Pokok pangkalnya hati dan iman, lelaki tak perlu tunggu punya segalanya untuk diuji. Jika dia mahu curang, susah atau senang, ia tetap berlaku.
Setiap hati manusia ini adalah milik Allah, ada ketikanya hati ini berbolak-balik.
Namun jika benar-benar hatinya hanya untuk yang satu, pasti seorang suami tidak akan curang atau jatuh hati pada wanita lain tidak kiralah di waktu senang atau susah.
Pokok Pangkalnya Hati Dan Iman
Kongsi Annie Sukery, sebagai perempuan, kita kena ada duit sendiri, jangan harapkan lelaki!
Perempuan diuji saat tiada apa-apa, lelaki diuji saat miliki segalanya!
Entah siapa yang keluarkan frasa begini. Ayat atas itu biasanya dari orang bisneslah. Alih-alih suruh join team dia buat duit. Ayat bawah pula keluar bila ada isu isteri kena tinggallah, suami curanglah.
Hancur.
Islam tak pernah ajar sebegitu. Bila berkiblatkan dunia, kita mudah membuat kesimpulan sendiri.
Lelaki Tak Perlu Tunggu
Mula-mula, fahami konsep qada dan qadar Allah. Rezeki, jodoh, pertemuan dan perpisahan, semua atas izin Allah yang Maha Mengatur hidup kita.
Betul, perempuan perlu ada duit sendiri. Tak salah. Tapi bila menafikan fitrah lelaki, itu yang bermulanya suatu kemusnahan.
Lelaki memang fitrahnya suka melindungi dan punya rasa berkuasa. Sebagai isteri, hak kita untuk harapkan duit lelaki ( nafkah). Tak kisah isteri itu seorang CEO sekalipun. Jangan sesekali keluarkan ayat…
Kasihan abang, tak cukup duit hendak tanggung saya. Tak apalah, rumah dan kereta saya bayarkan.
No!
Ads
Itu tugas dia. Bagi dia pikul tanggungjawab dia sebagai lelaki. Pepandailah dia cari duit nak tampung nafkah. Jangan pernah rasa kasihan. Cuma, berempati dengan rasa syukur. Jangan merungut atau bandingkan dengan cara hidup orang lain.
Tunggu Punya Segalanya Untuk DiUji
Lelaki, tak perlu tunggu punya segalanya pun untuk diuji. Saya jumpa ramai yang tak punya apa-apa pun ,masih pasang dua di belakang isteri. Kerja huru-hara pun, ada hati punya buah hati sana, sini.
Lelaki, masih ramai, walau punya duit berkepok, jika hatinya setia, tetap setia walau ribut badai melanda. Walau banyak dugaan dan godaan di luar sana. Kerana hatinya terikat pada yang satu selamanya.
Pokok pangkalnya hati dan iman. Dua-dua ni kita tak mampu kawal. Sebab yang mampu pegang dan ubah hanya Allah. Apa yang kita punya ini milik Allah. Anak, suami, keluarga, harta dan sebagainya. Cukup masa, ia akan kembali selayaknya mengikut yang Allah takdirkan.
Jalan Hidup Manusia
Jalan hidup tiap manusia tak sama. Tapi mengikut timbangan Allah yang Maha Adil. Ada diuji dengan sakit, dengan suami, dengan anak, dengan harta, dengan kesempitam hidup, dengan keluarga.
Bila difikirkan dan direnungkan. Dalam hidup, kita tak perlu kejar duit sangat pun. Tak perlu kejar kemewahan, kekayaan dan kedudukan. Kerana percayalah ia bersifat sementara.
Yang paling lama yang kita inginkan adalah ketenangan dan kebahagiaan jiwa. Dan inilah harta yang tak ternilai harganya.
Mingguan Wanita : Dalam hidup berumahtangga ada pasang surutnya, pelbagai ujian datang melanda. Usaha dan berdoalah pada yang Maha Berkuasa agar rumah tangga sentiasa bahagia dan selalu berada di bawah redha Allah.
Ekonomi meleset, jimatlah cara sendiri. Hakikatnya pada hari ini, isu kenaikan harga barang terus membelenggu kita semua.
Harga barang runcit termasuklah, ayam, ikan dan kini harga sayur-sayuran juga naik. Bukan itu saja, tapi semua sektor juga nampaknya sudah mula berlumba-lumba menaikkan harga.
Dek kerana ekonomi semakin merundum dan turut memberi kesan kepada ekonomi sesebuah keluarga adalah sangat penting untuk kita berjimat cermat.
Seperti mana yang dikongsi oleh Firdaus Shakirin menerusi akaun Facebooknya, menasihati agar kita semua berjimat dengan cara sendiri.
Kadang tu memang pening kepala bukan saja perlu fikir tentang belanja harian sendiri untuk ke tempat kerja malah perbelanjaan harian untuk keluarga tercinta.
Namun kita sendiri perlu mencorakkan kehidupan, walaupun dibelenggu masalah kewangan dalam ekonomi meleset ini namun keceriaan keluarga juga perlu diberi perhatian.
Jika sebelum ini pada kebiasaanya kita makan bersama keluarga di luar seminggu sekali, pada waktu ini bawalah mereka makan di luar dua kali seminggu pun sudah memadai. Asalkan wang poket kita mampu untuk berbelanja.
“Jimat cara sendiri…
“Ambik RM50, masuk dalam dompet…pesan pada diri, RM50 ni belanja dari Isnin sampai Jumaat…cukup tak cukup, itu la duit makan, itula duit minyak motor…
“Kadang-kadang sampai hari khamis, dah tinggal seringgit…tak sempat sampai jumaat…
“Ambik RM10, masuk dlm dompet…duit ni utk hari jumaat…bayar makan tghari, lebih masuk dlm tabung masjid…
“Seminggu, RM50-RM60…sebulan, anggaran RM300 ke bawah utk mkn ditempat keje dan juga minyak motor…
“Duit yang lain, semua letak beg duit isteri…sekali dia ke market, 100 “hilang”… tiba2 dia ckp nak buat kek, lagi 100 juga “hilang”…belum lagi tiba2 cikgu nak buat itu, cikgu suruh beli ini dan sebagainya…
“Dulu setiap minggu, makan luar…sekarang dua minggu sekali, baru makan luar…
Tak Tahu Nak Berjimat Kat Mana
“OPR naik, ansuran bulanan rumah juga dah naik…kalau tak jimat kat perbelanjaan harian, tak tahu dah nak jimat kat mana lagi sebab semuanya dah pakai dan guna betul-betul basic sahaja…
“Semoga kita yang dalam keadaan ini dipermudahkan urusan dan dimurahkan lagi rezeki…
“Baki RM40 utk 4 hari lagi,” coret Firdaus Shakirin.
Tidak berhubungan intim berminggu-minggu tinggalkan kesan terhadap isteri. Hubungan intim antara suami dan isteri bukan sekadar keperluan fizikal, tetapi ia adalah satu anugerah yang sangat besar dalam sesebuah perkahwinan.
Tidak Berhubungan Intim Berminggu-minggu Tinggalkan Kesan Terhadap Isteri
Ia membawa hikmah yang mendalam dari sudut emosi, spiritual, dan kesihatan bukan sahaja untuk suami isteri, tetapi juga untuk keharmonian rumah tangga secara keseluruhan.
1. Mengukuhkan Ikatan Emosi
Hubungan intim adalah antara cara paling efektif untuk menguatkan kasih sayang dan kepercayaan antara pasangan. Ketika suami dan isteri saling memberi dan menerima dalam momen ini, ia membina rasa keintiman yang tidak dapat dicapai hanya melalui komunikasi biasa.
2. Menyeimbangkan Hormon Dan Kesihatan Mental
Dari sudut sains, hubungan intim merangsang pengeluaran hormon endorfin dan oksitosin, hormon kebahagiaan dan kasih sayang. Ia membantu mengurangkan tekanan, kemurungan dan membuatkan seseorang berasa lebih tenang dan dihargai.
3. Meningkatkan Kesuburan
Bagi pasangan yang sedang merancang kehamilan, hubungan intim secara berkala membantu dalam menstabilkan hormon reproduktif dan memperbesar peluang untuk hamil. Ia juga membantu melancarkan kitaran haid dan ovulasi wanita.
4. Pahala Dan Sunnah Dalam Islam
Dalam Islam, hubungan suami isteri adalah ibadah. Rasulullah SAW bersabda bahawa walaupun dalam hal yang tampak biasa seperti bersama pasangan, terdapat ganjaran pahala. Ia juga membantu menjaga kehormatan, mengelakkan zina dan memelihara maruah diri.
5. Terapi Semula Jadi Untuk Kesihatan Fizikal
Kajian menunjukkan bahawa hubungan intim boleh membantu meningkatkan imuniti, merendahkan tekanan darah, membakar kalori, dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Ia juga membantu tidur lebih lena dan berkualiti.
Video oleh Dr. Raihana Ismail di Instagram ini membincangkan kesan kurangnya hubungan intim dalam jangka masa yang lama terhadap kesihatan dan kesejahteraan isteri. Beliau menyentuh bagaimana keintiman membantu menyeimbangkan hormon, meningkatkan peluang kehamilan, serta mempererat hubungan suami isteri.
Bagaimana keintiman memberi kesan kepada hormon wanita?
Hubungan intim yang konsisten boleh merangsang pengeluaran hormon yang menyokong kestabilan emosi dan fungsi pembiakan wanita.
Apa yang berlaku kepada pasangan yang terpisah lama (LDR)?
Komentar dari pengguna mencerminkan kebimbangan tentang pasangan jarak jauh (seperti 3 hingga 6 bulan tidak bertemu) — bagaimana mereka boleh mengekalkan keintiman secara emosi dan fizikal?
Adakah penyakit seperti kencing manis memberi kesan kepada hubungan intim?
Seorang pengguna berkongsi bahawa suaminya menghidap kencing manis, menyebabkan dirinya berasa hambar dan dingin. Ini menunjukkan perlunya pendekatan menyeluruh dalam menjaga hubungan dari segi fizikal, emosi, dan kesihatan.
Kesimpulannya hubungan intim bukan hanya tentang keinginan fizikal, tetapi satu bentuk komunikasi jiwa dan kasih sayang yang mendalam antara suami dan isteri. Ia adalah lambang kesatuan, kemesraan, dan kesejahteraan rumah tangga.
Maka, peliharalah hubungan ini dengan penuh hormat, kasih, dan tanggungjawab kerana di sebaliknya ada banyak hikmah yang tersembunyi.
Bukan semua wanita yang bergelar isteri, merasai sendiri manisnya alam perkahwinan. Beruntunglah kalau seorang isteri dikurniakan suami yang budiman, mengerti tiap satu tanggungjawab dan menyempurnakan peranannya selaku ketua keluarga. Bagaimana pula dengan wanita yang menikahi lelaki atas kerelaannya, tetapi terperangkap dari rumah tangga toksik.
Hampir 11 tahun menjalani kehidupan diselubungi ketakutan, wanita ini mengakui tidak pernah sehari pun dia mengharapkan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta, berkubur. Baginya demi anak-anak, dia tegar bertahan asalkan anak-anak masih punya bapa dan dia masih bersuami. Setelah bertahun-tahun menjadi saksi kelukaan hati seorang ibu, siapa sangka anak yang masih di bangku sekolah rendah itu mampu memberi semangat baru buat si ibu yang hilang sudah keyakinan diri.
“Ibu, berpisahlah…kakak tak sanggup tengok ibu menangis dan sakit lagi,”. Kata-kata dari anak perempuan sulung saya, seperti satu kejutan elektrik yang membuatkan saya tersedar dan mendapat semangat baru. Sebelum itu, 11 tahun saya bertahan kerana tak nak anak-anak membesar tanpa bapa dan saya kehilangan suami,”cerita Siti Aishah Zamri yang kini berbahagia disisi dua cahayamatanya; Puteri Nur Shaikha dan Putera Muhammad Khairul Haibillah.
Tiada lagi ketakutan
Menurut wanita berusia 33 tahun itu lagi, definisi bahagia itu subjektif. Ada mengukur darjah kebahagiaan itu dari sudut perkahwinan yang sempurna, anak-anak yang cemerlang sahsiah dan akademiknya serta pasangan yang menyenangkan. Bagi Aishah lagi, bahagia buat dirinya adalah bebas dari dibelenggu ketakutan terutamanya apabila tiba masanya dia perlu pulang ke rumah.
“Kebahagiaan itu subjektif. Ada orang rasa bahagia bila ada perkahwinan yang sempurna. Ada orang merasai nikmat bahagia apabila dia berjaya dalam perkara yang dilakukan. Bagi saya secara peribadi, bahagia itu membawa pengertian saya merdeka dari hidup yang penuh ketakutan. Saya tak perlu takut lagi untuk balik ke rumah saya sendiri. Saya tak perlu takut pada sesiapa dan saya berhak untuk membelanjakan wang gaji saya tanpa sekatan lagi. Saya bahagia dapat membuat keputusan sendiri, tanpa bimbang ada orang yang membantah atau menghalang dengan kekerasan.
“Saya bahagia dapat menikmati kehidupan ini bersama anak-anak. Saya berhak untuk rasa bahagia tanpa perlu takut lagi. Selagi hayat masih ada, saya berazam untuk membahagiakan anak-anak dan juga keluarga yang banyak menjadi saksi ketika hidup saya diselubungi kesedihan dan ketakutan satu masa lalu. Bahagia bagi saya bersifat memerdekakan diri dari sebuah perkahwinan yang menyulitkan dan hidup dengan penuh keyakinan,”kongsinya optimis.
Belajar dari khilaf diri
Mengakui sifatnya yang prihatin dan tanpa sedar sikapnya itu menjadi titik mula dia teraniaya, membuatkan dirinya lebih berhati-hati kini. Mendirikan rumah tangga seawal usianya 21 tahun, menjadikan dia naif dalam perihal peranan dan tanggungjawab seorang suami terhadap isteri. Hasratnya meringankan tanggungan suami, menjadikan dia lupa itu bukanlah alasan dia perlu menggalas ke semua tanggungjawab itu sendirian.
“Kesilapan saya apabila terlalu berlembut, terlalu mengalah dan bertolak ansur dalam bab kewangan terutamanya. Tanpa saya sedari, saya dipergunakan sehingga saya perlu menanggung ke semua hal berkaitan kewangan keluarga di bahu ini. Akibat terlalu ‘pemurah’ saya sentiasa beralah dalam bab kewangan dan sanggup mengeluarkan wang simpanan peribadi untuk menampung kewangan harian. Sebagai isteri kita perlu sentiasa ingat berpada-padalah prihatin. Jangan sampai jadi mangsa dan dipergunakan.
“Satu lagi jangan membuta tuli mempercayai suami tanpa kita sekelumit pun rasa syak wasangka terhadapnya. Saya tahu syurga seorang isteri itu dibawah tapak kaki seorang suami, tetapi berwaspadalah dalam apa jua keadaan. Sebaiknya kita perlu bertolak ansur dalam sesetengah perkara sahaja. Jangan biarkan diri dipergunakan, kerana kita yang membuka ruang untuk mereka culas melaksanakan peranan mereka. Jangan mudah beralah, tegas pada tempatnya…barulah aman sesebuah rumahtangga itu,”kongsi Aishah.
Islam juga menyarankan agar suami berbuat baik terhadap isteri. Seperti mana sabda Rasulullah S.A.W yang membawa maksud; “Bertakwalah kalian dalam (memperlakukan) terhadap wanita,” (Riwayat Muslim). Selain itu pendapatan isteri itu boleh dikategorikan sebagai hak mutlak isteri. Suami tidak mempunyai hak walau sedikit pun ke atas harta tersebut. Jangan kerana isteri bertimbang rasa untuk membantu, bererti suami mempunyai kuasa mutlak ke atas wang isteri dan mengarahkan ia mengikut kehendaknya semata.
Kebangkitan semula Aishah
11 tahun hidupnya dibelenggu ketakutan dan dibibirnya tak pernah sekalipun dia gagal mendoakan agar rumahtangganya aman sentosa. Dia juga sentiasa bermunajat dan merintih dalam doanya agar hati sang mantan suami dijentik keinsafan. Dengan harapan penantiannya membuahkan hasil yang manis dan suaminya berubah.
“Selaku isteri yang teraniaya, saya menyarankan isteri yang sedang menderita dengan perkahwinannya…jangan berdiam diri. Kesilapan saya terlalu mengharapkan bekas suami berubah. 11 tahun saya mengharapkan adanya keajaiaban yang berlaku dan suami sedar. Saya tadah semua kesakitan dan anak-anak menjadi saksi. Sekiranya anda menjadi mangsa penderaan suami, rekodkan semua bukti kecederaan dan penganiayaan. Buat laporan polis dan rujuk pihak hospital. Kumpulkan kesemuanya di dalam satu fail khas bagi memudahkan anda memfailkan kes itu ke mahkamah.
“Satu lagi ramai yang berkata, saya masih muda…baru berusia 33 tahun tetapi sudah bergelar janda. Nasihat saya , jangan pernah takut untuk move on. Sebab kita tak tahu apa yang Allah janjikan sebaik kita melangkah daripada perkahwinan yang melukakan ini. Jangan terlalu bergantung harap pada suami, sebagai isteri anda wajib mempunyai sumber pendapatan sendiri.
“Jika berlaku sebarang kemungkinan, kita masih mampu menyara diri dan anak-anak. Jangan mudah terpedaya dengan janji-janji palsu suami terutamanya. Suami yang baik tidak akan menganiaya isteri. Kelilingi diri dengan insan-insan yang positif. Insan-insan yang merasionalkan anda dalam membuat keputusan yang bernas terutamanya keluarga.
“Jangan memperhambakan diri dan memendam semua kesakitan sendirian dan mengharapkan sang suami akhirnya berubah. Semua orang berhak untuk bahagia. Jangan pernah sesal dengan apa yang pernah anda lalui kerana anda berhak untuk merasai kebahagiaan sendiri. Life is too short to be unhappy. Ingat anak-anak yang bergantung harap pada kita dan keluarga yang sentiasa ada di saat-saat kita melalui saat sukar. Berjuanglah demi mereka.
Sebelum mengakhiri temubual ini, Mingguan Wanita ada bertanya kepada wanita cekal ini…adakah pintu hatinya kembali terbuka untuk sekali lagi lagi bergelar seorang isteri. Berikut adalah komentar Aishah.
“Saya berkahwin di usia 21 tahun dan bergelar ibu ketika usia 22 tahun. Di kala kawan-kawan seusia masing-masing mengejar impian dan cita-cita. Keutamaan saya kini bukanlah berkahwin lagi. Sebaliknya hidup saya kini demi anak-anak.
“Sebagai ibu saya gembira apabila melihat anak-anak hidup tanpa ketakutan lagi, saya juga mahu anak-anak tahu keganasan itu bukanlah normal. Saya reward anak-anak dengan kasih sayang dan beri mereka ruang untuk teroka apa yang mereka suka. Sekarang saya punya lebih masa untuk fikirkan tentang diri sendiri dan punya waktu uruskan anak dan keluarga. Saya trauma untuk berkahwin lagi. Mungkin saya akan fikirkan sedalam-dalamnya hal ini, kerana kegagalan lalu cukup mengajar saya lebih berhati-hati,”cerita wanita ini yang sudi berkongsi kisah hidupnya buat inspirasi wanita di luar sana untuk bangkit dari terus menjadi mangsa penganiayaan rumahtangga.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Penyakit ain, Ayda Jebat akui setiap kali muat naik video anak akan meragam. Penyakit ain adalah satu kategori penyakit bersifat ghaib. Ianya adalah satu...