Suami yang bertanggungjawab dan anak yang sihat antara rezeki yang Allah kurniakan. Jangan hanya fikir duit dan harta saja rezeki yang Allah kurniakan. Rezeki itu bukan hanya pada wang ringgit.
Walau tak memiliki harta yang banyak dan hidup mewah, sebenarnya kita perlu melihat pelbagai sudut lain yang mampu membuatkan kita bahagia dalam hidup. Rezeki itu meliputi kesihatan, ilmu, sahabat, masa lapang, idea dan pelbagai lagi sehinggakan kemampuan melaksanakan amal ibadah juga merupakan rezeki.
Suami Tak Kaya Tak Apa, Asal Bertanggungjawab
Tak mengapa kalau pun tak punya harta banyak, tapi melihatkan anak-anak dapat membesar dengan sihat dan cergas, ia juga satu rezeki yang tak ternilai harganya. Andainya anak-anak kita cemerlang dalam akademik, itu satu lagi BONUS. Betul kan?
Anak Tak Bijak Akademik Tapi Cemerlang Akhirat, Itu Semua Rezeki
Namun, yang paling penting, didiklah anak untuk cemerlang di akhirat. Tiada gunanya anak hanya cemerlang di dunia. Pandai belajar dan berkelulusan tinggi namun tak mampu mendoakan kita kelak bila kita sudah tiada. Alangkah ruginya kita.
Oleh itu jangan bersedih andai anak kita mungkin tak secemerlang anak orang lain. Tapi dia seorang anak yang taat pada Allah dan pada kita ibu bapanya. Seorang anak yang sangat menyenangkan hati. Itu pun rezeki bukan? Cuma sebagai mak, sentiasa doakan agar dia tetap menjadi orang yang berguna dan berjaya dengan caranya yang tersendiri kelak.
Walau Tak Kaya, Suami Penyayang Dan Bertanggungjawab
Apa lagi yang wanita inginkan selain memiliki suami yang penyayang dan bertanggungjawab pada dirinya dan anak-anak. Itu juga REZEKI bagi seorang isteri. Apatah lagi pada zaman sekarang, ramai suami yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
Ads
Tak dinafikan, duit itu penting namun ia bukan perkara paling utama dalam hidup. Bila suami seorang yang bertanggungjawab, sudah pasti dia akan berusaha keras untuk memenuhi kecukupan keluarganya biar pun mungkin tidaklah mewah.
Keluarga Sihat Juga Rezeki
Apa gunanya harta dan duit yang melimpah ruah jika tidak sihat. Tak kira yang diuji sakit itu suami, anak-anak atau kita sendiri. Maka, bersyukurklah bila ada keluarga yang sihat kerana kesihatan tak mampu dinilai dengan wang ringgit.
Bila anak sihat, kita tak risau dan boleh bekerja tanpa rasa risau. Bayangkan kalau anak asyik sakit, tentu hati tak selesa hinggakan terpaksa ambil cuti untuk menjaga anak.
Ads
Hidup Ikut Kemampuan
Kita perlu sedar tentang kemampuan diri. Jadi jangan terikut-ikut dengan gaya hidup orang lain. Mungkin orang lain boleh setiap minggu membeli pakaian baru untuk anak-anaknya tapi kita hanya setiap tiga empat bukan sekali baru boleh belikan. Atau bila tiba musim perayaan barulah dibeli yang baru.
Lagi pula, daripada membeli pakaian baru untuk anak-anak, lebih baik beri anak makan makanan yang sedap walau pun yang dimasak sendiri.
Bila kita hidup berlandaskan kemampuan diri kita, pasti semuakan akan cukup. Namun, tak salah sesekali nak reward diri dan keluarga dengan pergi makan di tempat mahal, tapi kira bajet dulu ye.
Ads
Sentiasa Syukur
Sentiasa ingatkan diri supaya sentiasa brsyukur dengan rezeki yang kita peroleh dalam hidup. Bila kita sentiasa bersyukur tak tak merungut, hati kita akan tenang. Kita dapat terima keadaan diri kita yang mungkin tak semewah orang lain.Tapi kita tetap mampu bahagia dengan cara kita sendiri. Memang duit itu penting namun bukan segala-galanya.
Suami yang terlampau ralit dengan gajet, hubungan dengan keluarga semakin renggang. Gajet seperti telefon pintar sememangnya sangat penting dan ianya adalah keperluan dalam hidup. Tetapi jangan sampai menjejaskan hubungan kekeluargaan.
Banyak kes penceraian berlaku kerana suami isteri kurang berkomunikasi, masing-masing sibuk dengan kerja sendiri. Adik beradik kurang berkomunikasi, anak dengan ayah saling tidak bertegur sapa walau ada didepan mata. Ibu dan ayah tidak bermesra, semuanya kerana gajet.
Suami mula tidak mengendahkan isteri, setiap pertanyaan isteri tidak dihiraukan, yang dipentingkan ialah telefon bimbit. Jika anda dapat meluangkan masa berjam-jam mengadap telefon, mengapa mahu luangkan masa selama setengah jam dengan isteri terasa sangat sukar?
Sangat penting komunikasi dalam sesuatu hubungan, ada satu luahan di mana luahan itu khas buat seorang suami yang pentingkan telefon bimbit dari isterinya sendiri. Diambil dari theasianparent, mari kita hayatinya.
Apabila suami asyik dengan gajet
Wahai suami yang asyik dengan telefon, anda hanya perlu masa 1 minit (atau kurang) untuk terlepas momen indah dan istimewa yang tercipta di antara isteri dan anak-anak. Percayalah, anda – suami asyik dengan handphone akan terlepas semua momen indah yang anda tak jangka ini.
Anda perasan tak bagaimana anak perempuan anda itu ternanti-nanti perhatian dari anda kerana dia sudah berjaya mengeja? Anda mungkin tak nampak momen indah ini kerana anda sibuk dengan handphone.
Anda juga mungkin tak nampak yang isteri tercinta baru saja berjaya mengajar anak lelaki anda menghirup air dengan straw, dan dalam sekelip mata, si manja anda berjaya meniru aksi ibunya! Apabila suami asyik dengan handphone, dia mungkin akan terlepas momen tertentu.
Anak Membesar Depan Mata Pun Tak Perasan
Entah berapa banyak pencapaian anak-anak yang anda terlepas? Entah berapa kali anak lelaki anda memandang anda untuk meminta perhatian, tapi anda tak menghiraukannya?
Entah berapa kali isteri anda terpaksa ulang soalan beliau kerana anda tak dengar apa dia cakap? Entah berapa kali makan malam yang disediakan si isteri sejuk kerana anda lambat nak makan, sibuk main telefon saja?
Suami asyik main handphone tertinggal momen indah yang patut dihargai. Semua ini mungkin antara momen-momen indah dan bernilai yang anda terlepas. Hubungan dengan gajet itu akan merosakkan hubungan anda dengan keluarga anda sendiri.
Ketahuilah… anak dan isteri anda hanya mahukan perhatian dan kasih sayang dari anda. Mereka mahu anda letak sekejap telefon itu. Jangan jadi suami yang asyik main handphone sekejap. Satu minit saja.
Pandanglah mereka. Peluk mereka. Cakap dan bersembanglah dengan mereka. Senyum dan ukir tawa di bibir mereka.
Apabila isteri anda minta sedikit me-time, itu bukan tanda mereka mahu merungut kepenatan dan ingin meninggalkan anda. Itu sebenarnya tanda mereka “meminta bantuan”.
Mereka memerlukan anda
Semua cerita di Facebook itu boleh tunggu. Daripada anda sibuk nak tahu apa yang semua orang sedang buat, apa kata anda cipta “momen” anda sendiri?
Semua permainan dan level dalam game anda itu boleh tunggu. Anda mungkin akan kalah dalam games, tapi anda akan memenangi hati anak anda. Mereka akan menyayangi bapa mereka sepenuh hati.
Malah, emel dari bos anda itu juga boleh tunggu. Bukankah anda bekerja untuk keluarga? Kenapa bawa balik kerja ketika anda bersama keluarga, pula? Wahai suami yang asyik main handphone, anda tak mahu menyesal di kemudian hari…
Anda hanya ada satu kehidupan. Anda hanya ada satu peluang di muka bumi ini untuk bersama dengan insan yang anda sayang. Anda hanya ada satu peluang untuk jadi suami dan bapa yang terbaik.
Marilah sama-sama kita menjauhkan diri dari alam maya secara sihat. Marilah kita hidup pada ‘masa sekarang’ di mana isteri, anak perempuan dan anak lelaki anda sedang ketawa riang sambil belajar menyanyi setiap hari.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Isu menantu perempuan dan mak mentua satu ‘masalah’ yang seolah tiada kesudahan. Bila sama-sama keras kepala maka yang jadi mangsa adalah si lelaki. Situasi akan menjadi lebih buruk bila si lelaki tidak tahu memainkan peranan bagi mendamaikan antara isteri dan juga ibunya.
Kisah pergolakan antara menantu dan mak mentua sangat sulit untuk diselesaikan. Isu mak mentua mentua dengan menantu perempuan memang tidak akan habis sampai bila-bila pun. Jika tidak ditangani secara bijak maka akan rosaklah rumah tangga yang dibina.
Hubungan mak mertua dan menantu perempuan seringkali tidak harmoni. Pendek kata ada-ada sahaja yang tidak kena. Hal ini bukanlah sekadar mitos. Kajian membuktikan konflik memang sering ‘tumbuh’ di antara mak mentua dan juga menantu perempuan.
Berikut perkongsian Akhtar Syamir
MENANTU BUKAN PILIHAN DAN MENTUA PEROSAK RUMAH TANGGA
Aku cintakan kamu, kamu cintakan aku. Hari ini, kita bergelar suami isteri. Kita akan bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.
Ringkas dan mudah bukan? Ini perkara yang berada di dalam kepala pasangan yang baru sahaja bernikah.
Tapi ianya sering tidak semudah itu. Kerana ada anasir luar (baca : dalam) yang mempengaruhi kehidupan suami isteri. Anasir luar yang dimaksudkan ialah ibu-bapa mentua. Ibu dan bapa pasangan itu sendiri.
Apabila anak sudah meningkat dewasa dan bersedia untuk berkahwin, sudah pastinya anak itu sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Betul, ibu dan bapa mempunyai pendapat dan boleh memberi pendapat tentang pilihan hati anak. Ini dipanggil menjadi ibu-bapa. Pastinya ibu dan bapa mahukan yang terbaik untuk anaknya.
TERLEBIH MELINDUNGI
Tidak salah sebenarnya, kadang-kala kerana cinta, mata yang celik pun boleh menjadi buta. Ada yang jatuh cinta dengan penagih yang tidak berniat untuk berhenti. Ada juga yang jatuh cinta dengan wanita liar yang tidak mahu berubah. Di sini, ibu-bapa memang patut memainkan peranan membawa kembali pandangan mata anak kepada realiti dan akibatnya nanti.
Masalah tiba apabila bila ibu-bapa pula yang terlebih melindungi anak hanya kerana hatinya tidak berkenan dengan bakal menantunya. Di sini bermulalah segala jenis masalah yang dikaitkan dengan menantu bukan pilihan.
“Kalau kau aku tak suka, dengan keturunan kau pun aku tak suka”. Ya, memang ada yang sampai ke tahap itu. Benci, menyampah, buruk, huduh, tak layak, murahan dan macam-macam lagi perasaan yang bermain di minda mentua apabila anaknya berkahwin dengan yang bukan pilihan hatinya.
Bermacam alasan diberi, pilihan anak itu tak cantik, belajar tak pandai, kerja tak bagus atau tidak bekerja, keturunan tak kaya dan tak sama taraf. Kadang-kala sehingga kehabisan sebab, tetapi masih lagi tidak boleh terima. Di carinya lagi sebab lain yang boleh teruskan kebencian di hati.
Biasa dengar mentua yang tak suka negeri itu ini?
“Jangan kahwin dengan orang Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur”
Habis semua negeri tak boleh kahwin, itu tak boleh, ini tak boleh.
Masakan menantu sentiasa tidak kena dengan selera. Asam pedas tak cukup masam, kari tak cukup pekat, masak lemak tak cukup pedas, ikan goreng tak garing, nasi lembik, sambal belacan tak pedas, rendang tak sedap, ayam goreng tak garing, masakan terlalu manis, masin, pahit, tawar sampai air kosong pun tak cukup sejuk.
Hidangan pula tak menarik, pinggan tak tersusun rapi, mangkuk tak guna yang sama tema, sumbing sikit tak boleh, pinggan basah pun kena lap bagi sempurna semua.
Pakaian menantu bukan pilihan sentiasa tidak kena. Terlalu singkat, terlalu labuh, tidak menarik, tak cantik, warna kelam, tudung senget dan macam-macam lagi.
Alasan untuk tidak menyukai dah habis. Walapun menantu dah ikut semuanya tetapi sangat susah mulut untuk memuji apa yang menantu buat. Seperti satu kesalahan yang besar jika mentua memuji menantu yang tidak disukainya itu.
JADI BAHAN UMPATAN
Menantu bukan pilihan juga sering jadi mangsa umpatan mentua dengan orang lain. Sama ada dengan ipar atau orang terdekat. Kadang-kala dengan sengaja membiarkan menantu itu dengar.
Antara yang menyakitkan hati, mentua sentiasa berkias-kias apabila bercakap dengan menantu bukan pilihannya. “Kedutnya baju anak aku, kenapa la tak bergosok?”, “Makin kurus anak aku ni sejak kahwin, tak cukup makan la tu”, “cucu aku semua putih, yang ini sahaja hitam legam”.
Menantu bukan pilihan juga akan sentiasa dipantau. Paling mentua tak suka apabila anaknya melebihkan isteri sendiri. Memang tak senang duduk dia. Sentiasa ingatkan anak yang ibu lebih penting dari isteri. Tengok isteri berpakaian baru, diperli-perlinya, tengok isteri ada cincin baru, cepat sungguh kena tegur, membazir la, tak cantik la.
Ada juga yang membanding-bandingkan menantu. Yang disukai sentiasa disebut-sebut, diangkat tinggi, dipuji selalu. Menantu yang itu kerjanya bagus, bukan suri rumah. Menantu yang ini belajar sampai PhD, bukan takat SPM je. “Bodoh tu nanti berjangkit kat anak” katanya.
Bila ada menantu yang selalu beri duit, dicanangnya satu kampung. Saudara mara yang datang pun habis dicerita semua. Menantu ini bagi gelang, menantu itu bagi duit, menantu yang ini tak pernah bagi apa pun. Setakat bagi tudung, apalah sangat. Tak penting pun untuk diceritakan.
Yang menyedihkan, anak kepada menantu bukan pilihan menjadi mangsa diskriminasi. Cucu yang itu la yang selalu dimarahi. Cucu yang itu la yang tidak dilayan berbanding cucu menantu yang disukainya.
Tidak cukup dengan itu, anak akan dihasut dengan pelbagai perkara yang tak elok. Kadang-kala sehingga mereka-reka cerita, diburuk-burukkan dan difitnah. Tujuannya supaya anaknya itu membenci isteri sendiri.
Seperti tidak masuk akal juga apabila perkara yang di luar kawalan dan kemampuan disentuh. Menantu yang masih tidak mempunyai anak akan sering diperli dan diperlekehkan kononnya itu semua salah menantu.
Yang pastinya, menantu bukan pilihan ini jika mahu mengambil hati, perlulah patuh dan mengikut 100% seperti apa yang dimahukan, barulah hatinya puas.
Itulah serba sedikit apa yang dilalui menantu bukan pilihan dan perangai ibu mentua yang merosakkan. Memang sangat menyedihkan.
DENGAR RAYUAN DAN ADUAN PASANGAN
Anak perlu sedar mengenai perangai ibu atau bapanya sendiri. Dengarlah rayuan dan aduan pasangan. Jika perlu bertegas, bertegaslah. Pasangan andalah yang akan bersama dengan anda, membesarkan anak anda dan melayan anda hingga ke akhirnya. Hati mereka amat penting untuk dijaga.
Janganlah menjadi anak emak yang membutakan mata serta memekakkan telinga apabila ada ketidakadilan berlaku dari ibu-bapa sendiri terhadap pasangan. Pasangan perlu dibela, pasangan perlu dipujuk. Mereka amat tertekan. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tidak dilayan. Jadilah suami atau isteri yang bertanggungjawab. Jangan biarkan anasir luar mempengaruhi kegembiraan hidup berkeluarga.
Hargai pasangan anda, itu pilihan hati anda. Jangan biarkan mereka menghadapi semua ini seorang diri. Berdiri di hadapan mereka. Bela mereka bila diperlukan, jangan biarkan pasangan dilukai sewenang-wenangnya.
Ini adalah situasi yang benar. Terlalu ramai menantu bukan pilihan yang sedang menderita. Bukalah mata dan lihat serta dengar sendiri. Jangan abaikan masalah ini.
Kepada menantu bukan pilihan, bersabarlah. Jangan berhenti berkongsi masalah ini dengan pasangan. Mereka patut tahu apa yang ibu atau bapa mereka sendiri sedang buat. Teruskan tabah, dan buatlah sebaik mungkin. Fokus kepada keluarga sendiiri, jangan biarkan orang yang tidak menyukai kita menentukan kebahagiaan rumah tangga kita.
Menantu perempuan dan mak mentua, usahlah sama-sama ‘keras kepala’ dan ego. Ingatlah bahawa jika persengketaan itu terus menerus berlaku yang menjadi mangsa adalah seorang lelaki yang bergelar suami dan anak.
Sumber kredit: Akhtar Syamir
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Menjaga mak ayah yang nyanyuk bukanlah tugas yang mudah. Menjaga mak ayah yang masih sihat, itu biasa tetapi apabila seorang anak perlu menjaga mak ayah yang sudah mencapai usia nyanyuk, ia memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Hanya orang-orang terpilih sahaja yang diberi kekuatan untuk melakukannya.
Serius! Ia bukan satu kerja yang mudah. Terutama dalam hal mahu menahan SABAR atas setiap tindakan mak ayah yang semakin lupa. Walau untuk mengingati peristiwa yang berlaku seminit yang lalu.
Apabila Allah memberikan ujian untuk anda pikul tanggungjawab sebegitu;
Pertama: Anda akan mula rasa terbeban, kerana ia bukan satu rutin yang mudah.
Kedua: Emosi anda akan bercampur baur antara kuat dan lelah.
Ketiga: Anda pasti akan berdoa moga tuhan hadirkan seorang penyelamat yang dapat mengambil alih tugas anda.
Ada banyak lagi perasaan yang akan anda lalui. Namun, telan sahaja semua itu, serahkan pada yang Esa. Tapi sebagai manusia biasa kita tetap kadang terlupa dan terbabas dari sifat sabar.
Kesabaran saja boleh jadi tak bermakna jika tidak dibekalkan sekali dengan reda dan ikhlas. Percayalah mereka akan menguji hati dan perasaan anak-anak. Berlembutlah sebab mak ayah yang nyanyuk bukan ingat pun apa yang dia buat.
Kenapa perlu gandakan kesabaran. Kerana bimbang anda tidak sabar, akhirnya mak ayah akan anda campakkan ke rumah orang-orang tua. Dan jangan ingat rumah kebajikan sedemikian akan menerimanya.
Sedangkan anda anaknya pun surrender, inikan pula orang luar. Jadi, apa pun anda belajarlah berdamai dengan ujian tuhan. Pasti ada hikmah dan kebaikan yang sedang Allah berikan pada kita sebenarnya.
LIMA TIP HADAPI IBU BAPA NYANYUK/DIMENSIA
Jadi, ini tip untuk anda-anda yang ketika ini perlu menjaga mak ayah yang berhadapan masalah nyanyuk atau Alzheimer.
1. Beri Jawapan Yang Sama
Mak ayah yang nyanyuk mereka tidak akan dapat mengingat walau kejadian seminit yang lalu. Setiap saat adalah perkara baru buat mereka. Anda yang berhadapan dengannya akan jadi cepat lelah. Letih nak menjawab banyak kali. Tapi, jawab sajalah dengan jawapan yang sama.
Jangan diubah-ubah, kerana jawapan yang berubah-ubah akan lebih membuatkan mereka kebingungan dan akhirnya emosi mereka akan berubah. Menjadi marah dan cepat perengus. Jika sudah terlalu lelah mahu menjawab, tanyakan kembali soalan yang sama pada mereka. Nanti anda lihat apa reaksi mak atau ayah yang terlupa-lupa ini.
2. Jangan Cabar
Pantang untuk mak atau ayah yang nyanyuk ini untuk diajak berdebat, atau anda cuba membetulkan keadaan salah mereka. PERCAYALAH! mereka takkan faham pun. Kerana pada mereka, kita cuma mahu mempersendakan mereka sebenarnya. Jadi, berlembutlah.
Jika kata-kata mereka tak masuk akal fikiran anda sekalipun, ajarlah fikiran kita untuk dengar dan lepaskan. Jangan masuk membawa sampai ke hati. Kerana akhirnya nanti anda yang keletihan.
3. Ketenangan Itu Wajib
Mereka yang diserang keadaan nyanyuk ini amat tidak boleh menerima perubahan. Hatta, perubahan itu cuma melibatkan kedatangan tetamu di rumah anda. Bermacam-macam persoalan akan bermain di fikiran. Jika tiba-tiba rumah anda akan didatangi adik beradik yang lain, bawalah mak atau ayah di bilik yang lain. Biar dia tenang di situ. Tapi, dia pasti tidak akan duduk diam setempat.
Jika habitnya berjalan-jalan di sekitar rumah, biarkan saja. Jangan dilarang, atau memberi terlalu banyak arahan. Dia akan bertambah rungsing dan emosinya akan cepat berubah menjadi marah-marah. Ajarlah anak-anak agar hormatkan mak dan ayah yang terlupa-lupa itu. Minta mereka jangan buat perangai dan layankan saja perangainya.
4. Banyakkan Berzikir
Anda juga perlu ada kekuatan jiwa yang ampuh. Jangan sampai terleka untuk tidak berzikir. Ini Kerana kelekaan itu akan membuatkan anda sama-sama larut dan gagal mengawal emosi sabar. Amalkan membaca istighfar, doa al Mathurat, surah-surah pilihan serta konsisten solat awal waktu dan tambahan solat sunat. Ini benteng kekuatan jiwa.
5. Sokongan Padu Suami Isteri
Jika yang berhadapan masalah nyanyuk ini adalah mak atau ayah mentua anda, terima saja hakikat itu. Jangan merungut kerana tanpa mereka tiadalah pasangan anda itu. Tapi dalam hal ini, pasangan andalah kena ambil peranan utama.
Terangkan juga apa yang anda rasa sepanjang menjaga mak atau ayah mentua yang nyanyuk itu. Biar mereka tahu apa yang anda lalui. Walaupun kadang kala tidak berjumpa jalan penyelesaian, sekurang-kurangnya suami atau isteri faham isi hati anda. Kelak, bolehlah sama-sama berusaha mencari jalan penyelesaian, walaupun ia akan ambil masa yang panjang.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tular video memaparkan Mona Allen dan Pekin Ibrahim memakai topi Santa serta bertukar hadiah mencetuskan dakwaan sambutan Krismas dan perdebatan hangat netizen.