Kemelut gangguan ‘orang ketiga’ dalam rumahtangga Puteri Sarah Liyana,37 diteruskan dengan tindakan undang-undang apabila pelakon ini nekad memfailkan tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap wanita dikenali sebagai Ira Kazar yang didakwa kekasih suaminya, Syamsul Yusof.
4 Tahun Menanggung Derita
Puteri Sarah berkata, selepas hampir empat tahun menangis, menahan sabar dan menanggung derita, akhirnya dia nekad mengambil tindakan undang-undang.
“Selepas pulang daripada menunaikan umrah, Mei lalu, saya nampak jelas dengan apa yang saya hendak buat dan sekarang saya fokus.
“Jadi, sebelum pergi umrah, saya sudah beri semua maklumat kepada peguam. Sepanjang sebulan di luar negara, mereka sudah siap dan kaji semuanya.
“Selepas saya pulang, kami terus berbincang dan mengambil tindakan saman,” katanya ketika ditemui di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini, hari ini.
Mempertahankan Maruah Diri
Memperincikan tindakannya itu, Puteri Sarah berkata, dia mengambil langkah berkenaan demi mempertahankan maruah diri yang tercalar dan sekian lama didiamkan.
“Isu ini tidak akan berlarutan kalau saya tidak diganggu pihak ketiga yang terus mencabar.
“Sebelum ini, saya ada kongsi di Instagram (IG) bahawa dia mencabar saya dengan menyatakan bila saya hendak saman dan meminta peguam saya membuat tindakan segera.
“Jadi, sekarang, kami sudah failkan dua saman,” katanya.
Demi Selamatkan Rumahtangga
Selain menuntut keadilan, Puteri Sarah mahu menyelamatkan rumah tangganya dan memperjuangkan hak sebagai wanita teraniaya.
“Sebelum buat keputusan ini, saya berfikir panjang mengenai apa yang akan berlaku kepada saya, perkahwinan dan keluarga saya.
“Saya buat semua ini untuk diri sendiri dan keluarga saya. Sampai bila saya hendak kena pijak macam ini?
“Malah, ramai wanita teraniaya yang menghantar mesej peribadi bertanya nasihat. Sekarang, saya sudah bukakan jalan kepada mereka.
Ads
“Insya-Allah selepas ini, siapa yang mahu ‘menyondol’, mungkin lebih berhati-hati.
“Saya buat semua ini bagi memperjuangkan perkahwinan dan hak saya. Sudah ambil orang punya, duduk diam-diam.
“Jangan ambil orang punya, kemudian nak canang sana-sini dan kacau keluarga serta orang sekeliling,” katanya.
Perintah Injuksi Interim
Sementara itu, peguam yang mewakili Puteri Sarah, Ummi Kartini Abd Latiff berkata, defendan iaitu Ira sudah menerima perintah injuksi interim, Selasa lalu.
“Kami failkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung gangguan. Kami sudah mendapatkan perintah injuksi pada 24 Jun yang lalu.
“Perintah ini dimohon agar agar defendan (Ira) berhenti meluah atau menyebarkan apa-apa bentuk gangguan di sosial media atau di mana-mana platform sama ada dirinya atau yang berkaitan dengan dirinya.
“Sebab kadang-kadang ada pihak yang menggunakan akaun palsu. Jadi, ini adalah penting untuk memastikan tiada lagi gangguan dalam keadaan semasa terhadap anak guam kami.
Ads
“Perintah dan permohonan ini sudah diserahkan kepada pihak defendan, Selasa lalu. Beliau sudah menerima dokumen itu dan kami akan bertemu di mahkamah pada 4 Julai depan,” katanya.
Dalam masa sama, Ummi Kartini berkata, tindakan di Mahkamah Syariah pula masih dalam proses.
“Untuk tindakan di Mahkamah Syariah, kami perlu bermula dengan aduan. Kami sudah failkan aduan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 24 Jun lalu.
“Hari ini kami berada di JAIS atas sebab perkara berkaitan syariah ini di bawah undang-undang negeri.
“Berikutan alamat tempat tinggal anak guam kami dan defendan di Selangor dan ada kejadian berlaku di Kuala Lumpur, kami dinasihat membuat aduan di kedua-dua negeri,” katanya.
Kehadiran Orang Ketiga
Sebelum ini, rumah tangga Syamsul dan Sarah didakwa dilanda masalah disebabkan kehadiran orang ketiga.
Ads
Puteri Sarah juga mengakui sudah tidak tinggal sebumbung dengan Syamsul, malah, mendakwa suaminya tahu kenapa dirinya bersikap ‘dingin’.
Syamsul yang ketika ini ‘meledak’ dengan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, juga dilaporkan mengaku tidak tinggal sebumbung, tetapi tidak bermaksud mahu berpisah.
Puteri Sarah, 37, berkahwin dengan Syamsul pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam serta Sumayyah.
Mingguan Wanita: Bukan mudah untuk mempertahankan rumahtangga apatah lagi diganggu oleh orang ketiga. Semoga pengakhiran yang baik dalam rumahtangga Puteri Sarah ini.
Bunyi dentuman kuat yang disangka kilang terbakar rupanya pesawat ringan yang terhempas dan terbakar di laluan masuk kawasan kediaman Elmina, di Seksyen U16, di sini sebentar tadi.
Menurut saksi yang berada ditempat kejadian menyedari keadaan pesawat yang senget disusuli bunyi dentuman kuat.
“Saya yang ketika dalam perjalanan ke Paya Jaras menyedari sebuah pesawat dalam keadaan senget namun tidak lama kemudian terdengar bunyi dentuman kuat,” kata saksi kejadian pesawat ringan terhempas berhampiran kediaman Elmina di Seksyen U16, di sini, tadi.
Ingat Kilang Terbakar
Bekas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mohd Syahmie Md Hashim, 31, berkata, ketika itu dia sedang memandu kereta untuk menghantar barang dan pada mulanya menyangka kilang terbakar selepas terdengar bunyi dentuman.
“Saya kemudian terus ke lokasi dan lihat pesawat itu sudah berkecai.
“Malah saya juga melihat seseorang dalam keadaan terbakar rentung. Saya tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.
Menurutnya, dia ada bertanya dengan orang yang lebih dekat dengan kawasan itu yang memberitahu pesawat itu terjunam dan merempuh penunggang motosikal yang kebetulan lalu di kawasan tersebut.
Terdahulu, video dan gambar pesawat yang terbakar sudah tersebar di media sosial sejak 3.10 petang tadi.
Adun Pahang Salah Seorang Mangsa
Salah seorang mangsa insiden pesawat dipercayai terhempas dekat kawasan perumahan Elimina di Seksyen U16, di sini, hari ini dipercayai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pahang.
Difahamkan Adun terbabit yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang itu menaiki pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) nombor pendaftaran N28JV petang tadi.
Pesawat dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2:08 petang ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
Difahamkan pesawat itu membawa enam penumpang dan dua kru terhempas menyebabkan seorang penunggang motosikal turut terkorban.
Meja Mingguan Wanita dihujani dengan pertanyaan permasalahan seorang ibu dari Jitra Kedah yang begitu merindukan anak-anak kandungnya. Selepas berpisah, anak-anak di bawah jagaan suami. Lama-kelamaan hubungan anak beranak ini semakin renggang.
Ibu ini tak pernah tak beri ruang untuk dirinya bertemu anak-anaknya. Tapi semakin anak-anak ini membesar, ibu ini merasakan anak-anak semakin berubah jiwanya.
Inilah Dilema Isteri Yang Berpisah Dengan Suami
“Assalamualaikum. Saya memiliki tiga orang cahaya mata. Sepasang menerusi perkahwinan pertama dan seorang lelaki menerusi perkahwinan kedua.
“Saya berkahwin semula setelah bercerai dengan bekas suami pertama. Dua anak yang ketika itu berusia 9 dan 7 tahun diletakkan di bawah jagaan bekas suami.
“Ini kerana saya yang secara rela memberikan kebenaran itu kerana saya yang menuntut cerai. Waktu itu, usia saya sekitar 30 tahun dan jiwa yang masih muda membuatkan saya tidak sabar dalam mengharungi bahtera rumah tangga.
“Keengganan suami membenarkan saya bekerja selepas anak-anak semakin membesar membuatkan saya tidak puas hati dan memberontak.
“Alasannya dia masih mampu menyara kami sekeluarga dengan gajinya sebagai seorang guru. Saya pula punya impian untuk bekerja makan gaji dan memiliki pendapatan sendiri walau gaji tidak sebesar mana.
“Saya tidak mahu bergantung sepenuhnya pada dia. Dipendekkan cerita akhirnya kami bercerai.
“Selepas itu, saya bekerja di sebuah butik, sebagai jurujual, namun sedikit demi sedikit saya naik hingga diberikan kepercayaan oleh majikan untuk menguruskan cawangan butik tersebut.
“Selepas itu saya juga telah bertemu jodoh dengan suami saya kini.
Anak Beranak Semakin Jauh
“Saya sering menelefon anak-anak walau pun bukan setiap hari. Malah beberapa kali dalam setahun iaitu hari raya Aidilfitri dan cuti sekolah, saya akan pergi jumpa mereka.
“Bukan tak nak selalu berjumpa tapi jarak memisahkan kami. Saya di utara, mereka pula di selatan. Setiap kali jumpa, saya akan bawa mereka berjalan-jalan dan belilah hadiah untuk mereka.
“Itu cara saya menebus rasa bersalah terhadap mereka. Begitu juga bila tiap kali mereka memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang, pasti ada hadiah untuk mereka. Namun mereka tidak pernah meminta-minta malah menerima apa saja yang saya hadiahkan.
“Saya bersyukur kerana bekas suami menjaga anak-anak dengan baik walau pun sudah berkahwin baru. Malah isteri barunya itu baik dengan anak-anak saya lebih-lebih lagi dia disahkan tidak dapat mengandung kerana masalah kesihatan.
“Saya dapat rasakan anak-anak semakin renggang dengan saya. Semakin mereka meningkat remaja, semakin mereka ‘jauh’ daripada saya. Kini usia mereka sudah menjangkau 17 dan 15 tahun.
“Kalau jumpa, mereka tak banyak cakap dengan saya. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Tapi mereka tetap hormat saya sebagai seorang ibu, melayan adik mereka dengan baik dan suami saya sebagai ayah tiri mereka.
“Puan, saya rindukan kemesraan mereka. Mungkin ada silap saya tapi bagaimana saya boleh meraih kembali kasih sayang mereka. Bantulah saya.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tidak dinafikan ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang beraya walaupun kerajaan sekerasnya menghalang rakyat Malaysia berbuat demikian. Namun begitu bagi sesetengah kes apabila mendapat surat kebenaran daripada pihak polis, mereka boleh memulakan perjalanan merentas negeri.
Ibu hamil yang tular semalam merupakan salah seorang yang mendapat kebenaran kerana bakal bersalin tidak lama lagi. Netizen mula menyelar tindakannya pulang ke kampung, padahal dia sudah memiliki surat kebenaran dari awal.
Sebagai ibu, sudah tentu merasa sedih apabila tindakan anaknya dikecam tanpa usul periksa. Oleh itu, Norazlina Abdul Rahim meminta semua orang untuk berhenti dan jangan kecam anaknya lagi kerana dia balik dengan kebenaran polis.
Tolong Jangan Kecam
“Tolong jangan kecam anak saya tanpa usul periksa, anak saya pulang ke kampung untuk bersalin, bukannya semata-mata menyambut Aidilfitri.”
Demikian luahan Norazlina Abdul Rahim, 50, iaitu ibu kepada wanita hamil yang positif Covid-19 dari Kuala Krai ketika mengulas kepulangan anaknya mendapat kecaman daripada netizen.
Ada Alasan Kukuh
Norazlina berkata, anaknya yang berusia 32 tahun mempunyai surat kebenaran untuk pulang ke kampung dan dijadualkan bersalin pada 19 Jun nanti.
“Anak saya pulang untuk bersalin memandangkan usia kandungan sudah 35 minggu. Untuk bersalin di Ampang, Kuala Lumpur agak sukar kerana suami anak saya bekerja dan mereka juga mempunyai anak yang masih kecil berusia tiga tahun.
“Sejak berita mengenai anak saya tular, ramai yang mengecam tindakan anak saya pulang ke kampung, sedangkan mereka tidak tahu anak saya mempunyai alasan kukuh untuk pulang.
“Pada mulanya anak saya agak tertekan sehingga terpaksa nyahaktifkan akaun Facebook untuk sementara waktu. Namun kini keadaannya kembali stabil selepas saya dan suami memujuk supaya bertenang dan tidak mengendahkan kecaman itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sukar Terima Positif Covid-19
Beliau berkata, anaknya sendiri agak sukar untuk menerima berita apabila pihak hospital menghubungi memaklumkan dia positif Covid-19 kerana sepanjang di Kuala Lumpur, anaknya tidak ke mana-mana melainkan keluar untuk membuat pemeriksaan di klinik kesihatan.
“Namun saya sentiasa menasihatkan anak supaya menerima perkara ini dengan hati terbuka. Syukur alhamdulillah sehingga kini anak saya dalam keadaan sihat dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
“Malah, pagi ini saya sempat ‘video call’ (panggilan video) dengan anak saya dan setakat ini keadaan anak saya dalam keadaan baik.
“Namun, doktor memaklumkan mungkin perlu bersalin secara pembedahan memandangkan anak saya positif Covid-19,” katanya yang mereka sekeluarga kini dikuarantin selama dua minggu.
Merentas Negeri Dari Ampang
Akhbar melaporkan, wanita hamil yang positif Covid-19 di Kelanyan, dikesan melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang yang berstatus zon merah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, wanita itu hanya disahkan positif Covid-19 apabila berkunjung ke klinik kesihatan ibu dan anak di Kelantan untuk menjalani rutin pemeriksaan.
Sumber: MyMetro
MW: Semoga ibu dan anak selamat hingga anak dilahirkan kelak. Berhenti kecam dan cuba fahami jika kita berada di tempatnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.