Berita baik buat golongan wanita yang tinggal di Negeri Kedah, segeralah membuat permohonan Tabung Khas Wanita Negeri Kedah ini.Tabung Khas Wanita yang merupakan sebahagian daripada 10 janji manifesto PH Kedah kini dibuka kepada pemohon yang layak, berkuatkuasa 1 Februari lalu serta tidak memerlukan pembayaran semula.
Menurut Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan, Halimaton Shaadiah Saad berkata, tabung ini diwujudkan atas keprihatian membantu golongan wanita kurang berkemampuan atau dilanda musibah, bencana atau kesempitan hidup sebagai ketua keluarga.
Menurutnya, sumbangan daripada tabung ini diberikan secara ‘one off’ dengan jumlah maksimum RM1,000.
“Tabung Khas Wanita ini lewat dilancarkan susulan kita mencari mekanisme terbaik bagi permudahkan permohonan, ia diselaraskan bawah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan sebuah jawatankuasa antaranya, dianggotai wakit JKM dan pejabat Menteri Besar,” katanya.
Peruntukan RM500,000
Halimaton Shaadiah berkata, sebanyak RM500,000 diperuntukan kepada Tabung Khas Wanita, yang dikendalikan badan pengurusan kerajaan negeri yang dilantik.
“Tabung ini juga khusus untuk membantu golongan wanita yang mahu memajukan perniagaan kecil atau perusahaan di rumah secara kecil-kecilan, bagi meningkatkan taraf ekonomi seperti berniaga nasi lemak, menjual kuih, anyaman dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, antara syarat ditetapkan kepada pemohon adalah anak kelahiran Kedah, bermastautin di negeri ini selama 10 tahun selain pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.
“Kita cuba bantu dan akan kaji setiap permohonan, kategori juga diperluaskan kepada ibu tunggal, wanita yang ditinggalkan suami, wanita yang menjaga suami terlantar, wanita tidak berkahwin dan memelihara anak angkat,”katanya.
Halimaton Shaadiah berkata, permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang yang diperoleh di Pusat Khidmat ADUN atau Pejabat penyelaras Dun kawasan masing-masing.
Ads
“Untuk mudahkan, pemohon juga boleh isi borang menerusi kaedah imbas kod bar pada risalah selain muat turun borang di laman web kerajaan negeri Kedah, permohonan dibuka sepanjang tahun. Hanya isi dengan lengkap dan dapatkan pengesahan diperlukan,” katanya.
Isi Maklumat Lengkap
Menurutnya, pihaknya berharap data maklumat diisi dengan lengkap agar setiap permohonan dapat dipertimbangkan susulan tertakluk pada prosedur operasi standard (SOP).
“Pemohon yang gagal akan dimaklumkan agar mereka tidak ternanti-nanti keputusan. Beberapa pejabat ADUN sudah pun diserbu bagi mendapatkan borang permohonan namun jumlah pemohon tidak dapat dipastikan kerana belum dihantar kepada jawatankuasa,”
Tambahnya, borang ini juga sebagai pengkalan data bagi memudahkan pemantauan selain untuk memudahkan bantuan diagihkan, sekiranya pemohon lebih sesuai dirujuk untuk bantuan lain seperti JKM, persekolahan, zakat dan sebagainya.
Perkara Perlu Mengenai Tabung Khas Wanita Negeri Kedah;
Antara Objektifnya adalah :
Bantuan Kewangan ini menandakan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu golongan wanita kurang berkemampuan.
Membantu wanita yang dilanda musibah, bencana atau kesimpatan hidup sebagai ketua keluarga.
Membantu golongan wanita terutamanya yang ingin memajukan perniagaan kecil atau perusahaan di rumah secara kecil-kecilan bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka.
Antara SYARAT UTAMA permohonan adalah :
▶ Tabung Khas Wanita Kedah ialah salah satu daripada 10 Manifesto Kerajaan PH Negeri Kedah yang akan mula dilaksanakan
Ads
▶ Setiap pemohon yang layak dan berjaya akan menerima bantuan one-off MAKSIMUM RM1000 (Ringgit Malaysia Satu Ribu Sahaja) bagi tujuan memulakan hidup atau perniagaan atau apa-apa sahaja keperluan
▶ Ini adalah sumbangan dan bukannya pinjaman
▶ borang permohonan boleh didapati di setiap Pusat Khidmat Dun/Penyelaras Dun seluruh negeri Kedah. Bagi mereka yang tak berkemampuan untuk datang ke Pusat Khidmat, wakil Pusat Khidmat akan terus ke rumah dan membantu mengisi borang permohonan.
▶ Permohonan yang tidak berjaya juga akan diberi maklum balas
▶ Tidak semestinya perlu berdaftar dengan E-Kasih
▶ Jumlah sumbangan yang layak akan ditentukan oleh panel Jawatankuasa Tabung Khas Wanita Negeri Kedah
Ads
Syarat utama pemohonan :
1. Ditinggalkan suami
2. Ibu tunggal
3. Menjaga ibu/bapa/penjaga sakit terlantar
4. Menjadi ketua isi rumah disebabkan suami sakit terlantar dan hilang punca pencarian
5. Tidak berkahwin tetapi mempunyai anak peliharaan @ tanggungan
6. Keperluan bantuan kewangan bg meningkatkan aktiviti ekonomi bg tambah pendapatan kluarga
7. Ditimpa musibah atau bencana
8. Lain lain nyatakan
*borang lengkap diisi beserta cop pengesahan yb adun @ pusat khidmat /penyelaras dun
* sediakan document berkaitan
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat! Diharap para wanita yang tinggal di Kedah dan memenuhi syarat yang diperlukan, merebut peluang yang diberikan ini. Kongsikan maklumat ini pada wanita yang memerlukan.
Malang tidak berbau, itulah nasib yang menimpa pasangan bakal pengantin dari Zimbabwe ini.Dalam menanti saat bahagia disatukan sebagai suami isteri, kejadian tragis diserang buaya mengubah segalanya.
Pasangan ini diserang buaya hingga mengakibatkan pengantin perempuan kudung pada tangan kanannya dan mengalami kecederaan pada tangan kirinya. Namun pasangan ini tetap meneruskan perkahwinan mereka di sebuah hospital di Zimbabwe walaupun baru 5 hari kejadian tersebut berlaku.Memang hebat dan berhati kental.
“Dalam tempoh seminggu, ‘mimpi ngeri’ itu bertukar menjadi pengalaman luar biasa dan menakjubkan,” kata warga Britain, Jamie Fox, 27.
Diserang Ketika Berkanu
Pada 30 April lalu, Fox bersama tunangnya, bekas pemain tenis, Zenele Ndlovu sedang berkanu di Sungai Zambezi yang juga merupakan antara sungai terpanjang di Afrika dan mereka diserang buaya secara tiba-tiba.
“Saya hanya mampu menjerit dan cuba untuk menyelamatkannya. Dia langsung tidak mengadu sakit selepas berjaya ditarik keluar dari sungai itu dalam keadaan berlumuran darah, mungkin kerana dia masih terkejut.
“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana masih hidup dan dapat meneruskan hari bersejarah kami walaupun lokasi bersejarah terpaksa ditukar kerana Ndlovu masih dirawat di hospital,” katanya.
Jelasnya lagi, dia melamar wanita bertuah itu pada Februari lalu selepas menjalin hubungan cinta selama kira-kira 18 bulan.
“Kami berharap dapat menetap di Britain dan saya telah menguruskan visanya. Selepas segala urusan itu selesai, kami akan fikirkan pula tentang lokasi bulan madu,” ujarnya.
Apa-apa pun tahniah dan selamat pengantin baru buat pasangan ini. Tahniah juga buat pengantin lelaki yang tetap setia dan meneruskan perkahwinan ini walaupun, tunangnya telah kudung dan menjadi orang kurang upaya.
Kejadian yang berlaku di Bukit Mertajam ini, seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didera majikannya sebelum diselamatkan polis kelmarin, meninggal dunia petang semalam. Ketika ditemui mangsa mengalami kecederaan dengan kesan lebam pada kepala dan muka selain luka dan bernanah pada tangan serta kedua-dua kaki akibat didera majikannya di Taman Kota Permai. Mangsa juga dipercayai dipaksa majikannya tidur di luar rumah hanya beralaskan tikar dan ditemani anjing.
Mangsa yang dikenali sebagai Adelina, 21, daripada Medan, Indonesia dikatakan bekerja di negara ini hampir dua tahun, sebelum ini dirawat di Hospital Bukit Mertajam susulan kecederaannya yang agak serius.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid yang mengesahkan perkara tersebut berkata mangsa meninggal dunia jam 4.30 petang semalam di Hospital Bukit Mertajam.
Dua Beradik Ditahan
Susulan kejadian itu, dua beradik ditahan reman selama empat hari, masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 39 dan 36 tahun bagi membantu siasatan kejadian berkenaan.
Sementara itu, dalam laporan sebelum ini, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah,Asisten Komisoner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kejadian itu terbongkar apabila orang awam menghubungi pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam bagi memaklumkan mengenai nasib malang menimpa pembantu rumah berkenaan.
“Selepas menerima maklumat itu, pengadu pergi ke rumah berkenaan untuk melakukan pemeriksaan dan mendapati pembantu rumah berkenaan sedang duduk di kawasan pagar luar rumah.
“Pengadu cuba berinteraksi dengan pembantu rumah itu tetapi dia dilihat dalam keadaan takut dan hanya mengangguk kepala apabila ditanya,” katanya.
Nik Ros Azhan berkata,lelaki itu berjumpa dengan seorang wanita berusia 60-an dan bertanyakan mengenai perkara itu namun wanita itu mengingatkan supaya dia tidak masuk campur dalam urusan berkenaan.
Kes Disiasat Seksyen 324 Kanun Keseksaan
Katanya, tidak lama kemudian anak wanita berkenaan datang ke rumah dan membawa keluar mangsa.
“Pengadu telah menghubungi majikannya memaklumkan kejadian berkenaan sebelum mereka membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk tindakan lanjut.
“Kita cuba mengambil keterangan daripada mangsa namun wanita terbabit masih lagi dalam keadaan takut dan enggan untuk berikan keterangan,” katanya.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.
Buat para majikan yang mempunyai pembantu rumah, perlu ingat iya mereka juga merupakan seorang manusia.Janganlah melakukan perkara diluar batasan sehingga mampu mengakibatkan kecederaan secara fizikal sehingga membawa kematian.
Masih dalam mood raya, mak ayah tolong ambil perhatian keselamatan anak-anak yang ingin keluar pergi beraya. Zaman sekarang tak macam dahulu, bebas keluar rumah seorang diri tanpa risaukan bahaya mahupun keselamatan diri.Macam-macam ancaman jenayah boleh berlaku buat anak.
Terbaru, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Puncak Alam, Selangor, untuk beraya, semalam.
Kehilangan kanak-kanak itu, Syafiqah Farhan’ie Mohd Norhisyam, disedari kakak mangsa yang memaklumkan kejadian itu kepada ibu mereka, 9 malam tadi.
Raya Bersama 2 Rakan
Ibu mangsa, Farihah Mat Salleh, 36, berkata anak bongsu daripada tiga beradik itu yang tinggal bersama ibu saudaranya di Puncak Alam ada memaklumkan mahu beraya bersama dua rakannya.
“Kakaknya (anak kedua Farihah) ada memaklumkan Syafiqah keluar untuk beraya bersama dua rakannya kira-kira jam 1 tengah hari, semalam.
“Namun, sehingga jam 9 malam tadi, dia masih belum pulang menyebabkan kakaknya menghubungi saya untuk memaklumkan mengenai perkara itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Paling Lewat 6 Petang
Farihah berkata, sebelum kehilangan Syafiqah semalam, anaknya itu juga ada pergi beraya, kelmarin, namun pulang ke rumah jam 5 petang.
“Setiap hari dia akan pulang ke rumah paling lewat jam 6 petang. Tidak pernah dia tidak pulang ke rumah.
“Malah ketika keluar semalam, dia tidak membawa apa-apa termasuk telefon bimbit kerana Shafiqah tidak memilikinya,” katanya yang memaklumkan anaknya tinggal bersama mak cik mereka sejak tahun lalu.
Dia yang bekerja sebagai pengurus sebuah restoran di Bukit Jalil, memaklumkan sudah cuba mendapatkan maklumat daripada ibu bapa rakan anaknya yang lain menerusi kumpulan sembang WhatsApp.
“Namun, tiada ibu bapa rakannya yang lain mempunyai maklumat mengenai keberadaan Shafiqah. Malah, saya sendiri masih mencari ibu bapa dua kanak-kanak yang dikatakan keluar beraya bersamanya.
“Selain memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah, saya juga sudah mencari di kawasan sekitar Puncak Alam, namun gagal menemuinya,” katanya.
Katanya, kali terakhir Syafiqah dilihat memakai baju-T berwarna merah jambu, seluar jeans biru serta tudung berwarna ungu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Syafiqah diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.
MW: Doakan yang baik-baik.Bantu war-warkan kehilangan kanak-kanak ini semoga kanak-kanak ini bernasib baik dan dapat ditemui dengan selamat hendaknya.
Black hadiahkan kereta mewah idaman isteri. “Kadang-kadang kita terlalu mencari yang sempurna, sampai terlupa untuk hargai yang selalu ada di sisi” Inilah ungkapan penuh...