Boleh dikatakan tugas suri rumah memang tak pernah habis. Ada sahaja yang perlu dibereskan dan diuruskan. Ditambah bila ada anak-anak, ada sahaja kerja rumah yang perlu dilakukan. Penat memang penat tapi kalau isteri yang tak lakukan siapa lagi.
Melainkan kalau suami jenis yang ringan tulang dan kesian melihat isteri bekerja tidak henti, mahulah ditolongnya. Tolong jaga anak-anak, basuh pinggan atau sapu sampah pun sudah cukup buat isteri tersenyum dan berterima kasih.
Tetapi, kalau jenis suami yang hanya balik kerja, duduk bersilang kaki sambil menonton televisyen dan datang ke meja makan apabila semua hidangan tersedia. Mahunya, isteri ‘makan hati’. Lama-kelamaan, isteri yang pendiam pun boleh jadi ‘tarzan’ sebab nak melayan anak, kemas rumah dan sebagainya.
Jadilah, suami yang bertanggungjawab dan bersatu hati dalam membantu isteri. Seperti apa yang dikongsikan oleh Wawa Shauqi tentang suami, ketua keluarga yang sekali sekala ambil alih tugas isteri. Barulah tahu, penat, lelah dan keadaan emosi bila melakukannya setiap hari.
Bukan Aibkan Suami
Beberapa bulan lepas, rumah saya didatangi seorang sahabat. Selalu dia datang dengan anak-anak. Tapi kali ni sendiri.
Saya tengok muka dia, saya diam tak tanya banyak. Saya suruh dia duduk, sambil saya sediakan makan dan minum.
Lama juga dia senyap. Masa masuk pintu rumah saya, muka dia macam baru lepas gaduh dengan laki.
Bila dah reda sikit, saya tanya pasal anak-anak. Soalan saya tu macam membuka pintu stor yang dah penuh. Terus habis segala isi hati yang dia pendam dekat sejam tadi dia luahkan bertubi-tubi.
Saya tau, bukan dia berniat nak aibkan suami. Tapi mungkin dah lama terbeban makan hati.
Katanya, dia geram.
Di rumah, ke hulu ke hilir dia berjalan nak sidai kain, sapu sampah, kemas rumah. Anak pulak nak itu nak ini. Yang sorang meraung, yang sorang merengek. Yang si suami, tengah hari baru bangun. Malam tadi layan PUBG.
Dah celik mata pun, masih tenggelam dengan dunia sendiri. Sambil duduk goyang kaki atas sofa sambil sengih-sengih belek telefon. Tiba-tiba sedap aje nak order itu ini.
Sudahnya, kawan saya ni terus keluar rumah. Tinggalkan anak-anak sekali.
Yang kelakarnya, beberapa minit kemudian, suaminya menelefon. Kata suami, anak menangis nakkan mak. Suami mintak balik segera. Katanya dia nak keluar pergi main futsal.
Allah…
Suami Bertanggungjawab
Kalian yang bernama suami. Janganlah begini.
Tidak dinafikan, bukan semua suami begini. Malah ramai saja yang bertanggungjawab. Tapi yang masih beginilah perlu dibuka mata dan hati.
Suami kawan saya ni bukanlah jahat. Baik sangat orangnya. Peramah.
Tapi itulah… mentaliti bujang masih melekat kuat.
Selepas kahwin, sepatutnya mentaliti itu dah tak boleh disimpan lagi. Dia punya anak dan isteri.
Anak isteri bukan sekadar perlukan nafkah makan dan pakai. Emosi anak dan isteri juga perlu diisi.
Baru tahu bagaimana hidup yang tepu terkepung dengan anak-anak. Sambil badan dibanting tak henti sampai penat. Kesempatan nak bersosial jarang sangat dapat.
Apatah lagi untuk berhenti sebenar berehat.
Ads
Alam perkahwinan ini memerlukan kerjasama.
Dapat isteri yang rajin, Alhamdulillah. Syukur sangat. Tapi jangan kerana itu, tenaganya dikerah sampai hilang ayu.
Kalau rasa mereka mampu melayan kalian seperti raja, layanlah mereka seperti seorang permaisuri. Diurut, dibelai, dibelanja medipedi.
Tugas jadi ketua keluarga ni tak mudah. Ketua bukan duduk bersenang di atas takhta. Tapi mata perlu sentiasa mencari tugas rumah yang belum sempurna.
Selagi isteri tak habis buat kerja, selagi itu jangan fikir nak duduk saja. Cari apa lagi tugas yang perlu dibantu selesaikan.
Jangan tunggu si isteri menyuruh itu ini. Itukan tugas ketua.
Ads
Kalau tugas itu pun dibuat si isteri, tak hairanlah gadis ayu yang kita kenal dulu bertukar watak jadi singa betina.
Dulu & Sekarang Berbeza
Jangan cerita ‘zaman mak aku dulu elok je’.
Zaman mak kita, si suami berpanas di bendang atau menebang balak.
Zaman kita, si isteri pun turun padang mencari nafkah.
Jadi, biarlah adil dan sama-sama merasa susah.
Betul tak kawan?
Ikuti sunnah Rasulullah kita Muhammad SAW. Walaupun Baginda sibuk mentadbir ummah, bekerja, berperang dan berdakwah, tapi tugas membantu isteri tetap Baginda jalankan dengan penuh komited.
Itulah sunnah yang patut kita kejarkan. Sebelum sibuk cerita pasal sunnah poligami.
MW: Jangan ikutlah sunnah dengan berkahwin empat saja.
Mak mentua janganlah suka-suka memerintah menantu. Mereka bukan bibik. Sebaiknya layanlah menantu seperti anak kandung sendiri. Masalah mak mentua kerap berlaku dengan menantu perempuan. Sama seperti anak sendiri, menantu juga ada kelemahan.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik Sarina Kak Tam di TikTok, wanita itu menasihati para ibu mentua untuk tidak melabel menantu sebagai pemalas, jika mereka tidak melakukan kerja rumah.
“Seorang wanita yang berkahwin bukan untuk jadi babu (pembantu rumah) keluarga lelaki.
“Kita sebagai mentua, kita tiada hak untuk bercakap menantu kita malas. Tugas-tugas dalam rumah kalau menantu balik, bukan tugas menantu,” katanya di ruangan kapsyen.
Jelasnya, adalah bonus sekiranya menantu tersebut ingin membantu dalam meringankan beban mak mentua dengan mengemas rumah dan memasak.
“Kalau dia hendak tolong satu bonus. Kita tak boleh paksa dan kita tak boleh marah,” katanya.
Selain itu, mak mentua dan suami perlu mengucapkan terima kasih kepada menantu kerana membantu meringankan beban dalam menyelesaikan kerja rumah.
Kata Sarina Kak Tam lagi, mak mentua juga tidak seharusnya masuk campur urusan rumah tangga anak dan menantu.
“Kita hari ini sebagai mentua, kena memberi kepercayaan. Cara dia jangan kepohchi (masuk campur hal orang lain),” katanya.
TIP MENYEMAI HUBUNGAN YANG BAIK ANTARA MENANTU DENGAN MAK MENTUA:
Terima seadanya
Sekiranya layanan yang diberikan masih lagi tidak bertentangan dengan akidah Islam, sebagai menantu, kita seharusnya menerima mertua seadanya. Lama-kelamaan, hubungan ini pasti akan beransur baik juga. Tidak hanya menantu, mak mentua juga haruslah menerima menantu dengan hati yang terbuka.
Ringan tulang
Sebagai menantu yang baik, bantulah kerja-kerja mak mentua kita terutama ketika berada di rumah mereka. Ingat, setiap kerja yang dilakukan, jangan hanya kerana ingin mendapatkan pujian mahupun penghargaan. Lakukan dengan hati yang ikhlas.
Kenali minat mak mertua
Cuba pikat hati mak mentua dengan mengenali apa yang mereka minat, apa yang mereka suka, sekiranya mertua kita suka akan aktiviti luar, apa salahnya kita membawanya melakukan aktiviti yang diminati itu? Boleh juga gunakan minat itu sebagai topik perbualan.
Suami sebagai orang tengah
Dalam hal berkaitan mak mentua dan menantu perempuan, suami memainkan peranan yang sangat penting. Kalau suami pun mahu berdiam diri sahaja, nescaya hubungan antara isteri dan ibunya pasti tidak ada penghujungnya. Suami harus tahu apa yang patut dilakukan. Lakukan perkara yang boleh mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara isteri dan ibunya.
Saat anak didiagnosis ADHD (Attention Deficit Hyperactive Disorders), pastinya mak ayah berfikir macam mana untuk sembuhkan penyakit ini. Malah mungkin ada yang tertanya-tanya, sebenarnya ADHD ini boleh disembuhkan ke?
Ok mari selami dunia Puan Nurul Ilyani yang anaknya sendiri mengalami ADHD, moga cara yang diamalkan boleh membantu mak ayah sana mendidik anak-anak dengan cara yang lebih baik…
Ini cerita anak special saya..
Saya ada seorang saja anak perempuan. Lagi 3 lelaki. Seorang, yang tua sudah ada di syurga (sekarang 8 tahun, umur di dunia).
Yang ada di dunia 3 orang. Masa kecil anak saya didiagnosis dengan ADHD. Kemudian saya gigih. Gigih itu bukan mudah buat saya. Mencabarnya anak saya sampai saya dapat bipolar disorder. (Sebenarnya tanda daripada awal sudah ada, life event, cabaran hidup saya menjadikan mental semakin teruk, kini saya mengambil ubat dengan jadual yang saya adjust ikut keperluan badan seumur hidup saya)
Nak kata itu pengorbanan saya, wallahu’alam. Saya cuma rasa itu tanggungjawab saya. Sekarang, anak saya sudah berubah. Sangat baik. Nampak normal. ADHD mungkin mild saja.
Ciri-ciri Anak ADHD
Apabila belajar saja dia tidak suka. Dia tidak suka belajar benda baru. Dia ada visual processing disorder. Dia cepat terganggu. Tidak boleh tumpu lama.
Tapi dia sudah boleh baca Quran. 6 tahun sudah boleh baca dengan keadaan saya ajar dia 3 minit saja sehari sejak usia dia 3 tahun.
Sejak itu, fokus bertambah. Saya ada juga buat rangsangan sensori yang lain untuk anak-anak ADHD. Apa yang OT ajar, saya rutin buat dan intensif.
Sekarang, kalau saya ajak dia baca Quran, kadang-kadang dia tak nak. Sebab dia kata susah. Ya, dia susah nak fokus visual. Otak dia susah proses info daripada visual. Tapi saya tahu, dia berusaha. Bila dia tak mahu, saya tak paksa. Wallahi saya tak paksa.
Saya cuba lagi. Saya banyak guna positive reinforcement. Anak saya juga sebenarnya sudah boleh membaca BM dengan lancar. Sama juga, awalnya dia tidak suka. Lepas belajar Quran yang sukar, membaca BM dan English pada dia lebih mudah.
Anak saya masih suka main. Hari-hari main. Dia suka buat projek. Dia tidak suka table task yang akademik. Dia suka doodle. Lukis. Lukis. Warna.
Dia tidak suka matematik. Tapi dia faham konsep nombor. Dia boleh celup biskut, kira sampai 20 baru angkat biskut. Dia kata macam ini baru lembut. Anak ADHD biasanya tak suka problem solving. Benda kena fikir, kena fokus secara visual semua dia tak suka.
Saya faham. Saya tak paksa. Saya bagi dia buat apa yang dia suka buat.
Walaupun dia tidak berapa dalam akademik(ikut sistem Malaysia), anak saya sangat rajin dan ringan tulang. Dia selalu tolong saya basuh pinggan. Pinggan penuh satu sinki dia boleh habiskan.
Saya raikan. Saya puji. Anak ADHD cakap lepas. Kadang saya sedih. Kadang-kadang tangan dia pun laju. Dia impulsif, kadang-kadang dia buat adik-adik. Kadang-kadang dia cakap dengan logik dia walaupun pada kawan-kawan dia macam tidak logik. Tapi tak mengapa.
Sikap Anak ADHD
Anak ADHD, dia sangat sensitif. Mudah rasa gelisah dan resah. Dia baru saja berhenti buang air besar pakai diaper. Dia ada isu anxiety dengan tandas.
Ada benda-benda lain yang kurang. Anak saya banyak flaws. Banyak sangat. Tapi saya selalu fokus pada kebaikan dia.
Ada banyak ujian dalam hidup saya yang tidak mampu saya cerita. Tidak semua orang faham. Tapi saya yakin Allah sayang saya, sayang anak saya, sayang suami saya, sayang keluarga saya. Jadi Allah bagi ujian ini semua supaya kami lebih redha.
Kepada mereka yang melalui jalan hidup lebih kurang saya, saya doakan kalian sentiasa tenang dan tabah.
Hasbunallah wa ni’mal wakeel.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Menantu perempuan mesti kena ada kerja tetap, itu KPI mak mentua zaman sekarang. Salah satu kriteria yang semakin ketara dalam kalangan mak mentua ialah menantu perempuan mestilah mempunyai pekerjaan tetap.
KPI Mak Mentua Zaman Sekarang
Kenapa KPI (Key Performance Indicator) ini menjadi begitu penting? Pada era moden ini, perubahan dalam struktur sosial dan ekonomi telah membawa kepada perubahan dalam harapan dan jangkaan keluarga, terutama sekali dalam aspek pemilihan menantu perempuan.
Kestabilan Ekonomi
Salah satu sebab utama kenapa pekerjaan tetap menjadi kriteria penting ialah kestabilan ekonomi. Pekerjaan tetap menawarkan pendapatan yang konsisten, yang membolehkan pasangan baru untuk merancang masa depan dengan lebih yakin.
Ini termasuk membeli rumah, merancang perbelanjaan keluarga, dan memastikan keselamatan kewangan dalam jangka masa panjang. Bagi mak mentua, kestabilan ekonomi anak dan menantu adalah jaminan bahawa cucu-cucu mereka akan dibesarkan dalam persekitaran yang selamat dan terjamin.
Menantu Perempuan Mesti Kena Ada Kerja Tetap
Kesamarataan dalam Perkahwinan
Dalam masyarakat moden, konsep kesamarataan antara suami dan isteri semakin mendapat tempat. Pekerjaan tetap bagi menantu perempuan menunjukkan bahawa dia berdikari dan mampu menyumbang kepada ekonomi keluarga.
Ini juga membantu mengurangkan tekanan kewangan ke atas suami, mewujudkan perkongsian tanggungjawab yang lebih seimbang dalam perkahwinan. Mak mentua mungkin melihat ini sebagai tanda bahawa menantu perempuan mereka mampu bekerjasama dengan anak lelaki mereka dalam menguruskan kehidupan bersama.
Pendidikan dan Pengaruh Sosial
Peningkatan taraf pendidikan dalam kalangan wanita turut mempengaruhi harapan mak mentua terhadap menantu perempuan. Wanita berpendidikan tinggi biasanya memiliki aspirasi kerjaya dan ingin memanfaatkan pengetahuan serta kemahiran mereka.
Mak mentua yang berpendidikan atau terdedah kepada pengaruh sosial moden mungkin lebih menghargai menantu yang mempunyai pekerjaan tetap, kerana ia melambangkan pencapaian peribadi dan profesional yang membanggakan.
Jaminan Masa Depan
Selain itu, pekerjaan tetap bagi menantu perempuan juga dilihat sebagai jaminan masa depan. Ia memastikan bahawa menantu perempuan tidak hanya bergantung kepada suami dari segi kewangan.
Dalam situasi di mana mungkin berlaku kehilangan pekerjaan atau kecemasan kewangan, menantu perempuan yang bekerja tetap dapat membantu menampung keperluan keluarga. Mak mentua yang berfikiran jauh akan melihat ini sebagai langkah bijak untuk melindungi kesejahteraan keluarga.
Persepsi Dan Penilaian Masyarakat
Dalam masyarakat kita, penilaian dan persepsi orang lain sering kali mempengaruhi keputusan dan pandangan individu. Memiliki menantu perempuan yang bekerja tetap sering kali dilihat sebagai satu status yang baik dan positif.
Mak mentua mungkin ingin memastikan bahawa keluarganya dinilai tinggi oleh masyarakat, dan menantu perempuan yang mempunyai kerjaya tetap membantu mencapai persepsi tersebut.
Dalam era moden ini, pekerjaan tetap bagi menantu perempuan telah menjadi salah satu KPI penting bagi mak mentua dalam memilih pasangan untuk anak mereka. Kriteria ini bukan sahaja berakar umbi daripada keperluan ekonomi tetapi juga mencerminkan perubahan dalam nilai-nilai sosial dan harapan terhadap peranan wanita dalam keluarga dan masyarakat.
Pekerjaan tetap bukan sahaja menjamin kestabilan kewangan tetapi juga melambangkan kesamarataan, kemajuan peribadi, dan jaminan masa depan yang lebih cerah.
Black hadiahkan kereta mewah idaman isteri. “Kadang-kadang kita terlalu mencari yang sempurna, sampai terlupa untuk hargai yang selalu ada di sisi” Inilah ungkapan penuh...