Suami isteri meninggal dunia kemalangan motosikal, bayi 8 bulan bergelar yatim piatu. Ramadan ini membawa kedukaan buat keluarga Samsudin Basirun bila mana anak mereka meninggal dunia dalam kemalangan semalam.
Kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, mangsa, Aswan Sulaiman, 29, dan Nur Khairunnisya Samsudin, 23, yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Senawang bertembung dengan sebuah Myvi di di Persiaran Forest Height 1 dan meninggal di tempat kejadian.
Suami Isteri Meninggal Dunia Kemalangan Motosikal
Memetik laporan Sinar Harian, bapa Allahyarham Nur Khairunnisya, Samsudin Basirun, 52, berkata, dia pada awalnya menyangka anaknya terlibat kemalangan biasa apabila dihubungi polis memaklumkan kejadian berlaku.
“Ketika itu saya di tempat kerja dan polis hubungi beritahu anak kemalangan.
“Saya ingat kemalangan biasa saja, tapi bila polis beritahu kedua-dua anak saya dah tiada, saya rasa macam nak pengsan,” katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar di sini pada Isnin.
Menurutnya, mereka sekeluarga sempat sahur bersama pada pagi Isnin, malah anak dan menantunya tidak menunjukkan sebarang tanda yang akan pergi buat selama-lamanya.
Bayi 8 Bulan Bergelar Yatim Piatu
Bagaimanapun katanya, anaknya sangat teruja untuk pulang berhari raya di Sabah iaitu rumah keluarga suaminya dan telah pun membeli tiket kapal terbang.
“Selepas setahun lebih berkahwin, mereka tak pernah langsung pulang ke Sabah dan ketika majlis perkahwinan pun besan saya yang datang ke sini.
Ads
“Tapi memandangkan anak mereka (cucu) sudah berusia lapan bulan, saya suruh mereka pulang bertemu keluarga di sana dan yang sedihnya tiket kapal terbang dah dibeli, begitu juga baju raya,” katanya.
Bagaimanapun katanya, hasrat mereka untuk beraya di sana tidak kesampaian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kemalangan berlaku membabitkan motosikal mangsa dan sebuah kereta Perodua Myvi.
“Siasatan awal mendapati, Perodua Myvi yang dipandu remaja perempuan berusia 19 tahun datang dari Seremban Jaya menghala ke sebuah kolej tingkatan enam di Forest Height.
“Namun apabila sampai di lokasi, kereta itu telah membelok ke simpang kanan menuju ke Persiaran Forest Heights 2 dan pada masa sama motosikal ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan telah melanggar sisi kiri kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan penunggang dan pembonceng motosikal mengalami cedera parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ads
Tambahnya, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Insp Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
“Tudung is my hair. Kalau tak ada tudung, rasa macam botak. Masak pun pakai tudung, tidur pun dengan tudung…inilah perkongsian dari artis legenda, Bonda Noor Kumalasari.
Dalam pertemuan Mingguan Wanita bersamanya, bintang kesayangan ramai ini turut sebak dan mengalirkan air mata tatkala bercerita tentang hijrah 30 tahun lalu mengenai pemakaian tudung yang dilakukannya seterusnya memilih untuk tidak lagi bergelar anak seni walau menerima banyak tawaran.
Mengimbau kenangan lalu, kata Bonda Noor, dahulu balik dari Makkah, dirinya masih tidak menutup aurat dengan sempurna biar ada dinasihati oleh suaminya kerana mati itu akan berlaku tanpa kita tahu.
“Ketika itu Kak Noor cakap, Kak Noor nak pakai ikut kata hati. Kak Noor minta pada Allah dan itulah yang berlaku hingga ke hari ini. Tak pernah tanggal langsung dah. Dah macam rambut.
“Lagi satu bila kita memilih bertudung, kena tanya pada hati kita. Kita pakai untuk siapa? Pakai untuk diri sendiri? Untuk suami? Atau kerana Allah? The best thing pakailah kerana Allah kerana itu adalah syariat dan tuntutan menutup aurat bagi wanita. Ya itulah kita kena lakukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nadir Al-Nuri berpeluang peluk anak selepas 6 bulan tak bertemu, misi pertemukan keluarga ini diketui PMX. Sejak semalam tular kisah tindakan dalam diam Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Anwar Ibrahim yang membantu satu-satunya rakyat Malaysia di Palestin, Nadir An Nuri untuk bertemu dengan anak dan keluarganya selepas lebih 6 bulan terpisah.
Nadir yang sempat berada di Malaysia sejak 6 bulan lalu, sering menyatakan rasa rindu kepada anak-anaknya di bumi bergolak P. Ditambah bumi G sentiasa bergolak dan dihujani bom.
Selepas 183 hari melalui hari yang panjang, dirinya telah dipertemukan dengan anak-anak, melepaskan rindu selepas sekian lama tidak bertemu dalam satu “misi gila” diketuai oleh PMX yang melakukan tindakan dalam diam membantu keluarga ini.
Baca catatan Nadir Al-Nuri.
183 Hari Yang Panjang :
Hati saya hanya Allah sahaja yang tahu, betapa seluruh jiwa ini tertinggal di bumi G. Anak kecil, wanita dan keluarga berpindah-randah saat rumah kami juga habis dimusnahkan.
Naik turun emosi bila dapat berita jiran, sahabat dan kaum kerabat kami di sana terkorban saban hari.
Di sana setiap 10 minit satu jiwa akan syahid! Waktu malam adalah waktu yang sukar untuk memejamkan mata saat mendapat berita ada seluruh keluarga sahabat terkorban akibat bedilan regim yang memang mensasarkan orang awam.
Hasbunallah Wani’mal Wakeel.
Dengan segala ujian, Allah pasti bersama kita kerana Dialah selayaknya wakil susah senang hambanya..
Kisah bermula saat G sedang sengit berperang manakala keluarga saya berjaya mengharungi kepayahan dan sampai ke Rafah untuk menyelamatkan diri. Saya bersama sahabat merangkap kekanda kami, (Dr) Sani Araby MAPIM diberikan peluang bertemu watak utama misi menyelamat sebulan lepas di satu majlis di Shah Alam, beberapa hari sebelum beliau ke Berlin.
Dalam ramainya orang, sempat saya maklumkan keluarga terkandas di Rafah. Beliau hanya sempat membelek kiriman kami, memberikan respon ringkas ‘saya akan bantu’ dan terus menaiki kenderaannya memecut ke majlis seterusnya.
Hati saya mula luluh, mungkin itu bahasa orang politik saja. Namun dalam surat saya, ada saya akhiri ayat dengan ‘Kepada Allah jualah kami berserah’. Saya langsung tawakal dan dan serahkan segalanya kepada Allah.
Sehari sebelum Aidilfitri, saya dihubungi Setiausaha Politik PMX, Tn Farhan Fauzi, watak penting yang mengusahakan misi ini. Sejak awal peperangan beliaulah yang kerap menjemput kami ke pejabatnya di Putrajaya dan selalu menghubungi kami bertanyakan keadaan keluarga dan perkembangan di G.
Kali ini nadanya berbeza, agak serius dan beliau memaklumkan kami untuk datang ke satu lokasi khas. Saya dan (Dr) Sani saja dibenarkan ke sana! Allahuakbar. Ada apa pula ni? Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie.
Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan..
Saya sudah biasa melalui perang di G, melihat kehilangan dan air mata serta cekalnya kehidupan. Tetapi misi ini saya katakan ‘Misi Gila’ kerana bukan mudah untuk dikeluarkan keluarga saya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus, malah ketegangan di sempadan juga berlanjutan. Namun secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana; ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain.
Prosesnya cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1001 cabaran tersirat. Kisahnya akan keluar satu demi satu tetapi tak semua saya berhak untuk kongsikan.
Tetapi watak utama dalam ‘Misi Gila’ ini adalah Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri!
Suka beliau atau tidak, dalam soal P umat perlukan satu ketumbukan. P pernah bergantung kepada garangnya Saddam Hussein, kemudian lantangnya Erdogan. Kini tiba giliran kita dan yang boleh kita banggakan ialah ketegasan Malaysia dalam bersolidariti.
Tindakan PMX menghalang kemasukan kapal milik penjajah ke pelabuhan kita, ketegasan menyatakan sokongan kepada Hms dan mutakhir jawapan berpendirian di hadapan Chancellor German menjadikan nama Malaysia disebut-disebut di kalangan marhaen di jalanan bumi penuh keberkatan selain menjadi bual bicara di peringkat antarabangsa.
Semoga kita terus bersatu membela nasib saudara kita, menjadi jaguh di peringkat dunia dan berani mengiringi kata-kata dengan langkah di alam nyata.
Untuk PMX, PMO, (Dr) Sani dan semua pihak yang menjayakan usaha ini samada secara langsung mahupun mendoakan, kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga.
Semoga Allah sahaja membalas jasa kalian semua, ameen.
Ada ibu bapa yang kurang senang dan membuat tuduhan melulu bila anak menantu balik beraya tapi tidur di hotel/homestay. Setiap kali hari raya, tidak kiralah hari raya Aidilfitri mahupun hari raya Aidiladha, apa bila ada ahli keluarga yang menginap di hotel ataupun di homestay, pasti ada yang memandang serong.
Ustazah Asma’ Harun memberi nasihat kepada ibu bapa supaya memahami keadaan anak menantu. Dalam ketika bergembira menyambut hari raya yang mulia ini, mungkin ramai yang lupa dalam menjaga batas-batas yang disyariatkan dalam Islam.
Kita seolah lupa dan terlalu berseronok sehingga banyak larangan yang diabaikan. Hal ini kerana apabila sudah bercampur beramai-ramai, agak sukar untuk menjaga perihal aurat.
Berikut perkongsian daripada Ustazah Asma’ Harun yang mengupas tentang topik ini secara menyeluruh.
BALIK KAMPUNG TAPI TIDUR HOTEL/HOMESTAY
Apabila tiba musim raya, isu tidur di homestay atau hotel akan jadi ‘trending’. Penuh berita mengenai isu ini dan kebanyakannya menjurus kepada tanggapan negatif, sama ada daripada ibu ayah, adik-beradik atau saudara-mara.
Maka ada yang mencemuh, pandang atas bawah atau cakap belakang. Cerita di sebalik beraya di kampung memang seronok tapi sebenarnya mudah terpalit dosa jika tidak diteliti sebaiknya.
Jika banyak keluarga berhimpun dalam satu rumah, tidur berjemaah di ruang tamu sebab tak cukup bilik, maka akan berlaku pendedahan aurat ipar, sepupu atau biras semasa tidur. Bukan itu sahaja, bagi yang menyusu badan lagi sukar kerana mungkin tak sedar auratnya terdedah ketika sedang tidur selepas menyusukan anak. Allahu Akbar.
WAHAI IBU BAPA, SELIDIK DAHULU. WAHAI ANAK, JANGAN MELULU
Semasa menjadi perunding cara rumah tangga dulu, memang ramai ibu bapa mengadu bahawa anak mereka terjebak dengan pornografi atau ketagih melihat benda lucah bermula dengan situasi begini di kampung.
Pada awalnya hanya ternampak sikit, kemudian datang keinginan untuk melihat dengan lebih banyak. Keadaan ini harus difahami oleh semua pihak dengan berlapang dada. Sudah menjadi tanggungjawab buat seorang suami untuk memelihara maruah anak isteri.
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” (Surah at-Tahrim 66: 6)
Sebelum ibu ayah berkata sesuatu yang mungkin akan timbulkan salah faham, maka fahami dahulu situasinya kenapa. Bukanlah sebab rumah itu tidak selesa, tiada aircond, suasana kampung, dan lain-lain tetapi bagi menjaga maruah, aurat dan pergaulan anak dan isteri.
Seorang anak pula harus jujur jika bermalam di hotel/homestay. Terangkan kepada ibu ayah dengan baik dan jelas, kadang mungkin mereka terlalu rindukan anak yang sudah lama tak pulang, jadi tugas kita ialah cuba jelaskan dengan baik. Mudah-mudahan ibu ayah memahami dengan lapang dada.
Anak-anak yang memilih untuk tidak bermalam dirumah ibu bapa, perlulah sebab yang berkaitan syara’, bukan kerana tidak selesa dan lain-lain, dibimbangi akan membuatkan orang tua dan keluarga berjauh hati.
Dan pada waktu selain rehat malam maka sepatutnya perlu berada di rumah supaya boleh berbakti dan menggembirakan hati orang tua dan keluarga.
PENTING SANGAT, janganlah jadi seperti tetamu pula, datang pada waktu makan atau waktu tertentu sahaja, sikap ini memanglah akan menyakitkan hati banyak pihak. Tidur hotel atau homestay asalnya tiada masalah, tapi sikap kita yang bermasalah.
Maksudnya: “Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau menaati keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku. Kemudian hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan Aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah Luqman 31: 15)
BATAS AURAT WANITA DENGAN LELAKI AJNABI
Kita maklum bahawa batas aurat seorang wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya (ajnabi) ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan.
Maksudnya: “Apa yang zahir daripadanya (perempuan) ialah muka dan telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat kerana terdapatnya keperluan (hajat) untuk mendedahkannya. Adapun diharamkan untuk melihat pada kedua-duanya kerana biasanya kedua-duanya akan membawa kepada timbulnya fitnah.” (Kitab Asna al-Matalib, 1/176)
Walaupun batasan auratnya masih boleh dijaga, namun sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya bagi saudara-mara yang ramai dan tiada privasi, sebaiknya bermalam di tempat berasingan kerana waktu tidur kita tak sedar apa yang terdedah.
Kecuali jika di kampung memang tak ramai atau setiap keluarga mendapat privasi yang diperlukan. Maka ketika itu tidur di rumah ibu bapa lebih baik bagi meraikan dan menggembirakan mereka.
Jika kita miliki anggota keluarga yang ramai, maka semakin ramailah orang yang perlu dijaga batas auratnya, terutama sekali wanita.
Mereka perlu menjaga aurat daripada sepupu, ipar, bapa tiri, adik-beradik angkat, biras, dll.
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya. Dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara (adik-beradik) lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara (adik-beradik) lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara (adik-beradik) perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak suruhan (hamba) yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.” (Surah an-Nur 24: 31)
Semoga para suami, ibu ayah, abang, adik lelaki, ibu ayah mertua memahami akan kepentingan dalam penjagaan aurat ini dan tidak semudahnya berkecil hati dan bersangka buruk terhadap anak-anak yang memilih untuk bermalam selain di rumah.
Maksudnya : “Sesiapa yang memelihara penglihatannya, maka Allah SWT akan menyinari (memberi petunjuk) pandangannya dan juga hatinya.” (Kitab Tafsir Ibnu Kathir: Tahzib wa Tartib, Dr. Solah al-Khalidi, 4/2343)
DOA MENJAGA MARUAH DIRI
Mari kita amalkan doa ini, mudah-mudahan maruah diri dan keluarga kita sentiasa dipelihara oleh Allah SWT:
اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي
Maksudnya: “Ya Allah lindungilah auratku, amankanlah apa-apa yang menjadi pemeliharaanku.” (HR Ibnu Majah, hadis sahih)
Semoga penerangan ini bermanfaat, Allah merahmati dan melindungi seluruh ahli keluarga kita daripada perkara mungkar serta salah faham di dalam rumah tangga. Ameen Ya Rabbal Alamin.
Norjuma Habib Mohamed didakwa cederakan tiga individu, rosakkan palang serta kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kondominium. Bekas personaliti televisyen dan usahawan tudung itu didakwa di empat Mahkamah Majistret atas lima pertuduhan mencederakan tiga individu dan melakukan khianat tujuh tahun lalu.
Norjuma, 44, berdepan tiga pertuduhan mencederakan tiga individu dengan mencakar tangan, menampar pipi dan menendang betis tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Illi Marisqa Khalizan, Amira Abd Aziz, Fatin Dayana Jalil dan Noor Elynna Hanim Abd Halim.
Mengikut pertuduhan pertama, usahawan tudung ini didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Afiq Ismail, 34, di premis perniagaan di Menara Atlan, Jalan Ampang di sini pada jam 8.43 malam, 21 Februari 2017 lalu.
Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan dengan menendang betis kaki kiri seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram di pusat tuisyen di Plaza Batai Bukit Damansara di sini pada jam 3 petang, 29 Mac 2018 lalu.
Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh menyebabkan kecederaan dengan cara menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada jam 10.30 pagi, 18 Oktober 2021.
Tiga pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda mencecah RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dibuat Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu Norjuma turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar masuk dan kamera litar tertutup (CCTV) milik sebuah kondominium.
Dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Mahkamah kemudian membenarkan Norjuma diikat jamin RM6,500 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan.
Beliau juga diperintahkan agar tidak menganggu atau menghubungi mangsa.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Harvind Raja Gopal, Hamizah Hisan dan Vivian Yeap Jie Xi manakala Norjuma diwakili peguam Izzat Amir.
Mahkamah menetapkan 27 Jun ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.