Rupanya ulasan pujian Dr Maszlee Malik yang juga Menteri Pendidikan berkenaan filem tamil Raatchasi, beliau terima surat kejutan daripada heroin filem berkenaan, Jyotika yang membawa watak Cikgu Geetha Rani.
Dr Maszlee yang berkongsi berita gembira itu menyatakan tidak menyangka yang ulasannya akan mendapat perhatian daripada ramai pihak termasuklah team produksi filem berkenaan.
Beliau menyifatkan filem Raatchasi membawa mesej pendidikan yang menepati kehendak global.
Menariknya dalam surat itu turut menyebut, yang 90 peratus daripada krew produksi filem ini bersekolah di sekolah kerajaan. Sebab itulah mereka mampu menghasilkan sebuah filem berdasarkan kisah kehidupan sebenar berbanding menghasilkan sebuah filem yang berteras keuntungan.
Ads
Surat pujian dari Jyotika untuk Dr Maszlee Malik.
Tulisnya,
Saya tidak sangka ulasan ringkas saya tentang filem Raatchasi mendapat perhatian ramai pihak.
Ads
Produser menghantar pesanan mengucapkan terima kasih kerana menularkan video ini. Tidak terkira juga betapa banyaknya reaksi daripada peminat-peminat filem ini.
Cikgu-cikgu pun ramai yang menonton. Saya sangat berharap aspirasi pendidikan yang baharu ini dapat kita terjemahkan dengan keterlibatan semua pihak, terutama sekali cikgu-cikgu, “the real change maker”.
Ads
Dan yang paling mengejutkan saya, semalam, saya mendapat surat ini. Khas daripada Cikgu Geetha Rani, Jyotika.
Ini Pesan Dr Maszlee Untuk ‘Cikgu Geetha Rani’
Beliau menghargai kesudian dan sokongan yang kita berikan. Filem ini meskipun latarnya berbeza, mesej dan aspirasinya bersifat global dan perlu ditonton oleh semua pihak.
Kepada Jyotika, teruskan karier lakonan anda. Tidak dapat saya nafikan bakat dan kebolehan anda. Ia berjaya membuatkan kami semua sangat terinspirasi dengan Geetha Rani. Adegan anda berdua dengan Kathir di dalam bilik Guru Besar, tidak dapat saya lupakan.
Dan kepada produser dan barisan kru filem, terima kasih di atas penghasilan filem yang sangat bermakna ini dan teruslah menghasilkan filem-filem yang menginspirasikan seperti Raatchasi.
MW : Tahniah pada cikgu-cikgu, ibu bapa malah anak-anak yang dah tonton filem Raatchasi ini. Semoga dapat menyuntik semangat perubahan untuk semua.
Beratnya ujian tuhan untuk wanita ini, Norlia Ismail. Bukan saja dirinya alami Anxiety Disorder (gangguan kebimbangan), malah anaknya pula didiagnos Mild Autisme. Lebih mengundang debar, ibunya pula disahkan Bipolar Disorder (gangguan bipolar / emosi berubah-ubah antara kemurungan dan mania).
Sejak itu, Norlia mula berkongsi kisah. Memberi kesedaran akan penyakit yang melibatkan mental melalui penulisan di ruangan facebooknya.
Hadamkan perkongsian ilmu yang sedikit sebanyak menjadi panduan untuk kita faham betapa tak mudahnya ujian sakit sebegini. Mohon kita bertoleransi.
RAHSIA.
Assalamualaikum..
Izinkan saya menceritakan secebis dari keseluruhan perjalanan hidup saya.
Anak sulung saya, namanya Naim. Kini berusia 6 tahun.
Anak saya ini, didiagnosis sebagai Mild Autisme pada 23 April 2019 yang lepas. Namun begitu, saya telah diberitahu tentang keadaan anak saya (Autisme) oleh Pakar Kanak-kanak semasa umurnya 4 tahun, iaitu pada 2 tahun lepas.
[Saya mohon tiada sesiapa yang bersikap ‘judgemental’ di sini.]
Saya ingin kongsikan keadaan anak saya yang memang bila difikirkan, ketara benar kelainannya sejak dia masih bayi lagi. Petanda awal memang nampak jelas seawal selepas saya berpantang melahirkannya.
Anak saya ketika bayi, sangat jarang menangis. Ramai yang kata anak saya pasti senang dijaga kerana tidak banyak merengek dan meragam waima ketika demam atau tidak menyusu lama sekalipun. Ketika sakit, dia lebih banyak diam dari menangis.
Malahan, anak saya tidak menunjukkan minat terhadap mainan yang biasa dimain oleh budak lain. Andai diberi kereta, diterbalikkan. Dia sangat teruja melihat benda yang berpusing dan bergerak tidak henti-henti seperti kipas, lif dan papan tanda elektronik di kedai. Andai dilambakkan berbagai jenis mainan, dicampak-campak. ‘Keterujaannya’ melihat mainan tidak begitu terserlah..
Ketika bertambah usianya, satu yang saya sedar tentang anak saya ialah dia tidak mahu bercampur dengan kanak-kanak lain. Dia lebih memilih untuk mengasingkan diri. Andai ramai orang datang ke rumah, sekejap sahaja dia hilang. Rupanya dia lari masuk ke dalam bilik. Bukan sekali, tetapi setiap kali.
Mulanya saya fikir dia tidak biasa memandangkan saya yang menjaganya selama ini (anak saya tidak pernah dihantar ke rumah pengasuh), rupanya itu adalah salah satu petanda. Dia juga sangat sukar menumpukan perhatian, fokusnya tiada, hubungan mata apatah lagi. Naim juga tersangat jarang menoleh apabila dilaungkan namanya.
Pernah suatu ketika dahulu anak saya ini menghantukkan kepalanya ke dinding dan kelihatan ‘enjoy’ pula melakukannya.
Sebenarnya ada banyak lagi tanda-tanda Autisme yang jelas kelihatan sebelum umurnya 4 tahun, tetapi saya ringkaskan di sini sahaja.
Antaranya:
1- Tidak menunjukkan minat kepada mainan. 2- Tidak tahu bermain olok-olok. 3- Ketawa berdekah-dekah tidak sesuai dengan keadaan. 4- Tidak bermain dengan rakan sebaya. 5- Tiada hubungan mata. 6- Suka memutar objek. 7- Menunjukkan keinginannya dengan tangan orang dewasa. 8- Perbuatan berulang contohnya mengibaskan tangan. 9- Tidak bercakap sehinggalah umurnya 3 tahun 9 bulan.
Walaupun begitu, anak saya telah menunjukkan beberapa kemajuan dalam beberapa tahun ini. Progresnya pantas!
Boleh juga saya simpulkan beberapa kemajuan Naim di sini iaitu:
1- Dari tidak boleh bercakap, sudah boleh bercakap dan Naim juga sudah boleh membaca semasa umurnya 4 tahun (tanpa paksaan). 2- Dari pakai pampers, sekarang sudah tidak pakai pampers (latihan selama hampir 4 minggu dengan berpuluh kali kencing merata dan berak di ruang tamu). 3- Dari lemah pegang pensel dan selalu menulis atas angin (tiada tekanan dan menulis seperti tiada tulisan pada kertas), sekarang Naim sudah boleh menulis dengan lebih baik dari sebelumnya. 4- Dari suka bersendiri, sekarang dia sudah boleh menyertai kumpulan. 5- Boleh menguruskan diri sendiri. 6- Sudah pandai mengayuh basikal. Yeay!
Dan ada beberapa lagi kemajuan lain.
Ramai dari kita yang hanya nampak hasilnya, tetapi tidak mengambil kira usaha yang telah dikerah.
“Alahai, anak kau kan Mild. Bukan susah sangat nak jaga, bukan susah sangat nak ajar. Dia kan cuma mild.”
Sejujurnya, saya sedikit marah bila mana mendengar kata-kata ini. Kerana apa? Kerana bagi saya, golongan yang mengecam ini diibaratkan seperti orang yang sedang melihat sekeping gambar, mereka hanya mampu melihat apa yang terpapar di kertas, tanpa mengetahui cerita di sebalik gambar.
Mild, Severe atau apa sahaja, persekitaran kita dalam menghadapi dugaan mungkin berbeza. Mungkin kalian menerima sokongan yang baik, yang lain pula sebaliknya. Mungkin anda berduit dan punya banyak masa, tidak di pihak yang lainnya.
Perasaan anak saya, kini dapat saya rasakan walau mungkin hanya sedikit. Pesakit Anxiety Disorder, luarannya nampak elok dan baik-baik sahaja tetapi sakitnya tidak terlihat. Perjuangannya dengan anxiety yang dialami, kadangkala tidak difahami dan dianggap remeh. Kadangkala dianggap cuma mainan perasaan, dianggap lemah iman, dianggap tidak pandai menguruskan tekanan, tidak pandai jaga diri, lemah, lembik dan paling menyedihkan, dianggapnya kami ini ‘tiada apa-apa’.
Kawan-kawan,
Senyuman di wajah, mampu menutupi beribu rasa. Mengaburi mata. Adakah senyuman ini benar menunjukkan kebahagiaan?
Sebenarnya, ada satu lagi perkara yang tidak pernah saya beritahu kepada orang lain, hanya ahli keluarga, 2-3 orang rakan dan saudara rapat saya sahaja yang tahu.
Mak saya, didiagnosis sebagai Bipolar Disorder. Buat pengetahuan, kami tidak pernah menghebahkan kepada orang luar berkenaan penyakit mak saya. Selama ini, kami tadahkan telinga mendengar ‘cakap-cakap belakang orang’ bila mak saya sakit.
Sakit mak saya, bermusim-musim. Mak tidak boleh banyak berfikir. Sepanjang hidup saya, macam-macam mulut orang yang saya dengar dan dari situ saya mula tersedar yang kita ini tidak boleh berharap kepada manusia, tetapi perlu menyandarkan pengharapan kepada Allah kerana hati manusia ini berbolak-balik. Sekejap baik, sekejap bermuka-muka. Tetapi begitu jugalah saya, kerana saya juga manusia..
Sampailah satu hari saya katakan pada ayah saya (mak dan ayah saya tinggal bersama saya), “Ayah, tak apalah kita cakap mak ada Bipolar Disorder. Barulah orang lain faham kenapa mak jadi sekian sekian. Tak adalah orang lain nak pelik sangat bila tengok mak mula jadi lain.”
Hal berkenaan mak saya juga mula membuka hati saya untuk terbuka berkongsi cerita mengenai Autisme dan Anxiety Disorder.
Saya tahu tidak semua faham dan mahu memahami. Tetapi sekurang-kurangnya saya sudah menjalankan sedikit tanggungjawab saya, meningkatkan kesedaran orang awam berkenaan Autisme dan penyakit mental.
Semoga lebih ramai yang cakna.
Kawan-kawan, Andai ada kelakuan dari anak saya yang mungkin disalahertikan, ini bukan silap saya, tetapi silap orang lain yang tidak mahu memahami apa itu Autisme. Saya sudah sebarkan kesedaran, walau mungkin hanya sedikit, tetapi sekurang-kurangnya saya sudah menjalankan sedikit tanggungjawab dengan memberi semampu penjelasan sebelumnya.
Akhir kata, saya mohon tiada mana-mana individu yang membandingkan anak saya, Naim dengan anak- anak tipikal kalian. Naim ini Autisme, tolong faham ya?
Mohon maaf juga andai ada kesilapan dari pihak saya.. Saya hanya berkongsi rasa, semoga perkongsian ini mampu menambahkan pahala buat diri saya yang banyak lompong kehidupannya.
Kawan-kawan, Simpati. Empati. Ramai yang hanya tahu menyebutnya, tetapi tidak tahu makna. Ramai yang nampak, tetapi dengan sengaja menjadi buta.
MW : Sebenarnya ramai lagi di luar sana yang masih berahsia. Simpan sorang-sorang sakit emosi yang mereka alami. Jika anda kenal, bantulah mereka untuk mendapatkan rawatan segera.
Sebagai seorang selebriti terkenal, perlu faham bahawa setiap perkara yang dikongsikan akan menjadi ikutan ramai. Kena mempertimbangkan sama ada perkara yang dikongsikan itu bermanfaat ataupun melibatan keselamatan yang boleh mengancam nyawa.
Ms Yeah merupakan bintang youtubers terkenal dari China dengan jumlah 7.49 juta Sunscribers. Selebriti ini gemar menghasilkan video, berkongsi cara memasak dan pelbagai jenis masakan dengan menggunakan perkakasan yang ada di pejabat. Cara yang agak kadang kala tak masuk akal.
Namun baru-baru ini, salah satu perkongsian video masakannya ‘ditiru’ oleh remaja perempuan sehingga menyebabkan kematian.Perkara tersebut, mengakibatkan selebriti tersebut terpaksa membayar sejumlah pampasan kepada keluarga remaja perempuan yang maut dalam letupan ketika cuba meniru masakannya yang dimuat naik di YouTube.
Kejadian berlaku pada 22 Ogos lalu ketika mangsa Zhezhe, 14, dan rakannya Xiaoyu, 12, membuat bertih jagung dalam tin minuman seperti dilakukan selebriti Ms Yeah dalam video yang tular di media sosial.
Yangtze Evening News melaporkan, letupan berlaku apabila mereka menuang alkohol industri pekat ke dalam dua tin yang dinyalakan api.Percikan api menyebabkan baldi berisi bahan mudah terbakar seberat satu kilogram itu yang terletak di sebelah mereka meletup.
Dua gadis terbabit dilaporkan melecur teruk dan Zhezhe meninggal dunia pada 5 September lalu.
Ms Yeah dalam kenyataannya di media sosial mempertahankan diri dengan menjelaskan dia menggunakan kaedah berbeza, menggunakan satu tin dan pelita alkohol yang dikatakan lebih selamat untuk membuat bertih jagung.
Selebriti berusia 25 tahun itu berkata akan menyemak semula semua videonya dan akan memadamkan video yang boleh mendatangkan bahaya.
Pada Isnin lalu, wakil Ms Yeah bertemu dengan keluarga Zhezhe dan bersetuju untuk membayar sejumlah pampasan, tanpa mendedahkan jumlahnya, lapor The Beijing News. Malah wakilnya dilaporkan turut berbincang dengan keluarga Xiaoyu bagi menanggung bil perubatan mencecah 20,000 yuan (RM11,775).
Saudara Xiaoyu berkata budak itu perlu melakukan pembedahan kosmetik, namun keluarganya tidak mempunyai wang mencukupi.
MW: Semoga menjadi pengajaran juga kita. Tak kiralah apa juga perkara, setiap apa yang dikongsi pastikan benar-benar selamat dan bermanfaat. Risikonya mungkin pada anak-anak kita yang gemar melihat dan meniru sesuatu tanpa berfikir panjang.
Siapa sangka pada umur 73 tahun, seorang wanita dari India selamat melahirkan cahayamata pertamanya baru-baru ini. Meskipun telah memasuki usia warga emas, hasrat dan impian untuk bergelar ibu tak pernah padam mahupun putus asa. Usaha dan kegigihan pasangan suami isteri ini untuk menjadi mak dan ayah, akhirnya menjadi kenyataan.
Seorang wanita berumur 73 tahun di negeri Andhra Pradesh, selatan India selamat melahirkan sepasang bayi kembar perempuan kelmarin, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).Menurut wanita tersebut, bergelar seorang ibu merupakan saat yang paling membahagiakan dalam hidupnya.
“Kedua-dua kembar perempuan itu masing-masing seberat 1kg lahir menerusi kaedah pembedahan ceaserean. Ibu dan kedua-dua bayinya berada dalam keadaan sihat,” kata pakar yang merawat wanita berkenaan, Dr. Umar Shankar kepada BBC.
Wanita itu, Mangayamma Yaramati berkata, dia dan suaminya yang berusia 82 tahun sentiasa inginkan anak. Bagaimanapun, Mangayamma gagal hamil sehinggalah dia menjalani rawatan persenyawaan in-vitro IVF.
“Kami berasa sungguh gembira,” kata suaminya, Sitarama Rajarao. Menurut Sitarama, isterinya hamil selepas dua bulan menjalani rawatan IVF.
“Kami sudah banyak kali mencuba dan berjumpa ramai doktor dan ini adalah detik paling gembira dalam hidup saya,” kata Mangayamma.
Wanita itu menambah, dia berasa dipinggirkan oleh masyarakat setempat dan kerap kali tidak diundang dalam majlis sosial kerana tidak berstatus ibu.
“Mereka menggelar saya wanita mandul,” katanya.
Dr Shankar berkata, pesakit ini telah dijaga dengan ‘cara saintifik’
“Semasa wanita ini menjalani rawatan, kami mempunyai tiga kumpulan doktor.Ada yang menjaga kesihatannya, ada yang menjaga status pemakanannya dan ada yang menjaga keadaan kehamilannya.Ketiga-tiga bahagian ini dipantau setiap hari,” ujarnya.
Mangayamma telah mengalami menopause 25 tahun yang lalu. Telurnya telah diambil daripada penderma dan disuburkan dengan sperma Rajarao menerusi IVF.
“Nasib wanita ini bertuah kerana dia hamil dalam percubaan kali pertama, Januari awal tahun ini,” ujar Dr Shankar
Mangayamma mungkin wanita tertua yang hamil di dunia.Berdasarkan sijil kelahiran dia lahir pada tahun 1946.
MW: Dengan kuasa tuhan dan kecanggihan teknologi perubatan sekarang, tiada yang mustahil untuk mendapat cahaya mata, paling penting tidak berputus asa. Tahniah buat wanita ini, akhirnya berjaya bergelar ibu walaupun telah lanjut usia.
Jelas tergambar di wajah suami Jaslinda, luahnya, “Orang rumah saya… dia kuat.” Itu kata-kata suami kepada pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, sejurus dipertemukan semula dengan isterinya di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tapah.