Bahagianya hati wanita ini, Aishah Ramond biarpun terpaksa mengambil masa 19 tahun untuk menyelesaikan hutang tertunggak ayah. Hutang lama ayah yang sama sekali tidak diketahuinya.
Lagi pun hutang tu wajib diselesaikan. Biar lama manapun tempohnya. Jangan sampai hutang tak langsai tu jadi penyebab tersekatnya langkah untuk masuk ke syurga Allah.
Aishah di samping suami tercinta.
Anak Ini Bermimpi Hutang Tertunggak Ayah
Saya dah lama tak mimpi arwah abah. Semasa saya ke tanah suci saya berdoa agar saya mimpi kan arwah abah. Pada Satu malam saya bermimpi, cerita ni 2 tahun lepas, mimpi tu dalam bulan Ramadhan.
Dalam mimpi tu, ada 2 orang datang ke rumah kami, masa tu waktu petang datang seorang lelaki dan seorang wanita. Dalam mimpi tu lelaki dan wanita tu bercakap dengan arwah abah, (tapi dalam mimpi tu memang tak nampak arwah abah)
Dalam mimpi abah tak bercakap tapi situasi tu abah minta tangguh sikit sebab belum ada duit.
Ads
Pagi esok terus saya telefon mak, tanya arwah abah ada berhutang dengan sesiapa ke. Mak kata semua dah bayar.
Dan saya tanya, ada satu rumah sewa yang dulu kita duduk tu abah dah bayar ke hutang sewa. Mak kata yelah betul rasanya belum.
Saya terus tanya di mana rumah tuan sewa dan saya terus cari pakcik tu di rumahnya.
Dan agak lama untuk pakcik tu ingat balik. Bila saya sebut nama arwah abah terus dia terkejut kerana hutang ni dah hampir 19 tahun.
Dan dia ada kata, arwah ada seorang anak yang kerja kedai kasut masa dia masih bersekolah. Saya kata sayalah tu. Dia terkejut saya datang nak bayar hutang.
Ads
Keluarga besar Aishah.
Dulu Hidup Susah Sangat, Nak Bayar Sewa Rumah Pun Tak Mampu
Ya kami dulu sangat susah. Sampai kan sewa rumah tak mampu nak bayar. Arwah abah pun dah 11 tahun meninggal ketika saya berjumpa pakcik ni.
Dan pakcik tu ada bagitahu saya yang memang ada surat jumlah hutang arwah abah. Maklumnya lagi, rumah kami sewa tu rumah kakak pakcik tersebut.
Benarlah mimpi saya tu, pakcik tu dan kakaknya yang datang dalam mimpi saya.
Saya rasa sedih sangat, kenapa saya baru dapat mimpi tu, adakah roh arwah abah tergantung kerana hutang itu. Dan paling saya bersyukur kerana mimpi yang saya dapat malam itu adalah mimpi yang benar.
Alhamdulilah syukur kerana Allah berikan petunjuk melalui mimpi dalam bulan yang mulia. Dan dapat selesaikan hutang arwah abah.
Jangan kita pandang ringan dengan hutang.
Al fatihah – Semoga Abah ditempatkan di kalangan yang beriman.
MW : Beruntung sungguh arwah kerana mempunyai seorang anak yang baik budi. Yang berusaha untuk menyelesaikan hutang lama ayahnya. Semoga roh arwah abah Aishah di tempatkan di kalangan orang-orang soleh.
Kejadian menyayat hati ini berlaku di Krabi Thailand. Tergamaknya meninggalkan bayi yang masih bertali pusat dalam sebuah mesin basuh selama 4 hari tanpa setitik susu.
Ini kisahnya.. Sejak Jumaat lalu, Sangduen Khaorueng, 47 menutup premis perniagaannya, kedai dobi layan diri. Sebaik pulang dari urusan perniagaan di tempat lain, dia kembali ke kedai.
Hati perempuannya rasa tak keruan dengar tangisan yang semakin panjang. Tergerak hatinya mahu menjenguk ke dalam mesin basuh yang ada di kedainya.
Alangkah terkejutnya apabila suara tangisan itu milik bayi lelaki yang masih lengkap bertali pusat dengan berbalut tuala semata. Dia tergamam..
Bayi itu menangis semakin galak. Segera dia menghubungi pihak polis dan paramedik untuk mendapatkan bantuan dan memeriksa bayi yang ditinggalkan sendirian dalam mesin basuh itu.
Dipercayai bayi itu berusia lima hari. Fizikalnya dalam keadaan baik namun dia teramat kelaparan.
Kejam sungguh pelakunya sanggup meninggalkan anak yang tidak berdosa itu sendirian. Tak boleh bayang si comel ini bergelap, bersendirian dalam mesin basuh pulak tu.
Syukurlah, bayi itu masih hidup walaupun empat hari tidak menerima walau setitik susu.
Selepas empat hari ditinggalkan sendirian, bayi ini sudah pun selamat dihantar ke hospital untuk dirawat.
Pihak polis Krabi, Leftenan Sanya Kaewnui memaklumkan pihaknya akan memeriksa kamera rakaman berhampiran untuk mencari ibunya.
Jika ibunya tak dapat ditemui, bayi itu akan diserahkan ke rumah anak yatim untuk dijadikan anak angkat.
MW : Semoga ibu dan ayah bayi berkenaan dapat ditemui dengan segera.
Sumber/Foto : Kosmo , Astro Awani
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
KOTA TINGGI 16 Dis. – Pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing, Mohd. Hafiz Nor Azman, 22, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika menyertai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018 di Dataran Bandar Penawar di sini petang tadi.
Pelumba berasal dari Perak itu disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Kota Tinggi selepas terbabit dalam kemalangan pada pusingan terakhir kejuaran, kira-kira pukul 4 petang.
Difahamkan, kemalangan berlaku ketika pelumba tengah laju dan memasuki pusingan terakhir daripada keseluruhan 15 pusingan perlumbaan itu.
Laporan berita seperti di atas yang terpampang di dada akhbar dan di laman web serta media sosial telah mengejutkan peminat sukan lumba motor dan rakyat Malaysia. Pemergian Mohd Hafiz memang tidak di sangka dan sehingga kini ahli keluarganya masih lagi bersedih dengan apa yang berlaku.
Ibu dan Bapa pelumba ini, Rohana binti Hamzah, 52, dan Nor Azman bin Mad Darus, 55, tidak mampu bercerita setiap kali ada yang bertanya mengenai kejadian yang berlaku. Keluarga pelumba motor ini menetap di Simpang Pulai, Ipoh.
Namun MW rasa berterima kasih kepada Nor Shaziela Binti Nor Azman, kakak sulung Allahyarham Mohd Hafiz yang sudi berkongsi cerita mengimbas kembali kenangan bersama adik tersayang. Berkali-kali wanita berusia 31 tahun ini memohon maaf kerana tidak dapat melayan permintaan penulis untuk ditemuramah sebelum ini.
Cerita Nor Shaziela tidak lama selepas adiknya meninggal dunia, dia dan ibu bapanya telah menunaikan umrah.
“ Sebenarnya setiap kali jika adik menang dan dapat berdiri di podium, dia akan belanja keluarga makan. Pada pertengahan tahun 2018, dia memang nekad setiap kali dia menang perlumbaan dia akan menyimpan duit untuk membawa ibu, ayah dan saya untuk menunaikan umrah.
” Segalanya sudah cukup. Malah sebelum dia pergi last race hari itu, memang dia ada beritahu saya yang dia akan buat bayaran ke umrah dan pergi menunaikan umrah selepas tamat perlumbaan. Tetapi impiannya itu tidak kesampaian.”
Dia dan keluarga masih bersedih dengan pemergian Mohd Hafiz, namun demi mahu menunaikan hasrat Allahyarham jugalah menyebabkan mereka meneruskan ziarah umrah tersebut.
“ Alhamdulillah, selepas kami menunaikan umrah, kami kuat sikit. Cuma kadang-kadang ini apabila teringat arwah adik, mesti kami akan sedih. Emak terutamanya, memang sedih. Sekarang ini dalam sehari dua kali kami pergi menziarah kubur adik.
” Emak sentiasa rindukan adik. Sebab itu dia masih menyimpan barang-barang lumba adik. Dia tidak bagi kami ubah sudut tempat meletak barang adik itu. Setiap kali dia rindu dia akan pergi ke sudut itu dan melihat dan memegang barang-barang lumba adik itu,” cerita Nor Shaziela dengan sayunya.
Mengimbas semula kejadian pada hari tersebut, Nor Shaziela dan adik-beradiknya yang lain menonton siaran langsung perlumbaan tersebut di rumah. Seperti biasa , ibu bapanya yang menemani Mohd Hafiz. Namun ketika kejadian, ibu bapanya duduk di lokasi lain dalam trek perlumbaan tersebut.
“ Setiap kali perlumbaan di dalam negara, adik memang mahukan ibu dan ayah pergi melihatnya berlumba. Sebab itu ibu dan ayah pergi. Kami adik-beradik melihat sahaja perlumbaan itu di televisyen.
” Pada hari Sabtu sehari sebelum kejadiaan, adik memang mencatat masa terpantas. Pada hari Ahad itu dia bermula di petak hadapan. Pada 2nd lap terakhir perlumbaan, ahli pasukannya terbabas dan melanggar papan tanda penaja.
” Adik tidak dapat mengelak dan melanggar kayu papan tanda yang telah dilanggar oleh ahli pasukannya itu.
” Setelah kemalangan adik dihantar terus ke hospital Kota Tinggi. Perjalanan dari trek ke hospital mengambil masa 1 jam. Saya dapat tahu semasa kejadian dia bernafas lagi. Tetapi tidak ada alat perubatan yang boleh diberi kepada dia.
” Jururawat yang Bersama dengan adik di dalam ambulan ada beritahu lebih kurang 20 minit lagi hendak sampai ke hospital barulah dia menghembuskan nafas terakhir.”
Nor Shaziela juga berkata ibu bapanya telah dibawa oleh pasukan adiknya menaiki kenderaan lain mengejar ambulan itu sehinggalah sampai di hospital. Namun sebaik sahaja adik sampai ke hospital doktor telah mengesahkan yang adiknya itu telah meninggal dunia.
“ Mak telah menelefon saya dalam pukul 6 petang beritahu adik sudah tidak ada. Ketika itu berada di rumah segera memberitahu saudara mara. Kami telah menguruskan apa yang perlu di rumah. Adik telah dikebumikan di tanah perkuburan Saidina Umar Al-Khatab, Simpang Pulai yang terletak berhampiran dengan rumah kami,” ujarnya sayu.
Mohd Hafiz anak ketiga dari 4 beradik. Cerita Nor Shaziela, adiknya memang minat bidang lumba motor kerana sebelum ini ayah mereka adalah pelumba cub prix era 90-an.
“ Adik bermula dengan pocket bike semasa umur 7 tahun. Selepas itu dia aktif dalam perlumbaan motocross dan seterusnya masuk dalam bidang cub prix pada tahun 2010. Kami sekeluarga memang menyokong minat dia itu. Kami juga sokong segala bidang yang dia ceburi.
” Hubungan kami memang rapat. Dia seorang adik yang baik, adik yang mengambil berat hal keluarga, dan sentiasa mahukan keluarga yang terbaik dalam apa pun.
” Kami tahu perlumbaaan motosikal ini memang berisiko tinggi. Sejak berkecimpung dalam bidang ini juga adik memang sudah banyak kali mengalami kecederaan akibat kemalangan tetapi kecederaan itu tidak teruk.
” Saya rasa walaupun dia sudah tidak ada, apa yang dibuatnya itu amat bermakna. Dia minat bidang ini. Kami sekeluarga sokong minat dia. Selain berlumba dia masih juga belajar di Politeknik Ungku Omar. Dia mengambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal.
” Kami juga rasa kalau dia tidak minat lagi dalam bidang ini, mungkin dia akan berjaya satu hari nanti sebab pelajaran dia juga akan bagus,” ujarnya lagi.
Pada tahun sebelum keluarga ini menyambut Ramadan dan syawal dalam suasana yang meriah. Namun pada tahun ini suasara suram menyelubungi. Ini diakui sendiri oleh Nor Syaziela.
“ Sedih memang sedih pada tahun ini. Selalunya kami berenam. Pada tahun ini kami berlima. Baju raya sudah tidak sedondon lagi pada tahun ini. Tidak lengkap rasanya raya pada tahun ini.
” Bulan puasa ini, saya akan ingat saat kami bersahur. Adik suka sangat lauk ayam masak merah. Kalau ada lauk itu sudah pasti dia akan menambah nasi. Kami pasti akan gelak tengok dia berselera makan ketika bersahur.Tahun ini tidak ada lagi saat-saat begitu.”
Apa yang pasti Nor Shaziela pasti akan sentiasa merindui adiknya itu.
“ Adik seorang yang baik. Dia hormat ibu bapa dan orang tua. Dia tidak pernah tinggi suara. Dia juga suka menolong orang. Hafiz suka tengok orang lain gembira. Sibuk macam mana pun dia tidak akan tinggal solat. Itu sebab apabila dia sudah tidak ada sekarang ini kami rasa kehilangan yang amat sangat..
Saya pasti akan teringat gelak tawa dia. Ketika makan Bersama keluarga, kadan-kadang dia suka buat lawak. Saya juga rindu hendak tengok dia race,” luah Nor Shaziela mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sudah 48 hari berlalu, tragedi serangan pengganas di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood di Christchurch, New Zealand tetap memberi kesan emosi yang mendalam.
Kejamnya pengganas, yang mahu menggugat keimanan umat Islam, tidak sedikit pun terkesan di bumi New Zealand. Ukhuwahnya makin utuh, makin erat. Baik di kalangan penduduk yang beragama Islam, mahupun non Muslim, mereka saling bersatu hati.
Kesempatan menjejakkan kaki ke bumi Chistchurch, dikongsikan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Antaranya ziarah mangsa serangan, Nazril Hisham Omar antara yang dihempap timbunan mayat-mayat mangsa lain di dalam masjid.
Dan menyaksikan, merasai besarnya jiwa umat Islam di Christchurch ini.
Hati mula disinggah rasa hiba sebaik kaki melangkah keluar daripada Chrischurch International Airport. Suhu yang mencapai 16°c sedikit pun tidak terasa dek membuak-buak perasaan ingin bertemu dengan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tembakan dalam kejadian berdarah di Christchurch.
Destinasi pertama kami adalah rumah En. Nazril yang tidak jauh daripada lapangan terbang. Sebaik sampai, Puan Zurinawati menyambut kami di muka pintu. Masuk ke bahagian dalam rumah, kelihatan En. Nazril sedang menunggu kami di atas kerusi roda dengan senyuman yang terukir.
Masa yang terluang, kami penuhi dengan perbualan seputar tragedi berkenaan. Alhamdulillah, kelihatannya beliau sudah hampir pulih sepenuhnya daripada trauma berkenaan. Sesekali bergenang air mata di kelopak mata kami apabila En. Nazril menceritakan situasi semasa berlakunya tembakan tersebut.
Mayat bergelimpangan di mana-mana.
Masih terngiang-ngiang di telinga seorang jemaah yang menyebut “Allah…Allah…” sehinggalah nyawa di hujung tenggorok dan akhirnya kematian pun menjemput. Terlalu pedih untuk digambarkan.
Pertemuan diakhiri dengan sedikit penyampaian sumbangan daripada Yayasan Taqwa MAIWP kepada En. Nazril dan Puan Zurinawati sekeluarga. Kami mendoakan beliau segera sembuh dan kembali sihat seperti sediakala.
Teruskan memberi sokongan moral dan motivasi buat mereka kerana itulah sumber kekuatan bagi mangsa-mangsa ini.
Deretan jambangan bunga menyambut kehadiran kami di Masjid al-Noor. Hati tetap berdebar-debar walaupun kejadian berkenaan sudah berlalu sekian lamanya. Langkahan awal ke dalam masjid membuatkan kami terkesima.
Lihatlah apa yang tertulis di papan putih itu. Subhanallah, besarnya jiwa umat Islam di sini! Pintu utamanya mengingatkan kami kepada seorang tua yang menyambut pengganas berkenaan dengan ucapan “Hello Brother” sebelum ditembak tanpa belas kasihan. Begitulah keindahan Islam yang meraikan sesiapa sahaja, meletakkan toleransi dan sangka baik, tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Usai menunaikan solat jamak dan qasar, kami mengambil kesempatan berbual dengan beberapa warganegara Malaysia yang tinggal berhampiran dengan masjid. Mereka menunjukkan kawasan timbunan mangsa tembakan di beberapa sudut masjid.
Alhamdulillah, dengan kuasa Allah SWT, jemaah Muslimah terselamat kerana pengganas berkenaan tidak menjumpai bahagian solat Muslimah. Begitu juga imam terselamat kerana beliau bersembunyi di belakang mimbar. Masjid al-Noor kini dalam proses pembaikan semula. Dinding sudah dicat semula bagi menghilangkan kesan darah yang berhamburan. Karpet dalam proses untuk ditukar.
Terselit rasa bangga apabila ada juga beberapa risalah dakwah yang dikeluarkan oleh IPSI Malaysia ditempatkan di sini. Tahniah Tuan Haji Kamaruddin!
Sebelum pulang, kami sempat berbual dengan seorang Muslim berbangsa Maori bernama Muhammad yang hadir untuk solat. Raut wajahnya tegas, tubuhnya sudah pasti sebagaimana umum bangsa Maori yang terkenal dengan kegagahan dan postur fizikal yang sasa.
Namun, kelebihan beliau sudah pasti pada iman yang tersemat di dada. Itulah keindahan Islam, agamaku. Semua sama di sisi-Nya kecuali iman dan taqwa yang membezakan. Tidak lupa kepada anggota polis New Zealand yang sentiasa berkawal 24 jam di hadapan Masjid al-Noor. Walaupun keduanya bukan Muslim, semangat perpaduan yang ditunjukkan amat mengharukan. Kami menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Taqwa MAIWP kepada Bilal Israfil selaku Jawatankuasa Masjid al-Noor Ketabahan dan kekuatan jiwa mangsa-mangsa ini amat wajar kita contohi dalam melayari bahtera kehidupan ini.