Dalam hubungan perkahwinan, sikap tolak ansur dan bertimbangrasa antara suami isteri sangatlah penting. Kita tidak perlu mengharapkan pasangan memenuhi setiap kehendak yang diinginkan, sebaliknya berusahalah memahami keperluannya serta apa perkara yang kita boleh lakukan untuk meringankan kerja-kerja mereka.
Buat para suami, meskipun selayaknya memiliki darjat yang tinggi, fahamilah tugasan dan bebanan yang para isteri dalam menguruskan rumahtangga. Bertimbang rasalah, dalam membantu para isteri dan memudahkan mereka. Bukan hanya sekadar tahu ‘memberi’ arahan dan minta ‘dilayan’ bagaikan seorang raja.
Jemput baca perkongsian pesanan oleh Muhammad Hassan ini sebagai panduan dalam menambah lagi ilmu rumahtangga kita.
Saya cuba didik diri sendiri, jika balik kerja isteri tidak hidangkan air atau lambat masak untuk sedangkan saya lapar, saya akan cuba ke dapur buat air sendiri dan pelawa isteri nak minum air apa atau makan apa, saya akan cuba sediakan. Kadang-kadang kita(suami) juga perlu memahami keadaan isteri lebih-lebih lagi isteri yang bekerjaya dan mempunyai anak kecil.
Mereka bukanlah malas untuk sediakan semua itu setiap hari. Ada yang dah kahwin 10 -15 tahun, suasana akan banyak berubah. Anak mungkin 3 atau 5. 5 orang anak 5 ragam. Saya adik beradik 12 orang, pasti ragamnya tidak sama. bayangkan kalau 5 orang semuanya masih kecil. 2 serang diruang tamu, 2 lagi serang di bahagian dapor, 1 lagi jadi sniper dalam bilik mak ayah,saya sudah boleh bayangkan keadaan seorang ibu ketika itu.
Kadang-kadang kita suami tidak perlu buat apa-apa lagi hatta ubat gigi tidak payah lagi picit, langsung gosok gigi sahaja. Sekarang mungkin isteri terlalu penat dengan kerja rumah, lagi penat jika isteri bekerjaya, balik rumah langsung perlu buat apa yang patut untuk suami dan anak-anak.
Ads
Didik Diri Fahami Beban Isteri
Hari ini Saya didik diri saya bukan lagi untuk isteri perlu memahami kehendak saya, sebaliknya saya perlu berusaha untuk memahami apa yang dapat mengurangkan beban isteri. Masak, sediakan air, menyapu, mop lantai, kemaskan katil, basuh baju, bukan lagi tugas wajib isteri, sebaliknya saya perlu faham itu juga tanggungjawab saya.
Salah satu keretakan rumahtangga adalah disebabkan masing-masing tidak mahu memahami pasangan, masing-masing cuba untuk pasangan memahami kehendak diri sendiri. Sebenarnya ini salah,ini punca keluarga tidak bahagia. Saya dan kita semua perlu berubah, perlu berusaha memahami pasangan, memahami dalam hal yang positif dan tidak bertentangan dengan agama. Letak jiwa pasangan dalam jiwa kita. Sebagaimana awal berkenalan dahulu.
Ads
“Mana air? aku balik penat2 dari kerja kau tak faham ke ? masak pun Lambat!”
Saya selalu dapat PM begini, suami balik kerja marah isteri, lepas marah , pukul , langsung keluar rumah cari kawan. Ini salah , cukup salah. Kita perlu faham kenapa lambat masak, kenapa lambat sediakan air. Cuba satu hari ‘mengintip’ isteri dirumah. Apa dia buat dari pagi sampai petang. Jika anak sorang mungkin boleh terima, jika anak 5?. Ada kita pergi dapUr tengok keperluan untuk memasak? Ikan, ayam, sayuran dan barang-barang lain.
Ini cukup salah jika saya tidak belajar bagi masa untuk ke dapor tengok apa perlu dibeli, bukan tunggu isteri yang senaraikan.
‘Gaduh’ Hal Akhirat
Masalah perut jangan jadikan satu isu besar, kadang-kadang lucu jika suami isteri bergaduh sebab lambat masak, lambat hantar air. Yang kita kena ‘gaduh’ kenapa hari ini tidak solat dhuha, kenapa abang hari ini tidak solat berjemaah di masjid, kenapa hari ini isteri tidak tutup aurat dengan sempurna dan banyak lagi kita perlu ‘gaduh’ dalam hal yang lebih besar terutama tentang akhirat.
Ads
Kata orang lama, “suami isteri perlu ‘gaduh’ , sebagaimana lidah lagikan tergigit, tetapi ‘tergigit’ jangan sampai jadi ulcer, lambat nak baik nanti, perlu jumpa doktor untuk rawat.
BERSYUKURLAH PUNYAI PASANGAN YANG SANGAT MENGHARGAI KITA.
-EncikMatt-
#LelakiBurQa
Memang wajib menjaga aurat dengan sempurna, jadi janganlah disalahkan suami sepenuhnya tak mendidik isteri. Bab menjaga aurat sepatutnya dipupuk sejak awal dalam diri isteri itu sendiri.
Namun jika isteri berniat untuk menutup aurat, tetapi tidak mendapat sokongan suami itu lain cerita. Ikuti perkongsian Peguam Syarie, Puan Rabiatul Adawiyah Ramli ini dan hadam baik-baik apa yang disampaikan:
Wajib Menjaga Aurat Dengan Sempurna
Isteri tak tutup aurat dengan sempurna janganlah disalahkan suami sepenuhnya dengan alasan suami tak didik.
Betul suami tak didik dan beri didikan agama.
Tapi soal maruah diri, soal kecantikan diri, soal kesihatan diri, walaupun suami ambil tak kisah, diri sendirilah kena jaga. Takkan semuanya perl u disalahkan suami.
Soal tutup aurat, usahakan sampai dapat sekalipun terpaksa kerah tenaga sendiri.
Soal menjaga aurat dengan lebih sempurna juga adalah wajib. Usahakan sampai dapat. Kalau bajet ciput, beli kain dan jahitlah sendiri.
Jika terlampau sakit yang memudaratkan, mintalah bantuan ahli keluarga lain atau direct call hospital atau sebagainya. Nyawa anda cuma satu, melainkan boleh diganti dengan nyawa suami jika anda mati. Utamakan diri.
Kalau masih boleh pakai, pakai. Tapi kalau hanya dah tinggal bebenang saja. Usahakanlah tukar. Kalau bukan untuk suami pun untuk keselesaan sendiri.
Soal sumber halal Ini wajib untuk elakkan yang haram jika dah tahu. Usahakan juga untuk dapat sumber yang halal. Sumber halal ni kalau dimakan sedapnya tu lain macam. Nanti lama-lama suami tu taulah bezakan nanti.
Dan kelima-lima perkara di atas, jika segalanya adalah atas usaha isteri semata. Simpanlah resit-resit pembelian, simpanlah segala bukti pembelian sama ada untuk diminta ganti pada suami atau sebagai tuntutan tunggakan nafkah isteri nanti.
Jadilah Isteri Yang Tahu Membezakan
Seronoklah jadi suami macam itu, kan semua isteri yang usaha?
Seronok sekejap saja, kalau tak bertaubat dan kekal dengan sikap tak ambil kisah, maka Allah yang akan ambil kisah kau nanti.
Semuanya tercatat “di sana” tanpa ada satu kisah pun yang tertinggal.
Maka jadilah seorang isteri yang tahu membezakan apa yang baik untuk diri jika berhadapan dengan suami yang sebegini.
Sebagai suami pula. Jadilah seorang suami yang benar-benar ambil kisah terhadap tanggungjawab mu. Bukan ambil kisah jiran sebelah. Kalau tak, lainlah kisahnya nanti.
Hidup ni sementara,
Tidak kekal selamanya,
Jadi gunakanlah masa yang ada
Untuk beri bahagia seadanya bukan untuk menyeksa jiwa dan raga.
Sesungguhnya Allah sentiasa ada bersama hambaNya yang teraniaya.
MW: Dalam bab begini, jangan salahkan satu pihak sahaja kerana segalanya bermula dari hati. Sebaliknya sokong antara satu sama lain dan itu adalah yang terbaik.
Sumber: Puan Rabiatul Adawiyah Ramli
JOM SERTAI GRUP TELEGRAM BANGKIT WANITA MW
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirsasi dan lain-lain. Klik link ini untuk menyertainya: https://t.me/bangkitwanitaMW
Selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral. Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Apa yang menarik kursus ini memang direka khas untuk mereka yang mahu berniaga sebaik tamat latihan asas kemahiran ini. Sejumlah tujuh kursus asas latihan praktikal dan demo dibuka untuk penyertaan merangkumi sektor makanan, pengurusan, busines kedai online, jahitan dan perkhidmatan.
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Pilihan Antara Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
Buat Aneka Kuih Frozen. Confirm sedap, laku keras. Dibuka pada 24 Julai 2021. Peserta diberi tunjuk ajar menyediakan beberapa jenis makanan sejuk beku yang laris di pasraan seperti donut, samosa, pizza dan banyak lagi. Sila klik pautan ini untuk pendaftaran //toko.ideaktiv.com/product/buat-aneka-kuih-frozen-confirm-sedap-laku-keras/
Setiap wanita adalah berbeza antara satu sama lain, ada yang mudah terpengaruh bila melihat barang kemas, ada setengahnya suka melihat makanan yang sedap dan ada pula yang suka membeli beg tangan berjenama. Masing-masing mempunyai minat dan citarasa yang berbeza walaupun di kalangan adik-beradik.
Oleh itu sebagai pasangan hidup, suami harus memahami minat isteri kalian kerana tidak semua wanita miliki minat yang sama. Jika berkemampuan apa salahnya raikan minat dan kesukaan isteri bila tiba hari istimewanya, isteri rasa bahagia dan paling penting dapat pahala. Insyallah.
Ikuti perkongsian Intan Dzulkefli ini dan fahami sebaiknya :
Raikan Minat Isteri
Ada isteri, dia teruja apabila terlihat gambar mahupun iklan periuk belanga mahupun bekas makanan berjenama.
Ada isteri pula, bersinar matanya apabila nampak gambar barangan kemas berkilauan.
Ada isteri yang dia lebih teruja mengumpul gajet di dapur dan peralatan eletrik terkini.
Ada isteri yang senyumnya melebar tatkala ada iklan beg tangan dan makeup berjenama.
Sebaliknya, ada isteri pula yang tidak kisah satu pun hal di atas melainkan obsesinya buku-buku dan barangan deko rumah.
Subhanallah. Bermacam ragam!
Kalau dapat menilik gambar, boleh angau dibuatnya selagi tak memiliki hal-hal ini. MasyaAllah, begitulah uniknya wanita ni tuan-tuan.
Gembira Bukan Main Dapat Kejutan
Adakalanya datang serabut alam, asyik nak bad mood, namun si dia terus tersenyum apabila dapat surprise, dihadiahkan barangan yang menjadi idaman. Alahai.. Boleh senyum simpul seminggu!
Jika suami ada kemampuan dan kesempatan, pun tak salah meraikan kesukaan para isteri ini, terutama pada hari-hari penting di dalam kehidupan kalian. Pahala tu insyallah, apabila membahagiakan dan menyukakan hati isteri.
Window shopping dan shopping memang kesukaan wanita, lazimnya walau bukan semua jenis begitu. Jika dapat isteri dalam kalangan yang lazim ini kena banyakkan bersabar ya tuan-tuan.
Jangan Pula Berlebihan
Bagaimanapun, jangan lupa mengingatkan isterimu, bahawa jangan terlalu berlebih-lebihan hingga menjadi pembaziran, kerana segala harta yang dibelanjakan pasti akan ditanya kemana pergi dan apa kegunaan dan manfaatnya untuk iman dan agama.
Buat pengumpul emas pun jangan lupa membayar zakat sebagaimana yang telah dipertanggungjawabkan. Zakat ialah untuk membersihkan harta kita.
Firman Allah SWT, bermaksud:
“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), sehingga kamu masuk kubur.” (At-Takathur : 1-2)
“Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah nikmati)!” (At-Takathur : 8)
MW: Bila suami meraikan minat dan permintaan isteri, jangan pula isteri mengambil kesempatan dengan kebaikan suami. Jangan berlebihan hingga membazir. Renung-renungkan sebagai peringatan bersama.
Suami panas baran memang menakutkan. Salah sikit saja dah melenting dan mengamuk. Lebih buruk lagi kalau sampai sanggup pukul isteri! Ikuti luahan hati seorang isteri yang bersuamikan lelaki panas baran.
Kahwin Suami Atas Dasar Cinta
Assalamualaikum. Saya seorang ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan lima tahun. Saya bertugas sebagai seorang di sebuah hospital manakala suami pula bekerja swasta. Perkahwinan kami atas dasar cinta setelah setahun berkenalan.
Selepas kahwin, suami mula tunjuk perangai sebenar. Segala perbelanjaan rumah terletak di bahu saya. Walau pun bergaji, dia habiskan untuk hobinya saja iaitu motosikal berkuasa tinggi dan memancing. Bahkan kadangkala minta duit daripada saya pula.
Terbeban
Memasuki usia perkahwinan lapan tahun, saya makin terbeban kerana pinjaman perumahan juga atas nama saya dan bayaran secara potong gaji. Malah saya juga terpaksa membayar pinjaman suami yang dibuat atas nama saya. Katanya saya bekerja kerajaan, lagi mudah dapat pinjaman.
Akhirnya, saya yang terbeban kerana perlu bayar itu dan ini. Nasib baik anak hanya dua orang. Segala perbelanjaan anak saya yang tanggung. Jika ada pun, dia akan belikan mainan anak sesekali. Hadiah untuk saya? Seingat saya, dia pernah belikan saya sehelai kain pasang ketika kami baru beberapa bulan berkahwin. Sejak itu, memang tak pernah. Inikan hadiah, duit nafkah bulanan pun tak pernah beri.
Sebagai isteri, lama-kelamaan akan rasa sakit hati juga. Terbit rasa tidak ikhlas dengan pertolongan yang diberikan selama ini. Mengapa saya yang perlu tanggung semua sedangkan dia juga bekerja? Saya tak kisah berapa dia nak bagi tapi sekurang-kurangnya biarlah dia turut menyumbang pada perbelanjaan rumah. Sering kali saya memujuk diri sendiri, sekurangnya dia membenarkan saya bekerja untuk mencari rezeki. Jadi, saya tetap perlu berterima kasih padanya. Saya juga sudah penat membebel dan menasihatinya tapi tidak dipedulikan. Akhirnya saya ambil keputusan untuk redha saja untuk menggelakkan pergaduhan.
Suami Tak Bekerja
Akhir tahun lepas, suami saya berhenti kerja. Katanya dia tidak sekepala dengan bos barunya di tempat kerja. Tapi bila saya risik pada kawan-kawannya, sebenarnya dia diberhentikan kerja kerana asyik ‘hilang’ pada waktu bekerja. Saya hairan, selama ini dia tak pernah pula tidak pergi kerja kecuali memang pada hari dia ambil cuti dan MC. Tapi saya tak berani nak tanya.
Sejak itu, dia hanya makan tidur di rumah. Bila saya perlu bekerja syif malam, anak-anak akan tidur di rumah pengasuh kami kerana katanya dia tak tahu nak jaga anak sedangkan anak-anak kami sudah besar. Bukannya perlu berjaga malam. Memang itu perangainya sejak anak-anak kecil. Apabila dia tidak bekerja, saya minta dia uruskan hal sekolah anak-anak, hantar dan jemput anak dari sekolah. Nasib baik dia sanggup.
Suami Mula ‘Naik Tangan’
Sebenarnya kami kerap bergaduh besar dan setiap kali itu juga pasti ada barang rumah rosak dihempaskan. Dia panas baran orangnya. Dua bulan lepas, dia semakin ganas dan telah memukul saya. Ketika itu kami bergaduh soal duit. Dia meminta duit daripada saya sedangkan ketika itu duit saya hanya tinggal cukup-cukup untuk belanja sebelum tiba hari gaji beberapa hari lagi. Duit itu hendak digunakan membeli umpan pancing.
Bila saya ungkit mengapa dia tidak bekerja, dia naik angin, saya ditampar dan dipukulnya. Walau pun tidaklah sampai berdarah dan patah, tapi cukup menyakitkan diri saya. Terpaksa saya berikan dan keesokan hari saya tebalkan muka meminjam duit daripada rakan kerana saya langsung tiada duit.
Ikut Rentak Takut Dipukul Lagi
Sejak itu, saya serik dan akan turuti segala kehendaknya kerana takut dipukul lagi. Saya tak dapat bayangkan kalau dia memukul saya dengan teruk kerana tubuhnya jauh lebih besar daripada saya. Jika tidak ada duit, saya rela meminjam daripada rakan. Mujur ada beberapa orang rakan rapat yang tahu kisah saya selama ini dan akan membantu saya.
Puan, apa yang patut saya lakukan? Kesabaran saya makin menipis. Walau pun baru sekali dia ‘naik tangan’ tapi saya risau kalau dia akan mengulanginya lagi. Setakat ini saya masih boleh mengikut kehendaknya untuk menggelakkan dia bertindak ganas. Tapi sampai bila?
Rasa sayang saya juga semakin menghilang. Saya takut untuk terus hidup dengannya dan kehidupan saya makin tersepit kerana dia enggan bekerja. Saya sudah tidak berani hendak menyuruhnya bekerja kerana takut dipukul lagi. Keluarga kami tidak tahu akan perihal ini dan saya malu hendak memberitahu mereka.
Isteri risau, Melaka.
JAWAPAN:
Wanita yang bergelar isteri kepada seorang lelaki dan ibu kepada seorang atau beberapa anak punya peranan dan tanggungjawab yang cukup besar. Ianya menuntut kepada pengorbanan dan kesabaran untuk membina keluarga seperti yang diharapkan.
Wanita yang bergelar isteri dan ibu juga berperanan dalam mendidik keluarga, bukan sahaja untuk anak-anak, malah mendidik diri sendiri, mendidik suami, juga mendidik seluruh ahli keluarga dalam kemampuan yang ada bagi menjamin agar setiap ahli keluarga tahu tentang peranan dan tanggungjawabnya.
Suami Kena Faham Tanggungjawab Isteri
Tugas dan tanggungjawab isteri seperti yang telah kita sedia maklum. Jika isteri itu bekerja, maka dia membantu menampung belanja dalam pengurusan keluarga. Tanggungjawab menyedia keperluan makanan, pakaian dan rumah adalah tanggungjawab suami. Isteri membantu sahaja, bukan mengambilalih atau menyediakan semua keperluan keluarga, apatah lagi memenuhkan duit poket suami.
Jika puan sebagai isteri mengambil alih semua tanggungjawab itu di mana tanggung jawab dia sebagai suami? Suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri dan keluarga adalah lelaki yang tidak matang. Justeru, siapakah yang perlu memainkan peranan untuk “mematangkan” suami? Nak harapkan keluarganya atau nak harapkan rakannya?
Isteri Yang Kena Main Peranan Didik Suami
Jawapannya puan sendiri tahukan. Puan lah yang perlu memainkan peranan utama dalam mendidik suami untuk menjadi matang dan bertanggungjawab. Sebelum mendidik dan cuba mengubah suami, puan perlu mengubah minda dan tindakan puan terlebih dahulu apabila berhadapan dengan suami. Sedarkah puan cara puan ini memberi satu “peneguhan” tingkah laku suami yang negatif?
Dalam hal ini, puan perlu belajar dan mendidik diri puan agar bertegas dengan suami jika dia tidak memberi nafkah, tidak bekerja, apa tah lagi jika meminta wang dari puan. Jangan takut pada baran suami.
Jangan Takut!
Tahukah puan, kerana takut kepada baran suamilah maka dia menjadi semakin berani untuk tidak bekerja, meminta wang dari puan dan bertindak kasar terhadap puan. Puan perlu ada ketegasan dan jangan malu tidak bertempat.
Beritahu suami jika dia bertindak kasar puan tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada pejabat agama dan laporan polis. Beritahu keluarga agar dia tidak keterlaluan terhadap puan. Sekali lagi saya nyatakan, sebagai isteri, ada hak perlindungan, jangan biarkan diri diperalat dan disiksa emosi dan fizikal oleh suami.
Belajar Urus Emosi Berdepan Situasi Ini
Puan perlu belajar bagaimana urus diri puan untuk berhadapan dengan sikapnya. Jangan sesekali beri wang bila diminta. Kalau dia tidak mahu bekerja, maka makannya tunggu sehingga dia membeli beras dan ikan. Puan perlu berani, kerana jika puan takut maka selagi itulah dia akan jadi semakin berani memperalatkan puan untuk memenuhi kehendaknya.
Saya ada mengendalikan beberapa kes suami baran ini. Tidak baran sebanyak mana pun jika isteri tahu dan bijak mengendalikan suami, sama ada ada secara lembut tetapi tegas atau cara lain yang difikirkan sesuai untuk mengubah tingkah lakunya.
Jangan Tunjuk Lemah Di Depan Suami
Orang yang baran ni akan menang jika dia tahu orang yang dia berhadapan itu lemah. Maka puan jangan tunjukkan kelemahan seperti takut, mengalaah tidak bertempat. Selagi mana puan mengikut kemahuannya, bermakna puan tidak berusaha mendidik dirinya agar berubah. Untuk berubah bukan perkara yang mudah.
Puan perlu dapatkan panduan mengendalikan orang yang baran dan malas tidak mahu bekerja ini. Dia juga sukar berubah jika kehendaknya puan sering turuti. Selain daripada itu, gunakan orang ketiga yang suami agak hormati jika puan tidak mampu mengendalikannya secara berseorangan.
Campur tangan keluarga adalah perlu, tetapi kepada yang boleh diperoleh pandangan dan nasihat, bukan mengapi-apikan lagi keadaan. Jika puan bijak mengurus, permulaannya mungkin sukar, namun jika sekali buat berani memberi amaran kepada suami agar jangan jatuh tangan atau meminta wang dari puan, maka suami akan lebih berhati-hati. Jika dia bertindak kasar, jangan takut untuk ke pejabat agama. Atau jika lebih serius, jangan takut untuk fail kes ke mahkamah.
Ketahui Hak
Setiap insan ada hak dan perlindungan yang perlu dipertahankan. Buang sifat malu tidak bertempat. Jika puan berani melaporkan kepada pihak berkenaan, insya Allah suami tidak berani berkasar terhadap puan.
Nasihati suami agar berubah. Hidup perlu bekerja untuk menyara keluarga, dan yang paling penting menjalankan tanggungjawab dan amanah yang Allah berikan yang harus dipenuhi. Banyakkan solat malam, zikir dan mohon agar Allah beri petunjuk kepada suami dan kekuatan kepada puan berhadapan dengan sikapnya itu. Wallahualam.
Sumber: Permasalahan ini telah dijawab oleh Puan Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis bebas, juga penulis jemputan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...