“Tidak pernah terfikir cari pengganti.”Suami ini tak menyesal berhenti kerja jaga isteri terlantar setelah isterinya hilang upaya selepas melahirkan anak mereka.
Ternyata bukan sesuatu mudah ditelan apabila isteri yang sihat secara tiba-tiba tidak dapat uruskan diri sendiri apatah lagi anak yang dilahirkan.
Tidak Pernah Terfikir Cari Pengganti
“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk berkahwin lagi atau mencari pengganti isteri sebaliknya akan terus menunggu dia hingga kembali sihat dan menjaganya selagi terdaya,” luah bapa seorang anak, Muhamad Saiful Sudin.
Kini, dia menjaga isterinya, Norfadilla Che Par, 30, yang terlantar sakit selepas melahirkan zuriat sulung mereka kira-kira tiga tahun lalu.
Demi melaksanakan tanggungjawabnya, Muhamad Saiful, 31, yang menetap di Kampung Kok Lintang, Gunung, Kelantan, sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat bekalan tenaga elektrik untuk memastikan dirinya sentiasa berada di sisi Norfadila yang sudah tidak dapat menguruskan dirinya sendiri.
Suami Ini Tak Menyesal Berhenti Kerja
Berkongsi pengalamannya, dia berjaga sehingga awal pagi bagi menemani isterinya yang kebiasaannya tidur selepas waktu Subuh.
Menurutnya, selain memandikan dan menukar lampin pakai buang, dia juga perlu memberi Norfadila minum susu setiap empat jam sekali.
“Isteri saya dalam keadaan baik sebelum dan ketika hamil, namun dengan tiba-tiba jantungnya terhenti selama 10 minit sewaktu melahirkan anak kami secara pembedahan.
“Separuh sel otaknya mati disebabkan oksigen tidak sampai dan mujurlah doktor dapat menyelamatkannya dengan izin Allah.
“Empat bulan isteri saya koma dan Allah saja tahu bagaimana sedihnya saya ketika itu dan syukur sangat apabila dia sedar walaupun tidak boleh bercakap dan perlu menerima rawatan selama empat bulan lagi di hospital untuk pemantauan,” katanya.
Berhenti Kerja Jaga Isteri Terlantar
Bercerita lanjut, Muhamad Saiful bersyukur kerana tinggal bersama keluarga mentua jadi tidak berseorangan memantau Norfadila walaupun dia sepenuhnya yang menguruskan keperluan isterinya itu.
Anaknya, Muhammad Syahmi yang kini berusia tiga tahun dijaga oleh kakak iparnya, Norhasirah yang tinggal di kampung berdekatan.
“Sedih memang ada kerana isteri jadi begitu ketika melahirkan anak dan setahun selepas kami berkahwin.
Ads
“Saya juga pernah hilang semangat terutama ketika isteri koma di hospital kerana melihat keadaannya yang seperti tiada peluang untuk isteri sedar apatah lagi sembuh.
“Bagaimanapun, keluarga yang banyak beri saya kekuatan dan semangat untuk terus cekal menjaga isteri sehingga kini malah mereka juga membantu daripada segi kewangan kerana saya tidak bekerja.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada beri elaun sebanyak RM500 tetapi ia tidak cukup kerana perbelanjaan bulanan isteri dianggarkan mencecah RM1,500 dan ia diperlukan bagi membeli lampin pakai buang, bekalan susu untuk setiap tiga hari dan lain-lain lagi,” katanya.
Peluang Sembuh Tipis
Muhamad Saiful berkata, doktor tidak beri jaminan atau jangkaan tempoh isterinya akan sembuh.
Menurut Muhamad Saiful, jika pulih sekalipun, doktor meminta dia bersiap sedia dengan keadaan Norfadila yang tidak akan normal seperti biasa.
“Dia (Norfadila) mungkin sukar kembali sihat seperti dulu namun saya tidak akan berputus asa malah setiap hari berdoa supaya Allah berinya kesembuhan dan keajaiban iaitu peluang kedua untuk hidup normal.
“Saya tidak pernah menyesal berhenti kerja tiga tahun lalu bagi menjaganya kerana sudah menjadi tanggungjawab sebagai suami untuk ada di sisinya.
“Sekurang-kurangnya, saya tidak akan berasa ralat jika berlaku apa-apa kemudian hari.
“Saya yakin ada hikmah di sebalik ujian ini jadi reda dengan apa yang berlaku dan susah atau senang, biarlah kami bersama,” katanya yang masih membawa Norfadila menjalani pemeriksaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu setiap enam bulan sekali.
Mingguan Wanita : Salute pada suami yang masih setia walaupun telah tiga tahun berlalu. Semoga kisah suami ini menjadi inspirasi kepada pasangan lain yang berdepan dengan ujian sakit. Ternyata menguruskan orang sakit bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi pasangan kita sendiri.
Allahuakbar! Seorang bapa keluar membeli barang, kemudian tinggalkan anak tanpa pengawasan.” Kanak-kanak ini ditemui meninggal apabila jatuh kondominium dari tingkat 29.
Beratnya ujian. Sudah tentu sang bapa menyesal tak sudah apabila anak yang ditinggalkan apabila ditemui sudah tidak bernyawa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Bapa Keluar, Tinggalkan Anak Tanpa Pengawasan
Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, polis menerima maklumat kejadian pada 2.41 petang.
“Sepasukan polis dari Balai Polis Jinjang ke lokasi dan berdasarkan siasatan awal, mangsa ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan di rumah dalam keadaan berkunci.
“Bapa mangsa dikatakan keluar membeli barang dan apabila pulang ke rumah, dia mendapati anaknya sudah tiada sebelum meminta bantuan pihak pengurusan untuk mencari mangsa.
“Mangsa ditemui salah seorang kakitangan pengurusan di kawasan koridor tingkat lapan dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beh berkata, pihak pengurusan menghubungi ambulans dari Hospital Selayang dan mangsa disahkan meninggal dunia.
Tingkap Tiada Jeriji
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tingkap bilik mangsa terbuka dan satu kerusi berada di tepi tingkap yang tidak mempunyai jeriji itu.
“Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.
“Siasatan di lokasi mendapati tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Mingguan Wanita : Semoga tragedi ini menjadi iktibar buat kita semua. Tidak dinafikan malang tak berbau, namun selagi boleh elak janganlah dibiarkan kejadian seumpama ini berulang lagi.
Suami isteri ini mungkin antara pasangan yang bertuah dimurahkan rezeki dengan kelahiran anak yang ramai. Baru menyambut ulangtahun perkahwinan ke 25, pasangan yang telah memiliki 20 orang anak dan 3 orang cucu ini, mengumumkan bakal menimang cahaya mata yang ke 21 pada November ini! Sekaligus mencipta sejarah sebagai keluarga paling besar dan memiliki paling ramai anak di Britain.
Pasangan Noel dan Sue Radford masing-masing berusia 47 dan 43 tahun yang menetap di Morecambe, Lancashire mendapat anak pertama pada tahun 1989 ketika Sue hanya berumur 14 tahun.
Pada awal perkahwinan pasangan ini merancang untuk memiliki hanya 3 orang cahaya mata, namun kegembiraan mendapat anak membuatkan mereka meneruskannnya. Noel dan Sue telah memiliki 11 orang anak lelaki dan 9 orang anak perempuan.
Anak-Anak kepada pasangan ini adalah:
1.Christopher (28 tahun)
2.Sophie Rose (24 tahun)
3.Chleo Anne (22 tahun)
4.Jack Richard (20 tahun)
5.Daniel Leon (19 tahun)
6.Luke James (17 tahun)
7.Millie Jo (16 tahun)
8.Katie Louise (15 tahun)
9.James Edward (14 tahun)
10.Ellie May (12 tahun)
11.Aimee Elizabeth (11 tahun)
12.Joshua Benjamin (10 tahun)
13.Max Joseph (9 tahun)
14.Tillie May (7 tahun)
15.Oscar William (6 tahun)
16.Casper Theo (5 tahun)
17.Alfie Thomas (Keguguran)
18.Hallie Alphia Beau (2 tahun)
19.Phoebe Willow (18 bulan)
20.Archie Rowan (9 bulan)
Ketika melahirkan anak ke-9, Noel telah menjalani pembedahan vasektomi, namun merawatinya kembali kerana cinta terhadap anak kecil membuatkan mereka bertukar fikiran untuk menambah lagi dan membesarkan ahli keluarga. Anak ke 17 pasangan ini yang dinamakan Alfie, meninggal dunia pada 2014 ketika usia kandungan Sue mencecah 23 minggu. Meskipun Sue baru sahaja melahirkan anaknya yang ke 20 September lalu, proses kelahiran dilalui dengan mudah walaupun dianggap sebagai berisiko tinggi oleh doktor.
Tidak Harapkan Bantuan Kerajaan
Keluarga besar itu kini menetap di kediaman ala Victoria yang dibeli 11 tahun lalu, walaupun mempunyai anak yang ramai pasangan tersebut dilaporkan tidak mempunyai beban kewangan dalam menyara keluarga dan sering bercuti ke luar negara setiap tahun.Pasangan ini memiliki perniagaan membuat pai dan tidak mengharapkan bantuan kerajaan dalam membesarkan anak-anak mereka.
Kesemua ahli keluarga ini tinggal di rumah yang memiliki 10 buah bilik yang dibeli pasangan ini pada tahun 2004 dengan harga RM1.3juta.Noel dan Sue menghabiskan lebih daripada RM160,000 menyediakan makanan dan pakaian anak-anak mereka. Kos mingguan membeli barangan keperluan rumah adalah sekitar RM1,300 termasuklah, 74 liter susu, lebih 20 buku roti, 14 kotak bijirin dan 28 gulung tisu tandas.Keluarga ini menggunakan minivan dengan 15 tempat duduk untuk bergerak.
Namun istimewanya, walaupun sibuk menjaga anak dan mengendalikan rumah, pasangan ini masih mampu bercuti meraikan ulangtahun perkahwinan ke 25 mereka.
MW: Kita ada dua tiga orang anak pun dan pening kepala, macam mana nak uruskan 21 orang anak sekaligus! Pasangan ini memang betul-betul hebat!
Lumrah bila jadi mak, automatik akan ada sikap suka membebel. Bebelan pada anak-anak yang macam-macam ragamnya. Itulah yang selalu orang cakap, anak tengah membesar kan, ada saja buat mak nak marah.
Kadang-kadang, boleh hilang rasa malu mak-mak bila nak marah pada anak-anak. Tapi, marah setakat itu sahajalah, lepas daripada itu, kehidupan kembali normal. Boleh pula usik mengusik dengan anak-anak.
Bebelan mak-mak ini juga boleh membuatkan anak-anak akan ingat. Tak mustahil, anak kejayaan anak-anak kerana sikap mak yang suka membebel, sampaikan anak itu ingat sampai dewasa.
Ada tak mak-mak yang tidak suka membebel. Boleh kira berapa ramai ye. Pelik juga kalau mak-mak tak membebel. Mungkin diganti dengan ayahnya pula. Begitulah hidup berumah tangga dalam mebesarkan anak-anak.
Perkongsian daripada Rohana Saad ini cukup menarik. Realiti kehidupan mak-mak sekarang. Menjerit, membebel itulah menjadi kenangan dan ingat buat anak-anak.
Dulu masa anak dara, bila tenguk makcik-makcik jiran marah anak selalu kita terfikir tak malu ke jerit-jerit marah anak sampai di dengari jiran sekeliling. Rumah jiran depan bunyi macam Komando.
Jiran sebelah macam Kapten. Jiran belakang serupa Leftenen. Setelah masa
berlalu dan kita pulak dah ada anak, mereka semua kalah. Kita lagi hebat rupanya, semua pangkat kita tapau!!. Ada baca artikel, Mak-mak membebel punca anak berjaya. Jadi, beruntung anak-anak yang ada mak yang suka membebel. Bila anak-anak dah dewasa, mereka akan rindu saat maknya memetir.
Berubah Selepas Kahwin
Sebelum kahwin, kita ni memang gadis lemah lembut dan cukup bersopan santun. Tapi bila dah beranak pinak, kita yang basuh berak anak, kemas rumah, masak, basuh baju bagai, merangkap jadi cikgu sekali, hilanglah lemah lembut sopan santunnya dan dah tukar jadi Tarzan.
Kehidupan kita yang semua benda kita nak kena urus sendiri, tak sama dengan mereka yang ada helper. Mereka cuma fokus ngadap anak je.Tak mampu kita nak berlembut tegur anak macam retis.
Penat tak sama, emosi tak sama, perangai anak pun tak sama. Semua tak sama, so tak payah compare hidup kita dengan hidup selebriti di luar sana. Syukur aje. ALLAH tahu struggle kita macam mana.
Masa anak seorang, kita masih lemah gemalai lagi. Masuk anak dua, tiga, empat, lima dan seterusnya kita dah tak sempat gemalai. Anak cakap “ibu garang macam dinosaur”. Mahu taknya, baru kemas mainan tak sampai 5 minit dah sepah.
Baju yang lipat dah susun cantik jadi berkencah. Bukan setakat boleh jadi Pontianak Harum Sundal Malam, jadi sister ngesot kak Limah tak jumpa rumah pun boleh!. Kita kerja, balik rumah kita sambung kerja lagi mana tak macam mak lampir sekali menjerit.
Lain orang lain rezeki yang penting anak-anak membesar dengan elok. Mak ayah kita dulu pun tak adanya berlembut 24 jam. Alhamdulillah kita jadi orang. Jadi kita kekalkan sajalah tradisi tu, mana boleh kita pecah tradisi tu kan?
MW: Jangan hairanlah bila ‘mak ko dah bertukar jadi hijau’. Adalah yang menyebabkan mak-mak jadi begitu. Tpi, semua ini untuk kebaikan anak-anak juga.
Mayat tiga beranak ditemui mereput di dalam rumah, anak lelaki autistik. Tiga mayat yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan ditemukan dalam sebuah rumah di Jalan Bukit Kristal di sini pada Selasa.