Ramai mak ayah menyangka, dengan menyekat kebebasan anak-anak remaja mampu mengawal mereka dari terlibat dengan gejala sosial. Ada benarnya, tetapi dalam pada masa yang sama, mak ayah kenalah sedar, anak kita tetap perlu diajar hidup bermasyarakat.
Fikirkan, kenapa anak-anak sekarang, jarang bergaul dengan saudara mara? Mengapa anak-anak sekarang, ada yang tak kenal pakcik dan makcik mereka?
Jawapannya MUDAH. Bila mereka merasakan dah duduk dalam tahap kedewasaan, mak ayah bukan lagi sandaran utama. Ke mana mak ayah pergi, mereka takkan mengikut.
Baik pulang ke kampung, kenduri-kendara mahu pun majlis yang dianjurkan oleh ahli keluarga. Mereka lebih senang tinggal di rumah. Mak ayah pasti lebih tenang sekurang-kurangnya anak-anak tak berpeleseran di luar. Tak TERLIBAT DENGAN GEJALA NEGATIF.
Pernah atau tak mak ayah pantau aktiviti anak dalam rumah? Jangan sampai terlambat. Walau dalam rumah, anak remaja tetap tak selamat.
Dalam rumah lebih bahaya sebenarnya. Lagi jika ada INTERNET. Itu talian hayat mereka. Ini kisah benar yang terjadi pada seorang remaja bernama Mawar (bukan nama sebenar)
Mawar Mencari Cinta ‘Maya’
“Nama aku Mawar. Masih bersekolah di tingkatan 5. Aku tinggal di kota metropolitan Kuala Lumpur. Walaupun menetap di kawasan segi tiga emas, hidup aku tidak seperti remaja lain yang bebas bersosial dengan rakan dan mengecap kegembiraan dengan aktiviti kegemaran.
Kehidupan aku diikat dengan peraturan dan jadual. Pergi ke sekolah berhantar, balik pula berjemput. Tiba di rumah, sudah ada tugas yang menanti. Kelas tambahan, kerja rumah dan banyak lagi. Tiada langsung sekelumit ruang untuk berpeleseran bersama rakan.
Bukan setakat itu, aku juga dilarang sama sekali untuk memiliki telefon bimbit. Setakat telefon bimbit tidak mengapa, malah tidak dibenarkan langsung untuk memiliki apa-apa akaun media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan macam-macam lagi. Aku hanya dibekalkan dengan sebuah komputer riba dan sambungan internet untuk melayari alam maya untuk mencari informasi sekadar yang perlu. Tidak lebih dari itu.
Ayah selalu sebut, apa yang dia lakukan adalah untuk kebaikan diri aku sendiri. Dikawal dari anasir-anasir yang mampu merosakkan serta menggugah kesantunan seorang gadis remaja. Ya. Aku dikawal dari segenap sudut.
Biarpun dikawal ketat dari pelbagai arah, sebenarnya ayah telah tersilap langkah. Aku akui akan hal itu. Ayah risau anak kesayangannya dirosakkan oleh manusia maujud tetapi tanpa sedar, ayah telah membenarkan predator untuk menghancurkan emosi dan fikiran aku melalui Internet.
Jika diluar aku tidak dibenarkan berkawan dengan mana-mana lelaki secara intim tetapi di alam maya, aku boleh membawa mereka, bukan sekadar masuk ke rumah tetapi juga berselingkuh di ranjang. Itulah realitinya.
Dengan rasa ingin tahu, aku memulakan pencarian maklumat di Internet dengan kata kunci berunsur seksual. Wow. Banyak betul yang aku pelajari. Tahun 2016 menjadi saksi bahawa aku mula mengenali hal-hal berkaitan seks secara umum.
Kemudian apabila perasaan itu semakin membuak-buak dan sukar dibendung, aku melangkah ke tahap yang lebih tinggi sehingga belajar cara untuk memuaskan nafsu sendirian. Aku mula berangan. Berangan melakukan hubungan terlarang dengan sesiapa sahaja yang aku mahu untuk kepuasan nafsu.
Aku juga telah meminjam telefon ayah dan mula beraksi di hadapan kamera tanpa seurat benang. Ya ini semuanya adalah untuk kepuasan diri sendiri. Gambar-gambar tersebut dipindahkan ke dalam laptop dan disorokkan failnya supaya tidak tertangkap.
Aku mahu lebih. Hal itu disuarakan kepada sepupu yang sangat aku percaya. Memandangkan aku telah dikenakan sekatan dari terlibat dengan mana-mana laman sosial yang menggunakan gajet, sepupu aku mencadangkan agar aku mendaftar akaun Telegram. Dengan bantuannya, aku dapat mencipta sebuah akaun dan ‘online’ menggunakan laptop sahaja.
Rupa-rupanya dunia di luar sana begitu luas dan indah untuk diteroka. Patutlah ayah melarang keras aku dari terlibat secara langsung dengan dunia sosial alam maya ini. Melalui aplikasi Telegram aku mengenali ramai orang. Baik lelaki mahu pun perempuan. Dari situ aku telah melakukan hubungan intim secara maya dengan sesiapa sahaja. Malah tanpa segan silu, aku membiarkan tubuh aku dijarah oleh lelaki-lelaki mata ke ranjang melalui gambar yang dikirim.
Keinginan aku semakin memuncak. Jiwa remaja semakin kacau dan rebel. Aku mahu lebih lagi dari apa yang telah aku lalui. Ayah telah berjanji yang dia akan benarkan aku untuk menghabiskan masa bersama rakan-rakan wanita selepas habis SPM.
Aku telah memasang rancangan untuk menghadiahkan dara ini kepada lelaki yang bertuah selepas SPM nanti. Aku tidak akan menyesal kerana perasaan ini telah aku pendam bertahun lamanya. Penat sudah aku berangan dan berkhayal. Kali ini, biar aku rasai nikmat sebenar kehidupan remaja.”
Dari Perspektif Guru Kaunseling
Ibu bapa fikir, melarang anak-anak remaja bersosial di luar boleh menyelamatkan mereka dari terjebak dengan gejala negatif. Sebagai alternatif, kita biarkan anak-anak hanyut dengan dunia Internet tanpa sempadan. Tanpa kita sedar, mudarat alam saiber lebih parah berbanding bersosial di alam nyata.
Kisah Mawar adalah secebis kisah daripada lebih 400 ribu kisah remaja seusia dengannya, malah bukanlah kes terpencil jika dibandingkan dengan lebih 2 juta pelajar yang berada di sekolah menengah (berdasarkan enrolmen murid KPM). Tetapi cerita Mawar menunjukkan bahawa betapa berisikonya anak-anak remaja yang bakal mentadbir negara satu hari nanti.
Melalui alam maya, pemangsa yang berkeliaran di luar boleh dibawa masuk ke dalam rumah hatta boleh berselingkuh di ranjang tanpa bertemu. Matlamat utama, kepuasan dinikmati bersama.
Perkara ini boleh dielak sekiranya ibu bapa tahu bagaimana untuk mengurus penggunaan gajet anak-anak. Mahu melarang terus memang tidak boleh. Ini zaman mereka. Mereka lahir pada zaman gajet yang bukan menjadi kehendak tetapi keperluan.
Samalah seperti kita dahulu. Main lastik, bercempera di sungai, main guli dan banyak lagi permainan yang menjadi kegilaan pada waktu itu. Bagaimana sekiranya ibu bapa melarang? Kita tetap curi-curi untuk melastik burung dan mandi sungai kan? Begitu juga dengan anak-anak zaman kini. Ini hak mereka. Biarkan mereka menikmati alam kanak-kanak mereka sesuai dengan zaman. Apa yang penting ialah kawalan.
Tip Kawal Gajet Anak Di Rumah
Ibu bapa perlu menjalankan pemantauan pada setiap perbuatan anak-anak. Berikut beberapa tip yang boleh diguna mengikut kesesuaian ibu bapa.
1 Ambil Kisah Tentang Laman Sosial Anak-anak
Sebagai ibu bapa, kita boleh memantau status yang dikongsi, bahasa yang digunakan dan dengan siapa mereka bersembang, Lagi baik sekiranya kita pegang password mereka agar lebih mudah untuk ibu bapa pantau.
2. Sesekali Lakukan Spot Check Terhadap Gajet Anak-anak
Selongkar galeri gajet mereka, semak laman sembang yang terpasang pada gajet anak-anak seperti WhatsApp, WeChat, BeeTalk, Telegram dan pelbagai laman sembang lain. Bagi yang menggunakan laptop, siasat history penggunaan browser mereka. Laman web apa yang mereka singgah. Ambil tahu.
3. Hadkan Penggunaan Internet
Letakkan had waktu supaya anak-anak tidak terlajak menggunakan internet sehingga awal pagi. Tutup sambungan wifi atau simpan gajet mereka pada waktu malam dan pulangkan semula keesokannya.
4. Pastikan Anak-anak Melayari Internet Di Ruang Terbuka
Jangan biarkan anak-anak melayari internet bersendirian seperti di dalam bilik, di dalam bilik air atau di mana-mana sahaja tempat yang berisiko. Biar mereka meneroka alam saiber di ruang tamu atau ruang terbuka.
5. Pastikan Dengan Siapa Mereka Keluar
Sekiranya anak-anak mahu mengadakan janji temu dengan rakan-rakan baru alam maya, kenali siapa rakan mereka. Jika boleh pastikan anak-anak kita berteman. Bukan berjumpa secara empat mata.
6. Didik Anak-anak Cara Penggunaan Internet Dengan Bijak
Ceritakan kepada anak-anak kebaikan dan keburukan penggunaan internet tanpa kawalan.
7. Perhatikan Perubahan Sikap Anak-anak
Sekiranya sikap anak-anak nampak berbeza atau asing, dekatilah mereka dengan penuh kasih sayang. Bercerita dan minta mereka luahkan sekiranya ada apa-apa masalah.
Biar Kongkong Sekarang, Jangan Menyesal Kemudian
Tip-tip yang dikongsi nampak seperti ibu bapa terlalu mengongkong, tetapi itulah langkah yang perlu diambil sebagai tanda kita sayang kepada anak-anak. Biasa tak kita menerima mesej “malam jumaat”, gambar mengghairahkan, ‘meme’ lucah, video tanpa tapisan yang dikongsi di laman sembang kita? Ya. Itu jugalah yang diterima oleh anak-anak melalui grup WhatsApp mereka. Anda mahu anak-anak didedahkan dengan perkara-perkara tersebut sejak kecil? Jika tidak, tolong lakukan sesuatu.
Pernah atau tidak anda mendengar istilah buli saiber? Perkara ini kerap berlaku kepada anak-anak remaja apabila mereka dipalau (baca pulau) di dalam grup sembang mereka. Malah ada juga yang menerima ‘mental torture’ daripada rakan-rakan sendiri. Anda mahu anak anda terjebak dengan masalah ini? Jika tidak, tolong lakukan sesuatu.
Banyak kesan buruk akibat penggunaan laman sembang yang tidak dikawal. Di sini saya kongsikan, beberapa kes yang berlaku berserta rujukan akhbar dalam talian.
1.Pelajar 13 tahun dirogol 4 kenalan Wechat – http://www.bharian.com.my/node/193609
2.Pelajar tingkatan 1 dirogol rakan wechat – http://www.sinarharian.com.my/nasional/pelajar-tingkatan-1-dirogol-rakan-wechat-1.400158
3.Gadis 13 Tahun Dirogol Rakan Facebook Dalam Pertemuan Kali Kedua – http://www.mstar.com.my/berita/berita-jenayah/2014/05/27/dirogol-rakan-fb/
4.Dua Gadis Belasan Tahun Dirogol 38 Lelaki – http://www.sinarharian.com.my/semasa/kes-rogol-suspek-ke-15-ditahan-polis-1.286097
5.Jual beli dadah dalam talian – http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/jual-beli-dadah-dalam-talian-1.376635
Sebab Itu Perlunya
Biarkan anak-anak kita membesar mengikut zaman mereka. Beri mereka kebenaran menggunakan gajet asalkan dengan kawalan dan pemantauan. Anak-anak kita tanggung jawab kita. Jangan sudah terhantuk baru terngadah.
Sumber: Abdul Muiez Ruslee, Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Sungai Burong Tanjong Karang, Selangor. www.lobam.my
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI