Sebagai seorang selebriti terkenal, perlu faham bahawa setiap perkara yang dikongsikan akan menjadi ikutan ramai. Kena mempertimbangkan sama ada perkara yang dikongsikan itu bermanfaat ataupun melibatan keselamatan yang boleh mengancam nyawa.
Ms Yeah merupakan bintang youtubers terkenal dari China dengan jumlah 7.49 juta Sunscribers. Selebriti ini gemar menghasilkan video, berkongsi cara memasak dan pelbagai jenis masakan dengan menggunakan perkakasan yang ada di pejabat. Cara yang agak kadang kala tak masuk akal.
Tiru Cara Masakan
Namun baru-baru ini, salah satu perkongsian video masakannya ‘ditiru’ oleh remaja perempuan sehingga menyebabkan kematian.Perkara tersebut, mengakibatkan selebriti tersebut terpaksa membayar sejumlah pampasan kepada keluarga remaja perempuan yang maut dalam letupan ketika cuba meniru masakannya yang dimuat naik di YouTube.
Kejadian berlaku pada 22 Ogos lalu ketika mangsa Zhezhe, 14, dan rakannya Xiaoyu, 12, membuat bertih jagung dalam tin minuman seperti dilakukan selebriti Ms Yeah dalam video yang tular di media sosial.
Ads
Yangtze Evening News melaporkan, letupan berlaku apabila mereka menuang alkohol industri pekat ke dalam dua tin yang dinyalakan api.Percikan api menyebabkan baldi berisi bahan mudah terbakar seberat satu kilogram itu yang terletak di sebelah mereka meletup.
Dua gadis terbabit dilaporkan melecur teruk dan Zhezhe meninggal dunia pada 5 September lalu.
Ads
Ms Yeah dalam kenyataannya di media sosial mempertahankan diri dengan menjelaskan dia menggunakan kaedah berbeza, menggunakan satu tin dan pelita alkohol yang dikatakan lebih selamat untuk membuat bertih jagung.
Selebriti berusia 25 tahun itu berkata akan menyemak semula semua videonya dan akan memadamkan video yang boleh mendatangkan bahaya.
Ads
Setuju Bayar Pampasan
Pada Isnin lalu, wakil Ms Yeah bertemu dengan keluarga Zhezhe dan bersetuju untuk membayar sejumlah pampasan, tanpa mendedahkan jumlahnya, lapor The Beijing News. Malah wakilnya dilaporkan turut berbincang dengan keluarga Xiaoyu bagi menanggung bil perubatan mencecah 20,000 yuan (RM11,775).
Saudara Xiaoyu berkata budak itu perlu melakukan pembedahan kosmetik, namun keluarganya tidak mempunyai wang mencukupi.
MW: Semoga menjadi pengajaran juga kita. Tak kiralah apa juga perkara, setiap apa yang dikongsi pastikan benar-benar selamat dan bermanfaat. Risikonya mungkin pada anak-anak kita yang gemar melihat dan meniru sesuatu tanpa berfikir panjang.
Beratnya ujian tuhan untuk wanita ini, Norlia Ismail. Bukan saja dirinya alami Anxiety Disorder (gangguan kebimbangan), malah anaknya pula didiagnos Mild Autisme. Lebih mengundang debar, ibunya pula disahkan Bipolar Disorder (gangguan bipolar / emosi berubah-ubah antara kemurungan dan mania).
Sejak itu, Norlia mula berkongsi kisah. Memberi kesedaran akan penyakit yang melibatkan mental melalui penulisan di ruangan facebooknya.
Hadamkan perkongsian ilmu yang sedikit sebanyak menjadi panduan untuk kita faham betapa tak mudahnya ujian sakit sebegini. Mohon kita bertoleransi.
RAHSIA.
Assalamualaikum..
Izinkan saya menceritakan secebis dari keseluruhan perjalanan hidup saya.
Anak sulung saya, namanya Naim. Kini berusia 6 tahun.
Anak saya ini, didiagnosis sebagai Mild Autisme pada 23 April 2019 yang lepas. Namun begitu, saya telah diberitahu tentang keadaan anak saya (Autisme) oleh Pakar Kanak-kanak semasa umurnya 4 tahun, iaitu pada 2 tahun lepas.
[Saya mohon tiada sesiapa yang bersikap ‘judgemental’ di sini.]
Saya ingin kongsikan keadaan anak saya yang memang bila difikirkan, ketara benar kelainannya sejak dia masih bayi lagi. Petanda awal memang nampak jelas seawal selepas saya berpantang melahirkannya.
Anak saya ketika bayi, sangat jarang menangis. Ramai yang kata anak saya pasti senang dijaga kerana tidak banyak merengek dan meragam waima ketika demam atau tidak menyusu lama sekalipun. Ketika sakit, dia lebih banyak diam dari menangis.
Malahan, anak saya tidak menunjukkan minat terhadap mainan yang biasa dimain oleh budak lain. Andai diberi kereta, diterbalikkan. Dia sangat teruja melihat benda yang berpusing dan bergerak tidak henti-henti seperti kipas, lif dan papan tanda elektronik di kedai. Andai dilambakkan berbagai jenis mainan, dicampak-campak. ‘Keterujaannya’ melihat mainan tidak begitu terserlah..
Ketika bertambah usianya, satu yang saya sedar tentang anak saya ialah dia tidak mahu bercampur dengan kanak-kanak lain. Dia lebih memilih untuk mengasingkan diri. Andai ramai orang datang ke rumah, sekejap sahaja dia hilang. Rupanya dia lari masuk ke dalam bilik. Bukan sekali, tetapi setiap kali.
Mulanya saya fikir dia tidak biasa memandangkan saya yang menjaganya selama ini (anak saya tidak pernah dihantar ke rumah pengasuh), rupanya itu adalah salah satu petanda. Dia juga sangat sukar menumpukan perhatian, fokusnya tiada, hubungan mata apatah lagi. Naim juga tersangat jarang menoleh apabila dilaungkan namanya.
Pernah suatu ketika dahulu anak saya ini menghantukkan kepalanya ke dinding dan kelihatan ‘enjoy’ pula melakukannya.
Sebenarnya ada banyak lagi tanda-tanda Autisme yang jelas kelihatan sebelum umurnya 4 tahun, tetapi saya ringkaskan di sini sahaja.
Antaranya:
1- Tidak menunjukkan minat kepada mainan. 2- Tidak tahu bermain olok-olok. 3- Ketawa berdekah-dekah tidak sesuai dengan keadaan. 4- Tidak bermain dengan rakan sebaya. 5- Tiada hubungan mata. 6- Suka memutar objek. 7- Menunjukkan keinginannya dengan tangan orang dewasa. 8- Perbuatan berulang contohnya mengibaskan tangan. 9- Tidak bercakap sehinggalah umurnya 3 tahun 9 bulan.
Walaupun begitu, anak saya telah menunjukkan beberapa kemajuan dalam beberapa tahun ini. Progresnya pantas!
Boleh juga saya simpulkan beberapa kemajuan Naim di sini iaitu:
1- Dari tidak boleh bercakap, sudah boleh bercakap dan Naim juga sudah boleh membaca semasa umurnya 4 tahun (tanpa paksaan). 2- Dari pakai pampers, sekarang sudah tidak pakai pampers (latihan selama hampir 4 minggu dengan berpuluh kali kencing merata dan berak di ruang tamu). 3- Dari lemah pegang pensel dan selalu menulis atas angin (tiada tekanan dan menulis seperti tiada tulisan pada kertas), sekarang Naim sudah boleh menulis dengan lebih baik dari sebelumnya. 4- Dari suka bersendiri, sekarang dia sudah boleh menyertai kumpulan. 5- Boleh menguruskan diri sendiri. 6- Sudah pandai mengayuh basikal. Yeay!
Dan ada beberapa lagi kemajuan lain.
Ramai dari kita yang hanya nampak hasilnya, tetapi tidak mengambil kira usaha yang telah dikerah.
“Alahai, anak kau kan Mild. Bukan susah sangat nak jaga, bukan susah sangat nak ajar. Dia kan cuma mild.”
Sejujurnya, saya sedikit marah bila mana mendengar kata-kata ini. Kerana apa? Kerana bagi saya, golongan yang mengecam ini diibaratkan seperti orang yang sedang melihat sekeping gambar, mereka hanya mampu melihat apa yang terpapar di kertas, tanpa mengetahui cerita di sebalik gambar.
Mild, Severe atau apa sahaja, persekitaran kita dalam menghadapi dugaan mungkin berbeza. Mungkin kalian menerima sokongan yang baik, yang lain pula sebaliknya. Mungkin anda berduit dan punya banyak masa, tidak di pihak yang lainnya.
Perasaan anak saya, kini dapat saya rasakan walau mungkin hanya sedikit. Pesakit Anxiety Disorder, luarannya nampak elok dan baik-baik sahaja tetapi sakitnya tidak terlihat. Perjuangannya dengan anxiety yang dialami, kadangkala tidak difahami dan dianggap remeh. Kadangkala dianggap cuma mainan perasaan, dianggap lemah iman, dianggap tidak pandai menguruskan tekanan, tidak pandai jaga diri, lemah, lembik dan paling menyedihkan, dianggapnya kami ini ‘tiada apa-apa’.
Kawan-kawan,
Senyuman di wajah, mampu menutupi beribu rasa. Mengaburi mata. Adakah senyuman ini benar menunjukkan kebahagiaan?
Sebenarnya, ada satu lagi perkara yang tidak pernah saya beritahu kepada orang lain, hanya ahli keluarga, 2-3 orang rakan dan saudara rapat saya sahaja yang tahu.
Mak saya, didiagnosis sebagai Bipolar Disorder. Buat pengetahuan, kami tidak pernah menghebahkan kepada orang luar berkenaan penyakit mak saya. Selama ini, kami tadahkan telinga mendengar ‘cakap-cakap belakang orang’ bila mak saya sakit.
Sakit mak saya, bermusim-musim. Mak tidak boleh banyak berfikir. Sepanjang hidup saya, macam-macam mulut orang yang saya dengar dan dari situ saya mula tersedar yang kita ini tidak boleh berharap kepada manusia, tetapi perlu menyandarkan pengharapan kepada Allah kerana hati manusia ini berbolak-balik. Sekejap baik, sekejap bermuka-muka. Tetapi begitu jugalah saya, kerana saya juga manusia..
Sampailah satu hari saya katakan pada ayah saya (mak dan ayah saya tinggal bersama saya), “Ayah, tak apalah kita cakap mak ada Bipolar Disorder. Barulah orang lain faham kenapa mak jadi sekian sekian. Tak adalah orang lain nak pelik sangat bila tengok mak mula jadi lain.”
Hal berkenaan mak saya juga mula membuka hati saya untuk terbuka berkongsi cerita mengenai Autisme dan Anxiety Disorder.
Saya tahu tidak semua faham dan mahu memahami. Tetapi sekurang-kurangnya saya sudah menjalankan sedikit tanggungjawab saya, meningkatkan kesedaran orang awam berkenaan Autisme dan penyakit mental.
Semoga lebih ramai yang cakna.
Kawan-kawan, Andai ada kelakuan dari anak saya yang mungkin disalahertikan, ini bukan silap saya, tetapi silap orang lain yang tidak mahu memahami apa itu Autisme. Saya sudah sebarkan kesedaran, walau mungkin hanya sedikit, tetapi sekurang-kurangnya saya sudah menjalankan sedikit tanggungjawab dengan memberi semampu penjelasan sebelumnya.
Akhir kata, saya mohon tiada mana-mana individu yang membandingkan anak saya, Naim dengan anak- anak tipikal kalian. Naim ini Autisme, tolong faham ya?
Mohon maaf juga andai ada kesilapan dari pihak saya.. Saya hanya berkongsi rasa, semoga perkongsian ini mampu menambahkan pahala buat diri saya yang banyak lompong kehidupannya.
Kawan-kawan, Simpati. Empati. Ramai yang hanya tahu menyebutnya, tetapi tidak tahu makna. Ramai yang nampak, tetapi dengan sengaja menjadi buta.
MW : Sebenarnya ramai lagi di luar sana yang masih berahsia. Simpan sorang-sorang sakit emosi yang mereka alami. Jika anda kenal, bantulah mereka untuk mendapatkan rawatan segera.
Kuss semangat mengucap panjang melihat keadaan rumah ini. Dapat rasakan sengsaranya hidup berjiran bersebelahan dengan rumah tersebut. Kediaman dihuni tidak ubah seperti pusat kitar semula dengan pelbagai barang terbuang memenuhi setiap ruang hingga ada yang melimpah keluar ke pekarangan rumah.Belum campur bau busuk dan risiko binatang serta serangga yang mungkin menyinggah seperti tikus, ular dan lipas.
Pemandangan menyakitkan mata kediaman di Jalan Melati 5, Taman Dusun Setia di sini, juga menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan jiran.
Difahamkan, rumah berkenaan didiami suami isteri bekerja sebagai pengutip barangan terbuang. Sejak setahun lalu jumlah barangan dikumpul semakin bertambah hingga menyebabkan ada yang diletakkan di atas bumbung sekali gus menimbulkan rasa pelik dalam kalangan orang luar melalui kawasan itu.
Barangan terpakai seperti tong plastik, tilam buruk, besi dan kotak memenuhi segenap ruang rumah berkenaan.
Ketika tinjauan dilakukan, lelaki menghuni kediaman itu dipercayai keluar mencari barang terpakai.Malah jiran menasihatkan wartawan agar tidak mengganggu lelaki berkenaan berikutan dia didakwa sebagai panas baran dan tidak mempedulikan nasihat mereka sebelum ini.
Penduduk taman itu, Nordin Hasan, 71, berkata, dia dan isterinya Azmah Laili, 67, antara paling terjejas berikutan tinggal bersebelahan dengan kediaman pasangan terbabit.
Nordin mendakwa sudah beberapa kali menegur lelaki berkenaan, malah jirannya itu juga tidak mempedulikan nasihatnya selain memarahi mana-mana pihak mahu menghalang aktivitinya.
“Saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa memandangkan kami hidup dalam satu komuniti, jadi kena melalui semua ini setiap hari.
“Jumlah barangan dikumpul memang banyak, saya risau kalau berlaku kebakaran lelaki berkenaan dan isterinya yang bekerja sebagai tukang jahit akan terperangkap dalam kediaman mereka,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi jiran yang mahu dikenali sebagai Tan, 30-an, mendakwa sudah beberapa kali barangan diletakkan lelaki terbabit diatas bumbung jatuh ke dalam kawasan rumahnya.
“Bila ditegur dia marah. Dengan jumlah barang terpakai yang banyak macam ini pasti mengundang haiwan dan serangga seperti ular, tikus dan lipas.
“Sebagai jiran saya kesal dengan perbuatan lelaki terbabit, tetapi dia tidak boleh ditegur,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Seremban (MPS) Nor Mursyidah Chik berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan dan mengadakan lawatan ke rumah terbabit pada 12 September lalu.
“Benar kediaman itu dipenuhi barang kitar semula hingga melimpah ke jalan. Sehubungan itu, tindakan serta-merta diambil Jabatan Pelesenan Pembersihan MPS.
“Lelaki itu dikenakan kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen (kitar semula) mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred 1996,” katanya.
MW:Hidup bermasyarakat kena ada toleransi dan perlu pentingkan keselesaan jiran-jiran. Apatah lagi tinggal dalam kawasan komuniti yang sama. Jangan kerana pentingkan diri sendiri, perkara yang dianggap kecil, boleh buat kan jiran tak selesa dan bermasam muka pula.
Sebelum sanding naik pelamin, anak perempuan ini sempat bergurau dengan ibunya. Bila nampak ibunya bersungguh dengan persiapan perkahwinan anak perempuannya itu.
Kata anak, “Kemain vogue lagi eh mama prepare untuk reception. Mama je la sanding nanti. Kita nak nikah je.” Tak disangka, gurauan itu rupanya jadi nyata.
“And betul-betul gais, aku sempat nikah je. Mama yang sanding dekat dewan. Apa yang kita cakap tu doa, dah terbukti. Dan doa pasal wedding ni cepat je Allah makbulkan.”
Majlis persandingan yang dirancang ayah ibu ini, Jeffry Azmi Nasruddin, 52 dan Zainah Abu Bakar, 52 untuk anak perempuan mereka, Fatheen Afiqah, 27 dan pasangannya, Amirudin Abdul Kassim, 28 tak kesampaian.
Pada tarikh sepatutnya pasangan ini bersanding, pengantin lelaki tiba-tiba mengadu sakit perut yang teramat.
Menurut Fatheen, “Sebenarnya malam lepas je nikah tu, husband mengadu sakit perut sangat. Dia tahan sampai pukul 4 pagi. Dah tak tahan saya bawa ke klinik.”
“Mula-mula ingat sakit perut biasa. Lepas doc ambil darah dan buat ultrasound, suspect appendix.”
Sudahnya, keadaan suaminya dirujukkan ke Hospital Purtrajaya.
Sebaik sampai di hospital, suaminya dimasukkan ke wad kecemasan, “kena tolak dalam semi kritikal dan kena undergo operation segera.”
“Kami ada minta hold 2 ke 3 jam sebab nak bersanding dulu. Tapi malangnya keadaan husband memang tak mengizinkan. Sebab dia terlampau sakit.”
“Bila dah masuk operation theater, pakar buat ct scan. Rupanya bukan appendix, tapi ada batu karang dekat hempedu.”
Keadaan suami yang ditahan di wad dalam masa sama majlis persandingan tetap berlangsung, membuatkan ayah dan ibu pengantin perempuan ini menggantikan tempat anaknya bersanding atas pelamin di Dewan Sri Siantan, Putrajaya.
“At first memang sedih, tapi lama-lama alhamdulillah. Parents pun sangat supportive.” Sungguhpun demikian, sewaktu acara makan beradap, kelihatan bapa pengantin begitu sebak di hadapan meja makan. Sehingga tak dapat menahan air mata yang mengalir.
“And i’m glad cause they make a lovely couple, beautiful bride and groom. Even dekat hospital pun happy je tengok semua gambar orang share. Orang puji macam-macam.
“Bersyukur sangat dikurniakan parents yang sangat strong dan positive.”
“Saya pun alhamdulillah, slowly dah boleh redha dengan apa yang jadi dan saya happy tengok semua orang yang datang majlis happy, gambar semua cantik.”
Istimewanya pasangan ini, sewaktu majlis resepsi rakan-rakan mereka datang ke wad untuk bertemu pasangan pengantin bertuah ini.
Tulisnya, “and yeahh, this is us during the reception day! Thank you kawan2 yang datang melawat.”
MW : Mengucapkan selamat pengantin baru buat Fatheen Afiqah dan Amirudin Abdul Kassim. Semoga Allah merahmati rumah tangga kalian berdua. Amin.