Besar dugaan dan ujian yang dihadapi oleh wanita ini. Baru bergelar ibu tunggal pada 9 Februari lepas dan kini menjadi ketua keluarga dalam menyara anak- anak sendiri dan anak tiri. Pengorbanan yang bukan mudah apatah lagi dengan rela hati sanggup menjaga madu ketika sakit dahulu dan kini mengambil tanggungjawab menjaga anak-anak tiri.

Kisah ibu tunggal hebat ini dikongsikan oleh NGO kerja-kerja amal Puan Natipah Abu dalam facebooknya. Semoga menjadi inspirasi buat kita.

Puan Azizah Abdul Rahman ( 48 tahun ) , kisahnya dirujuk kepada kita oleh Persatuan Penduduk. Bahkan kita menziarahi beliau bersama dengan pengerusi dan AJK Persatuan Penduduk.

Namanya disebut-sebut sebagai seorang isteri dan ibu yang baik.Puan Azizah baru saja kematian suami pada 9 Feb lalu. Masih merah tanah kubur suaminya dan hari ini, Puan Azizah baru 25 hari di dalam iddah.

Suami, Madu Meninggal Sakit, Ibu Tunggal Rela Hati Sara Anak Kandung & Tiri
NGO kerja-kerja amal, Puan Natipah Abu

Suami Berkahwin Kali Kedua

Berkahwin dengan suami pada tahun 1996, 25 tahun lamanya dia hidup bersama suami. Namun perjalanannya penuh liku bila mana pada tahun 2003 iaitu 7 tahun setelah hidup bersama arwah suaminya tiba-tiba berkahwin buat kali kedua.

Pada awalnya, arwah suami merahsiakan perkahwinan keduanya dari Puan Azizah. Selepas tiga bulan berkahwin barulah arwah berterus terang dan mendedahkan segala-galanya.

Bohonglah kalau dia tidak sedih. Hati perempuan mana yang boleh menerima kalau dia dimadukan. Namun setelah pendedahan itu, arwah suami juga telah berusaha membuktikan bahawa dia tidak akan mengabaikan Puan Azizah dan anak-anak.

Terima Kehadiran Madu

Sikap madu yang menghormati Puan Azizah dan tidak mementingkan diri menjadi antara faktor utama mengapa Puan Azizah akhirnya menerima kehadiran madu di dalam hidupnya.

Perkahwinan arwah suami dan madu dikurniakan dua orang anak. Mereka tinggal di kejiranan yang sama. Puan Azizahlah yang menjaga anak-anak suami dan madunya (anak tiri Puan Azizah ) bila madunya keluar bekerja.

8 tahun usia perkahwinan madu dan arwah suaminya, madu disahkan mengidap kanser payu dara tahap 4. Setelah madu jatuh sakit, Puan Azizah yang selama ini menjadi pengasuh kepada anak-anak tirinya itu dengan rela hati mengambil alih tugas menjaga madu di rumahnya, sebuah flat PPR yang hanya ada dua bilik tidur sahaja. Dua tahun lamanya madu sakit dan terlantar sehinggalah akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2013.

IKLAN

Jadi Ibu Buat Anak-Anak Tiri

Setelah 10 tahun bermadu, Puan Azizah ditinggal pergi dengan amanah yang bukan kepalang, menjadi ibu buat anak-anak tiri yang dijaga sejak kecil yang ketika itu baru berumur 9 dan 5 tahun.

9 Februari lalu, suaminya dijemput mengadap ilahi. Pemergian arwah suami menyebabkan dua anak tirinya menjadi yatim piatu. 6 orang anaknya pula kehilangan kasih seorang ayah.

Daripada 8 orang anak ini, anak perempuan sulung telah berkahwin, 2 orang masih mencari pekerjaan dan 5 orang masih di bangku sekolah.

Pikul Tanggungjawab Sara Kehidupan Anak-Anak

Pemergian arwah suami Puan Azizah akibat komplikasi penyakit kencing manis yang dideritainya sejak dua tahun lalu. Arwah suami bekerja sendiri dan dengan pemergiaannya, bermakna Puan Azizahlah yang akan memikul tanggungjawab menyara kehidupan termasuk anak-anak yang masih di bangku sekolah.

Atas segala kesetian dan budi baiknya terhadap arwah suami dan arwah madu serta anak-anak tiri, maka itulah nama Puan Azizah disebut-sebut.

IKLAN

Puan Azizah pandai menjahit dan memang menjahit sejak muda. Kalau dulu, menjahit itu mungkin hanya sebagai sampingan tetapi kini, dia perlu fokus kepada kemahirannya demi menyara kehidupan.Puan Azizah memerlukan dua buah mesin jahit iaitu mesin jahit tepi halus dan mesin jahit industri untuk kegunaan kedai jahitnya.

Oleh itu , Sedekah Jumaat kita hari ini akadnya ialah untuk membantu Puan Azizah sebagai ketua keluarga untuk menyara anak-anaknya terutamanya 5 orang yang masih di bangku sekolah.

Kita berhasrat hendak menjadikan kedai jahitnya yang sedia ada di tingkat bawah flat PPR itu benar-benar seperti kedai jahit yang sepatutnya.

Suami, Madu Meninggal Sakit, Ibu Tunggal Rela Hati Sara Anak Kandung & Tiri
Puan Azizah bersama anak kandung dan tiri di kedai jahitnya.

Semoga dengan sumbangan semua dermawan di luar sana, kita mampu merealisasikan hasrat itu.

Jumaat yang barakah, semoga Allah permudahkanlah segala urusan kita hendaknya.

IKLAN

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
21 Rejab : 39 hari menuju Ramadhan.

SEDEKAH JUMAAT
BANTUAN IBU TUNGGAL
KEPERLUAN RM5K
SUMBANGAN MAYBANK NATIPAH ABU ‭552107617521‬

Baca Lagi Di Sini:

Bila Rasa Malas, Susah Hati, BERSEDEKAHLAH, Itu Amalan Yang Paling Senang Dan Tenang

Orang Suka BERSEDEKAH, Janji Allah Harta Tak Akan Berkurang Tetapi Makin Bertambah!

MW:Sama-samalah kita membantu ibu tunggal ini. Semoga segala kebaikan Puan Azizah Allah balas dengan rezeki yang melimpah ruah lagi diberkati, dipermudahkan segala urusan dan berjaya dalam perniagaan kedai jahitnya.

Sumber: Natipah Abu

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI