Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kes kematian ahli kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Syamsul Haris Shamsudin diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan [Akta 574] untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kes Kadet Palapes Syamsul Haris: Kematian Diklasifikasikan Kes Bunuh
AGC memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mendengar taklimat mengenai hasil laporan siasatan yang dibuka PDRM berhubung kematian Syamsul Haris.
“Setelah ditaklimatkan dan meneliti hasil Laporan Siasatan tersebut, jabatan telah mengarahkan kes kematian ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan [Akta 574] untuk siasatan selanjutnya oleh pihak PDRM,” menurut kenyataan itu.
Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor, pada 28 Julai, selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram.
Jenazah Syamsul Haris dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan kes kematian penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu diteruskan untuk mengenal pasti individu terlibat atau bertanggungjawab terhadap kematian tersebut.
Ads
Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk semula ke AGC untuk arahan selari dengan peruntukan perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
“Masyarakat diingatkan agar tidak membuat apa-apa spekulasi terhadap kes ini sementara Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan dan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Kes berkenaan sebelum ini disiasat sebagai mati mengejut (SDR).
Ads
Kes diambil alih sepenuhnya Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman pada 27 Ogos lepas, susulan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan permohonan notis usul keluarga Allahyarham bagi proses penggalian semula kubur dan bedah siasat kali kedua.
Allhayarham sebelum itu telah dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, Semenyih.
Ads
Pada 30 Ogos, bedah siasat kedua terhadap jasad Allahyarham Syamsul Haris dilaksanakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan jenazah dikebumikan semula di tanah perkuburan berkenaan pada hari sama.
“Malam kelmarin arwah begitu selera makan nasi dengan lauk sambal telur, empat kali bertambah sedangkan sebelum ini dia tidak kuat makan,” kata Abd Rahim Saidin, 40, bapa kepada kanak-kanak lelaki yang maut dipercayai lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya dalam kejadian di Kampung Permatang Tepung.
Tragedi cuti sekolah ini berlaku dalam suasana yang cukup menyayat hati apabila seorang abang sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam parit besar.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, Muhammad Alif Fahmi Abdullah, 12, disahkan meninggal dunia selepas dihanyutkan arus deras parit besar ketika cuba menyelamatkan adiknya, Muhammad Rayan Firrdaus, 9.
Menurut Abd Rahim, anak sulungnya yang mesra disapa Abang keluar bersama kira-kira 10 rakan sekampung untuk menangkap ikan laga di kawasan parit besar terbabit. Paras air ketika itu meningkat susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
“Arwah dan rakan-rakan biasa menangkap ikan laga di kawasan itu dan tidak pernah berlaku kejadian buruk sebelum ini.
“Saya pelik melihat kelainan pada Abang apabila dia makan dengan begitu berselera. Saya tidak menduga itu menjadi petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.
“Saya reda dengan kehilangannya yang manja sejak kecil lagi, namun ujian ini amat berat,” katanya ketika ditemui.
Abd Rahim turut berkongsi perasaan terkilan apabila mengenangkan permintaan terakhir arwah untuk memakai kasut sekolah baharu ketika majlis graduasi Sekolah Kebangsaan (SK) Merchong Jaya.
“Beberapa kali dia merayu mahu memakai kasut baharu berwarna hitam yang dibeli oleh ibunya, namun akhirnya akur dengan larangan kami. Kasut itu sepatutnya dipakai ketika buka sekolah nanti,” katanya.
Menurutnya, parit besar itu terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka. Jiran datang memaklumkan kejadian sebelum beliau segera ke lokasi.
Penduduk kampung berusaha mencari mangsa dalam keadaan air yang deras. Mayat arwah ditemui kira-kira jam 7.15 malam selepas dua kali azan dilaungkan oleh penduduk setempat.
Sementara itu, rakan mangsa, Amirul Hakimi Mahyuddin, 12, berkata dia sempat menarik tangan adik mangsa selepas kanak-kanak itu terjatuh ke dalam parit.
“Arwah terus terjun ke dalam parit semata-mata mahu menyelamatkan adiknya, namun dia gagal kerana dibawa arus deras ke bawah pembentong.
“Saya sempat melihat tangan mangsa sebelum dia tenggelam. Arwah seorang yang baik dan mudah berkawan,” katanya.
Menurut Amirul lagi, sebelum kejadian tragis itu, arwah dan adiknya berjaya menangkap kira-kira 30 ekor ikan laga yang cantik.
Bagaimanapun, tragedi cuti sekolah itu meninggalkan kesan mendalam buat dirinya sehingga dia bertekad untuk tidak lagi meneruskan hobi menangkap ikan laga selepas kehilangan rakan yang amat disayanginya.
Realiti sebenarnya dalam diam , ramai wanita di luar sana memikul beban yang tak kelihatan. Mereka tersenyum, tetapi hanya Allah saja tahu isi hati dan bebenan yang mereka tanggung. Walau ada luka namun wanita tak pernah mengeluh namun setiap hari akan berusaha untuk mempertahankan mahligai perkahwinan. Namun bila luka terlalu mendalam, wanita akan berusaha untuk berjuang dan bangkit dari hubungan toksik.
Astro Home of Drama terus tampil dengan beberapa karya yang mengangkat kisah-kisah wanita tabah, bukan sebagai mangsa tetapi sebagai manusia yang berani memilih bahagia walau diuji berkali-kali. Lima drama hebat ‘Dia Bukan Syurga’, ‘Mandul Bukan Pilihan’, ‘Rumah Tanpa Luka’, ‘Mutiara Dalam Debuan Kabus’ dan ‘Bahagia Yang Tertangguh’ memperlihatkan sisi wanita yang lembut, namun tegas ketika mempertahankan maruah, hati dan masa depan. Mari kita selami kisah mereka yang ada banyak pengajaran dalam kehidupan setiap wanita.
Tidak semua luka nampak di mata. Nuha, si isteri yang penyayang, berharap perkahwinannya menjadi tempat pulang yang tenang. Namun, apabila suaminya berubah menjadi pengawal, Nuha mula hilang dirinya sendiri.
Dia bertahan kerana cinta, kerana “isteri solehah kena sabar”. Tapi sampai bila? Sinar harapan hadir melalui Arham, lelaki yang tidak pernah menghakimi, hanya mahu lindungi.
Nuha akhirnya tersedar syurga bukan terletak dengan siapa kita berkahwin. Kadang-kadang syurga itu lahir apabila kita berani tinggalkan neraka kecil yang kita diamkan sekian lama.
Billa dalam drama Mandul Bukan Pilihan membawa isu yang terlalu dekat dengan wanita iaitu tentang kesuburan. Betapa beratnya menjadi isteri yang dipersalahkan apabila tidak dikurniakan zuriat. Namun, Billa bukan wanita lemah.
Billa berjuang melalui rawatan, pengorbanan, tekanan daripada keluarga dan akhirnya berhadapan dengan ujian kesihatan yang menakutkan. Namun dalam semua itu, Billa belajar satu perkara iaitu mandul itu bukan pilihan tetapi car akita memilih untuk teruskan kehidupan adalah pilihan. Billa kemudiannya beralih untuk memlih menghargai hidup, bukan hanya mengejar sesuatu yang belum tentu takdirnya.
Menerusi drama ‘Rumah Tanpa Luka’ watak Kalsum kelihatan lembut, tetapi hakikatnya dia merupakan seorang wanita paling tabah. Dia dibuang keluarga kerana mempertahankan orang yang dianggapnya layak dilindungi.
Dalam hidup, ada wanita yang sanggup buat apa sahaja demi orang lain, lalu mereka sendiri terluka.Tetapi Kalsum tak menyerah.
Pertemuan dengan Ahmad Qiuzi dan kemunculan semula Hayden membuat dia kembali bertanya pada diri, “Di mana sebenarnya rumah yang mampu menyembuhkan?” Akhirnya, Kalsum sedar rumah bukan bangunan. Rumah ialah tempat di mana hati kita tidak lagi takut.
Mutiara Dalam Debuan Kabus wanita yang bangun tanpa ingatan dalam hidup yang entah milik siapa itulah yang dilalui Aslin/Airina. Dirinya cuba mengenal diri, memahami perkahwinan yang retak, mencari kebenaran dalam kabus yang semakin pekat. Namun kebenaran itu menyakitkan termasuk kewujudan wanita lain dalam hidup suaminya.
Namun Aslin/Airina tetap berdiri memilih untuk tidak takut mencari kebenaran, walaupun kebenaran itulah yang mampu menghancurkan. Kerana kadangkala, untuk menjadi diri sendiri, kita perlu berani membuka luka yang kita takut selama ini.
Ramai wanita seperti watak Hana di dalam drama Bahagia Yang Tertangguh di mana mereka bekerja keras, menyara keluarga, menjadi tunggak ekonom tetapi tidak pernah dianggap cukup oleh suami. Hana hidup dalam perkahwinan toksik, dikawal keluarga mertua, dan suami yang menduakan dirinya.
Namun dia tetap setia, tetap sabar, tetap cuba mempertahankan rumah tangga. Tetapi sabar itu ada hadnya. Hadirnya Armin memberi Hana harapan bahawa wanita juga layak dicintai, dihargai, dan dirawat emosinya. Hana akhirnya memilih kebahagiaan yang lama tertangguh itu bukan untuk sesiapa, tetapi untuk dirinya sendiri.
Menerusi kisah lima wanita dalam Astro Megadrama ini diharap ada wanita yang akhirnya sedar bahawa mereka juga berhak bahagia. Malah mesej paling penting di mana wanita bukan lemah tetapi mereka hanya terlalu kuat hingga dunia lupa mereka juga manusia biasa.
Sebagai Home of Drama, Astro kekal komited dalam menyajikan kandungan berkualiti tinggi dengan jalan cerita yang sarat emosi, memberi impak, serta terus menginspirasi dan menghiburkan penonton di Malaysia. Memasuki tahun 2025, Astro mempersembahkan pelbagai drama menarik seperti Dia Bukan Syurga, Mandul Bukan Pilihan, Rumah Tanpa Luka, Mutiara Dalam Debuan Kabus dan Bahagia Yang Tertangguh. Setiap naskhah ini hadir dengan kisah yang menyentuh hati, lakonan yang mantap, serta mesej penuh makna untuk dinikmati oleh semua.
Strim semua kisah wanita terbaik seperti ‘Dia Bukan Syurga’, ‘Mandul Bukan Pilihan’, ‘Rumah Tanpa Luka’, ‘Mutiara Dalam Debuan Kabus’ dan ‘Bahagia Yang Tertangguh’ serta banyak lagi hanya dengan Astro One atau aplikasi Sooka.
Suka rancangan dan drama terbaharu? Nikmati hiburan terbaik seisi keluarga dengan Astro One — kini dengan akses ke Saluran Kanak-Kanak dan Disney+ dari RM69.99/bulan untuk momen bersama yang lebih bermakna.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Seorang lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Khamis bagi menjawab pertuduhan membunuh isterinya dalam kejadian yang berlaku pada 8 Disember lalu.
Tertuduh, Khairul Rizuan Abdullah, 28, dilihat hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit. Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, Khairul Rizuan didakwa menyebabkan kematian isterinya, Wan Khairul Safinah Ishak, 44, di sebuah flat di Jalan Tuna, Seberang Jaya, sekitar jam 4 petang pada 8 Disember lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anis Suhada Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam. Mahkamah turut memutuskan supaya tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia serta laporan bedah siasat.
Sebelum prosiding bermula, tertuduh yang mengenakan baju berwarna kelabu tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dan diiringi anggota polis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa seorang lelaki dipercayai menyimpan mayat isterinya selama empat hari selepas wanita tersebut dibunuh di kediaman mereka di Jalan Tuna.
Kes berkenaan terbongkar selepas suspek sendiri membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada pagi 11 Disember lalu. Susulan laporan berkenaan, pemeriksaan polis membawa kepada penemuan mayat mangsa di dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah tersebut.
Hasil siasatan awal mendapati wanita berusia 44 tahun itu mengalami kesan kelar di bahagian leher yang dipercayai dilakukan menggunakan senjata tajam.
Difahamkan, suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk berkaitan kesalahan dadah. Mangsa pula dilaporkan telah mendirikan rumah tangga dengan tertuduh sejak dua tahun lalu, yang merupakan perkahwinan ketiganya.
Siasatan lanjut mendapati tindakan suspek dipercayai didorong oleh perasaan cemburu.
Kes ini kini mendapat perhatian meluas memandangkan suspek didakwa menyimpan mayat isterinya di dalam rumah selama empat hari sebelum melaporkan insiden itu kepada polis. Tindakan tersebut menimbulkan pelbagai persoalan yang sedang diperhalusi oleh pasukan siasatan, termasuk keadaan mental suspek serta bukti forensik yang ditemui di lokasi kejadian.
Pihak berkuasa turut mengumpulkan sampel DNA, rakaman saksi dan hasil pemeriksaan senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut. Laporan kimia dan bedah siasat memainkan peranan penting dalam menentukan urutan masa kejadian selain membantu merungkai punca sebenar kematian mangsa.
Kes ini turut membuka semula perbincangan mengenai isu keganasan rumah tangga yang semakin membimbangkan di negara ini. Ramai pihak menyuarakan kebimbangan mengenai tahap keselamatan wanita serta keperluan masyarakat lebih peka terhadap tanda-tanda awal konflik rumah tangga yang boleh membawa kepada tragedi.
Pakar psikologi berpendapat bahawa kes melibatkan cemburu dan tekanan emosi seperti kes ini memerlukan perhatian lebih serius, selain sokongan masyarakat dalam memberikan ruang kepada mangsa potensi mendapatkan bantuan.
Suspek kini ditahan tanpa jaminan sehingga laporan siasatan lengkap diperoleh. Selepas dokumen penting seperti laporan kimia, forensik dan bedah siasat diserahkan, kes ini akan disebut semula pada 10 Februari sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.
Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi liar yang boleh mengganggu proses siasatan, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Seorang ibu pengsan selepas menyaksikan anak lelakinya berusia tujuh tahun maut dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kampung Kubang Jambu, di sini, kira-kira jam 9.23 malam Selasa.