Rumah tangga sebenarnya mampu menjadi syurga buat wanita jika suami sempurna imannya, melayani isteri sebaik-baiknya seperti mana dia mengharapkan isteri juga begitu.
Bila masing-masing main peranan dalam rumah tangga dengan penuh tanggung jawab barulah bahagia. Ikuti perkongsian Anita Mat Daud ini dan fahami apa yang cuba disampaikan.
Rumah tangga bahagia dibina atas kesepakatan, disuburkan dengan kasih sayang demi meraih redha Allah.
Jadi Syurga Jika Suami Sempurna Iman
Rumah tangga adalah syurga buat wanita bergelar isteri. Namun rumah tangga boleh jadi neraka dunia bila suami angkuh, sombong, penuh sifat keakuan.
Isteri tak boleh ada perasaan kecil hati dan kecewa. Segala keputusan dalam rumah tangga, isteri tidak boleh bersuara.
Isteri diam lelah menahan perasaan, suami angkuh tak peduli dengan slogan syurga di bawah tapak kaki suami. Belum lagi kisah mertua dan ipar yang jadi sembilu dalam rumah tangga.
Rumah Tangga Mampu Jadi Syurga
Ramai suami yang mengharapkan layanan seperti raja. Sedangkan isteri dilayan seperti hamba.
Ads
Pantang tersilap sikit terus menerakakan isteri. Nak air isteri terlambat sikit terus tinggikan suara. Terus ingatkan isteri taraf suami yang wajib ditaati selepas Allah dan Rasul.
Allah mengiktiraf kesempurnaan iman lelaki apabila dia berakhlak baik, terutama kepada isterinya.
Sabda Nabi yang bermaksud: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya di antara mereka. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (Riwayat Ahmad)
“Sebaik-baik kalian, adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku.” (Riwayat Tirmizi) . . Buat wanita di luar sana yang diuji dengan rumah tangga yang menjeruk rasa.. Didoakan ada bahagia menanti.. Jika tidak di sini, di sana nanti.. . . Bukan bidadari syurga.
MW: Ternyata jodoh itu milik Allah, jika kita telah melakukan yang terbaik namun rumah tangga tetap diuji. Jadi berserahlah kepada Allah, mungkin Allah ingin gandakan pahala mak,ayah di setiap ujian yang menimpa.
Isteri kadangkala tidak begitu peduli soal pemberian nafkah oleh suami. Lebih-lebih lagi bila mereka sendiri bekerja. Tapi, bukankah itu hak isteri?
Topik yang saya pilih kali ini adalah persoalan biasa, dah pernah dibincang tapi tetap terus dipersoalkan. Sebelum saya berikan jawapan, saya nak ingatkan para pembaca tentang konsep nafkah zahir yang ditetapkan oleh syarak sebagai amanah dan tanggungjawab suami kepada isteri atau isteri-isterinya dan anak-anaknya.
Syarak menetapkan, tanggungjawab suami untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan yang munasabah dan tidak bercanggah dengan syarak.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
Kadar pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami tidak wajar membebankan dirinya melebihi dari kemampuannya yang sebenar. Maksud membebankan diri di sini ialah melakukan sesuatu yang melebihi kemampuan atau di luar upaya suami. Sebagai contoh berhutang dengan mana-mana pihak bagi merealisasikan kehendak isteri yang melampau.
Diceritakan, seorang sahabat bernama Hakim bin Muawiyyah bin Hidah al-Qusyairi r.a pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah s.a.w bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” – hadis riwayat Abu Daud.
Dalil yang saya kemukakan merupakan antara dalil-dalil kukuh berkaitan nafkah. Jelasnya, tiada ayat atau hadis yang menjelaskan seorang suami wajib memberikan wang poket kepada isteri.
Kewajipan yang perlu ditunaikan ialah memberikan makan minum yang cukup, pakaian yang menutup aurat, tempat tinggal yang selesa dan pelbagai keperluan asas lain yang sesuai dengan keadaan isteri dan anak-anak dan paling penting, tidak melanggar tuntutan syarak.
Jelasnya, jika suami telah menjalankan segala kewajipan memberi nafkah yang patut dan wajar seperti yang diterangkan sebelum ini, maka si suami tidak perlu memberikan wang poket kepada isterinya lagi. Ya lah! Segala telah tersedia, kenapa masih perlukan wang poket lagi? Oppss! Nanti dulu, itu hukum asal.
Sesuai dengan persekitaran dunia kini, menepati maksud hadis riwayat Imam Ahmad: “Kamu lebih tahu tentang dunia kamu.”, (Ingat ya! Kewajaran menggunakan hadis ini bukan bererti Islam tidak syumul atau sempurna tetapi sebagai satu tanggungjawab kepada Mukmin kini untuk terus mendaulatkan agama Islam) maka terdapat ketetapan yang memperuntukkan, dalam keadaan tertentu, suami yang tidak memberikan wang poket kepada isterinya boleh disabitkan sebagai telah melakukan keganasan terhadap isterinya.
Keganasan ini termasuk di bawah keganasan kewangan yang boleh berlaku dalam tiga keadaan:
1. Melibatkan seseorang wanita yang dihalang dari mencari pekerjaan atau tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri. 2. Menyebabkan wanita bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk mendapatkan wang walaupun untuk keperluan asas sendiri. 3. Tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk kes-kes kecemasan.
Berdasarkan ketetapan tersebut, mana-mana suri rumah sepenuh masa yang tidak melakukan apa-apa pekerjaan sampingan yang boleh memberikan sumber pendapatan; tidak berniaga kecil-kecilan, tidak menjalankan perniagaan MLM, tidak mengasuh anak-anak jiran atau secara mudahnya, wanita suri rumah ini tidak akan mempunyai wang jika tidak diberikan oleh suaminya; maka wanita sebegini merupakan mereka yang perlu menerima wang poket daripada suaminya.
Diriwayatkan, Hindun bin Utbah bin Rabiah pernah menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: “Wahai Rasulullah! Abu Sufyan adalah seorang suami yang kedekut. Bolehkah apabila aku mengambil sebahagian hartanya untuk keperluan keluarga kami? Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak mengapa apabila engkau mengambil sesuai keperluanmu dengan cara yang makruf.” – hadis riwayat al-Bukhari.
Ulama berpendapat, ‘dengan cara yang makruf’ bermaksud pengambilan harta tersebut tidak berlebih-lebihan dan tidak merosakkan harta si suami.
Mentua juga manusia biasa, yang kadang kala alpa hingga bersikap suka membanding-bandingkan menantu sendiri. Yang berharta disayang, yang kurang dipandang sebelah mata. Bahkan suka pula membandingkan menantu kesayangannya dengan menantu orang lain pula. Boleh macam tu?
Tak semestinya menantu kaya, anak anda bahagia. Boleh jadi anak itu suka memandang hina pada isterinya. Tak semestinya menantu bijak pandai, anak anda bahagia. Boleh jadi dia suka memperbodoh-bodohkan isterinya. Tak semestinya menantu berdarjat, anak anda bahagia. Boleh jadi dia melihat isterinya sebelah mata saja. Tak semestinya menantu ada gelar sarjana agama, anak anda bahagia. Boleh jadi ilmunya cuma di akal sedangkan akhlaknya entah ke mana.
Oleh itu kepada mentua yang suka ‘tayang’ menantu siap bagi tahu apa pangkat, di mana kerja, berapa gaji, berapa buah banglo dan kereta mewahnya, cubalah beringat. Tiada siapa dapat menilai kejayaan manusia itu melainkan Penciptanya. Malangnya apabila para mentua tengah berkumpul sakan bersembang tiada isu lain yang jadi kegemaran melainkan tayang kemewahan anak menantu.
Dalam keseronokan menjadi ahli kelab pencen, banyak perkara yang seharusnya dijadikan panduan dalam berkawan. Jangan sesekali lukai perasaan orang lain dengan cuba membanding-bandingkan anak menantu kita dengan anak menantu mereka. Jika berkawan sudah seperti saudara kandung memanglah seronok sebab hati kita sentiasa suka apa yang kawan kita suka tetapi jangan sesekali lupa Nabi Yusuf juga didengki saudara kandungnya apatah lagi kita.
Anak-anak Nabi saja mendengki adik tirinya bagaimana pula kita yang bukan anak Nabi mestilah lebih jahil dari mereka. Hati manusia susah hendak diduga, seeloknya hindarkan rasa megah diri untuk mengelakkan daripada penyakit hati.
Tiada siapa mampu menilai anak sendiri inikan lagi menantu, hanya kepada Allah kita serahkan urusan mereka. Peliknya jika jumpa menantu dua kali setahun tapi duduk sebumbung. Boleh jadi dalam ketawa anak kita sebenarnya dia sedang menutup aib suaminya. Dalam tangisannya pula boleh jadi dia sedang belajar tentang kehidupan sebenar di bawah penjagaan seorang lelaki yang sebenar.
Sebagai ibu bapa tiada hak untuk mencampuri urusan rumah tangga mereka melainkan mereka meminta kita menjadi pendamai bukan penghasut. Apa yang tersembunyi tak perlu dikorek dan apa yang mereka kongsi seharusnya diraikan. M
aka itu tak perlu tayang pada dunia apa yang kita tak nampak. Berpada-padalah dalam urusan membanggakan zuriat. Jangan melampau pujian diberi kerana ia boleh merosakkan hati.
Kalau begitu, berdosakah jika kita suka ‘tayang’ menantu? Tidak, bahkan dianjurkan jika itu merupakan suatu cara mengukuhkan hubungan persaudaraan, tak kenal maka tak cinta. Memperkenalkan menantu kepada kawan-kawan adalah ibadah kerana ia menepati sunnah Rasul s.a.w yang menggesa kita bersilaturahim. Rasulullah s.a.w bersabda: “Al-Rahim itu bergantung di Arsy. Dia berkata: Sesiapa yang menyambungku maka Allah akan menyambungnya dan sesiapa yang memutuskanku maka Allah memutuskannya.” (Hadis Muttafaq ‘alaih)
Panduan memilih menantu telah diajarkan melalui wahyu, Allah tunjuk kepada kita bagaimana ciri-ciri menantu semulia Nabi Musa AS. “Wahai bapaku ambillah dia sebagai pekerja kerana sesungguhnya orang yang paling baik adalah yang kuat lagi amanah.”
Ciri-ciri kepemimpinan seorang lelaki jelas terserlah dengan rasa belas kasihannya kepada wanita membuat dia kelihatan lebih gagah. Malangnya lelaki zaman sekarang ramai yang minta dilayan lebih dan dijaga melebihi raja-raja.
Makan pun isteri yang carikan, kerja-kerja berat semua serah kepada isteri bagaimana pula kita suka memuji menantu-menantu sebegini dengan pujian mencecah awan? Entah-entah solat pun tak buat, agama tak pakai, sibuk saja dengan urusan dunia. Bukankah yang terseksa anak kita juga?
Menantu kebanggaan yang semestinya disyukuri oleh para mertua seharusnya mementingkan kekuatan akal, fizikal dan spiritual sebagai penjaga anak kita. Nafkah zahir dan batinnya hanya boleh dipenuhi dengan tiga kekuatan tersebut.
Kemudian amat menjaga kesucian pergaulan, keikhlasan hati dari syahwat sehingga begitu ketat menundukkan pandangannya. Zaman ini masihkah ada lagi orang yang mencari menantu sebaik Musa atau agama tidak lagi menjadi syarat penting? Oleh itu tak payahlah tayang menantu jika tak cukup syarat lelaki segagah Musa.
Sumber: Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam
Lelaki kebanyakannya menganggap wang dan rupa dapat menawan hati wanita. Ye ke? Sejauh mana betulnya tu?
Saya diminta untuk berikan komen mengenai isu wanita kini yang rela hidup sendiri sama ada kekal bujang atau menjanda atau menjadi ibu tunggal, hanya kerana si lelaki bukan seorang yang kaya dan berharta. Benarkah?
Realitinya, biarpun wanita sinonim dengan hati yang rapuh, mudah dipujuk rayu dan terlalu cepat melatah emosi; terdapat lima tip utama untuk memenangi hati wanita yang mampu berikan kasih sayang yang ikhlas dan jujur kepada seorang lelaki.
Paling utama; anda perlu menjadi seorang lelaki sejati. Tak perlu tampil gagah perkasa tetapi sejati idaman wanita ialah anda berperwatakan menarik, sedap mata memandang, senang bergaul dan pandai mengambil hati.
Bukan dengan selalu memuji dan bukan juga tak boleh mengeji tetapi berpada-pada. Asasnya; katakan dan luahkan yang benar, bukan menyembunyikan fakta hingga akhir nanti yang dusta mewujudkan duka.
Sejati idaman wanita juga bermaksud anda mampu menjadi ketua; bukan mengarah itu ini sebaliknya ketua yang mampu melindungi. Fitrah wanita ingin dijaga kebajikan dirinya dan bukan dia yang perlu menjaga.
Wanita juga ingin didominasi oleh lelaki; bukan wanita yang perlu tentukan segala keputusan sehari-hari tetapi didominasi lelaki bukan sampai hak wanita untuk bersuara dikesampingkan. Lantaran, lelaki sejati idaman wanita ialah mampu bertoleransi, bersikap terbuka dan boleh menerima pendapat dan saranan daripada wanita juga.
Bukan saja lelaki, wanita juga tidak suka ditipu dan didusta. Ramai lelaki bersikap menipu tanpa niat atau ayat lebih hormat; bohong sunat. Elakkan bohong sunat ini tetapi secara berhikmah, ucapkanlah kebenaran. Biar kenyataan itu terlalu pahit; nyatakanlah ia kerana wanita boleh memaafkan kesilapan dan keterlanjuran tetapi takkan mudah menerima dan memaafkan sebuah penipuan dan pendustaan. Lantas, duhai lelaki, sentiasalah amalkan sikap jujur dan berterus terang.
Dalam hubungan perkahwinan; ramai suami yang tidak ambil berat isu berkata benar ini. Ramai yang memegang prinsip; daripada katakan yang benar boleh lukakan hati, biarlah berbohong sedikit. Masalah akan jadi lebih besar bila isteri mengetahui tentang pembohongan tersebut. Isteri sukar terima penipuan untuk menjaga hati sebab isteri percaya; jika suami benar ikhlas dan sayang; suami perlu berterus terang.
Sama juga dalam isu khianat kasih; bila si suami mempunyai orang ketiga. Isteri yang mengetahui secara tulus daripada si suami akan lebih bersedia memujuk hati dan menerima hasrat suami berbanding suami yang menduakan dirinya dalam diam.
Wanita akan mengenepikan rupa, pangkat atau harta sekiranya bertemu lelaki yang mengambil berat dan prihatin terhadap dirinya. Keprihatinan seorang lelaki akan membuatkan wanita rasa dihargai. Ambil berat tentang kesihatannya, emosinya, ujian kehidupannya, perkara kegemarannya malah cerita-cerita kelakarnya. Dia tak perlukan nasihat bagai kaunselor tetapi memadailah anda meluangkan sedikit masa untuk mendengar luahan hatinya.
Wanita ideal tidak dambakan hadiah berharga tetapi memadailah apabila hari-hari penting dalam hidupnya diingati. Ingatan anda cukup membuktikan anda mengambil berat dan prihatin.
Wanita ingin sentiasa didampingi; bukan berdampingan dari aspek fizikal semata-mata tetapi dampingi wanita secara emosi. Sentiasalah bertanya khabar dan jangan biarkan dirinya tertunggu-tunggu jawapan khabar daripada anda. Penantian tanpa sebarang maklumbalas daripada lelaki boleh membuatkan wanita beranggapan dirinya tidak diperlukan lagi.
Komunikasi unggul yang perlu dipraktikkan sebagai jaminan hati wanita ditakluki ialah wujudkan komunikasi tanpa batas iaitu sering berhubung walau sekadar satu mesej ringkas menanyakan khabar; juga sentiasa berterus terang – jika keadaan tidak izinkan untuk berbicara panjang, cukup sekadar maklumkan anda akan hubunginya sedikit masa lagi kerana tika itu, anda perlu lakukan sesuatu yang lebih penting.
Wanita suka dimanja tetapi bukan terlalu dimanjakan. Wanita suka diberikan kepercayaan dan kebebasan tetapi berpada-pada. Kepercayaan dan kebebasan tanpa batas boleh buatkan wanita merasakan dirinya tidak diperlukan.
Wanita sanggup melakukan apa saja atas nama cinta. Paling penting, terima dia seadanya. Jika ada kekurangan dirinya yang boleh diubah, lafazkan dengan penuh hikmah; bukan mencerca tetapi sebagai mendidik ke arah yang lebih baik.
Wanita sanggup berusaha sedaya upaya jika anda boleh menerima dirinya seadanya dan lakukan sedikit perubahan demi kebaikan bersama. Wanita tidak suka dibandingkan dengan wanita lain. Lantas, dalam usaha mendidik, jangan bandingkan dia dengan orang lain walau dengan ibu atau saudaranya sendiri.
Jika anda sanggup menerima wanita pilihan anda seadanya, anda akan jadi manusia paling bahagia dalam menjalani kehidupan ini, insya-Allah.
Artikel: Suzana Ghazali, Perunding Kaunseling Keluarga Dan Syariah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pesan arwah Along Eyzendy, kena kuat demi anak-anak. Cerita isterinya, Hamidah Mohd Yatim memaklumkan arwah selalu berpesan agar sentiasa menjadi kuat untuk kehidupan akan datang.