Macam-macam versi buat sambal hitam ini. Tapi kalau nak tahu yang versi betul betul original, sebenarnya cuma guna 4 bahan ini saja; belimbing buluh, bawang merah, ikan bilis dan cili api.
Inilah yang dinyatakan Puan Siti Fatimah dalam masa yang sama berkongsi resepi dan cara-cara membuat sambal hitam original.
Katanya, “Kalau kau sejenis nak tunggu lampu isyarat bertukar hijau yang 80 saat tu pun tak reti menyabar dok berangin je berbalas balas hon, kau tak digalakkan lah untuk mencuba resepi ini.”
“Ini kalau aku nak buat jual, mahu lapan belas enam puluh ribu ratus ringgit sebekas ni.
“Sesaat kesabaran aku menunggu rebus belimbing tu je dah bersamaan dengan doblas ratus ringgit. Sebab tu lah sambal hitam ni orang jual mahal. Dia boleh tahan berbulan bulan tanpa perlu masuk esbok pun.”
Belimbing buluh tengah berlagak berbuah sekarang ni. Jangan biarkan mereka gugur sia sia di tanah. Pergi lah petik buatkan sambal.
Tapi untuk yang original sambal hitam lah. Original pembikinan sambal hitam, dia menggunakan empat bahan sahaja; Belimbing buluh, bawang merah, ikan bilis dan cili api.
Walaupun empat bahan sahaja, proses pembikinan dia mengambil masa yang sangat lama. Kau bercinta, gaduh, clash couple balik pun belum tentu sambal ni siap lagi. Mana kan tidak. Nak merebus belimbing buluh hingga betul betul hitam sahaja pun mengambil masa paling paling 4 jam.
Sesudah itu, perlu menumis perlahan pula kesemua bahan hingga betul betul kering. Itu pun dalam 4 jam masa diambil.
Alang alang nak buat stok simpan. Buatlah lebih. Alang alang nak pakai masa, tenaga dan gas yang banyak, buatlah sekali untuk ahli keluarga lain, saudara mara dan jiran tetangga yang ada. Bulan puasa pun dah nak dekat. Buat stok sahur pun terbaik ni.
Cara Buat Sambal Hitam Original
Rebus belimbing buluh sebelanga. Belimbing buluh ni ada lah dalam 2 ke 3 kg kot. Ni aku petik kat pokok sebesen.
Bersihkan buang tangkai, taburkan setengah cawan garam. Tak perlu letak air. Buka api, nanti perlahan lahan air belimbing tu keluar.
Kalau boleh jangan guna kuali atau periuk. Belimbing ni tajam. Dia menghakis besi. Kalau tak bocor pun, nanti kuali kau jadi hitam.
Kita nak buat sambal hitam. Bukan kuali yang kena hitam. Tak pasal suami anda cari sudut rumah termenung mengenangkan nasib kena belikan kau set kuali baru. Kuali betul.
Ads
Rebus guna belanga atau periuk kaca. Kalau tak ada, rebus dalam tin biskut. Dah siap rebus buang terus tin tu.
Ahh, kalau semua tak ada, kau tak payah buat lah! Banyak betul cerita.
Hah! Gini lah rupa dia bila belimbing dah mula mengeluarkan air. Teruskan merebus api sederhana. Jangan besar sangat apinya. Bergantung dapur gas anda lah. Agak agak sendiri untuk 4 jam punya rebus nak kering.
Sampai lah dia berubah warna dan kering.
Ads
Setelah 4 jam ini lah hasilnya. Dia jadi hitam dan mengecut macam buah prune. Dari sebelanga belimbing buluh tadi, dapatlah semangkuk besar belimbing hitam.
Ini Bahan Bahan Untuk Menumis
Bawang merah dimayang.
Ikan bilis tumbuk kasar.
Cili api blend.
Belimbing hitam dilenyek.
Agak agak je semua semangkuk semangkuk. Jumlah bawang dan ikan bilis biar lebih dari belimbing hitam dan cili. Kalau tak suka masam sangat, kurangkanlah belimbing.
Cili api biar sama banyak dengan belimbing hitam. Sambal ni kalau tak pedas, kau tak payah panggil dia sambal. Kau panggil dia milo ais.
Ads
Tumis dulu ikan bilis bagi garing sikit, lepas tu masukkan bawang dan cili api. Dah layu, masukkan pula belimbing hitam yang dah dilenyek tadi.
Minyak banyak tak apa. Aku tambah minyak dari semasa ke semasa.
Masa ni kau dah boleh mula perlahan kan api. Dan tunggu lah lagi dalam 3 ke 4 jam sampai betul betul kering.
Kacau. Jangan lupa pula mengacau sibuk leka tengok drama maghrib.
Tadaaaa! Ni lah rupa dia bila dah siap. Masa dah kering ni, senang nak turunkan minyak. Tinggal cedok je keluarkan minyak minyak kalau terlalu banyak.
Bila dah siap gini, tak perlu lagi nak tambah garam dan apa apa jenis MSG. Macam gini je dah sedap yang tidak tidak.
Ginilah cara buat dia. Senang bukan?
Semakin ramai yang suka tampal cermin tanpa bingkai di rumah, bukan suka-suka tapi sebab kesannya akan nampakkan ruang tamu lebih luas dan cantik.
Tetapi nak pasang cermin tanpa bingkai ini tak mudah kalau tak tahu caranya. Jadi kalau ada sesiapa yang dah lama mengidam nak hias rumah dengan cermin tanpa bingkai ini, boleh baca perkongsian saudara Muhamad Zafri Dan Isteri…
Sekadar perkongsian. Lots from ikea. Tampal guna gam silikon. Alhamdulillah selamat dan meyakinkan bagi rumah yang ada banyak kucing.
Sebelum ni guna tape biasa, tapi ada ruang celah cermin untuk kucing-kucing panjat sampai ke atas, akhirnya selamat ke lantai. Abaikan cermin yang berkabus kabut. Belum sempat bersihkan kesan gam silikon.
Ada rezeki kita sambung sampai atas. Modal pistol dan gam tak sampai rm20.
Hah, ada mak-mak yang nak pasang cermin ni dekat meja makan? Sila cari gam tu dulu, ya! In shaa Allah hasilnya tak berderai jatuh ke bawah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sejak 7 hari lalu, puteri sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza, 39 cuma memiliki nama timang-timangan. Malam tadi, bersempena majlis maulid nabi, aqiqah dan tahnik puterinya itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami mengumumkan kepada hadirin pilihan nama anak sulung mereka adalah Siti Aafiyah Binti Khalid Mohd Jiwa.
Sebelum ini Ibu dan ayahnya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, 59 memanggil Siti Aafiyah dengan nama gelaran Fatimah Az-Zahra bersempena nama puteri rasulullah SAW. Malah panggilan manja, Comel Pipi Merah turut digelar ibunya yang juga penyanyi tersohor negara.
“Selepas saya hamil, kami mula mencari nama yang paling sesuai. Ilham nama ini diperoleh ketika di Tanah Suci Makkah. Di sana, doa pendek inilah yang sering suami saya nampak.
Doa yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah, Allahumma inni asaluka al’afiyah (Ya Allah, aku meminta kepada kamu ‘afiyah).
Afiyah ini membawa maksud untuk menyelamatkan daripada sebarang kesusahan yang menimpa, untuk menjadi sihat, kita berada dalam afiyah, untuk mempunyai wang , kita berada dalam afiyah, untuk hidup, kita berada dalam afiyah, untuk mempunyai anak-anak kita dilindungi, kita berada dalam afiyah. Dan jika kita sudah diampuni dan tidak dihukum, kita berada dalam ‘afiyah.
“Kemudian, suami saya tanya sama ada setuju atau tidak memberikan nama Aafiyah. Nama itu membawa segala-gala maksud yang baik-baik.
“Dalam masa yang sama saya memikirkan nama yang dicadangkan suami. Tak sangka, setiap hari dekat handphone doa-doa yang diupdate pada saya adalah doa yang memang menyebut tentang aafiyah.”
Daripada situlah tercetusnya, beliau dan suami memilih Siti Aafiyah Binti Khalid Mohd Jiwa sebagai nama yang diberikan kepada permata sulung mereka.
Akui Siti lagi sepanjang 7 hari ini, dia memanggil anaknya dengan nama Fatimah Az-Zahrah. Memandangkan nama Siti Aafiyah pun sudah melekat di hati, ada ketikanya dia memanggil puterinya itu dengan panggilan Aafiyah,
“Bila panggil Fatimah Az-zahrah pun dia senyum, panggil Siti Aafiyah pun dia senyum. Ternyata dia bayi yang suka senyum.” Ulas beliau lagi, beliau akan memanggil anaknya dengan nama penuh memandangkan nama itu adalah doa.
“Biar dia dapat maksud doanya dan saya yang memanggil pun dapat juga.” Datuk Seri Siti Nurhaliza juga lebih selesa jika membahasakan dirinya sebagai ibu. Agar lebih mesra dan lembut.
Dalam pada itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza sempat merakam perasaan indah sebaik bergelar ibu.
“Alhamdulillah, Allah perkenankan doa selama 11 tahun. Setiap detik, setiap waktu tak pernah saya lupa memohon pada Allah agar diberi pengalaman untuk menjadi seorang ibu, merasai pengorbanan seorang ibu.
“Syukur pada ibu yang melahirkan saya, ibu mentua yang telah melahirkan suami saya. Ini adalah anugerah yang sangat terindah dalam hidup saya.
“Pengalaman jadi ibu hamil dan melahirkan pengalaman yang sangat nikmat. Walaupun sewaktu melahirkan ada komplikasi, Allah mudahkan segalanya.”
Majlis tahnik dan aqiqah puteri sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid ini disempurnakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Dzulkifli al-Bakri yang bertempat di kediaman pasangan suami isteri ini.
“Terima kasih yang tak terhingga kepada para ulama yang dihormati dan sanjung, Dato Mufti Wilayah Persekutuan, guru-guru agama kami yang sentiasa menasihati dan membimbing keluarga kami. Begitu juga dengan sahabat, saudara mara tercinta sepanjang saya hamil sehingga saya melahirkan.
“Doakan yang terbaik untuk saya menjadi ibu, isteri, anak malah menantu yang baik untuk anak, suami dan seluruh keluarga.” Akhiri Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam ucapannya malam tadi.
Betapa kerja-kerja seharian seorang wanita itu tak pernah habis dengan lelah dan penat. Ada saja yang mengikatnya untuk ke sana ke mari. Berkejar itu dan ini. Biar penat bagaimanapun, pesan ibu yang terlibat dalam kemalangan ini, “Jangan memandu masa mengantuk.”
Kerana kejadian kemalangan yang dialami oleh Puan Norhafizah Madzlan ini panjang kisahnya. Diceritakan satu persatu agar menjadi panduan buat mak-mak yang memandu di luar sana.
Pesan Mingguan Wanita, kalau penat sangat mak-mak. Berehatlah, dapat tidur setengah jam pun tak apa. Bila dah segar, buatlah apa pun. Insya-Allah niat baik mak-mak akan Allah tolong.
Dan seperti apa yang dikongsikan ibu ini, katanya “Semoga jadi pengajaran pada yang lain. Saya bawa anak kecil saya bersama masa itu. Kalau jadi apa-apa saya akan menyesal seumur hidup.
Tidak pernah-pernah saya mengalami kejadian yang besar-besar begini bertalu-talu dalam kehidupan saya. Hanya Allah Maha Tahu betapa banyak yang saya belajar ketika melalui semua kejadian ini.
Ketika itu saya sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu mahu pulang ke rumah di Kuala Besut. Namun, dalam perjalanan pulang itu, saya terasa mahu singgah ke kandang lembu menghantar air dan makanan buat suami.
Alkisah, saya buat hal beberapa hari sebelum tu. Saya pergi ke kandang bertujuan mahu menjernihkan keadaan. Tak nafi, macam-macam benda ada dalam otak saya.
Dalam 5 – 6 km lagi mahu sampai ke kandang, saya terlepas stereng yang memang memberat ke kiri. Terlepas tu sebab apa saya tak ingat, tapi bukan sebab mengantuk.
Sudahnya tayar kereta sebelah kiri depan termasuk dalam lubang dan tak lama lepas tu saya dah mula rasa tayar tu habis anginnya.
Berada di tempat asing, saya rasa runsing nak mohon bantuan sesiapa.
Saya cuba call suami, tiada jawapan. Begitulah selalunya jika dia dikandang. Memang tak pegang telefon. Bukan macam orang kerja pejabat.
Sebab itu, selalu saya pesan kepada suami, supaya dia selalu tengok telefon mana tahu ada kecemasan.
Bila telefon tidak berangkat, saya buat keputusan untuk bawa saja kereta tu ke kandang. Sampai di sana, saya yang sepatutnya sembang benda baik-baik saja dengan suami jadi terpaksa maklumkan dia yang tayar kereta saya pecah.
Cut it short, selepas makan, dia keluarkan tayar dan ketuk rim yang nampak bengkok dan gantikan tayar dengan tayar spare dan berpesan nanti berhenti isi angin.
Saya pun pulang.
Dalam perjalanan pulang, saya terlepas stesen minyak pertama. Ralit. Ya, ralit lagi. Bila saya sedar yang saya lupa singgah isi angin, saya rasa jauh sangat dah saya dari stesen minyak tu.
Maghrib pun dah dekat. Jadi saya fikir, ada baiknya saya berhenti solat dulu dan kemudian pergi isi angin selepas tu saja.
Pertimbangan saya itu silap. Dalam 3 – 4 km menuju ke masjid, sekali lagi saya rasa angin tayar tak ada.
Memandangkan hari dah hampir gelap, saya gagahkan jua bawa sehingga ke masjid. Saya fikir di situ lebih mudah dapatkan bantuan.
Lalu beliau pun solat di masjid. Selesai solat, jemaah juga sudah habis berdoa. Norhafizah keluar dari masjid dengan harapan dapat bertemu dengan jemaah tempatan.
Norhafizah tebalkan muka bertanyakan bantuan. Seorang pemuda dan dua orang tua bersedia membantunya ketika itu. Pemuda itulah yang buka tayar dan rim kereta kemudian bawa ke kedai tayar yang sebenarnya dah tutup pun untuk tukar tayar baru.
Waktu tu, peluh tak kira. Bimbangnya kalau mahal sedangkan duit dalam dompet ada puluhan duit seringgit dan satu dua keping duit merah dan duit hijau.
Tuan kedai pada asalnya enggan menolong kerana ada janji dengan orang lain. Melihat itu, saya keluar dari kereta dan buat rayuan minta pertolongan. Alhamdulillah, dia mahu membantu akhirnya.
Rim memang berlekuk lagi. Pun diketuk Tuan kedai itu. Lega, rim tu masih boleh dipakai lagi. Tayar berganti dengan tayar terpakai agaknya. Harga RM 35. Itupun saya tak cukup duit nak bayar. Duit RM 1 saya tak bawa pula bersama ke kedai tayar. Pemuda itulah yang tambah dulu yang tak cukup.
Sampai semula ke masjid, saya disoal banyak soalan. Jawapan saya tu ibarat puzzle yang sedang dicantum oleh seorang pakcik yang tak ikut bersama tadi. Sudahnya dia cam saya isteri siapa.
Baki duit yang saya mahu ganti kepada pemuda tu pun diganti oleh pakcik tu saja. Bab tayar spare, nanti sajalah.
Keesokan malamnya, saya bakal naik bas ke Parit Buntar. Petang sebelum tu, saya decided untuk hadir halaqah sebab mahu bincang buat kem untuk anak-anak cuti sekolah nanti.
Habis halaqah, terkejut tengok minyak meleleh begitu sekali. Minta akhi yang ada di situ periksa, memang minyak hitam dah tak ada.
Disebabkan tak mahu lambat balik rumah sebab Maghrib pun dah tak lama, maka saya terima pelawaan Tuan rumah untuk hantar saya pulang. Yang menghantar adalah anaknya.
Sekali lagi, saya buat hal. Sampai di rumah baru saya ingat, kunci rumah ada pada kunci kereta yang saya tinggalkan tadi. Jenuh mengopek pintu rumah pula kami hari tu.
Tangki itu, alhamdulillah seorang sahibah yang bantu perbaiki. Pun belum saya bayar lagi.
Kejadian berlaku ketika dalam perjalanan bawa anak lelaki dan seorang anak jiran balik dari kem. Saya memang dah mengantuk sangat. Malam sebelum tu tidur jam 2 pagi uruskan yogurt.
Kebiasaannya, saya akan buka drama dan dengar. Iyalah, mestilah jeling sekali-sekala. Tapi, hari tu saya tak buka sebab anak-anak ada bersama. Saya tengok drama ni, selalunya belakang mereka.
Alkisah, ini terjadi.
Korang jangan drive dalam keadaan mengantuk. Banyak benda boleh jadi dalam sekelip mata sebab mengantuk time drive. Saya baru lepas accident. Alhamdulillah kereta je kemek. Ahmadan bengkak dan luka sikit di mata, Uwaiys dan saya pecah sikit bibir.
Kisahnya bucu depan kiri saya berlanggar dengan bucu belakang kanan kereta orang lain. Kemudian saya termasuk jalan sebelah. Nyaris berlanggar juga dari kereta arah bertentangan tapi alhamdulillah waktu tu memang saya dah wide awake. Jadi saya segera mengelak dan kereta itu juga sempat masuk ke tepi jalan Kalau tak, tak tau lah apa jadi.
Yang saya langgar adalah Ibu tunggal berasal dari Terengganu malah tiada siapa yang boleh diharapkan di sini melainkan seorang jirannya di Kota Bharu.
Disebabkan kemalangan ni, dia mungkin susah nak bergerak sebab keretanya perlu diperbaiki.
Saya bawa adik tu ke rumah saya. Alhamdulillah kereta kami dua-dua boleh bergerak lagi. Lega.
Di rumah, dia bercerita tentang kesusahan hidupnya dalam rumahtangga. Anak sulungnya ADHD. Bekas suami kerap mengganggu. Hidup dia jauh lebih stress dari saya.
Beberapa kali saya peluk dia dan anaknya. Saya pujuk dia jangan menangis. Allahu… Tak tau nak cakap macam mana bila dua jam bersama dengannya. Memang tak kurang sepuluh kali dia menangis.
Alhamdulillah jirannya datang membantu. Saya tak dapat bekalkan duit lagi padanya semalam. Saya perlu cari duit dulu. Kami setuju hal ini kami selesaikan tanpa report polis.
Sehingga hari ini saya masih berhubungan dengannya. Khabarnya dia dah naik bas ke Kuala Terengganu setelah terkandas dalam perjalanan semalam.
Urusan duit? Syukurlah saya dikelilingi insan yang baik hati. Sahibah yang ber kem sekali minta no akaun dan saya seperti selalu tak beri sebab saya selalu rasa, orang seperti saya tak perlu diberi bantuan.
Rupanya, semalam mereka sempat buat kutipan. Duit itu saya terus bank in kepada Tuan kereta yang saya langgar. Bab kereta saya tu saya fikir biarlah dulu.
Rupanya hari ni mereka buat kutipan sekali lagi. Ya Allah. Saya sangat hargai sumbangan dari sahabat sahibah.. Allah jualah yang membalas dengan sebaik-baik kebajikan buat semua yang membuat sumbangan dan mendoakan.
Ya, kereta ni dibeli dengan harga RM 3000. Baru bayar first RM 300. Semua orang terkejut mendengar harga yang begitu murah.
Saya beli dengan niat mudah untuk saya buat urusan yang mudah-mudah seperti ke pasar, kedai dan yang pentingnya hadir usrah, halaqah dan kelas tafsir.
Bila dibantu begini, saya harap, saya akan istiqamah pada jalan dakwah ni. Jangan saya jadi orang yang beralasan bila diajak berprogram nanti. Inilah saja pun yang saya puas hati bila berada di jalan ini. Serabut-serabut cari duit, hilang bila bersama mencari ilmu dan berdiskusi dengan mereka.
Alhamdulillah, semuanya in syaa Allah akan selesai dengan baik.
Jika ada yang membaca sehingga habis, saya doakan semoga kalian juga dapat teman yang baik-baik. Mereka adalah anugerah Allah kepada kita di dunia ni.