
Sesungguhnya tak mudah untuk seorang anak melupakan kasih sayang seorang ibu yang dirasai sejak kecil lagi. Bila mana ibu sudah menghembuskan nafas terakhir, tentulah rindu yang dibatasi bumi itu terlalu sukar untuk diterjemahkan.
Sebak sekali membaca luahan hati anak sulung Allahyarham Ustazah Shadiya Abbas di laman facebooknya, Ahmad Al Fateh. Dia tak sempat memeluk, bersalam malah mencium pipi ibunya buat kali terakhir.
Kongsinya,
Innalillahiwainnailaihiroojiun… Mama dah kembali kepada Allah. Kenapa awal mama pergi? Mama mesti menikmati di syurga kan? Seronoknyaa… Mama, tahun lepas raya 2019 tapi raya tahun ni ( 2020 ) dah takde peluang untuk mama suapkan saya.
Mama masak sedap ii… Mama adalah hero saya, time saya susah mama yang tolong saya. Bila saya stres, mama tenangkan saya. Bila saya marah kat mama, mama redha dengan apa yang saya buat kat mama. Mama dah tolong banyak orang termasuk saya. Mama la mama yang paling terbaik.
Tak sempat saya nak peluk mama.. Salam mama.. Cium pipi mama.. Ya Allah… 5/4/2020 mama dah tinggalkan family kita.
Saya menangis mama dah takde bila saya baca group ws. Saya rasa mustahil mama dah tiada dihati saya. Mama sentiasa doakan saya supaya saya menjadi seorang penghuffaz Al Quran. Mama jugak ada tegur, nak main game tu, kena ada masa dia. Jangan main selalu dan jangan sampai ketagih macam dadah. Haihh banyak nasihat mama dekat saya.
Terima kasih mama sebab jadi mama saya. Mama dah buat macam ii yang saya nak. Saya doakan mama agar mama diampunkan dosa, dan saya doakan agar dimasukkan ke syurga firdaus.
Assalamualaikum mama. InsyaAllah kita akan bertemu di syurga. Tunggu saya tau ma? Sayang mama!
Korang yang ada ummi atau ayah, hargailah mereka kerana kita tak tahu bila masa Allah akan tarik nyawa mak ayah korang.
Baca sini : Tazkirah Ustazah Shadiya Abbas, Sebelum Dijemput Ilahi

Dua Kali Ujian, Jenazah Ustazah Negatif Covid-19
Sementara itu, suami Allahyarham, ustaz MK Azman memaklumkan jenazah isterinya yang disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh semalam, negatif Covid-19.
“Alhamdulillah, jenazah isteri saya negatif Covid-19 selepas dua kali buat ujian. Insya-Allah, jenazah akan dibawa balik ke Masjid Puncak Alam untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan selepas solat Zohor hari ini.”
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Bukit Cherakah Puncak Alam.
MW : Al Fatihah.. semoga syurgalah untuk Allahyarham Ustazah Shadiya Abbas.
Sumber/Foto : Ahmad Al Fateh, MK Azman
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Panaskan PISAU Kemudian Tekap Di Lengan, Ibu TIRI Aniaya Anak DIHUKUM

Isi Kandungan
ToggleGambaran ibu tiri kejam yang sering diperkatakan dalam masyarakat sememangnya betul-betul wujud. Sepatutnya seorang ibu tiri melindungi anaknya walaupun bukan dari darah dagingnya namun tindakan yang diperlakukan ini cukup melampaui batas.
Seorang wanita telah memanaskan pisau terlebih dahulu kemudian tekap di lengan mangsa dan hari ini ibu tiri aniaya anak tirinya telah dihukum dengan hukuman yang setimpal.
Ibu Tiri Dihukum Penjara 24 Bulan
Seorang wanita dihukum penjara selama 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuantan, Pahang hari ini selepas mengaku bersalah menganiaya dan mencederakan anak tirinya.
Tertuduh, Khairunnisa Abdullah, 24, didakwa berbuat demikian terhadap mangsa yang berusia sembilan tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal di rumahnya di Muadzam Shah pada 20 September lalu.
Hakim Siti Aminah Ghazali turut memerintahkan tertuduh melaksanakan bon berkelakuan baik dengan pengawasan selama tiga tahun, khidmat masyarakat selama 120 jam dan melapor diri di Balai Polis Chenderawasih sebulan sekali.
Ibu Tiri Turut Dikenakan Hukuman Tambahan
“Hukuman tambahan itu dikenakan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara selama 24 bulan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh meletakkan pisau yang dipanaskan di atas lengan kanan mangsa sehingga menyebabkan mengalami kecederaan fizikal pada 3 petang, 20 September lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Nurul Syuhada Tuan Mamat, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Faizal Hiqram Azmi.
Mohd Faizal Hiqram meminta mahkamah meringankan hukuman dan mengenakan syarat tambahan terhadap tertuduh kerana kesalahan kali pertama dan sudah insaf.
Baca Juga Di sini:
Ibu Tiri Bukan Kejam, Ramai Juga Yang Lebih Baik Dari Mak Sendiri

Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Panaskan Pisau, Tekap Di Lengan Mangsa
Bagaimanapun, Sharifah Nurul Syuhada meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana sepatutnya melindungi kanak-kanak berkenaan bukan dengan cara menganiaya dan mencederakan.
“Ia kesalahan serius apabila tertuduh sanggup mengambil dan memanaskan pisau terlebih dahulu sebelum menekap di lengan kanan mangsa,” katanya.
MW: Semoga kisah ini menjadi pengajaran buat semua mak-mak di luar sana. Tidak kiralah anak tiri atau anak kandung, sepatutnya seorang ibu menyayangi anaknya seadanya. Diharap ibu ini menyesal atas perbuatannya.
Sumber: myMetro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Wanita Terkejut Bekas Suami Tuntut Harta Sepencarian Rumah RM1.3 Juta Miliknya, Selepas 3 Tahun Bercerai!

Isi Kandungan
ToggleWanita terkejut bekas suami tuntut harta sepencarian rumah RM1.3 juta miliknya, selepas 3 tahun bercerai!. Apabila berlakunya perceraian, setiap pasangan yang bercerai perlu ambil tahu perkara yang melibatkan tuntutan harta sepencarian. Ada syarat-syarat tertentu yang ‘melayakkan’ diri untuk menuntut harta sepencarian ini.
Agak mengejutkan jika bekas suami tak pernah keluarkan satu sen pun untuk bayar bulanan rumah dan nafkah anak-anak, harta juga dibeli oleh bekas isteri sendiri, namun tetap ‘mengemis’ untuk menuntut harta sepencarian.Apatah lagi selepas 3 tahun penceraian berlaku.
Baca perkongsian daripada Peguam Syarie, Fahmi Ramli berkaitan kisah tuntutan harta sepencarian ini yang wanita perlu tahu.
Bekas isteri terkejut, selepas 3 tahun bercerai bekas suami tuntut rumah RM1.3 juta miliknya.
Ada satu story menarik yang saya nak kongsikan kepada wanita bekerjaya. Kisah ini sebagai pengetahuan dan pengajaran untuk semua yang bakal bergelar isteri, sudah bergelar isteri dan sudah berpisah.
Sekitar 3 tahun yang lalu, ada seorang wanita menelefon saya untuk dapatkan Private Consultation. Katanya dia nak jumpa saya secara private di luar sekitar Pulau Pinang. Tempat yang nak jumpa itu, mesti tak ramai orang.
Kami berjumpa di cafe yang private dan terkenal di Pulau Pinang. Semasa pertama kali berjumpa, orangnya lingkungan 40an. Tinggi, berkulit cerah, tinggi dan berbaju merah blazer hitam, persis seorang eksekutif syarikat anggaran saya.
Tekaan saya tepat. Wanita itu memperkenalkan dirinya dan beliau memang merupakan seorang Eksekutif Pemasaran di salah sebuah syarikat Swasta di sekitar Pulau Pinang.
Kami duduk di hujung penjuru cafe tersebut dan order minuman, sambil berbual kosong terlebih dahulu sebelum bercerita tentang tujuannya.
“Nampak macam tak sedih jer, maksudnya mesti bukan kes nak bercerai kalau macam ni”, ujar saya dalam hati.
3 Tahun Bercerai
Wanita itu telah bercerai dengan bekas suaminya lebih kurang 3 tahun yang lalu. Perkahwinannya selama lebih kurang 7 tahun terputus disebabkan suaminya yang telah dibuang kerja dan tidak pernah berusaha untuk mencari kerja lain selama lebih kurang setahun lebih.
Jadi dia terpaksa tanggung makan minum diri dia dan juga 3 orang anaknya. Bahkan, rumah yang mereka tinggal tersebut juga dibeli olehnya sebelum berkahwin lagi. Segala bil-bil elektrik dan air ditanggung sepenuhnya oleh wanita ini.
Jadi, mereka bercerai atas persetujuan bersama. Anak-anak berada di bawah jagaannya.
Bekas suami pulang ke kampung halaman di Kedah dan tidak pernah ambil tahu apa-apa pun tentang nafkah anak-anak apatah lagi nafkah eddah buat dirinya.
Tapi, wanita ini tak kisah. Baginya, bab belanja harian dia dan anak-anak adalah masalah kecil.Pendapatannya sebulan juga lebih dari sekadar cukup untuk dia dan anak-anak.
Terkejut Bekas Suami Tuntut Harta Sepencarian
Cuma, dia terkejut bila ada seorang lelaki yang rasanya Despatch menghantar saman dari Mahkamah Tinggi Syariah.Alangkah terkejutnya dia, selepas 3 tahun bercerai tanpa sebarang berita, bekas suaminya memfailkan tuntutan Harta Sepencarian.
Harta yang dituntut adalah kereta Audi miliknya dan sebuah rumah yang wanita ini menetap sekarang. Nilainya sekarang adalah RM1.3 juta.
Wow! patutlah bekas suami tuntut.
Rumah dekat Penang kan mahal. Tinggi-tinggi valuenya. No wonderlah bekas suami ni nak tuntut rumah yang bekas isteri ini beli sebelum kahwin. Padahal, kata wanita ini, bekas suaminya tak pernah keluarkan satu sen pun untuk bayar bulan rumah itu.
Adakah boleh bekas suami tuntut rumah yang bekas isteri beli sebelum mereka kahwin?
Harta yang dibeli sebelum mereka kahwin, tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Ini kerana harta sepencarian adalah harta yang dibeli bersama atau salah seorang suami atau isteri dalam tempoh perkahwinan.
Mengikut seksyen 122 (5) Enakmen Keluarga Islam Pulau Pinang, untuk jadikan rumah itu sebagai harta sepencarian, bekas suami mesti kena ada faktor ‘memajukan’ rumah tersebut.
Maksudnya, bekas suami ada keluarkan wangnya untuk renovate rumah contohnya. Barulah boleh dikatakan rumah itu harta sepencarian.
2.Kalau bekas suami ada bayar juga bulanan kepada bekas isteri untuk rumah tersebut, adakah boleh dikira memajukan?
Tidak boleh. Memajukan itu pada tafsiran undang-undang adalah melibatkan kepada usaha besar untuk kemajuan rumah tersebut. Misalnya, dapur diperbesarkan atau ditambah bilik atau mungkin ‘extend’ garaj kereta.
Jika bekas suami ada membayar bulanan rumah tersebut, dalam keadaan mereka sekeluarga menetap disitu, ia boleh dianggap sebagai Nafkah Tempat Tinggal yang menjadi kewajipan kepada si suami.
3.Boleh ke bekas suami tuntut harta yang isteri sendiri beli dalam tempoh kahwin?
Nak tuntut boleh. Siapa jua yang ada kaitan dengan kes harta sepencarian, boleh buat tuntutan. TAPI belum tentu boleh dapat. Ini kerana, bagi lelaki atau suami, mereka perlu ada sumbangan langsung atau bahasa mudahnya, mengeluarkan wang untuk pembelian harta tersebut.
Jadi, kalau bekas suami tak ada sumbangan wang ringgit untuk pembelian rumah tersebut, sangat sukar untuknya mendapatkan perintah Harta Sepencarian.

Berbeza dengan bekas isteri, kalau isteri tak keluarkan duit pun, masih layak untuk dapat harta sepencarian atas faktor sumbangan tak langsung seperti memasak, mengemas rumah, membasuh baju suami dan macam-macam lagi.
Kesimpulan
Kalau ada bekas isteri yang terkejut atau takut bekas suami nak tuntut harta sepencarian bagi rumah yang dia sendiri beli sebelum kahwin lagi, berikanlah jawapan yang professional.
‘Ok see u in court’.
Nak halang tuntutan tak boleh. Siapa pun berhak tuntut, cuma kena ingat, dapat belum tentu.
Puan itu pun lega bila saya terangkan sebegini. Alhamdulillah kes tersebut berjaya diselesaikan seperti yang dijangka.
Jika anda suka perkongsian saya dan ingin membaca penulisan-penulisan saya yang lain, jemput ke https://t.me/fahmiramliofficial
Saya selalu menulis dan berkongsi dengan isu rumahtangga, hak-hak wanita dalam Islam dan Undang-undang.
Fahmi Ramli
Mesti Baca:Demi Harta Sepencarian, Suami Tergamak Cabut Atap Rumah Bekas Isteri Selepas Bercerai
Baca Lagi Di Sini:Harta Sepencarian, Hak Isteri Harus Diselesaikan Dulu Sebelum Pembahagian Pusaka Peninggalan Suami
Artikel Menarik:Gara-gara Tak Tahu Cara Tuntut Harta Pusaka Selepas Suami Meninggal, Isteri ‘Ditendang’ Bak Bola
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat buat wanita mengenai tuntutan harta sepencarian bagaimana. Sebaiknya kita kumpul harta sendiri, tak perlu ‘mengemis’ mengharapkan harta orang lain.
Sumber:Fahmi Ramli
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Berkerusi Roda Bukan Halangan OKU Ini Jadi Pemandu Pelajar Tadika

Isi Kandungan
ToggleKecacatan yang dialami tidak pernah menghalang Enida Mohd Radzi untuk meneruskan kehidupan sama seperti insan lain. Selagi ada kudrat dan tenaga empat kerat, Enida mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa insan orang kelainan upaya (OKU) sepertinya juga mampu berjaya.
Dia berharap dengan perkongsian ceritanya ini mampu menunjukkan kepada masyarakat bahawa OKU juga punya kehidupan sempurna walaupun diri digelar OKU.
Enida tergolong dalam kategori orang kelainan upaya yang bergerak menggunakan kerusi roda. Dia mengalami lumpuh dari pinggang hingga ke bawah.
“Saya sebenarnya dilahirkan normal. Segala-galanya berubah apabila saya berusia 10 tahun. Doktor mengesan ada ketumbuhan di bahagian tulang belakang saya. Saya menjalani pembedahan dan selepas pembedahan itu kedua-dua belah kaki saya dari bahagian pinggang ke bawah menjadi lumpuh.
“Agak sukar untuk menerima kenyataan bahawa diri ini tidak boleh berjalan. Memang perit pada awalnya. Ditambah pula usia masih lagi muda dan masa hadapan masih lagi panjang. Tetapi berkat semangat dan kekuatan dari mak dan arwah ayah, saya gagahi juga. Saya bersyukur sekarang ini saya boleh menerima takdir ini dengan sepenuh hati,” katanya menceritakan kisah lalu.
Melihatkan OKU menggunakan kerusi roda sudah pasti menimbulkan rasa simpati kepada mereka yang melihat. Bayangkan pula perasaan insan OKU yang sepenuh masa menggunakan kerusi roda. Sedarkah anda apa cabaran yang mereka hadapi?
Bagi Enida, sebenarnya dia tidak tahu hendak menjelaskan perasaannya ketika ditanya cabaran OKU berkerusi roda.
“Banyak sangat cabaran. Kalau tidak ada kekuatan mental dan fizikal, memang susah. Amat beza sekali OKU semenjak dilahirkan jika dibandingkan dengan OKU apabila sudah besar ini. Kalau dari dilahirkan memang diri tidak sempurna itu mungkin juga boleh kita terima.
“Tetapi apabila kita pada asalnya boleh berjalan, berdiri, tiba-tiba tidak boleh buat semua itu. Hilang sekelip mata. Hendak bangkit semula itu memang sesuatu yang mencabar yang tidak boleh saya gambarkan dengan kata-kata,” katanya lagi.
Berhenti Kerja
Wanita berusia 40 tahun ini ketika kecil mengakui dia tidak boleh mendengar orang sebut perkataan cacat. Dia akan kecil hati dan menangis.
“Itulah pengalaman perit saya ketika bangkit daripada kesedihan. Masa sakit saya berumur 10 tahun. Jadi semasa berumur 11 tahun, saya pergi sekolah dan duduk di atas kerusi roda. Saya tidak ada kawan. Tidak ada siapa pun yang mahu berkawan dengan saya. Semua kawan sekolah masa itu tidak suka dengan OKU.
“Begitu juga dengan zaman remaja saya tidak sama macam remaja lain. Tetapi saya hadapi liku-liku kehidupan saya dengan sabar kerana ini adalah ketentuan Ilahi. Semakin meningkat umur, saya semakin boleh menerima keadaan diri saya. Mak dan arwah ayah bagi semangat. Sehinggalah saya berusia 23 tahun saya bekerja sebagai guru tadika. Pemilik tadika, Madam Bibi dan suaminya Sir Vasu banyak mengajar saya untuk lebih berkeyakinan,” katanya.
Cerita Enida lagi, lama juga dia menjadi guru tadika. Hanya apabila bapanya meninggal dunia, dia bertukar kerja daripada guru tadika kepada pemandu kereta menghantar budak-budak tadika sehingga ke hari ini.
“Saya ada sebuah kereta kancil yang diubahsuai menggunakan tangan. Jadi saya tidak ada masalah untuk keluar ke mana-mana. Sebelum ini saya cikgu tadika. Tetapi saya terpaksa berhenti selepas ayah meninggal kerana tidak ada siapa hendak menjaga emak.
“Madam Bibi mencadangkan agar saya membawa kereta dan buat perkhidmatan membawa kanak-kanak dari rumah mereka ke tadika. Dengan cara ini masa saya di luar tidak panjang. Tetapi kalau ada cikgu yang sakit atau tidak hadir, saya akan menggantikan cikgu tersebut,” jelasnya lagi.
Cerita Enida lagi, jadi pemandu budak-budak tadika memang seronok. Bermula dari pukul 7.00 pagi dia sudah mula mengambil mereka.

“Sebaik sampai tadika pada pukul 8.00 pagi, saya balik semula ke rumah. Pada pukul 12.00 tengah hari saya ambil mereka semula untuk dihantar balik ke rumah masing-masing. Kalau pada hari itu saya perlu menggantikan cikgu, saya akan terus berada di tadika sehingga pukul 12.00 tengah hari.
“Kalau saya menggantikan cikgu, biasanya saya akan ikut jadual apa yang cikgu itu buat. Contoh kalau hari itu ada reading dan spelling, saya akan ikut apa yang cikgu itu sudah buat. Cikgu tersebut akan tinggalkan senarai spelling untuk hari tersebut. Memudahkan untuk saya. Seronok sebenarnya menjadi guru tadika. Mungkin tahun hadapan saya hendak sambung mengajar semula,” kata Enida tentang pengalamannya.
Jangan Takut Pada OKU
Bergelar OKU memberi cabaran hebat buat Enida. Dia amat berharap masyarakat dapat menerima OKU dengan hati terbuka. Jangan pandang rendah walau apa sahaja kekurangan OKU.
“Saya berharap agar masyarakat memandang kami ini bukan orang yang bersalah. Saya pernah ada pengalaman ibu bapa tidak jadi menghantar anak mereka ke tadika sebab saya seorang cikgu yang tidak boleh berjalan dan duduk atas kerusi roda.
“Kalau boleh saya mahu masyarakat jangan pandang pada fizikal seseorang. Terima OKU seadanya. Masyarakat juga harus peka pada hak-hak OKU yang kerajaan bagi, contohnya tempat meletak kenderaan untuk OKU. Kita juga kena ajar anak-anak terutama generasi muda untuk menghormati dan mempunyai nilai-nilai murni terhadap kami yang bergelar OKU.
“Kami tidak ada penyakit berjangkit. Jangan takut pada OKU. Itu yang penting. Kita semua hamba Allah. Cuma cara bagaimana kita diciptakan sahaja yang berbeza. Berat mata memandang berat lagi yang memikul. Apa-apa pun saya redha,” ujarnya dengan penuh bermakna.
Foto: Koleksi peribadi Enida Mohd Radzi
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI