Doa ibu Syamsul Haris mahukan keadilan susulan kematian anak didengari Allah, 3 jurulatih PALAPES didakwa hari ini. Doa seorang ibu tiada hijabnya. Hari ini, doa Ummu Haiman Bee yang mahukan keadilan susulan kematian anaknya ketika menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai (Palapes), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) didengari Allah.
Hari ini, tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai (Palapes), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan kematian pelatih Palapes UTM Skudai, Syamsul Haris Shamsudin pada tahun lalu yang pada awalnya dilaporkan kematian biasa sehinggalah dirinya tidak henti-henti berjuang.
Mingguan Wanitan yang pernah menemuramah Ummu Haiman masih teringat akan kata dilontarkannya di mana kata ibu dua anak ini, sebagai ibu dirinya berasa berdosa jika tidak membela kematian anak sulungnya itu kerana dia yakin asbab kematian Syamsul Haris bukan kematian biasa sebaliknya berkait dengan latihan dilalui arwah anaknya itu.
Perjuangan lebih setahun akhirnya berbaloi apabila, tertuduh, Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, 40, Kapten Muhamad Bahauddin, 30 dan Pegawai Waran Mohd Norbuangani Mislan, 41 ditahan namun ketiga-tiga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.
Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian terhadap Syamsul Haris, 22, (ketika kejadian) dengan niat hendak menyebabkan bencana tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematiannya.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Lapang Sasar Ulu Tiram Utara dalam daerah ini antara pukul 2 hingga 3 petang pada 28 Julai tahun lalu.
Bagi pertuduhan tersebut, ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah jaminan sebanyak RM50,000 bagi pertuduhan tersebut dengan seorang penjamin dan passport diserahkan kepada pihak mahkamah.
Mohd Azmi, Muhamad Baharuddin dan Mohd Norbuangani dalam rayuannya memohon supaya wang jaminan dikurangkan kerana terlalu tinggi.
Azmi berkata, ini kerana dia yang berpendapatan RM9,000 sebulan menanggung tiga anak iaitu dua di sekolah menengah dan seorang lagi bayi berusia 23 hari. Sementara Muhamad Bahauddin pula berpendapatan RM4,000 dan menanggung seorang anak dan isteri yang tidak bekerja.
Mohd Norbuangani pula memberi alasan berpendapatan RM3,000 dan mempunyai tanggungan tiga anak iaitu dua di sekolah menengah dan seorang lagi sekolah rendah.
Hakim Hayda Faridzal kemudian menetapkan RM25,000 untuk setiap seorang dengan seorang penjamin dan passport diserahkan kepada pihak mahkamah.
Bagaimanapun Mohd Azmi yang turut mewakili Muhamad Bahauddin dan Mohd Norbuangani sekali lagi merayu supaya wang jaminan dikurangkan kerana mendakwa jumlahnya masih tinggi.
Tertuduh juga memberi alasan mereka sudah lama berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tidak pernah melakukan kesalahan disiplin sepanjang berkhidmat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!