itu memberi kebaikan atau keburukan kepada dirinya.
Apabila kenikmatan yang sedang dikecap itu dibiarkan untuk sekian lama tanpa berusaha secara bersungguh-sungguh mengatasinya, melayan perasaan dan fikiran ketika itu dengan apa yang dikecap, maka lama kelamaan kenikmatan itu menjadi “ketagih” yang apabila tiadanya benda, item, manusia, perkara atau peristiwa itu menjadikan hidupnya tidak tenteram, tidak boleh fokus, perasaan yang tidak tenang, fikiran yang kacau, hidup kurang bermaya, tiada motivasi, malah sebahagian besar aktiviti seharian akan terjejas.
Nafsu Sukar Dikawal
Bercinta juga merupakan nafsu yang susah dikawal, walaupun bercinta itu indah dan jika dikuti dengan landasan yang betul dari segi adat dan agama maka ianya akan menjadikan hidup ini lebih bermakna. Bermakna dalam erti kata dia menyambung hubungan dengan manusia lain yang boleh dikongsi masalah dan hidup serta melahirkan zuriat yang perlu dididik dengan baik hingga berjaya. Namun jika sudah lari landasan yang sebenar, ianya bukan lagi cinta tetapi nafsu syaitan yang dituruti…
Bercinta yang melampaui batas adat dan agama juga antara nafsu yang tidak dibendung. Disebabkan asyik dan indahnya berada dalam alam khayalan fatamorgana yang dinamakan “cinta” itu, sebenarnya telah ditipu oleh syaitan hanya kerana nafsu yang tidak dikawal.
Nafsu yang tidak boleh dikawal, tidak diurus dengan baik, malah dibiarkan sehingga melampaui batas akan memberi kesan yang amat buruk, kepada diri, keluarga dan masyarakat, apatah lagi terhadap Pencipta. Keburukan mungkin tidak nampak ketika itu, tetapi dalam jangka masa panjang ianya akan memudaratkan diri, malah mendatangkan kemurkaan Allah.
Tak Diredai Allah
Manusia tidak mampu berfikir apakah kenikmatan yang dirasai itu diredai Allah atau mendatangkan kemurkaan Allah. Malah kesannya nanti azab yang bakal diterima di neraka kelak. Nikmat yang dirasai tidak sepadan dengan azab yang bakal diterima di akhirat kelak…nauzubillah….
Manusia sering kali pendek akalnya…hanya memikirkan keseronokan yang dirasai ketika itu sahaja. Dia tahu bahawa itu sesungguhnya tidak baik untuknya, untuk keluarganya, malah mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia belum berusaha bersungguh-sungguh untuk “meninggalkan” keindahan dunia yang sedang dikecapinya.
HANYA KERANA MENGIKUT NAFSU
Puan yang dirahmati Allah. Cuba tanya pada diri, adakah puan bercinta seperti yang saya nyatakan di atas, atau puan mengikut hawa nafsu hingga sudah tidak boleh membezakan antara dosa dan pahala?
Tidak boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk? Jika puan sudah menyedari ianya dosa besar yang puan lakukan terhadap diri puan sendiri, terhadap suami, terhadap anak-anak dan keluarga puan, malah manusia lain iaitu isteri kepada jiran puan dan anak-anaknya, maka mahukah puan berusaha bersungguh-sungguh untuk “membasuh” dosa yang puan lakukan?
Dosa yang belum tentu diampunkan Allah hanya dengan tidak lagi berhubung dengannya? Puan tahukan besarnya dosa isteri yang berzina dengan lelaki lain? Nauzubillah. Puan seorang guru…seorang pendidik…perlu berusaha keras untuk “membasuh” dosa itu. Tidak kira sama ada ianya akan jadi bersih atau tidak. Namun usaha puan mesti berlipat kali ganda untuk membasuh dosa itu, mesti berusaha…ada kesungguhan, komitmen, ketahanan dan sanggup mengawal nafsu yang senantiasa mengajak kepada tuntutan syaitan.
Sebagaimana puan mendidik para pelajar puan agar belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah cemerlang akhlak dan cemerlang dalam kehidupan, maka puan juga perlu ada keinginan dan keazaman yang kuat. Saya rasa puan sendiri tahu caranya…namun saya hanya mengulangi petua dan panduan untuk membantu puan melupakan sejarah hitam yang memberi kemurkaan kepada Allah dan kedukacitaan kepada ahli keluarga puan, khususnya suami puan.
Putuskan Hubungan
Pertama, putuskan terus hubungan dengannya. Tukar nombor telefon. Kedua, jika ada keramaian dengan keluarganya atau masyarakat setempat, seboleh mungkin elakkan. Elakkan bertentang mata dengannya, walaupun berselisih atau terserempak dengannya. Jika puan tahu dia berada di luar rumah dalam waktu tertentu, cuba jauhi daripadanya.
Jika dia minta untuk berjumpa buat kali terakhir untuk jelaskan segalanya, lupakan! Itu adalah ajakan syaitan…. bukannya kebaikan. Setakat nak bertukar-tukar masakan dan berkongsi hobi, banyak lagi cara yang dibolehkan. Ketiga, tumpukan kepada kerjaya membina anak-anak. Kerjaya puan adalah kerjaya yang murni.
Tugas seorang pendidik mendidik manusia untuk jadi lebih baik. Jangan hanya kerana mengikut nafsu, maka puan sanggup “mencalarkan” kerjaya seorang pendidik. Seterusnya bina cinta dengan suami, bukan lelaki lain.
Belajar mencintai suami dan anak-anak. Penuhi masa dengan perkara yang berfaedah untuk melupakan apa yang puan telah lakukan yang menimbulkan kemurkaan Allah. Bertaubatlah sementara pintu taubat masih diterima Allah. Banyakkan solat malam mohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Banyakkan membaca al-Quran, ikuti majlis ilmu agama. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa puan.
Artikel: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebenarnya bila-bila masa, dekat mana, dalam bentuk apa pun cukup mudah untuk kita melakukan amalan ber sedekah. Tak perlu tunggu jadi kaya raya baru nak mula.
Zatika Izati Puade berkongsi cara mudah dan murahnya untuk mulakan langkah bersedekah. Tak perlu pun lakukan dalam bulan Ramadan saja, bulan-bulan lain pun elok diteruskan amalan mulia ini.
(Semoga bermanfaat untuk hari-hari terakhir Ramadan ini dan seterusnya boleh juga diamalkan pada bulan-bulan lain.)
1. Jika membeli kuih daripada peniaga tepi jalan, atau bazar Ramadan, hulurkan wang extra, dengan pesanan supaya peniaga berikan kuih percuma untuk pelanggan lain.
Atau jika mereka sanggup, hantarkan ke masjid atau surau untuk dibuat hidangan moreh.
Sahabat-sahabat saya yang berniaga makanan, boleh berikan details barang jualan dan lokasi dalam ruangan komen. Manalah tahu ada yang ingin berkongsi rezeki.
2. Jika masak memasak bukanlah kita punya forte, belikan buah untuk jiran-jiran tetangga. Terutama jika kita dapat membeli buah yang jarang dijumpai.
Doakan supaya Allah SWT kurniakan nikmat kesihatan buat mereka.
3. Beli sabun mandi cecair dalam botol besar begini dan tinggalkan di tempat wuduk surau RnR atau surau atau masjid yang kita singgah dalam perjalanan pulang ke kampung.
Ia lebih banyak kegunaan berbanding sabun basuh tangan dan lebih murah (cari house brand).
4. Tempahkan makanan yang mudah dan murah untuk jururawat yang bekerja shift malam di hospital untuk mereka bersahur.
Contoh: Ada sahabat saya menjual jagung lerai dan jagung dalam cawan.
Sahabat-sahabat lain yang nak berkongsi info, dipersilakan juga.
5. Sedekahkan tenaga dan wang untuk mesin dobi. Tolong cucikan telekung dan sejadah tempat-tempat awam seperti hospital, pusat beli belah, hypermarket.
6. Pekkan kit kebersihan untuk golongan gelandangan. Boleh buat bersama anak-anak. Antaranya berus gigi, ubat gigi, sepit kuku, sikat, bedak, tuala wanita, tuala kecil, sabun mandi.
7. Keep small changes in your pocket. Duit seringgit misalnya. Apabila terjumpa kanak-kanak, hadiahkan saja sebagai duit raya. Insya Allah dapat pahala kerana menggembirakan mereka.
Jika ada idea lagi, Tuan Puan boleh share dalam bahagian komen.
Lala Menyapa, Halia Terpaku! Ramadan ke-23 mak-mak masih tak jemu memasak untuk keluarga tersayang.Hari ini apa kata mak-mak cuba masak menu Lala Menyapa, Halia...