Luluh hati melihat keadaan nasib keluarga ini namun berbeza dari sudut wanita yang lebih mesra dipanggil Eylah, dia cukup tabah berdepan dengan ujian Allah sepanjang membesarkan anak-anak syurga dan suaminya.

Kisah hidup wanita berhati angkasa ini dikongsi ramai dari laman facebook Puan Natipah Abu, yang mana kehidupan Eylah cukup memberikan inspirasi kepada kaum ibu yang mempunyai anak-anak syurga.

Namun dalam kekuatannya, terselit kisah hiba apabila suaminya yang sebelum ini yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan secara harian tetiba jatuh sakit.

Bukan Anak Tapi Suaminya Juga Sama

Bak kata pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga.

Setiap kita ada jalan hidup kita masing-masing. Ada susah yang kita tanggung yang hanya kita saja yang tahu. Kita mungkin menyangka susah kita itu ada sesusah-susahnya walhal di luar sana ada lagi yang lebih susah untuk kita gambarkan kesusahannya.

Ini Eylah, dia wanita hati waja. Wajahnya selalu tersenyum .. jumpalah pada bila- bila masa pun, bibirnya tak lekang dengan senyuman.

Dugaan Eylah memang hebat. Sebelum ini Eylah mempertaruhkan seluruh jiwa raganya menjaga dan membesarkan dua anak syurganya, Mohd Danish Haikal – 10 thn dan Mohd Danial Hakim – 3 tahun.

IKLAN

Menurut cerita Puan Norfazilah atau Eylah, kedua-dua anaknya dikesan menghidap cerebral palsy pada usia empat dan lima bulan di mana sebelum itu mereka normal dalam kandungan dan ketika dilahirkan.

Anaknya akan mengalami sawan tarik belasan kali sehari dan ada masanya sehingga 25 kali sehari. Tempoh tarik itu tidak lama dalam dua hingga tiga minit tetapi selang 15 minit kemudian jadi semula.

Along dan adik hanya mampu terlantar, memanggil “mak” pun tak mampu.

Namun hari ini Eylah mempertaruhkan seluruh semangat dan nyawanya menjaga suaminya En Rosmizan Abd Rahim, yang sudah lebih tiga bulan jatuh sakit.

IKLAN

Doktor mengesahkan suaminya terkena kencing tikus dan sejak itu suami yang hanya berkerja kontrak mengikut gaji hari itu tidak mampu bekerja lagi. Hendak berjalan pun terpaksa di papah.

Hilang selera, hilang tenaga… banyak berbaring, berjalan pun dipapah.. semuanya secara tiba-tiba.

Lebih malang, suaminya tidak punya sebarang perlindungan atau caruman perkeso. Kini mereka meneruskan hidup dgn bantuan wang bantuan JKM untuk dua anaknya berjumlah RM700 sebulan. Dengan wang RM 700 itulah Eylah menyediakan makan minum, susu dan pampers kedua anaknya.

Ibu Ini Tak Mudah Terduduk

Tapi Eylah tidak pernah mengeluh, dia selalu berharap suaminya akan pulih seperti dulu semula. Dia juga tidak pernah berputus asa dalam usaha merawat suaminya.

IKLAN

Kesedihannya hanya malam menjadi saksi. Dia tidak ingin suami melihat air matanya. Suaminya harus sembuh untuk sama-sama menguruskan cahaya mata mereka.

Di mata hati Eylah, anak-anaknya tak pernah ada kurangnya.

Semoga Allah permudahkan urusan ke atas keluarga ini dan suami Eylah sembuh seperti sediakala.

Buat orang ramai yang nak hulurkan bantuan, boleh terus salurkan sumbangan melalui akaun:

Maybank Norfazilah Bt Abdullah 102103089696.

Ucapan terima kasih kepada anda yang sudi berkongsi rezeki, in shaa Allah sedikit sebanyak akan kurangkan beban yang ditanggung keluarga ini.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI