Betapa luluhnya hati seorang ibu apabila tiga anaknya perlu dikuarantin gara-gara Covid-19. Daripada tiga beradik itu, yang paling besar baru berusia 9 tahun, di fikiran tentu bermacam-macam sang ibu fikirkan.
Namun Allah Maha Penolong, ketika anak-anak ini dikuarantin, abang yang berusia sembilan tahunlah yang membantu adik-adiknya yang lebih kecil iaitu tujuh dan enam tahun yang sama-sama turut dikuarantin.
Dia ambil tanggungjawab menjaga adiknya. Lebih-lebih lagi ketika makan, dialah yang menyuap adik-adik makan. Kemudian setiap kali adik menangis dia akan mengajak mereka bermain.
Usianya baru mencecah sembilan tahun namun terpaksa menggalas tanggungjawab sepanjang berada di pusat kuarantin bersama dua adiknya tanpa ditemani ibu bapa.
Itulah yang terpaksa ditempuhi Hussain Izzuddin Che Mamad selepas dimasukkan ke Pusat Kuarantin COVID-19 Marang (PKCM) di sini.
Ads
Hussain bersama dua lagi adiknya, Hassan Nasruddin, 7 tahun, dan Ali Akimuddin, 6 tahun, ditempatkan di pusat kuarantin itu sejak 7 April lalu selepas mempunyai kontak dengan individu dalam siasatan (PUI) melibatkan kes di sebuah pusat tahfiz di Pasir Putih, dekat sini.
Menurut pelajar tahfiz itu, sepanjang berada di pusat kuarantin itu, dia bertanggungjawab menjaga dan menguruskan dua adiknya itu. Katanya, jika adiknya menangis dia akan memujuk dan mengajak mereka bermain karom dan dam.
Jelasnya, jika mereka merindukan kedua orang tuanya, dia dan adik-adiknya akan menelefon keluarga yang berada di Paka, Dungun, serta berdoa bagi mengubat kerinduan itu.
“Saya sedih sebab emak tiada (di sini). Dua minggu di sini, namun masih boleh keluar, boleh makan banyak, boleh main, sembahyang dan mengaji dan baca buku.
“Kalau adik menangis, saya kena pujuk, selepas itu saya suap makanan dekat adik-adik,” katanya.
Ads
Tak Lupakan Ibu & Sentiasa Doakan Ibu
Dalam pada itu, Hassan berkata, dia sentiasa berdoa ibunya selamat selain melakukan rutin harian seperti mengaji dan bermain bersama abang dan adik.
Ketiga-tiga beradik itu dibenarkan pulang pada Isnin selepas bebas dari wabak COVID-19.
Jelas Hussain, sepanjang berada di pusat kuarantin itu, dia dan dua adiknya memenuhi masa terluang dengan mengaji al-Quran dan bermain untuk menghilangkan rasa rindu kepada keluarga.
Selain itu, mereka juga rindu untuk bertemu dengan orang tuanya namun terpaksa dipendamkan sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.
Sumber: Astro Awani
MW: Semoga ujian ini menjadikan anak-anak ini semakin kuat menghadapi hidup di masa akan datang. Di samping itu diharap Covid-19 segera pergi dan keluarga yang terpisah kembali bersatu. Insyallah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Biasanya Tikus Belanda atau lebih dikenali sebagai ‘Guinea Pig’ dijadikan sebagai binatang peliharaan kerana kecomelannya. Namun siapa sangka, di Ecuador haiwan ini turut dijadikan sebagai salah satu perisa aiskrim dan jualannya paling laris!
Aiskrim Perisa Tikus Belanda
Seorang wanita, Mara del Carmen Pilapana menjual aiskrim unik berperisa tikus belanda. Aiskrim haiwan yang dikenali penduduk tempatan sebagai ‘cuy’ itu dijual pada harga AS$1 (RM4.20).
Cuy biasanya dimasak sebagai hidangan tradisional oleh penduduk negara Amerika Latin termasuk Colombia, Peru dan Bolivia.Di Ecuador, tikus belanda dimasak dengan garam bersama hidangan kentang dan sos kacang.
Bagaimanapun, Pilapana mencuba sesuatu yang baharu dengan menjadikan daging tikus belanda sebagai aiskrim.Dia menghasilkan perisa unik itu dengan memasak dan menyediakan pes daripada daging tikus belanda, yang rasanya dikatakan menyamai daging ayam,” lapor akhbar The New York Post.
Produk Paling Laris
“Keluarga dan suami saya sendiri menganggap saya gila. Mereka tidak fikir sesiapa pun akan sukakan aiskrim ini tetapi sekarang ia produk kami yang paling laris,” kata Pilapina.
Perniagaan kecilnya cuma menggunakan dua buah meja di tempat terbuka bersebelahan beberapa klinik gigi dan kedai. Setiap minggu, Pilapina akan menyediakan 150 hidangan aiskrim tikus belanda.
Ibu kepada tiga anak itu hilang pekerjaan sebelum mula menghadiri kelas latihan untuk usahawan. Selepas enam bulan menguji perisa yang sesuai, dia mula menjual beberapa jenis aiskrim sejak awal bulan lalu.
Selain menghasilkan aiskrim perisa tikus belanda, wanita ini turut menjual aiskrim perisa kumbang dan cendawan, yang kebiasaannya dimakan sebagai snek masin oleh penduduk tempatan. Malah dalam fikirannya turut merancang untuk menghasilkan aiskrim perisa baru seperti ketam, ayam dan khinzir.
MW: Memang luar biasa perisa aiskrim yang wanita ini jual. Berani mencuba daripada luar kebiasaan.
Sebelum kisah kanak-kanak ini mendapat perhatian apabila dia sanggup ponteng sekolah semata-mata untuk menjaga ibunya sedang sakit.
Bimbang keadaan ibunya, dia sanggup ponteng sekolah jaga umi, namun kini dia tinggal sebatang kara bila uminya meninggal. Sudah tentu perkara ini memberi tamparan hebat buat adik Nor Syafira ini.
Tinggal Sebatang Kara Selepas Umi Meninggal
Tumpat: “Umi ada berpesan agar saya jaga diri dengan baik dan kami sama-sama menangis ketika itu kerana umi memang sudah berasakan hayatnya tidak lama,” kata Nor Syafira Mohd Razali.
Kanak-kanak berusia 11 tahun itu kini hidup sebatang kara apabila ibunya, Norhayati Che Noh, 45, yang menderita penyakit darah tinggi, kencing manis kronik dan buah pinggang meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, malam tadi.
Nor Syafira berkata, sebelum dimasukkan ke HRPZ II, ibunya mendapatkan rawatan di Hospital Tumpat selama seminggu dan sepanjang tempoh itu dia sentiasa berada di sisi arwah.
“Umi meminta kebenaran doktor untuk pulang kerana rindukan rumah kami dan ketika berada di rumah lah dia sempat menitipkan pesanan itu dan kami sama-sama menangis.
“Keesokan harinya keadaan umi kembali kritikal sebelum segera dirujuk ke HRPZ II dan selepas 10 hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), umi menghembuskan nafas terakhir malam tadi kira-kira 7.40 malam,” katanya dalam nada sebak.
Sayang Tinggalkan Rumah
NorSyafira ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dalam Rhu di sini selepas mengiringi jenazah ibunya ke Tanah Perkuburan Islam Kubur Dato’ berkata, dia buntu dan masih belum membuat keputusan ingin menetap bersama siapa.
Dia yang juga murid Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat 1 berkata, ada beberapa pihak yang sudi menjemputnya tinggal bersama namun rasa sayang terhadap rumah yang didiami bersama arwah ibu membuatkannya berat kerana tidak sanggup melupakan segala kenangan bersama.
“Saya sayangkan rumah ini kerana ia baru sahaja dibaiki dan banyak kenangan bersama umi disebabkan umi yang membesarkan saya berseorangan selepas bercerai dengan ayah 11 tahun lalu.
“Selain terlalu rindukan umi, hati saya juga meronta untuk kembali bersekolah kerana sudah hampir setahun meninggalkan alam persekolahan,” kata anak tunggal itu.
Aktivis Akan Membantu
Sementara itu wakil kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed berkata, Nor Syafira akan diletakkan di bawah jagaan pihaknya kerana selama hayat arwah Norhayati, segala kebajikan dua beranak itu di bawah tanggungjawab mereka.
“Kami akan menguruskan proses penjagaan Nor Syafira dan membuat pertukaran sekolah dengan mencari sekolah harian yang mempunyai asrama.
“Kami juga akan sentiasa memantau perkembangan Nor Syafira sehingga dia menamatkan pengajian dan mampu berdikari suatu hari nanti,” katanya.
MW: Besarnya jiwa adik Nor Syafira, semoga dia terus kuat berhadapan dengan ujian Allah yang hebat ini. Ini mungkin masa tepat untuk Nor Syafira memikirkan masa depannya.
Pagi ini, dunia kewartawanan kehilangan permata yang cukup berharga. Kembalinya Allahyarham Datuk Abd Jalil Ali ke perkampungan abadi memberi berita duka pada siapa pun yang mengenali akan kebaikan Penasihat Editorial Sinar Harian ini.
Kerana, sepanjang hayatnya baik keluarga mahupun staff bawahannya sedia maklum akan kecintaan sosok lelaki ini yang begitu komited terhadap kerjaya dan profession ‘kewartawanan’nya.
Sehinggakan, beberapa hari sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, Allahyarham dalam usia 66 tahun ini masih sempat melunaskan tugasan akhirnya. Biarpun ketika itu Allahyarham perlu berjalan berpaut pada anak sulung ke pejabat, dibantu anak perempuan untuk membaca dokumen, malah isteri memegang tangannya agar mudah untuknya menandatangani setiap helaian dokumen yang perlu dibereskan.
“Dia tak mampu pun nak pegang pen. Ada yang terkena namanya.. ke atas bawah. Begitulah komited dia pada kerja. Dia sayang kerja dia.” Cerita balu Allahyarham, Datin Sharifah Nooraiya Syed Hassan ketika ditemui di kediamannya dekat Bandar Sunway.
Sewaktu hayatnya, kata-kata ini Allahyarham dendangkan pada isteri. “Kerjaya nombor 1, isteri.. tak salah nombor seratus.”
Namun, isteri tak pernah ambil hati, sebab dia tahu suaminya bergurau. Sebab itulah dalam di akhir-akhir hayatnya, Allahyarham masih bekerja. Ke pejabat dihantar isteri, dan balik diambil anaknya. Kata Allahyarham, “Selagi masih mendapat gaji, dia tetap perlu buat tugasnya.”
Allahyarham Datuk Abd Jalil Ali berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas / Kredit foto : Ahmad Yani Abd Manaf
Dengar Sebut ALLAH, Itulah Perkataan Akhirnya
Kongsi balu Allahyarham lagi, Jumaat malam lalu, mereka sempat mengadakan kenduri tahlil di surau berdekatan kediaman mereka. Demi mendoakan kesihatan suami.
“Jumaat itu, dah nampak sangat lemah. Waktu saya bersihkan dirinya, dia tunduk kepala. Katanya letih. Sewaktu dipakaikan baju dan bawa keluar ke laman pun saya perasan matanya dah tak bersinar, kelabu kelam.
“Bila ditanya sama ada kenal atau tidak anak. Katanya dia kenal. Dan dia minta dipotongkan kukunya. Sepanjang dipotongkan kuku, dia pandang saja anaknya.” Bila mana ditanya nama setiausaha dan majikannya, Dato’ Hussamuddin, Allahyarham juga masih dapat mengingat dengan jelas.
Cuma, waktu itu kesihatannya semakin merosot. Ubat pun dah tak mampu untuk ditelan, makan pun tiada selera. Selepas maghrib Allahyarham berbaring dan mencari anak-anaknya. Minta mereka ada disampingnya. Mengurut tangannya sekerap mungkin.
“Dalam jam 2 pagi, dia kata panas. Minta dipasangkan kipas. Saya tanya sakit perut ke? Katanya Ok. Dalam 3.51 pagi, dia nampak resah. Masa itu saya pasangkan selawat tafrijiyyah dan saya pun berselawat sama untuknya. Sambil urut, pegang tangannya.”
Selawat itu terus berkumandang di telefon bersambung-sambung pula dengan selawat yang lain. Tiba-tiba telefon terjatuh. Datin Sharifah Nooraiya segera mengangkat telefon dan sambung ‘on’ selawat yang terhenti.
Sampailah jam 4.45 pagi, selawat yang berkumandang terhenti. “Oh! Selawat dah berhenti.” Ujar Datin Sharifah Nooraiya.
Dalam pada isteri berkata-kata, terdengar Allahyarham menyebut ‘Allah’. Dan itulah perkataan akhirnya. Segera, isteri bingkas bangun memeluk suami. Selepas suami mendengus dua kali, nafasnya terhenti.
Waktu itulah, ahli keluarga memanggil ambulans untuk bantuan kecemasan. Apabila tiada respons, Allahyarham dibawa ke hospital untuk rawatan selanjutnya. Namun, Allah lebih sayangkan Allahyarham. Dan akhirnya keluarga redha dan menerima hakikat apabila Allah memanggil kecintaan hati mereka pulang ke perkampungan abadi.
Seorang Suami Yang Baik, Ayah Yang Bertanggungjawab
Siapa pun yang mengenali Allahyarham, pastinya takkan dapat melupakan senyuman simpul yang sentiasa melekat di bibirnya. Gurau senda sudah jadi kebiasaannya. Bagaimana komited di pejabat, begitulah Allahyarham melunaskan tanggungjawab kekeluargaan dengan seimbang.
Kata balu Allahyarham, suaminya seorang ayah yang bertanggungjawab dan suami yang baik. Jika di rumah, masanya adalah untuk isteri dan anak-anak. Malah, Allahyarham juga baik dengan pembantu rumahnya.
“Waktu menantu keguguran, dia menangis.” Dek kerana pengharapan Allahyarham yang begitu ingin menimang cucu sulung. Sekitar Mac lalu, Allah kurniakan hajat Allahyarham apabila direzekikan bergelar datuk.
“Kegembiraan itu tak dapat dinyatakan. Gembira rasa hati sehinggakan dia merasakan cucu dia paling cantik di mata dia. Nampak yang lain dah tak berapa lawa katanya.” Begitulah kehadiran cucu memberi kegembiraan pada Allahyarham.
Rakan-rakan wartawan datang ziarah sewaktu Allahyarham dimasukkan ke hospital.
Hasrat Mahu Jadi Imam Tetap Surau Tak Kesampaian
Sepanjang hayat arwah, bukan saja berbakti pada kerjaya dan famili. Malah, amat bertanggungjawab menjaga kedua ibu bapanya yang sakit.
“Waktu ibunya sakit tahun 2005, dia jaga ibu yang kena kanser. Selepas ibunya meninggal, tahun 2006, jaga pula ayah sakit selama 13 tahun. Sebab itulah kita akan balik kampung selalu.”
Fokusnya menjaga kedua ayah ibu membataskan waktu antara Allahyarham dan isteri untuk mempunyai waktu khas berdua. Sehinggakan, selepas kedua ibu ayah tiada, isterinya minta agar dapatlah diluangkan waktu untuk mereka.
Rupanya, pemergian ayah ibu seolah meregut semangatnya. Selepas pemergian itulah kata isteri, Allahyarham kerap bermimpikan kedua orang tuanya. Sehinggakan tidak begitu memikirkan kesihatan diri.
“Sampailah tahun lepas, dia jatuh sakit.” Bagaimana pun, Allahyarham Abd Jalil Ali yang mempunyai sejarah sakit buah pinggang ini menyimpan satu impian mahu menjadi imam tetap di surau dekat kediamannya sebaik berpencen. Namun, hasratnya itu tak kesampaian.
Dikebumikan Di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya
Kata Datin Sharifah Nooraiya sempatlah juga suaminya menjadi imam ganti untuk beberapa ketika di surau berkenaan.
Difahamkan jenazah perlu menjalani ujian saringan Covid-19, iaitu prosedur operasi standard (SOP). Ujian mungkin mengambil masa antara empat hingga lapan jam sebelum dibenarkan dibawa pulang.
Jenazah akan mandi, dikafankan dan disolatkan di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya sekitar 9.30 malam dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya selepas dibenarkan dibawa keluar dari hospital.
Al Fatihah.. semoga Allahyarham Datuk Abd Jalil Ali mengampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan di taman-taman syurga di samping orang-orang yang beriman.
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...