Suami Penganggur Dan Panas Baran, Isteri Tanggung Semua Belanja Keluarga!

Suami panas baran memang menakutkan. Salah sikit saja dah melenting dan mengamuk. Lebih buruk lagi kalau sampai sanggup pukul isteri! Ikuti luahan hati seorang isteri yang bersuamikan lelaki panas baran.

Kahwin Suami Atas Dasar Cinta

Assalamualaikum. Saya seorang ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan lima tahun. Saya bertugas sebagai seorang di sebuah hospital manakala suami pula bekerja swasta. Perkahwinan kami atas dasar cinta setelah setahun berkenalan.

Selepas kahwin, suami mula tunjuk perangai sebenar. Segala perbelanjaan rumah terletak di bahu saya. Walau pun bergaji, dia habiskan untuk hobinya saja iaitu motosikal berkuasa tinggi dan memancing. Bahkan kadangkala minta duit daripada saya pula.

Suami Penganggur Dan Panas Baran, Isteri Tanggung Semua Belanja Keluarga!

Terbeban

Memasuki usia perkahwinan lapan tahun, saya makin terbeban kerana pinjaman perumahan juga atas nama saya dan bayaran secara potong gaji. Malah saya juga terpaksa membayar pinjaman suami yang dibuat atas nama saya. Katanya saya bekerja kerajaan, lagi mudah dapat pinjaman.

Akhirnya, saya yang terbeban kerana perlu bayar itu dan ini. Nasib baik anak hanya dua orang. Segala perbelanjaan anak saya yang tanggung. Jika ada pun, dia akan belikan mainan anak sesekali. Hadiah untuk saya? Seingat saya, dia pernah belikan saya sehelai kain pasang ketika kami baru beberapa bulan berkahwin. Sejak itu, memang tak pernah. Inikan hadiah, duit nafkah bulanan pun tak pernah beri.

Sebagai isteri, lama-kelamaan akan rasa sakit hati juga. Terbit rasa tidak ikhlas dengan pertolongan yang diberikan selama ini. Mengapa saya yang perlu tanggung semua sedangkan dia juga bekerja? Saya tak kisah berapa dia nak bagi tapi sekurang-kurangnya biarlah dia turut menyumbang pada perbelanjaan rumah. Sering kali saya memujuk diri sendiri, sekurangnya dia membenarkan saya bekerja untuk mencari rezeki. Jadi, saya tetap perlu berterima kasih padanya. Saya juga sudah penat membebel dan menasihatinya tapi tidak dipedulikan. Akhirnya saya ambil keputusan untuk redha saja untuk menggelakkan pergaduhan.

Suami Tak Bekerja

Akhir tahun lepas, suami saya berhenti kerja. Katanya dia tidak sekepala dengan bos barunya di tempat kerja. Tapi bila saya risik pada kawan-kawannya, sebenarnya dia diberhentikan kerja kerana asyik ‘hilang’ pada waktu bekerja. Saya hairan, selama ini dia tak pernah pula tidak pergi kerja kecuali memang pada hari dia ambil cuti dan MC. Tapi saya tak berani nak tanya.

Sejak itu, dia hanya makan tidur di rumah. Bila saya perlu bekerja syif malam, anak-anak akan tidur di rumah pengasuh kami kerana katanya dia tak tahu nak jaga anak sedangkan anak-anak kami sudah besar. Bukannya perlu berjaga malam. Memang itu perangainya sejak anak-anak kecil. Apabila dia tidak bekerja, saya minta dia uruskan hal sekolah anak-anak, hantar dan jemput anak dari sekolah. Nasib baik dia sanggup.

Suami Mula ‘Naik Tangan’

Sebenarnya kami kerap bergaduh besar dan setiap kali itu juga pasti ada barang rumah rosak dihempaskan. Dia panas baran orangnya. Dua bulan lepas, dia semakin ganas dan telah memukul saya. Ketika itu kami bergaduh soal duit. Dia meminta duit daripada saya sedangkan ketika itu duit saya hanya tinggal cukup-cukup untuk belanja sebelum tiba hari gaji beberapa hari lagi. Duit itu hendak digunakan membeli umpan pancing.

IKLAN

Bila saya ungkit mengapa dia tidak bekerja, dia naik angin, saya ditampar dan dipukulnya. Walau pun tidaklah sampai berdarah dan patah, tapi cukup menyakitkan diri saya. Terpaksa saya berikan dan keesokan hari saya tebalkan muka meminjam duit daripada rakan kerana saya langsung tiada duit.

Ikut Rentak Takut Dipukul Lagi

Sejak itu, saya serik dan akan turuti segala kehendaknya kerana takut dipukul lagi. Saya tak dapat bayangkan kalau dia memukul saya dengan teruk kerana tubuhnya jauh lebih besar daripada saya. Jika tidak ada duit, saya rela meminjam daripada rakan. Mujur ada beberapa orang rakan rapat yang tahu kisah saya selama ini dan akan membantu saya.

Puan, apa yang patut saya lakukan? Kesabaran saya makin menipis. Walau pun baru sekali dia ‘naik tangan’ tapi saya risau kalau dia akan mengulanginya lagi. Setakat ini saya masih boleh mengikut kehendaknya untuk menggelakkan dia bertindak ganas. Tapi sampai bila?

Rasa sayang saya juga semakin menghilang. Saya takut untuk terus hidup dengannya dan kehidupan saya makin tersepit kerana dia enggan bekerja. Saya sudah tidak berani hendak menyuruhnya bekerja kerana takut dipukul lagi. Keluarga kami tidak tahu akan perihal ini dan saya malu hendak memberitahu mereka.

Isteri risau, Melaka.

JAWAPAN:

Wanita yang  bergelar isteri kepada seorang lelaki dan ibu kepada seorang atau beberapa  anak punya peranan dan tanggungjawab yang cukup besar.  Ianya menuntut kepada pengorbanan dan kesabaran untuk membina keluarga seperti yang diharapkan.

Wanita yang bergelar isteri dan ibu juga berperanan dalam mendidik keluarga, bukan sahaja untuk anak-anak, malah mendidik diri sendiri,  mendidik suami, juga mendidik seluruh ahli keluarga dalam kemampuan yang ada bagi menjamin agar setiap ahli keluarga tahu tentang peranan dan tanggungjawabnya.

IKLAN

 Suami Kena Faham Tanggungjawab Isteri

Tugas dan tanggungjawab isteri seperti yang telah kita sedia maklum.  Jika isteri itu bekerja, maka dia membantu menampung  belanja dalam pengurusan keluarga. Tanggungjawab menyedia keperluan makanan, pakaian dan rumah adalah tanggungjawab suami. Isteri membantu sahaja, bukan mengambilalih atau menyediakan semua keperluan keluarga, apatah lagi memenuhkan duit poket suami.

Jika puan sebagai isteri mengambil alih semua tanggungjawab itu di mana  tanggung jawab  dia sebagai suami? Suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri dan keluarga adalah lelaki yang tidak matang. Justeru, siapakah yang perlu memainkan peranan untuk “mematangkan” suami? Nak harapkan keluarganya atau  nak harapkan rakannya?

Isteri Yang Kena Main Peranan Didik Suami

Jawapannya puan sendiri tahukan. Puan lah yang perlu memainkan peranan utama dalam mendidik suami untuk menjadi matang dan bertanggungjawab.  Sebelum mendidik dan cuba mengubah suami, puan perlu mengubah minda dan tindakan puan terlebih dahulu apabila  berhadapan dengan suami.  Sedarkah puan cara puan  ini memberi satu “peneguhan”  tingkah laku suami yang negatif?

Dalam hal ini, puan perlu belajar dan mendidik diri puan agar bertegas  dengan suami jika  dia tidak memberi nafkah, tidak bekerja, apa tah lagi jika meminta wang dari puan.  Jangan takut pada  baran suami.

Jangan Takut!

Tahukah puan, kerana  takut kepada  baran suamilah maka dia menjadi semakin berani untuk tidak bekerja, meminta wang dari puan dan bertindak kasar terhadap puan. Puan  perlu ada ketegasan dan jangan malu tidak bertempat.

Beritahu suami jika dia bertindak kasar puan tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada pejabat agama dan laporan polis.  Beritahu keluarga  agar dia tidak keterlaluan terhadap puan.  Sekali  lagi saya  nyatakan, sebagai isteri,  ada hak perlindungan,  jangan biarkan diri diperalat  dan disiksa emosi dan fizikal oleh suami.

IKLAN

Belajar Urus Emosi Berdepan Situasi Ini

Puan perlu belajar bagaimana urus diri puan untuk berhadapan dengan sikapnya.  Jangan sesekali beri wang bila diminta.  Kalau dia tidak mahu bekerja, maka  makannya tunggu sehingga dia membeli beras dan ikan. Puan perlu berani, kerana jika puan takut maka selagi itulah dia akan jadi semakin berani memperalatkan puan untuk memenuhi  kehendaknya.

Saya ada mengendalikan beberapa kes suami baran ini. Tidak baran sebanyak mana pun jika  isteri tahu  dan bijak  mengendalikan  suami, sama ada  ada secara  lembut tetapi tegas  atau cara lain yang difikirkan sesuai untuk mengubah tingkah lakunya.

Jangan Tunjuk Lemah Di Depan Suami

Orang yang baran ni akan menang jika  dia tahu orang yang dia berhadapan itu lemah.  Maka puan jangan tunjukkan kelemahan seperti takut, mengalaah tidak bertempat. Selagi mana  puan mengikut kemahuannya,  bermakna  puan tidak berusaha mendidik dirinya  agar berubah.  Untuk berubah bukan perkara yang mudah.

Puan perlu dapatkan panduan mengendalikan orang yang baran dan malas tidak mahu bekerja ini.  Dia juga sukar berubah jika kehendaknya puan sering turuti. Selain daripada itu, gunakan orang ketiga yang suami agak hormati jika puan tidak mampu mengendalikannya secara berseorangan.

Campur tangan keluarga  adalah perlu, tetapi kepada  yang boleh diperoleh  pandangan dan nasihat, bukan mengapi-apikan lagi  keadaan.  Jika  puan bijak mengurus, permulaannya mungkin sukar, namun jika sekali buat berani memberi amaran kepada suami agar jangan jatuh tangan atau meminta wang dari puan, maka  suami akan lebih berhati-hati.  Jika dia bertindak kasar, jangan takut untuk ke pejabat agama.  Atau jika  lebih serius,  jangan takut untuk fail kes ke mahkamah.

Ketahui Hak

Setiap insan  ada hak dan perlindungan yang perlu dipertahankan.  Buang sifat malu tidak bertempat.  Jika puan berani melaporkan kepada pihak berkenaan,  insya Allah suami tidak berani  berkasar terhadap puan.

Nasihati suami agar berubah.  Hidup perlu bekerja untuk menyara keluarga, dan yang paling penting menjalankan tanggungjawab dan amanah yang Allah berikan yang harus dipenuhi. Banyakkan solat malam, zikir dan mohon agar Allah beri petunjuk kepada suami dan kekuatan kepada puan berhadapan dengan sikapnya  itu. Wallahualam.

Sumber: Permasalahan ini telah dijawab oleh Puan Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis bebas, juga penulis jemputan di dalam Majalah Mingguan Wanita. 

https://www.mingguanwanita.my/dimadukan-suami-dengan-bibik-puncanya-isteri-tak-cakna-rumah-tangga-alasan-sibuk/

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI