Tanyalah orang tua-tua dulu, ada yang mempunyai harta atau tanah tanaman, mereka mempunyai ‘pendamping’ untuk menjaganya. Bukan niat jahat, sekadar untuk mengelakkan daripada pencuri sahaja.

Namun, selepas orang tua meninggal, ‘pendamping’ itu mula mencari tuan baru dan memang ada anak cucu yang tidak sanggup untuk menjadi tuannya. Akhirnya ‘pendamping’ itu mula berkeliaran. Betul atau tidak, entahlah.

Ini kisah yang dikongsi oleh Mansur dan isterinya. Dia cukup berbangga dan beruntung kerana ibu dan ayahnya memiliki beberapa ekar tanah dan salah satunya diberi hadiah kepada mereka untuk mendirikan rumah.

Sapu Sampah Tengah Malam

Dalam tempoh menyiapkan rumah itu, Mansur berulang alik dari rumah sewa untuk memantau kerja-kerja pembinaan. Tidak mengambil masa yang lama untuk menyiapkan rumah tiga bilik dan dua bilik air ini. Cukup selesa untuk Mansur, isteri dan dua orang anaknya.

Sepanjang berada di rumah baru, kehidupan mereka berjalan seperti biasa. Ada masa mentua atau adik beradik iparnya akan datang berkunjung ke rumah barunya. Kadang-kadang mereka akan tidur di situ, paling tidak satu atau dua malam. Sekadar untuk bertanya khabar atau berjumpa dengan cucu-cucunya.

Apabila mentua datang, mereka akan tidur di bilik cucu sulungnya yang terletak di bahagian hadapan rumah. Bilik itulah yang sering digunakan oleh mentua. Namun, apa yang kurang menyenangkan mentuanya apabila tiba waktu tengah malam ketika mereka nyenyak tidur, ibu mentuanya pasti akan mendengar seperti orang menyapu sampah di halaman rumah.

IKLAN

Bayangan Perempuan Tua

Bukan sekali dua ibu mentuanya mendengar orang menyapu sampah tetapi ia akan kedengaran setiap kali mereka datang berkunjung dan tidur di situ. Pernah diceritakan pada Mansur tentang hal ini, namun dia hanya mendiamkan diri sahaja.

Berlainan pula dengan apa yang berlaku pada kakak iparnya. Kejadian itu dialami oleh kakak iparnya ketika dia datang menghantar makanan pada mereka sekeluarga selepas waktu maghrib.

Semasa ingin mengundurkan kereta, kakak ipar Mansur ternampak bayangan seperti seseorang di belakang keretanya. Ingatkan anak saudaranya berlari atau bermain di belakang kereta. Semua itu disangkal oleh Mansur kerana pada waktu itu mereka semua berada di dalam rumah.

IKLAN

Penjaga Pokok

Banyak lagi kejadian aneh yang berlaku di kawasan rumah Mansur, tetapi ia tidak sedikit pun merisaukan Mansur sekeluarga.

Mansur pernah menyuarakan keadaan ini kepada ayahnya tentang perkara ini. Menurut apa yang dikatakan oleh ayahnya, semasa dahulu ada jirannya yang mempunyai ‘pendamping’ untuk menjaga rumahnya.

Selepas dia meninggal dunia ‘pendamping’ itu dibiarkan tanpa bertuan. Akhirnya, ‘pendamping’ itu duduk kawasan yang berdekatan dengan pokok mangga yang betul-betul terletak di hadapan rumah Mansur.

IKLAN

Walau bagaamanapun, ‘pendamping’ yang menyerupai nenek tua itu tidak pernah mengacau atau mengganggu mereka sekeluarga. Mungkin hanya sekadar untuk menumpang di tepi pokok mangga sahaja. Wallau’alam

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI