Baik suami atau isteri, kena ada simpanan kecemasan. Inilah yang akan membantu bila berlaku perkara yang tidak diingini. Sementelah kalau isteri bekerja, suami janganlah pula kedekut sampai duit belanja atau nafkah langsung tidak diberi.
Bagi isteri yang memahami dan punya kerjaya, ia tidak menjadi isu kerana ia turut membantu suami menampung keperluan keluarga. Tapi suami, janganlah ambil kesempatan. Mentang-mentang isteri bekerja, duit belanja dapur pun isteri kena keluarkan.
Ditambah puladalam keadaan sekarang ini, simpanan kecemasan suami isteri kena ada. Sebab itu, sangat disarankan untuk pasangan lakukan hibah. Bimbang , jika berlaku perkara tidak diingini terutamanya buat suami yang tidak lagi mampu kudratnya, bolehlah gunakan simpanan kecemasan itu untuk isteri teruskan hidup.
Apa yang penting, suami isteri jangan malu untuk istihar harta dan amanah dengan rezeki yang ada. Suami juga boleh sediakan simpanan kecemasan, bolehlah isteri gunakan bila terdesak, tanpa pelu mengeluh atau membazir. Benarlah perkongsian Mohd Fadhli ini.
Sejak tahun 2014, di awal perkahwinan, saya hanya sediakan keperluan asas untuk isteri dan rumah sahaja. Antaranya barang makan dapur, sewa rumah dan pendidikan anak-anak. Itu pun dibahagikan dua dengan isteri.
Senang kata, saya guna pendapatan isteri untuk menampung komitmen bulanan keluarga. Ini pun setelah berbincang. Isteri yang banyak uruskan kewangan. Sampai satu ketika, RM 10.00 saya minta isteri.
Bukan itu sahaja, duit belanja isteri untuk isteri ber ‘me time’ tak pernah saya beri sejak bernikah. Nak katakan hulur RM50.00 ni dua bulan sekali sahaja. Kadang-kadang tak beri apa-apa pun.
Ads
Syukur sangat isteri faham.
Tahun ini setelah 9 tahun usia perkahwinan kami, barulah saya ada upaya berikan duit poketnya. Paling tidak sebulan sekali. Jika dapat lebih dapatlah saya berikan sebulan dua kali.
Kalau dulu RM10.00 pun payah, Alhamdulillah setakat ni RM500.00 masih belum putus.
Bukan Nilai Duit Tapi Persefahaman
Ceritanya bukan pasal nilai duit. Ceritanya adalah persefahaman. Isteri mesti faham kedudukan suami. Isteri wajib tahu komitmen suami,hutang piutang dan baki duit dalam akaun atau beg duit suami.
Bukan nak ‘control’ tetapi memadailah ada rasa ihsan dan empati. Suami atau ayah kepada anak-anak ni tidak akan meminta jika tidak mendesak. Biasanya suami akan diam selagi mana dia mampu.
Sebab itu, suami isteri jangan malu untuk isytihar harta. Amanah dengan pasangan apa jua rezeki yang diperolehi. Sampai satu ketika jika suami mampu beri duit poket, jangan dipertikaikan nilai dan sumbernya.
Berdoa sahaja agar suami dimurahkan rezeki dan dikurniakan rezeki yang halal. Tapi jika dapat tahu suami dapat sumber yang haram, para isteri boleh pertikaikan.
Ads
Ini tidak, ada para isteri bila diberi sahaja duit poket dibalasnya ‘Ni je ke ?’, ‘Sikitnya bang’, ‘Bang, tak cukup….’. Sangat mendukacitakan
Bersyukurlah kalian dapat. Daripada isteri saya 8 tahun lepas duit poket pun tiada. Alat solek untuk hias diri pun dia beli sendiri untuk suaminya.
Ingat para suami, rezeki yang kita dapat hari ini adalah doa daripada isteri tercinta. Jangan kedekut dengan isteri. Berilah seadanya.
Bantu Suami
Sebab itulah para isteri yang berkerjaya wajib bantu suami. Paling tidak buat pelan kecemasan yang mengejut untuk suami. Kita tak tahu bila kudrat suami kita akan terhenti.
Mungkin terhenti kerana diuji sakit dan tak mampu bekerja atau meninggal dunia. Tatkala diuji inilah kita guna simpanan kecemasan tiba-tiba ini. Jangan mengeluh atau rasa membazir.
Bayangkan tiba-tiba suami kita stroke atau sakit jantung sehingga dah tak boleh kerja. Isteri yang perlu uruskan. Sampai satu peringkat isteri pula kena berhenti kerja sebab nak uruskan suami. Simpanan kecemasan atau hibah inilah akan bantu menampung.
Jangan kedekut, buatlah paling kecil RM50,000 atau yang mana mampu terus ambil RM 1 juta. Kita tak tahu bila suami kita akan hilang kudratnya dan begitulah sebaliknya.
Ads
Untuk saya, saya dah siapkan hibah untuk isteri. Saya siap-siap cakap, jika saya mati adalah sikit duit tunai untuk dia uruskan anak-anak. Jika saya sakit dan lumpuh, gunalah duit hibah itu untuk uruskan kehidupan saya.
Saya tak sanggup isteri saya hilang dari saya dan pudar sayangnya tatkala saya lumpuh atau dah hilang kemampuan. Saya tak sanggup nak orang gaji jaga saya. Saya nak isteri saya jaga saya.
Saya nak isteri saya jaga saya tatkala saya hilang kudrat sebagaimana saya jaga dia ketika dia berpantang selepas pembedahan lahirkan Khaulah dan Miqdad.
Bagi para isteri atau suami yang belum ada hibah/simpanan kecemasan buatlah.
Mingguan Wanita : Mungkin sekarang tak nampak tapi kalau diatakdirkan berlaku, sekurangnya ia dapat meringankan beban pasangan dan teruskan kehidupan dengan anak-anak.
Segala yang berlaku dalam kehidupan kita, semuanya adalah ‘bersebab’. Sebab DIA tahu kita mampu atau tidak untuk melaluinya. Begitu juga jodoh kita dengan pasangan. Semuanya kerana bersebab.
Pernah kita dengar dan lihat, bercinta bagaik nak ‘rak’ dan bertahun-tahun lamanya. Akhirnya, pasangan ini bertemu jodoh dengan orang lain. Sebab apa? Semuanya kerana SEBAB.
Begitu juga dalam memperolehi rezeki. Sesetengah orang ada yang tidak berkahwin lagi kerana duit tidak cukup dan bimbang bila berkahwin tidak mampu untuk menyara keluarga. Ada juga yang sudah berkahwin tapi rezeki sentiasa tersekat.
Apa yang boleh dikatakan, semua itu berlaku kerana SEBAB. Kerana SEBAB inilah ia menjadi satu rezeki. Apa yang boleh dikatakan, setiap yang berlaku itu, usahlah mengeluh dan Allah lebih mengetahui segalanya. Teruskan kehidupan dengan lebih baik.
Perkongsian daripada Imam Muda Hassan Adli ini boleh dijadikan panduan untuk suami isteri, lebih-lebih lagi dalam bab-bab rezeki. Sebab, jika isteri terluka, rezeki suami boleh terhalang. Sebab itu jugalah ia menjadi salah satu pintu rezeki.
Isteri ibarat penarik rezeki bagi si suami. Terlukanya hati isteri maka akan terhalanglah rezeki suami.
Kenapa kita berkahwin? SEBAB apa?
SEBAB Dia nak luaskan rezeki suami.
Tahukah kita di saat kita menikah, sebenarnya Allah telah melipatgandakan rezeki kita. Dia mengurniakan isteri dan anak dalam tanggung jawab kita. Maka Dia juga menitipkan rezeki mereka di tangan kita. Jika sebelumnya kita miskin Allah akan mencukupkan rezeki setelah kita berkahwin.
Firman Allah, “Dan nikahkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (menikah) dari hamba-hamba sahayamu yang laki-laki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan, JIKA MEREKA MISKIN MAKA ALLAH AKAN MENJADIKANNYA KAYA dari kurniaNya karena Allah itu adalah Maha Luas PemberianNya lagi Maha Mengetahui” (Surah An Nur : 32)
Jangan Main-main
Jadi, jangan main-main dengan SEBAB-SEBAB yang berlaku dalam kehidupan kerana setiap peristiwa yang berlaku dalam kehidupan kita ada sebabnya yang tak terjangkau dek akal.
SEBAB adalah salah satu kunci kepada pintu rezeki.
Hassan Adli
Suami yang banyak dosa dengan isteri
#jiwatenang
MW: Kalau buat isteri rasa sedih dan terluka pun boleh jadi asbab rezeki terhalang..ingat tu wahai suami.
Ramai tak suami yang faham yang isteri pun perlukan Me Time atau masa rehat tanpa melayan kerja rumah mahupun kerja uruskan keluarga. Tak lama manapun, dalam sebulan mungkin sehari masa yang isteri mahu. Masa itulah isteri akan seronok dengan minatnya, misalnya shopping, memancing dan sebagainya.
Syukurlah pada suami-suami yang memahami keperluan dan kegembiraan isteri masing-masing. Buat yang belum faham, suami kenalah tahu yang isteri ini sebenarnya penat. Bukan penat fizikal saja, otak pun penat. Baik urus anak-anak mahupun kerja pejabat yang tak pernah nak habis.
Dalam sehari itu, berilah isteri bergembira. Baik dengan kawan-kawan ataupun adik beradik. Kisah ini samalah dengan cerita Akhtar Syamir yang tak pernah jemu berkongsi inspirasi Me Time untuk isterinya, Nora Azni.
Kali ini Me Time yang diberikan adalah memancing dengan adik-beradiknya. Lihat cara isterinya itu menghargai Me Time yang suami berikan. Walaupun Me Time sudah di genggaman, dia tak lupa menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
Dan akhirnya, Me Time yang suami beri, berakhir dengan bahagia untuk kedua-duanya.
Bagaimana Akhirnya Saya Berikan Me Time Memancing Pada Isteri
“Jika saya tak buka mata, mungkin saya terlepas pandang perkara ini.”
Akuinya, “Betul, selepas berkahwin boleh dikatakan semuanya seronok. Banyak perkara dilakukan bersama suami dan anak-anak.” Tanpa suami sedar, rupanya isteri pun ada minat mereka tersendiri. Syukurlah Akhtar cepat-cepat sedar minat isterinya itu. Dan inilah yang dia lakukan.
1. Tak Nak Minat Isteri Terkubur
Bila isteri kerap melayan minat suami dan anak-anak, tanpa sedar isteri jarang dapat merealisasikan minat peribadinya.
Lagi-lagi bila isteri minat satu benda tapi suami tak minat. Apa agaknya yang terjadi? Kesukaan itu akan berkubur selama – lamanya.
Isteri akan mengalah dan hanya lakukan apa yang dia dan suami sama – sama suka sahaja. Kita memang tak boleh nak elak situasi di mana hanya seorang sahaja yang suka dan seorang lagi tidak dalam sesuatu perkara.
2. Hidu Minat Memancing Isteri Dengan Perhatikan Gelagatnya
Minat isteri saya yang sebelum ni saya tak tahu iaitu memancing atau mengail. Saya memang tidak tahu langsung mengenai hal ini sehinggalah beberapa tahun selepas perkahwinan kami.
Dan saya perasan ibu mertua saya minat mengail di kampung, adik beradik lelaki isteri saya pun sama, beberapa kali dah mereka keluar memancing.
Apa yang saya perhatikan setiap kali balik kampung, isteri saya seringkali minta kebenaran untuk pergi mengail bersama ibunya. Ada juga kadang – kala si isteri tunjuk gambar adik – beradiknya yang membawa pulang hasil memancing mereka.
3. Kalau Minat Isteri Tak Sama, Suami Jangan Halang
Sejujurnya aktiviti memancing ini tidak pernah termasuk di dalam senarai aktiviti yang saya minat. Kemungkinan besar saya tidak ada kesabaran dalam menunggu ikan mengena dan perkara – perkara lain yang berkaitan dengannya.
Saya juga pernah memberitahu isteri mengenai hal ini. Mungkin atas sebab ini isteri saya tidak mengajak saya pergi memancing kerana beliau tahu saya tidak berminat agaknya.
4. Bila Dah Sedar Kesukaan Isteri, Cepat-cepat Beri Restu
Saban hari saya menunggu peluang untuk realisasikan minatnya. Sehinggalah hari ini apabila keluarga kakak si isteri datang dari kampung dan mereka berpakat dengan adik ipar untuk pergi memancing dan mengail udang.
Baru sahaja isteri nak mula bercerita panjang untuk cuba memujuk, saya dah terus bersetuju. Bukan selalu peluang ini datang. Nak kami pergi sendiri mungkin susah dengan anak – anak lagi.
Isteri Yang Dapat Me Time Akan Bahagiakan Suami Till Jannah
Dia punya seronok, terus dia siapkan makanan tengahari saya dan anak. Saya bantu dia siapkan makanan saya sendiri kerana dia sudah agak lewat. Jadi hari ini saya ambil alih tugas siapkan kakak untuk ke sekolah dan menjaga si adik.
Kebetulan saya bekerja syif malam. Agak kelam kabut jugak tadi. Saya memang tak pandai pakaikan tudung anak. Jadi, ada dalam 5 minit jugak la bergaduh dengan anak tudung dan tudung tu.
Si kakak beberapa kali cakap, “sengetlah papa“. Pada masa ini barulah saya sedar betapa geramnya bila tudung tak jadi. Hehehe..
Nasib baik juga si adik ok lepas kakaknya ke sekolah. Makan pun mudah je suap. Tapi berkali – kali jugak dengan tiba – tiba dia cakap “mama?” Seperti bertanya dimanakah mama dia. Jarang sangat mereka berdua ni berenggang.
Bila tengok gambar yang mereka hantar kat group whatsapp keluarga, nampak jelas kegembiraan isteri memancing dan mengail bersama adik – beradiknya tanpa perlu risau mengenai anak – anak kerana mereka dalam jagaan saya.
Alhamdulillah saya berjaya. Berjaya menggembirakan hati isteri saya walaupun tidak membuat aktiviti itu bersama.
Saya juga berjaya memberi ME TIME kepada isteri bersama adik – beradiknya. Kejayaan – kejayaan kecil inilah yang memberi semangat buat saya untuk terus berbakti kepada keluarga ini.
Saya amat percaya dan sentiasa berpegang dengan idea “isteri yang gembira akan menghasilkan keluarga yang gembira“. Kerana isteri ini umpama tulang belakang kepada keluarga. Apabila dia suram, suramlah keluarga itu. Bila dia bahagia, dia akan sentiasa membahagiakan.
Nasihat saya kepada semua suami mahupun isteri, bukalah mata dan dengarlah petunjuk – petunjuk kecil oleh pasangan anda. Ini bakal memberi tanggapan baik yang anda menghormati mereka.
Dan tak lupa juga, udang – udang yang mereka kail tu akan berakhir di atas meja makan kami juga.
Jual hartanah tak guna khidmat peguam tapi urus sendiri, ini keburukan dan kebaikannya. Ada banyak sebab kenapa seseorang individu itu hendak menjual hartanah yang dimiliki. Mungkin anda ada masalah kewangan, ingin berhijrah atau mungkin anda ingin membeli hartanah yang lebih mahal daripada yang anda miliki sebelum ini.
Tidak kisahlah apa jua sebab dan situasi anda, sebaik-baiknya apabila ingin menjual hartanah yang anda miliki, carilah seorang peguam yang dapat memudahkan urusan anda. Khidmat guaman ini bukan sahaja memudahkan urusan anda tetapi juga mengelakkan daripada berlaku masalah-masalah yang tidak diingini pada masa hadapan.
Melalui satu hantaran di Facebook yang dikongsikan oleh Nazri Mustafa, peguam hartanah ini berkongsi kebaikan dan keburukan jika seorang penjual hartanah tidak melantik seorang peguam untuk penjualan hartanah yang dimiliki.
Antara kebaikan dan keburukan jika seorang penjual hartanah tidak melantik seorang peguam untuk mewakilinya dalam urusan jual beli hartanah adalah seperti berikut:
KEBAIKAN:
1. Kos yang lebih rendah
Tanpa melibatkan seorang peguam, penjual mungkin dapat mengurangkan kos transaksi, kerana tidak perlu membayar yuran perkhidmatan peguam.
2. Kawalan lebih besar
Penjual mungkin merasa lebih banyak kawalan dalam proses jual beli dan tidak perlu bergantung kepada nasihat seorang peguam.
3. Kesilapan Undang-Undang
Risiko kesilapan undang-undang adalah lebih tinggi jika tidak ada peguam yang terlibat. Ini boleh membawa kepada masalah undang-undang yang serius dalam urusan jual beli.
3. Kesukaran dalam perundingan
Penjual mungkin tidak mempunyai pengetahuan undang-undang yang mencukupi untuk berunding dengan berkesan dalam urusan jual beli, yang boleh mengakibatkan syarat-syarat yang tidak menguntungkan.
4. Tiada perlindungan undang-Undang
Tanpa peguam, penjual mungkin kehilangan perlindungan undang-undang dalam kes-kes tertentu, seperti jika pembeli gagal menunaikan kontrak.
5. Semua urusan buat sendiri
Penjual perlu uruskan sendiri urusan permohonan pindahmilik, urusan penebusan harta (bank biasanya mahu berurusan dengan peguam sahaja), urusan pengemukaan laporan cukai keuntungan harta tanah, urusan suratan hakmilik (jika sudah dikeluarkan tetapi belum dipindahmilik ke atas nama penjual) dan lain-lain lagi urusan yang terlibat.
Oleh itu dalam pada tidak melantik seorang peguam boleh mengurangkan kos, penjual hartanah perlu menyedari risiko undang-undang dan kesukaran dalam urusan jual beli yang mungkin timbul jika tidak ada peguam yang terlibat.
Moga bermanfaat dan dapat dijadikan panduan untuk semua.
Jururawat hampir kehilangan RM4000 akibat emel palsu, "diminta verify kalau tak akaun Netflix digantung. Seorang jururawat hampir kehilangan wang simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan...