
Bayangkan.. nak berjalan pun sampai tak lepas nak jejak lantai tu. Sebab dikelilingi permainan anak yang banyak. Bukan tak boleh belikan anak permainan, cuma ada panduannya.
Ibu ini, Hanisah Zulkifli berkongsi cara dan tip mengurus permainan anak yang banyak tu. Dan mengapa permainan yang terlalu banyak ini menjadi punca ibu stress.
Minimalis : ‘Permainan Anak Yang Banyak’ Rupanya Ini Punca Stress Ibu
Baru saya tahu selama ni, inilah punca stress saya. Mainan anak yang terlalu banyak!
Saya akan jadi stress bila anak mula sepahkan mainan. Penuh di lantai. Sampai nak jalan pun kadang-kadang terpijak. ‘Nikmat’ terpijak tu hanya Allah saja yang tahu. Lagi bertambah stress dibuatnya!
Jadinya saya terus ambil mainan anak-anak, letakkannya di dalam plastik dan simpan di dalam setor untuk sementara waktu.
Saya hanya tinggalkan 3 jenis mainan sahaja untuk Shahid. Blok kayu, Knob Puzzles dan Stacking Cup.
Permainan yang sesuai dengan umur Shahid sekarang. Cukup satu bulan nanti, saya akan gantikan pula dengan mainan yang lain.
Tip Susun, Elak Permainan Bersepah
Tips ini saya dapat daripada Dr. Nabilah Solehah di seminar minggu lepas. Bila saya aplikasikan tips ni di rumah, nampak lapang bilik kanak-kanak bijak soleh solehah tu sekarang.
Dan tiada lagi mainan bersepah di sana sini. Hati pun tenang tak perlu kutip mainan setiap pagi.
Jangan risau ibu ayah, anak akan jadi lebih kreatif bila mainan terhad kerana mereka akan cenderung meneroka keadaan sekeliling dan mampu untuk merangsang daya imaginasi mereka nanti.
Daya imaginasi ini amat penting bagi anak-anak. Memetik kata-kata Einstein,
“The true sign of intelligence is not knowledge, but imagination.”
“Tanda kecerdasan yang sebenar bukanlah pengetahuan tapi imaginasi.”
Selain daripada itu, daya fokus anak juga akan lebih panjang kerana apabila terlalu banyak pilihan mainan, anak akan mencari mainan yang lain jika permainan sebelum itu memerlukan penyelesaian masalah dan mereka tak dapat selesaikannya.
Nak kurang stress rumah bersepah dengan mainan anak, ibu ayah bolehlah guna tips ini. Dan seronoknya apabila mainan terhad, anak-anak akan lebih menghargai mainan yang ada.
Sharekan tips awesome ini pada ibu ayah yang lain supaya kita dapat mendidik anak tanpa rasa stress.
MW : Dah faham kan mak ayah, sebenarnya banyak cara nak bagi anak seronok dan berkreatif.
Sumber/Foto : Hanisah Zulkifli
Bahaya Simpan Ubat Demam Lama Sangat, Mak Ayah Tolong Semak Tarikh Sebelum Bagi Anak Makan!

Ramai sebenarnya yang jenis suka simpan ubat demam lama sangat letak dalam peti, konon itu persediaan kalau anak demam secara tiba-tiba.
Persoalannya, elok ke ubat tu pada anak? Dan kalau boleh simpan pun, berapa lama tarikh yang selamat untuk diguna? Haaa… untuk elak bahaya pada kesihatan anak, baca perkongsian doktor Taufiq Razif ini.
Saya perasan kalau saya buka peti ais rumah siapa-siapa pun mesti banyak ubat demam anak-anak.
Biasanya mak ayah ni suka simpan ubat demam Panadol, Fepril, Uphamol dan Kidz PCM dalam peti ais. Bukan seminggu dua tapi kadang kala tu sampai berbulan-bulan pun ada.
Kenapa ye?
Tahu tak bahaya kalau kita simpan ubat demam tu lama sangat? Tahu tak botol ubat tu asalnya diisi dengan udara bersih ataupun Nitrogen di kilang sana. Udara dalam tu memang bebas kuman tapi sekali kita dah buka botol ubat demam tu, udara bersih tu akan keluar dan udara luar yang mengandungi fungi, bakteria dan wap air ni akan masuk.
Lagi satu, bila kita simpan ubat dalam peti ais proses kondensasi akan berlaku dan wap air akan terbentuk dalam botol ubat tu. Wap air tu takde bahan pengawet sepertimana ubat yang memang ada bahan pengawet jadi bakteria mudah membiak kat dalam tu.
Berapa lama je boleh simpan?
Sebenarnya tak perlu simpan pun. Bila anak demam lagi, ambil je ubat yang baru. Tu lagi selamat tapi kalau nak simpan juga jangan lebih 2 bulan ye. Lebih bahaya lagi kalau kita simpan pastu kita lupa dah berapa lama ubat tu kita simpan. Bila anak demam je terus bagi ubat lama tadi. Aduh! Bahaya!
NOTA:
Kalau suhu masih bawah 37.5 c tu tak perlu pun ubat demam. Banyakkan minum air ye. Kalau selsema sikit-sikit tu banyakkan makan buah buahan je. Belajar berjimat cermat sikit bab ubat-ubatan.
Tolong sebarkan dan ajar ilmu ni pada ibubapa kat luar sana juga ye. Saya tahu ramai ibubapa yang tak tahu tentang benda ni.
Cuti PKP Masa Sesuai Mak-Mak Bekerja Ajar Anak ‘Diaper Free’

Jika di Barat lazimnya mereka membudayakan amalan cerai lampin, sebelum anak kecil berusia tiga tahun. Walau bagaimanapun tidak ada umur spesifik dikhususkan buat anak anda boleh diajar untuk menggunakan tandas pada waktunya.
Lazimnya menggunakan pendekatan dua pemahaman asas yang penting bagi memastikan misi cerai lampin berjaya. Langkah pertama anak anda sudah mampu bertutur manakala langkah kedua pula si dia mampu membezakan buang air kecil dan juga buang air besar.
Jika anak anda sudah mampu menguasai dua asas penting ini, anda sudah boleh perlahan-lahan memulakan misi mega menghentikan pemakaian lampin pakai buang secara berperingkat.
Berikut adalah beberapa tips yang boleh dijadikan rujukan sebelum anda memulakan misi percubaan cerai lampin.

1. Umur
Lazimnya apabila anak di usia dua tahun, dia sudah mampu bertutur dan membina ayat dengan baik. Dalam situasi lain, ada anak-anak yang sudah boleh memahami arahan ringkas seperti mengemas permainan, memasukkan baju kotor ke dalam bakul, minum susu menerusi cawan dan melukis apa-apa sahaja tanpa disuruh di buku contengnya. Mereka juga sudah memahami fungsi tandas untuk apa dan di mana harus dituju sekiranya perlu membuang air kecil ataupun air besar.
2. Mengadu
Anak-anak ini juga sudah pandai meluahkan perasaan mereka seperti rasa tidak selesa apabila lampin pakai buang yang dipakai telah dikotori dengan najis mahupun berat dengan takungan air kencing.
3. Tahu menanggalkan pakaian sendiri
Jika ada perasan, ada masanya anak-anak kecil ini cenderung untuk meniru perbuatan orang lain dan mahu melakukannya sendiri.. Sebagai contoh memakai dan menanggalkan pakaian. Ada diantara mereka yang enggan dibantu dan berusaha memakai pakaian sendiri walaupun ianya tidak sempurna.Ini menunjukkan mereka sudah mengerti fungsi pakaian itu dan tujuannya mengapa ia perlu dipakai.
4. Malu dengan kawan seusia
Situasi ini akan berlaku sekiranya anak-anak ini membesar di persekitaran nurseri. Lazimnya pihak pengurusan menggalakkan anak kecil berusia tiga tahun ke bawah sudah tidak lagi memakai lampin pakai buang. Apabila melihat kejayaan kawan-kawan lain ‘lulus’ ujian memakai seluar dalam tanpa insiden terkencing dan membuang air besar, pasti anak-anak ini teruja mahu melakukan perkara yang sama. Ada waktunya pengaruh kawan sebaya juga memberikan mereka semangat untuk segera meninggalkan lampin pakai buang dan beralih kepada seluar dalam yang sesuai dengannya.
5. Kekerapan ke tandas
Sekiranya anda sedang membuat percubaan cerai lampin, pastikan anda kerap membawanya ke tandas. Contohnya sekitar 20 minit sekiranya melihat dia minum air ataupun susu lebih kerap. Jangan leka dan sebaiknya anda tetapkan masa bagi memastikan anak anda tidak terkencing di tempat yang tidak sepatutnya.
6. Seluar dalam karakter kartun kegemarannya
Jika anda ke pasar raya, apa kata libatkan anak anda ketika membeli seluar dalamnya. Jika ada, belikan seluar dalam yang memaparkan karakter kartun ataupun warna kegemarannya. Mungkin ini menjadikan dia lebih bersemangat untuk meninggalkan lampin pakai buang.
7. Jangan marah
Sabar…sabar dan sabar. Usaha bercerai lampin ini mengambil masa. Akan ada masanya anak anda terkencing tanpa sedar dan tidak memaklumkan kepada anda terlebih dahulu. Jangan marah, elakkan memberi tekanan kepadanya. Maafkan dia, kerana dia sedang cuba menyesuaikan diri dengan perubahan baru dalam hidupnya.
8. Pilih masa yang sesuai
Pastikan anda memilih waktu yang sesuai untuk memulakan sesi latihan cerai lampin ini. Dinasihatkan anda memperuntukkan cuti hari minggu untuk memberi tumpuan kepadanya. Mulakan dengan sesi siang dahulu, setelah nampak dia boleh menyesuaikan diri. Perlahan-lahan kita panjangkan ke sesi malam pula.
9. Jangan dukung
Untuk sesi malam pula, anda digalakkan menetapkan masa di telefon bimbit anda. Jika dia minum susu sebelum tidur, pastikan anda bangun dan menggerak anak anda bangun untuk ke tandas. Elakkan mendukung anak yang sedang tidur dan membawanya ke dalam tandas. Ini kerana anak akan terkeliru dan dia tidak sedar sepenuhnya. Sebaiknya pastikan dia sedar dan pimpin tangannya ke tandas bersama-sama. Cara ini membuatkan anak anda faham, buang air kecil dan juga air besar hanya berlaku di tandas dan bukan di tempat lain
10. Akhirnya…anak anda lulus ujian cerai lampin
Anda akan rasa teruja apabila anak anda mula memaklumkan kepada anda yang dia perlu ke tandas untuk membuang air kecil. Dia juga tidak lagi terkencing di tempat tidak sepatutnya. Sekiranya anak anda mula menguasai perubahan baru itu, dia sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada lampin pakai buang buat selamanya.
Konklusinya, setiap anak berbeza fasa perkembangannya. Sebagai ibu bapa kita perlu memberi ruang dan galakkan kepadanya dalam apa jua cara sekalipun. Selamat mencuba semoga anak anda lulus dengan cemerlangnya!
Mak Ayah Bukanlah Sempurna Tapi Cara Didikannya Jadikan Kita ‘Manusia’ Berguna

Cara didikan mak ayah dulu dengan sekarang boleh dikatakan jauh berbeza. Mungkin juga disebabkan keadaan sekarang yang semakin moden, malah tidak keterlaluan ada anak-anak yang menjadi ‘raja’ dalam rumah.
Kalau nak dibandingkan kita dulu cukup takut dengan mak ayah, baik dari segi menjaga tingkah laku, pembelajaran dan sebagainya. Ada mak ayah hanya tunjuk riak muka sahaja, kita sebagai anak pun dah takut lain macam.
Sebab itu, bila kita tengok kejayaan anak-anak waktu itu cukup membanggakan. Cara didikannya yang berbeza dengan sekarang.
Walau bagaimana pun, tidak bermakna mak ayah sekarang lepas tangan dalam menjaga keperibadian anak. Mungkin ada sesetengah mak ayah sekarang masih mengamalkan apa yang diajar oleh kedua ibu bapa mereka dahulu. Tapi, tidaklah semua bergantung kepada keadaan sekarang juga.
Perkongsian daripada Hanis Athirah Rosli cukup menarik dan boleh jadikan panduan untuk mak ayah sekarang. Tip keibubapaan oleh mak ayahnya turut dipaktikkan kepada cucunya. Nasiihat dan teguran itulah menjadikan kita sebagai seorang manusia yang berguna.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Mak Ayah Tak Suruh Ikut Tapi Anak MESTI Tiru, Tunjuklah Yang Baik-Baik
Baca Istighfar, Cara Mudah Sedekahkan Pahala Buat Mak Ayah Yang Telah Tiada
Info Lebih Menarik DI SINI
Mak Ayah Aplikasi Pula Pada Cucu
9 tip keibubapaan yang ‘Umi dan Abah’ sya buat dan saya cuba aplikasikan kepada cucu mereka.
Saya adalah anak pertama kepada pasangan guru yang sweet dalam gambar ini. Merekalah insan pertama yang mendidik, mengasuh dan membesarkan saya dengan penuh kasih sayang.
Saya juga masih struggle dalam dunia parenting dan kadang-kala ulangi kesilapan yang sama walaupun saya sendiri tahu perkara itu tak patut dilakukan. Sebab saya ialah manusia, jadi saya tidak akan pernah sempurna, sebab itu Allah hantar pelbagai jenis manusia untuk perbetulkan diri ini dari melalukan kesilapan yang berterusan.
Insan yang selalu menegur saya dalam mendidik anak ialah Umi dan Abah. Saya terima dengan hati terbuka, hadam dan perbaiki diri. Memang secara peribadi saya sangat mengagumi cara Umi dan Abah mendidik kami enam beradik.
Walaupun saya membesar menjadi orang yang biasa saja, tapi saya bahagia dengan didikan Umi dan Abah yang dapat memanusiakan saya. Jadi, hari ini saya ingin kongsi beberapa perkara dan peristiwa yang masih saya ingat bagaimana Umi dan Abah mendidik kami, dan saya juga cuba aplikasi perkara yang sama untuk cucu-cucu mereka pula.
PERKATAAN BAIK-BAIK
Pertama, Umi Abah menggunakan perkataan baik untuk menegur kesalahan kami adik beradik. Mereka tidak pernah sumpah seranah atau menggunakan perkataan kesat walaupun perangai kami memang boleh tahan nakalnya. Tapi perkataan yang Umi Abah guna untuk tegur sangat deep dan berkesan sampai ke tua! Kalau buat salah pula di hadapan saudara mara, Umi Abah akan panggil kami datang dekat dengan mereka dan menegur kami secara terus dan tidak terpekik. Memang mereka sangat menjaga aib anak-anak.
TIDAK BERGADUH DEPAN ANAK
Kedua, Umi Abah tidak pernah bergaduh atau bertekak di hadapan anak-anak. Saya pun ada bertanya adik-adik, tapi ternyata kami semua tidak mempunyai memori yang mengingatkan Abah Umi bermasam muka sesama mereka. Membebel sambil mengusik tu ada, tapi bergaduh memang tiada dalam kotak memori kami.
Perkara ini saya masih belajar dan komited untuk aplikasi dalam rumah tangga saya dan suami. Sebab setiap rumah tangga ada ujiannya dan bukanlah ibarat fairy tale yang indah-indah belaka. Mahu atau tidak, kita tidak dapat lari daripada dugaan dan saat-saat genting yang perlu dihadapi bersama. Tapi, jika ada masalah Umi Abah akan berbincang di dalam kamar tidur peribadi tanpa didengari kami anak-anak. Ini kerana pertelagahan antara suami dan isteri yang disaksikan anak-anak akan membawa impak tidak sihat kepada mereka kelak.
TEGUR DI BELAKANG ADIK BERADIK LAIN
Ketiga, sebagai anak sulung, sewaktu kecil saya selalu mencabar kesabaran Umi dan Abah. Setiap kali Allah kurniakan adik baharu, saya ingat saya akan buat perangai untuk menarik perhatian Umi dan Abah. 5 orang adik, macam-macam perangai pelik saya buat. Apa yang saya boleh puji, Umi Abah tak marah saya kuat-kuat depan adik-adik. Kalau saya salah Umi Abah akan tegur saya di belakang adik-adik. Sebab mereka sangat menjaga maruah saya sebagai anak sulung dari tercalar dan tidak mahu adik-adik kurang menghormati saya.
Semasa menegur Umi Abah akan semaikan benih tanggungjawab dalam diri saya. Mereka selalu beritahu saya harapan mereka terhadap saya sebagai contoh terbaik untuk adik-adik. Jika saya berperangai buruk, adik-adik akan mengikut buruk juga. Jika Umi Abah tiada, saya yang harus menjadi orang pertama jaga adik-adik. Teguran yang dibuat memang meresap masuk dalam minda ini tanpa sedar dan sehingga saya dewasa. Memang anak sulung kebanyakkan mempunyai ciri kepimpinan dan sampai hari ini saya cuba akan penuhi harapan dan impian Umi Abah supaya menjadi insan yang boleh dicontohi adik-adik.
HAK ANAK TERTUNAI
Keempat, sesibuk mana pun Umi Abah, mereka terus pastikan hak-hak anak tertunai. Hak anak-anak untuk mendalami agama, belajar, bermain, fisiologi dan kasih sayang mereka akan usahakan untuk penuhi. Umi Abah menyediakan kami adik beradik persekitaran pembelajaran kondusif di rumah dan masa sama mereka sangat meraikan fitrah kami sewaktu kanak-kanak untuk bermain. Selain itu, Umi Abah juga menujukkan teladan dalam mendalami ilmu. Saya ingat, saya banyak belajar melalui pemerhatian terhadap sikap, sifat dan tingkah laku mereka.
TEGAS DALAM PERATURAN DI RUMAH
Kelima, Umi dan Abah juga sangat tegas dalam melaksanakan peraturan di rumah. Tegas tapi sayang, dah hasilnya Alhamdulillah kami enam beradik menjadi insan yang lebih berdisiplin dan peraturan yang diamalkan menjadi rutin yang sebati dalam diri kami. Sebagai contoh, masa kecil sebelum Maghrib kena balik rumah dan mandi. Masa Maghrib tak boleh buka tv kecuali dah solat dan mengaji baru boleh tonton cerita Doraemon. Itu pun satu hari tu je boleh excuse.
Selain itu, Umi Abah juga terapkan rutin sampailah rutin itu menjadi kebiasaan dan kekok jika kami tidak ikuti. Contohnya setiap hari rutin solat berjemaah, mengaji bersama, waktu makan bersama dan waktu borak luah perasaan tiap hari terutamanya selepas solat Maghrib sambil menunggu waktu Isya’.
SUKA BERSEDEKAH
Keenam, saya juga selalu perhatikan dari jauh Umi dan Abah suka bersedekah dan saya akan meniru perbuatan mereka. Masa kecil pun semasa pergi pasar tani Abah selalu bagi kami duit, dan Abah akan minta kami masukkan duit ke dalam tabung sedekah yang dihulurkan dekat makcik pakcik.
Selain itu, Umi Abah akan lorongkan kami ke jalan sedekah. Baju, buku, permainan yang masih boleh guna dan elok lagi, kami bersama-sama akan menyumbang kepada yang memerlukan. Betul, dengan perbuatan sedekah kami anak-anak berasa lebih lembut hati dan empati kepada insan yang memerlukan. Jadi, apa yang Umi Abah ajar dari kecil kami pegang supaya menjadi roh dan isi.
TIDAK MENGELUH
Ketujuh, Umi Abah juga satu lagi yang saya kagumi, Umi Abah tidak mengeluh tiada duit di hadapan anak-anak mereka. Walaupun kadang-kala saya Nampak Abah Umi struggle masa saya kecil, tapi kami adik beradik tidak pernah berlapar. Umi ajar bila dapat rezeki jangan lupa cakap Alhamdulillah. Jadi, bila diri ini yang dewasa dikurniakan rezeki yang murah, saya ingatkan diri ini jangan sesekali bersikap kedekut dengan mereka.
Memang Umi Abah tak pernah minta wang ringgit, tapi tak salah membalas jasa mereka dengan menghulur wang ringgit ataupun hadiah kegemaran mereka. Jasa mereka memang tidak dapat terbalas, cuma saya niatkan di hati untuk membahagiakan mereka.
RAI MINAT DAN PILIHAN ANAK
Kelapan, Umi Abah juga sangat meraikan minat dan menyokong pilihan kami adik beradik. Sekiranya kami tersilap dalam membuat pilihan, itu sebenarnya adalah sebahagian daripada proses belajar dan pendewasaan. Namun, mereka sesekali tiadak menyekat malah menghormati pendirian kami selagi tidak melanggar fitrah agama.
Dalam masa yang sama, mereka juga turut beri pandangan dan menasihati kami dalam membuat keputusan. Dan ada keputusan yang dahulu saya argue, tapi bila saya ikuti rupanya ada hikmah di sebaliknya. Contohnya dulu saya tekad tidak mahu menceburi profesion perguruan, namun atas nasihat dari Umi, saya teruskan walaupun pada awalnya saya rasa terpaksa. Tapi, hikmahnya, saya jatuh hati dalam profesion ini dan sangat mencintai ilmu pendidikan.
TIDAK IKUTI KEMAHUAN ANAK
Kesembilan, Umi Abah juga tidak semudahnya menuruti kemahuan kami. Kalau masa kecil dulu serius saya tak faham, kenapa kawan – kawan saya senang saja dapat mainan baru. Tapi saya perlu usaha macam-macam baru boleh dapat. Rupa-rupanya Umi dan Abah ingin mendidik saya supaya berusaha sendiri untuk dapatkan sesuatu. Contohnya saya perlu mengumpul duit dulu untuk membeli sesuatu barangan. Bila saya belajar susah dan senang mengumpul duit dapatkan sesuatu, ternyata saya lebih menghargai barangan tersebut. Jadi saya dapat disini untuk anak-anak they need to feel the struggle. Saya pun dapat belajar untuk bersabar dan lebih faham.
Kebaikan Dituruti, Kelemahan Jadikan Teladan
Sekali lagi diulangi, apa yang Umi Abah saya lakukan memang dah tipikal dalam dunia parenting. Tapi bila saya refresh dan refleks rupanya sudah banyak ilmu parenting yang Umi Abah amalkan dalam membesarkan kami adik beradik. Umi Abah saya bukan sempurna, tapi sebagai seorang anak kebaikan mereka saya perlu turuti, dan kelemahan mereka untuk dijadikan teladan. Kerana hakikatnya mereka tetap insan biasa bukannya para Nabi.
Sukar untuk melafaz rindu ini kepada dua insan penyeri kehidupan ini. Walaupun boleh dikatakan hampir setiap hari hubungi mereka, tapi kadang-kala rasa macam 10 hari tak hubungi. Ya Allah, syukur kerana Engkau panjangkan usia mereka, limpahkan mereka dengan kesihatan sehingga diri ini dapat merasakan kasih dan sayang Umi dan Abah. Alhamdulillah.
Abah dan Umi,
Restuilah kami dengan doa kalian,
Iringilah kami dengan kasih sayang kalian,
Berkatilah kami dengan ayat-ayat azimatmu,
Agar kami takkan leka dengan dunia yang sementara,
Agar kami takkan terlupa tanggungjawab mendidik amanah Allah ini
#tipsparentinghanis
#tipsparenting
#hanisathirah
MW: Bagaimana kita tengok mak ayah kita buat dan lakukan, itulah yang kita ikutkan. Ingat, yang baik kita ikut dan kelemahan itu kita jadikan teladan.
Sumber: Hanis Athirah Rosli
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita