nora ariffin

Memulakan karier dalam bidang seni suara selepas menjuarai Bintang HMI pada tahun 1991, nama Wan Norafizah Ariffin, 45, atau lebih dikenali sebagai Nora Ariffin terus melonjak naik. Pelantun lagu Di persimpangan Dilema yang bersuara lunak ini akhirnya mendirikan rumah tangga bersama seorang komposer terkenal, Johan Nawawi dan dikurniakan empat orang cahaya mata.

Tahun 2017 memberikan tamparan hebat buat Nora dan keluarga apabila suami tercinta pergi buat selama-lamanya. Kehilangan secara mengejut ini membuatkan Nora amat bersedih namun hidup perlu diteruskan jua demi anak-anak yang sedang membesar dan meningkat dewasa.

Tapi itu semua cerita dua tahun yang lalu, kini Nora bangkit semula untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anaknya, Mohd Syakir Iman Johan 26, Mohd Syakir Alif, 20, putri Nur Dahlia, 13 dan Putri Nur Fatehah, 7. Kini dialah ibu dan juga ayah buat anak-anaknya dan itulah pengorbanan besar yang perlu dilakukan Nora demi kebahagiaan dan kekuatan anak-anaknya. Tahniah tim MW ucapkan kepada penyanyi berwajah ayu ini kerana baru saja menyambut menantu perempuan bulan lalu.

Perkembangan Terkini

“Tahun baru, pertama sekali tentulah dengan semangat baru. Perancangan baru perlu saya fikirkan untuk masa depan anak-anak dan juga strategi untuk perniagaan saya. Tahun ini agak sibuk untuk saya kerana anak yang ketiga akan menghadapi Peperiksaan Tingkatan 3 (PT3). Jadi fokusnya lebih kepada anak-anak.

“Lebih mengujakan, pembuka tahun 2019 ini, saya terima menantu. Anak sulung saya, Iman, telah menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihan hati, Eilya Sofea Azman pada Januari yang lalu. Alhamdulillah, syukur pada Allah. Hampir dua tahun menanti, saya dan arwah Johan akhirnya dapat menantu. Saya doakan perkahwinan mereka bahagia hingga ke Jannah. Jadilah suami yang baik seperti papa kamu.

“Rasa sedih juga kerana arwah tidak dapat saksikan perkahwinan anak pertama kami ini. Dulu ketika Syakir bertunang, arwah masih lagi ada bersama. Arwahlah yang berpesan supaya jangan bertunang lama-lama. Apa pun saya lega kerana amanat arwah untuk melihat Syakir dan Sofea disatukan awal terlaksana. Agak janggal juga dengan status baru saya ini sebagai mentua, tapi ini satu journey baru untuk Iman dan juga saya,” ujar Nora membuka bicara.

Lebih Positif

Walau bagaimanapun, Nora menganggap semua itu satu permulaan yang positif untuknya bersama keluarga.

“Apa pun bagi saya ini satu pembukaan atau permulaan tahun yang positif. Dimulakan dengan anak sulung melangsungkan perkahwinan, yang kedua pula bakal menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah. Yang ketiga bakal menghadapi peperiksaan PT3, dan yang bongsu kini juga sudah masuk darjah 1.

“Kalau nak ikutkan saya memang sibuk dengan kehidupan bersama anak-anak. Tapi Alhamdulillah tahun ini kesedihan yang saya alami daripada kehilangan arwah suami sedikit demi sedikit terubat dan semakin menghilang. Bagi saya past is past. Kini Saya lebih positif dan moving foward.

“Dari segi karier pula Insya-Allah sudah ada perancangan untuk mengadakan sebuah konsert, bila dan di mana itu semua masih dalam perancangan. Selain daripada itu, saya masih lagi aktif seperti biasa, menerima jemputan-jemputan membuat persembahan dan sebagainya. Insya-Allah juga jika ada rezeki saya akan keluarkan satu lagi single pada tahun ini sekitar pertengahan tahun,” ujar Nora bercerita tentang perkembangan terkini dirinya.

Bangkit Demi Anak-anak

24 tahun hidup bersama, pemergian suami yang agak mengejut membuatkan kehidupan Nora agak terumbang-ambing pada mulanya. Namun secara perlahan-lahan Nora menerima ketentuan Ilahi, dan kini dia bangkit semula untuk anak-anak yang tersayang.

“Kalau dilihat saya memang sangat sibuk dan kadang-kadang terasa juga penat sangat dengan semua ini, tapi Alhamdulillah, saya ambil ini semua secara positif. Semuanya sudah tertulis dan ada hikmahnya. Dalam ketentuan Allah yang berlaku kepada saya itu ada yang terselindung.

“Contohnya sekarang ini saya tak pernah sangka yang saya boleh melaluinya bersama anak-anak. Kalau dahulu saya ada suami, untuk buat sesuatu keputusan kami akan berbincang bersama, tapi sekarang saya perlu hadapi itu semua sendirian. Untuk buat sesuatu keputusan saya perlu fikir betul-betul. Untuk saya sendiri semua ini membuatkan saya lebih dekat dengan Allah. Hanya pada-Nya saya mengadu dan meminta petunjuk,” tambah Nora.

Tunai Umrah

Kesempatan menunaikan umrah baru-baru ini digunakan sebaiknya oleh Nora untuk berdoa buat arwah suami tercinta. Meskipun banyak memori bersama ketika melakukan umrah yang terdahulu bersama arwah, itu semua hanya tinggal kenangan yang akan terpahat buat selama-lamanya buat penyanyi yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini.

“Ketika saya menunaikan ibadat umrah baru-baru ini, apabila pulang saya dapat rasakan satu-satu doa yang saya mohon dimakbulkan. Saya minta diberikan ketenangan, dipermudahkan segala urusan. Maklum sahaja, orang perempuan ada masanya kita rapuh dan cukup mudah rasa sedih dengan ujian dan dugaan yang menimpa. Sekarang sampai satu tahap apa sahaja masalah atau dugaan yang melanda, saya katakan pada diri saya tak mengapa, ini semua ketentuan dari Yang Maha Esa dan terima dengan reda.

“Apa yang boleh saya katakan, pengalaman umrah kali ini memang sangat-sangat berbeza daripada sebelumnya. Boleh saya katakan tiap-tiap hari sepanjang berada di sana saya menangis. Setiap tempat dari awal hingga lah waktu pulang, momen bersama arwah muncul dalam kotak fikiran membuatkan saya rasa rindu yang teramat sehingga menitiskan air mata.

“ Setiap kali memang saya tidak pernah putus berdoa untuk arwah, pergi kali ini bagi saya penuh pengisian dan juga pemahaman yang lebih. Kalau dahulu saya pergi mungkin tak banyak ilmu lagi, tapi kali ini saya rasa lebih bermakna. Yang paling sedih untuk saya adalah ketika saya menunaikan umrah untuk arwah suami. Tak pernah terfikir itu semua.

“Daripada apa yang lalui juga saya banyak belajar tentang kehidupan, banyak belajar dengan orang perseorangan dalam mengenali lebih dekat tentang Allah. Perjalanan yang saya lalui ini membuatkan saya lebih tenang dan kuat walaupun tiada suami di sisi.

“Saya bersyukur dikurniakan dengan orang-orang sekeliling yang sangat membantu, sangat memahami seperti anak-anak, pekerja saya dan teman-teman yang rapat. Itu anugerah Allah buat saya dan saya amat hargainya. Mereka semua memudahkan semua urusan saya. Alhamdulillah,”ujarnya penuh syukur.

Beri Yang Terbaik Untuk Anak-anak

Bagaikan tajuk lagu single yang dikeluarkan tahun lalu, ‘Ada Dalam Tiada’ begitu juga dengan kehidupan Nora bersama anak-anaknya, memori bersama arwah suami sentiasa segar dalam ingatan.

“Memori bersama arwah suami sentiasa segar di hati saya dan anak-anak. Ada ketikanya saya pasangkan video-video kenangan kami bersama dan melihat gambar-gambar yang kami abadikan. Saya rasa syukur dengan keadaan ini membuatkan hubungan kami anak-beranak semakin erat. Kami banyak berterus-terang, berkomunikasi dan tempat curahan hati. Tapi sebagai ibu, saya tidak mahu bebankan anak-anak dengan masalah yang ada. Kalau boleh saya sedaya upaya untuk berikan yang terbaik untuk anak-anak.

“Saya selalu cakap pada anak-anak, saya mungkin bukan yang terbaik untuk mereka tapi saya akan berikan yang terbaik untuk mereka. Saya banyak kekurangan dan kelemahan tapi itu semua tidak menghalang saya untuk penuhi keperluan anak-anak sebaik mungkin. Walaupun papa sudah tiada, tapi semangat papa tetap ada dan mama akan buat yang terbaik untuk kamu semua,” ujarnya sebak.

Menguruskan anak-anak, urusan di pejabat dan sebagainya sehingga pulang lewat malam dan kurang tidur pastinya memenatkan. Nora akui ada ketikanya hatinya sedih dengan keadaan sebegitu tapi itu semua adalah usaha darinya untuk menyediakan masa depan yang terbaik buat anak-anaknya.

“ Kalau dahulu jarang cakap soal mati tapi kini pesanan saya sering berkait soal itu. Itu semua untuk mereka hargai dan nikmati masa yang ada bersama dan manfaatkan ia sebaiknya. Saya banyak mengajar mereka kekayaan bukan segala-galanya, kemewahan juga bukan kemuncak kehidupan. kasih sayang dan masa yang dihabiskan bersama itu yang lebih membahagiakan. Saya ingin ajar mereka hargai apa yang ada dan baru mereka tahu nilai sebenar kehidupan,” tambah Nora lagi.

*******

Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh Nora Arrifin ini. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita isu Februari, Volume 2 dan jangan lupa dapatkan majalah kesayangan ramai ini yang kini telah berada di pasaran!

Penyelaras & Teks: Shahrina Azlin Abdullah
FOTO: Nurul Niza Suhaimi
Solekan & Dandanan: Bobo Cinta & Dizeyazid
Pakaian: ByFatinSuhan & Watie Collections
Tudung: Sofearose

Jangan Lupa Komen

komen