Tanggungjawab suami adalah lebih berat daripada tanggungjawab isteri. Suami dipertanggungjawabkan atas segala yang berlaku ke atas isteri dan keluarganya.
Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. (Surah al-Nisa’: 34)
Bagaimanapun suami yang mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dengan melebih-lebihkan ibu dan adik-beradiknya dianggap derhaka pada Allah SWT.
Perkara itu dijelaskan oleh penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus menerusi sesi ceramah yang disampaikannya ketika menjawab soalan salah seorang pengguna media sosial.
Suami Derhaka Kepada Allah Bila Abaikan Isteri
Katanya, seorang suami itu dianggap derhaka kepada Allah atas tindakannya mengabaikan tanggungjawab ke atas isterinya itu.
Ads
“Hukumnya, dianggap derhaka pada Allah kerana tiada istilah lelaki derhaka kepada isteri.
Lebihkan Ibu & Adik Beradik
“Kalau suami, dia wajib menjaga anak dan isterinya, tiba-tiba dia abaikan dan maka dengan itu dia dianggap melanggar perintah Allah,” katanya.
Tambah Ustaz Azhar, selain menjaga keperluan keluarga, tugas suami juga perlu memastikan isteri dan anak-anaknya terhindar daripada seksaan api neraka.
Ads
“Suami kena ajar mana-mana perkara yang haram dilakukan, supaya isteri dan anak-anak tidak buat bagi menghindari mereka dari masuk api neraka.
“Setiap orang yang ada anak dan isteri, akan disoal tentang anak dan isteri mereka pada hari kiamat, jadi wajib jaga semuanya jangan abaikan,” jelasnya.
Ads
Kewajipan seorang suami memberi nafkah kepada isteri dengan menyediakan nafkah asas secara umum seperti makanan, alat kebersihan diri dan seumpamanya mengikut kemampuannya tanpa perlu menyatakan secara khusus.
Suami juga tidak wajib untuk memberi wang, ini kerana nafkah yang wajib hanyalah nafkah keperluan asas yang disenaraikan oleh ulama iaitu makanan, lauk -pauk, pakaian, alat mandian, perkakas rumah, tempat tinggal dan pembantu rumah bagi isteri yang biasa memiliki pembantu.
Suami wajib menyediakan kediaman untuk isterinya yang mana tiada keluarga yang lain di rumah tersebut. Sekiranya suami menyediakan tempat tinggal satu rumah dengan ibu bapanya maka isteri dibolehkan untuk tidak menetap bersama suami.
Harus difahami bahawa nafkah tempat tinggal merupakan hak peribadi isteri bagi diri dan hartanya. Nafkah untuk tempat tingga; yang diberi perlu diukur mengikut kemampuan suami. Suami wajib berusaha bagi memenuhi nafkah tempat tinggal untuk isterinya.
Memang besar tanggungjawab seorang suami terhadap isterinya. Apabila seorang lelaki itu sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga ini bermakna dia juga sudah bersedia untuk memikul amanah yang telah diberikan iaitu isterinya.
Isteri saya bertanya, jika ada lelaki meminang Haura, tetapi lelaki itu mahu tinggal dengan ibu bapanya, tidak mahu duduk berasingan, adakah saya akan terima. Saya bertanya: Mak bapak lelaki itu sakit ke dan memang memerlukan anaknya di sisi? Jawapan isteri saya: Tidak.
Maka saya menjawab: Insya-Allah, ‘reject’ awal-awal sebab lelaki itu tidak faham tanggungjawab sebagai suami dan belum sedia menjadi suami. Bahkan, sepatutnya 2-3 bulan sebelum bernikah sudah mula cari rumah untuk didiami nanti selepas pernikahan. Habis menikah, boleh terus masuk rumah.
Wahai kaum lelaki ‘beragama’, fahami agamamu sebenar-benarnya. Semaklah fatwa para ulama berkaitan menyedian kediaman berasingan untuk isteri daripada keluarga mertua, dan hak isteri untuk menolak tinggal dengan mertua. Sesungguhnya kefahaman anak lelaki perlu utamakan ibu bapa sebelum isteri sering disalah fahami dengan erti kata yang tidak benar. Belajar agama betul-betul, baca huraian para ulama betul-betul.
BELUM SEDIA JADI SUAMI
Bagi saya, jika anda tidak bersedia hidup berasingan daripada ibu bapa anda, bermaksud anda belum bersedia menjadi seorang suami. Apabila melihat reaksi dan komen kepada ‘post’ saya yang menyatakan saya akan ‘reject’ mana-mana lelaki yang masih mahu tinggal dengan ibu bapanya yang meminang anak perempuan saya membuatkan saya terfikir, sejauh manakah pengetahuan kita semua berkaitan kewajipan suami dan isteri, hak suami dan isteri.
Kita sering menggunakan kaedah ‘isteri kena taat suami dalam perkara yang tidak melanggar syara’, lalu kaedah ini digunakan secara meluas dalam semua perkara termasuk jika suami mahu tinggal dengan ibu bapanya, isteri wajib taat, suami suruh isteri jaga ibu bapa suami, isteri wajib taat. Sejauh itukah ketaatan kepada suami sehingga isteri berdosa jika enggan mentaati suami?
Apatah lagi kaedah mengarut yang berbunyi: “Apabila seorang wanita sudah berkahwin, ibu bapa suami adalah lebih diutamakan daripada ibu bapa sendiri”.
Saya tidak tahu kenapa perkara yang sangat banyak dibahaskan dalam karya-karya feqh para ulama ini seolah-olah asing daripada pengetahuan masyarakat Melayu.
HAK ISTERI MENDIAMI KEDIAMAN SENDIRI
Saya menulis status sebelum ini kerana saya tahu, itu merupakan hak kepada seorang isteri untuk mendiami kediaman yang berasingan daripada ahli keluaraga suami dan ahli keluarganya. Sepatutnya, kewajipan asas sebegini diketahui seorang lelaki dan wanita sebelum memasuki alam perkahwinan supaya tidak ada sesiapa yang menzalimi atau dizalimi. Saya ingin memetik beberapa kalam ulama yang berkaitan, kemudian yang lain, tuan-tuan boleh terus membaca pada pautan yang saya berikan.
من حق الزوجة أن يكون لها مسكن خاص مع زوجها وأولادها ، لا يشاركها فيه أحد ، لا أب ولا أم ولا قريب . وإلى هذا ذهب جمهور الفقهاء من الحنفية والشافعية والحنابلة ، وأن لها الامتناع من السكن مع أبيه وأمه وإخوته . قال الكاساني في بدائع الصنائع (4/24): ” ولو أراد الزوج أن يسكنها مع ضرتها أو مع أحمائها كأم الزوج وأخته وبنته من غيرها وأقاربه فأبت ذلك ; عليه أن يسكنها في منزل مفرد ; لأنهن ربما يؤذينها ويضررن بها في المساكنة ، وإباؤها دليل الأذى والضرر ولأنه يحتاج إلى أن يجامعها ويعاشرها في أي وقت يتفق ولا يمكنه ذلك إذا كان معهما ثالث ” انتهى.
Imam al-Kasani menyebutkan dalam Badai’ al-Sona’i: Seandainya si suami mahu menempatkan isterinya bersama dengan madunya, atau keluarga suami, seperti ibu suami, adik beradik perempuan suami, atau anak-anak perempuan suami daripada isteri yang lain, atau kaum kerabat suami, lalu si isteri enggan, maka wajib untuk suami menyediakan tempat tinggal yang berasingan kepada si isteri.
Ini kerana mereka yang tinggal serumah itu mungkin boleh menyakiti hati isteri atau memukulnya jika mereka tinggal serumah. Keengganan si isteri merupakan petunjuk bahawa beliau terganggu atau disakiti. Ini jua kerana si suami perlu jua mampu untuk melakukan hubungan seksual dengan isteri atau bermesra dengannya pada bila-bila masa, dan ini tidak mungkin berlaku apabila adanya orang ketiga di dalam rumah.
والذي ننصحك به في ختام هذا الجواب أن تسعى للتوفيق بين زوجتك ووالدتك وعائلتك ، وأن تعطي كل ذي حق حقه ، فتعطي الزوجة حقها في السكن المستقل ، ولا يضرك أن يغضب أحد منهم لانفرادك بالسكن ، لأنك لم تخطئ في ذلك ، ولكن عليك الاستمرار في صلة أقاربك وأمك وإخوانك .
Nasihat kami kepada kamu sebagai penutup jawapan ini: Hendaklah kamu berusaha untuk mendamaikan antara isteri kamu, ibu kamu dan ahli keluarga kamu, dan hendaklah kamu memberikan kepada setiap orang haknya. Oleh itu hendaklah kamu memberikan kepada isteri haknya iaitu kediaman yang berasingan.
Tidaklah memudharatkan kamu akan kemarahan salah seorang daripada mereka disebabkan keputusan kamu untuk tinggal berasingan kerana kamu tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam hal ini. Akan tetapi hendaklah kamu berterusan menjalinkan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat kamu, ibu kamu, dan adik beradik kamu.
BUKAN KERANA DERHAKA
Begitu juga penutup kepada aduan seorang isteri, di mana disebutkan:
فنصيحتنا لزوجك أن يبادر إلى إيجاد سكن مستقل لكما ، ويسعى في إرضاء أمه بالقول الحسن ، والإكثار من زيارتها ، وتفقد أحوالها ، وبالهدية ونحوها ، وليعلم أن خروجه من بيت أمه لا يعد عقوقا .
Nasihat kami kepada suami kamu ialah agar segera menyediakan kediaman yang berasingan untuk kamu berdua, dan berusaha mendapatkan keredhaan ibuya dengan perkataan yang baik, dan kerap menziarahinya, mengambil berat keadaannya, memberinya hadiah dan sebagainya. Suami itu hendaklah tahu bahawa keluarnya dia dari rumah ibunya tidak termasuk dalam penderhakaan kepada ibunya.
Secara ringkasnya, suami perlu menyediakan tempat tinggal kepada isterinya yang menepati ciri-ciri berikut, antaranya sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaily:
*Suami hendaklah menyediakan tempat tinggal yang sesuai berdasarkan kemampuannya dari segi kewangan.
*Suami hendaklah menyediakan tempat tinggal yang khusus untuk isteri dan anak-anak mereka. Tidak boleh menghimpunkan bersama ibu bapa atau kaum kerabat suami melainkan jika isteri reda untuk berkongsi kediaman yang sama.
*Suami hendaklah menyediakan keperluan asas di rumah tersebut seperti alas tidur, alat-alat tempat memasak dan bilik mandi.
(Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 10/119)[5].
Cerewet bukan hanya di kalangan wanita sahaja tetapi juga lelaki. Bagi pasangan yang sudah berkahwin sikap cerewet ini boleh menyebabkan pasangan berasa rimas. Semua perkara yang dilakukan di rumah semua tidak kena. Ada saja salahnya.
Tidak kurang juga bila kita dengar rintihan kawan-kawan yang sudah berkahwin. Kononnya, pasangannya punyai sikap yang cukup cerewet. Bukan sahaja dari segi makanan tetapi juga penampilan mahupun kebersihan.
Sememangnya pada awal perkahwinan tidak menjadi satu bebanan. Namun, lama-kelamaan sikap ini boleh merimaskan pasangan. Mengulas lebih lanjut bersama Dr Ben Fadzil Mohd Salleh, Business Forencic Psychologist Grand Master Hypnotherapist dari Practice Training & Consultancy di Asia Barat.
Jenis Cerewet:
a)Cerewet kerana teliti dan teratur.
b)Cerewet kerana kebersihan dan kesihatan.
*Ada sesetengah menganggap ia sebagai mengada-ngada dan keterlaluan kerana melampaui, tidak logik dan tidak boleh bertolak ansur.
*Dari segi psikologi, pasangan seperti ini sering dikaitkan dengan perangai seseorang yang agak perfectionist.
*Ia juga boleh terdorong kepada sindrom awalan Obcessive Compulsive Disorder yang terdapat pada orang terlampau menjaga kebersihan dan kesihatan.
Terlalu cerewet kerana….
*Apabila kita terlampau mendisiplinkan diri kita dan inginkan orang lain mengikuti cara kita. Ia berkaitan dengan faktor awal pembesaran yang dibawa ke peringkat dewasa.
*Pasangan cerewet sering ingin dilihat seperti seseorang yang teratur dan pembersih dalam segi menjalani kehidupan seharian, menjaga pemakanan, penampilan diri, pembersih dan terlampau teliti dengan semua perkara.
*Cerewet juga mempunyai sifat waswas serta kekhuatiran tentang perbuatan mereka sendiri.
Suami Atau Isteri Yang Lebih Cerewet?
Ia berbeza antara suami dengan isteri. Dari segi penampilan, kebersihan, pemakanan dan menjaga kesihatan, perempuan lebih cerewet daripada lelaki. Ini mungkin disebabkan pembawaan isteri dari awal dan mempunyai perasaan geli apabila melihat sesuatu keadaan atau ia mempunyai perangai secara semula jadi. Walau bagaimanapun ciri-ciri cerewet ini boleh berkurangan mengikut keadaan sekeliling dan kekuatan pengaruh di antara satu sama lain.
Baik Buruk Cerewet
Ia mempunyai sifat-sifat buruk dan membosankan tetapi ada juga sifat baiknya. Cerewet bukan lah satu sifat yang boleh dibuat-buat atau boleh bertolak ansur dan diterima ala kadar saja.
Sifat- sifat yang baik akan mendorong seseorang itu untuk menjaga disiplin, kesihatan dan kebersihan dengan lebih terperinci. Ia perlu memahami kenapa cerewet boleh berlaku kepada seseorang.
Perkara cerewet yang sering ditegur adalah seperti:
*Tidak menutup kembali penutup ubat gigi yang telah digunakan.
*Mengambil lauk makanan dengan tidak menggunakan sudu dan menggunakan tangan kanan yang penuh dengan nasi.
*Tidak menyidai tuala mandi yang telah digunakan.
*Tidak mengasingkan warna baju yang telah digunakan untuk dicuci.
*Pengotor dan berbau busuk.
*Tidak menaikkan kembali tempat duduk tandas selepas digunakan.
*Memeriksa pintu berkali-kali untuk memastikan ianya telah dikunci dan sebagainya.
Tip Tangani Pasangan Cerewet
Setiap pasangan perlu memahami tentang cerewet yang sedia ada dan adakah ia boleh diterima atau tidak. Ada perkara yang ditegur itu benar dan telah disalah tafsirkan sebagai cerewet.
Ada cerewet yang boleh bertolak ansur. Ini semua terpulang kepada cara kehidupan masing-masing. Setiap cerewet yang dirasakan keterlaluan hendaklah di bincang supaya dapat diselesaikan secara aman atau difahami kenapa ianya berlaku.
Setiap pasangan mempunyai pilihan, menerima cerewet dan mengikutnya atau tidak mengindahkan cerewet tersebut. Walau bagaimanapun setiap pasangan boleh agree and compromise setiap perbuatan supaya tidak mendatangkan keadaan yang membosankan.
Panduan Suami Isteri
Untuk setiap pasangan, cerewet suami atau isteri tidaklah boleh keterlaluan dan mendalam sehingga menyentuh perasaan pasangan mereka dan orang lain. Jika cerewet ini ketara dan berlebihan, setiap pasangan tersebut hendaklah cuba mengubatkan sifat cerewet dan diri mereka melalui terapi yang sedia ada.
Bagi mengekalkan kebahagiaan dalam rumah tangga untuk tempoh yang lama, pasangan suami isteri perlulah mengelakkan daripada melakukan tabiat yang toksik dalam perhubungan. ‘Toxic relationship’ boleh menyebabkan hubungan suami isteri itu akhirnya pudar, rosak, binasa dan menuju kehancuran.
Berikut antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan pergaduhan dan seterusnya menghancurkan perhubungan.
1. Berlagak seperti masih bujang
Nama pun perhubungan, kenalah babitkan dua orang. Tapi, jika anda masih berlagak seperti hidup sendirian, tanpa ambil kira perasaan pasangan, bermakna anda tidak betul-betul komited pada si dia. Bila anda dalam perhubungan, anda kena beringat sama akan perasaan suami. Adakah anda buat rancangan tanpa memberitahu padanya?
Adakah anda suka berahsia daripada pengetahuan si dia? Tak bolehlah masih hidup seperti bujang tetapi masih mahukan manfaat berteman seranjang. Jika anda mahu hidup bujang, hiduplah bujang. Jika anda mahu komited dalam perkahwinan, kenalah komited pada setiap perbuatan anda, secara bersama-sama.
2. Hanya bertanggungjawab pada kewangan sendiri
Isu duit memang antara cabaran terbesar dalam perkahwinan. Jika anda atau suami berterusan berbelanja tanpa memikirkan ianya adalah sebahagian daripada keperluan keluarga, mulalah institusi perkahwinan akan mula retak dan berantakan. Ini sama kes seperti di atas, berlagak bujang..
3. Tiada minat atau hobi lain
Kesannya sama seperti berlagak bujang, apabila anda hanya melakukan apa yang pasangan anda minati. Anda masih perlukan hidup, teman, minat, hobi dan masa sendiri. Malah, pakar perhubungan turut berkata, dalam usaha untuk ‘bersatu’ dengan suami atau isteri, ramai yang lupa minat, hobi dan cita-cita sendiri – padahal impian anda yang itulah buat pasangan minat pada anda.
Anda perlu cuba untuk menghargai waktu untuk diri sendiri, sebab tiada peraturan mengatakan anda hanya perlu berkepit dengan pasangan 24/7. Jika anda sudah lama tidak berjumpa dengan kawan-kawan, minta izinnya dan keluarlah berjumpa mereka.
4. Terlalu sensitif dan kurang keyakinan
Tiada yang lebih melukakan daripada terasa tidak bernilai dalam hubungan cinta dan perkahwinan. Rasa kurang yakin ini lama kelamaan boleh membibit cemburu. Sukar untuk mempercayai pasangan jika dia hanya buat anda rasa tidak berharga. Jika keadaan ini berterusan, anda kena tanya pada diri sendiri, adakah ianya berbaloi untuk diteruskan?
5. Bersikap sinikal dan kuat memerli pasangan
Bila ada rasa tidak puas hati, kamu tidak cuba untuk berterus-terang kepada pasangan. Sebaliknya, kamu menggunakan ayat-ayat ‘pedas’ untuk menyakitkan hati si dia. Mungkin dengan berbuat demikian, kamu akan berasa puas untuk seketika. Namun, jika pasangan kamu buat tak faham, kamu sendiri yang akan makan hati akhirnya. Kamu perlu faham bahawa sesetengah orang, terutamanya golongan lelaki adalah ‘kalis’ perli. Daripada kamu berkias-kias, lebih baik kamu berterus terang dan cari penyelesaian bersama.
Sekali-sekala sudah tentu tidak mengapa untuk bergurau nakal, tetapi bila asyik memerli dan memperlekeh, itu sudah jatuh status tidak menghormati. Perbuatan sebegini akan buat pasangan terluka dan defensif. Pastikan pasangan tahu jika ‘gurauannya’ melampaui batas.
6. Kurang kasih sayang
Asyik berkepit pun tak bagus, tapi kurang perhatian juga boleh merosak hubungan cinta. Sentuhan dalam perkahwinan amat perlu, jadikan tabiat bercumbu sebelum keluar rumah satu rutin harian. Jika anda mahu selamatkan keadaan, mulakan terlebih dulu. Berpegang tangan, berpeluk adalah antara cara untuk kembalikan cinta dalam perhubungan.
7. Semua perkara disampaikan menerusi teks
Teknologi dan media sosial sudah menjadi aset harian dalam masyarakat. Namun, ia juga adalah punca ‘kematian’ banyak perhubungan. Dua orang yang tinggal serumah langsung tidak bercakap, matinya komunikasi. Letak telefon ke tepi, tutup komputer dan duduk bersama bila makan malam atau bersiar di kawasan kejiranan. Luangkan masa untuk kongsikan aktiviti harian anda. Status sosial anda boleh buat kemudian, ia takkan ke mana-mana pun. Tapi pasangan anda boleh kosongkan rumah jika anda tidak beri perhatian kepadanya.
8. Kuat bebel
Ini adalah pemusnah keseronokan dalam hubungan cinta dan perkahwinan. Malah, satu laporan Wall Street Journal pernah mengatakan yang bebelan dalam interaksi di mana seorang asyik buat permintaan dan seorang lagi hanya ‘buat bodoh’ dan kedua-duanya jadi sakit hati adalah isu yang pasangan perlu lalui. Pakar berkenaan berkata, ia adalah sejenis toksik komunikasi yang boleh menenggelamkan perhubungan. Cara terbaik menamatkan bebelan adalah menyelesaikan isu berkenaan.
9. Perangai kompulsif
Bila anda tidak gembira, anda cuba salurkan pada sesuatu atau seseorang. Ini adalah bendera merah dalam perkahwinan. Jika anda suka habiskan masa membeli-belah, makan banyak atau sehingga sanggup membuka laman pornografi setiap hari, anda telah mencapai tahap mengetepikan pasangan. Anda perlu berterus-terang kepada pasangan supaya dia tahu apa dilema yang bermain dalam fikiran.
10. Tidak jujur
Ini adalah ‘punca kematian’ dalam perkahwinan. Jika anda tidak dapat percaya si dia, anda tidak lagi layak berada dalam perhubungan ini. Bila anda rasa tidak dihargai, tidak dipercayai, tidak dicintai, anda sebenarnya tidak lagi didahului dalam perhubungan ini. Jika anda rasa tidak lagi percayakan si dia, tanya diri: “Kenapa? Adakah si dia buat anda tertanya akan nilai diri? Adakah si dia sedang curang?” Atau, adakah anda yang tidak jujur dalam perhubungan ini. Adakah anda yang curang? Jika ya, cari cara untuk tamatkan kitaran ini. Lepaskannya pergi. Pilih untuk jadi jujur.
"Ini baju raya kita awak, murah kan? Tak percaya ke? Percayalah sebab saya sangat kedekut, akui Nad Zainal yang berkongsi baju rayanya bernilai RM80.99 untuk tahun ini.