Setiap wanita adalah berbeza antara satu sama lain, ada yang mudah terpengaruh bila melihat barang kemas, ada setengahnya suka melihat makanan yang sedap dan ada pula yang suka membeli beg tangan berjenama. Masing-masing mempunyai minat dan citarasa yang berbeza walaupun di kalangan adik-beradik.

Oleh itu sebagai pasangan hidup, suami harus memahami minat isteri kalian kerana tidak semua wanita miliki minat yang sama. Jika berkemampuan apa salahnya raikan minat dan kesukaan isteri bila tiba hari istimewanya, isteri rasa bahagia dan paling penting dapat pahala. Insyallah.

Ikuti perkongsian Intan Dzulkefli ini dan fahami sebaiknya :

Raikan Minat Isteri

Ada isteri, dia teruja apabila terlihat gambar mahupun iklan periuk belanga mahupun bekas makanan berjenama.

Ada isteri pula, bersinar matanya apabila nampak gambar barangan kemas berkilauan.

Ada isteri yang dia lebih teruja mengumpul gajet di dapur dan peralatan eletrik terkini.

Ada isteri yang senyumnya melebar tatkala ada iklan beg tangan dan makeup berjenama.

IKLAN

Sebaliknya, ada isteri pula yang tidak kisah satu pun hal di atas melainkan obsesinya buku-buku dan barangan deko rumah.

Subhanallah. Bermacam ragam!

Kalau dapat menilik gambar, boleh angau dibuatnya selagi tak memiliki hal-hal ini. MasyaAllah, begitulah uniknya wanita ni tuan-tuan.

Gembira Bukan Main Dapat Kejutan

Adakalanya datang serabut alam, asyik nak bad mood, namun si dia terus tersenyum apabila dapat surprise, dihadiahkan barangan yang menjadi idaman. Alahai.. Boleh senyum simpul seminggu!

Jika suami ada kemampuan dan kesempatan, pun tak salah meraikan kesukaan para isteri ini, terutama pada hari-hari penting di dalam kehidupan kalian. Pahala tu insyallah, apabila membahagiakan dan menyukakan hati isteri.

Window shopping dan shopping memang kesukaan wanita, lazimnya walau bukan semua jenis begitu. Jika dapat isteri dalam kalangan yang lazim ini kena banyakkan bersabar ya tuan-tuan.

Jangan Pula Berlebihan

Bagaimanapun, jangan lupa mengingatkan isterimu, bahawa jangan terlalu berlebih-lebihan hingga menjadi pembaziran, kerana segala harta yang dibelanjakan pasti akan ditanya kemana pergi dan apa kegunaan dan manfaatnya untuk iman dan agama.

Buat pengumpul emas pun jangan lupa membayar zakat sebagaimana yang telah dipertanggungjawabkan. Zakat ialah untuk membersihkan harta kita.

Firman Allah SWT, bermaksud:
“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), sehingga kamu masuk kubur.” (At-Takathur : 1-2)

“Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah nikmati)!” (At-Takathur : 8)

Muhasabah diri saya terutamanya.

#intandzulkefli
#selfreminder

MW: Bila suami meraikan minat dan permintaan isteri, jangan pula isteri mengambil kesempatan dengan kebaikan suami. Jangan berlebihan hingga membazir. Renung-renungkan sebagai peringatan bersama. 

Sumber: Intan Dzulkefli