Pesan Diana jangan malu belajar mengaji walau usia lanjut. Belajar mengaji pada usia lanjut adakalanya membibitkan perasaan malu bagi segelintir orang.
Namun sebenarnya rasa itu sepatutnya tidak perlu ada kerana ia melibatkan perihal menuntut ilmu terutama berkaitan agama. Sementelah, menuntut ilmu itu merupakan kewajipan ke atas setiap insan.
Pesan Diana Jangan Malu Belajar Mengaji
Begitu juga dengan pesanan dari pelakon wanita yang kini telah berhijrah dan istiqamah dalam perjalanannya sebagai seorang Muslimah sejati.
Menurut Diana perjalanan dirinya dan pembelajaran al-Quranada jatuh bangun. Namun dirinya tanamkan dalam hati untuk terus mencari guru dan memperbetulkan bacaan.
Paling penting buat diri ibu kepada dua orang cahaya mata ini, Khawlah Al Azwar dan Khadijah Azzehra dalam menimba ilmu jangan pernah malu untuk mengaji walaupun usia sudah lanjut.
“Perjalanan Diana dan Al-Quran ada jatuh bangun, tapi Allah suka hambaNya yang istiqamah kan?
Ads
“Terus mencari guru dan betulkan bacaan, jangan pernah malu walaupun usia tak berapa muda. Semoga dikurnia hati yang sentiasa dekat dengan Al-Quran, amin,” ungkap Diana.
Tumpang Berkat Majlis Ilmu
Sempena sambutan Nuzul Quran Diana telah dijemput untuk mengalunkan ayat suci Al-Quran menerusi sebuah program ilmu.
“Jzk @mcplus.my jemput diana, tumpang berkat majlis ilmu yang dijalankan di hari yang mulia bersama sahabat-sahabat dan guru yang mulia, banyak salah sy ni.
“Doakan terus diberi kefahaman agama dan kefasihan lidah, insyaAllah untuk menjadi ahli AlQuran, amin.
Duduk Di Podium Baca Al-Quran
“Kali kedua duduk kat podium baca AlQuran, masih tak biasa lagi, dupdapdupdap , @hanaalmauzah duk seblah duk kena kacau ngan kita, sabarlah hana..
“Alhamdulillah ‘ala kulli hal, mashaAllah hebatnya hafiz hafizah, qari qariah, boleh duk lama dengan nafas panjang gitu.
“Kalau saya tak mampu, hopefully anak-anak akan mampu menjadi sehebat qari-qari qariah di luar sana, amin,” luah Diana menerusi perkongsin di akaun rasmi Instagrmnya.
Menerusi perkongsian ramai yang mendoakan terbaik buat Diana sekeluarga. Diana jug begitu terharu, “Salam, Haza Min Fadhli Rabbi, terima kasih semua untuk doa yang baik-baik, semoga Allah pelihara ikhlas dalam hati, ampunkan kita di bulan Ramadhan ni, dan sentiasa dalam rahmat Allah swt. JZK semua”.
Sujud Syukur pada mu Ya Allah begitulah yang diluahkan oleh balu arwah Abam Bocey, Nor Hidayah Mohd Ali, apabila menang dalam kes saman fitnah difailkan terhadap bekas adik iparnya, Ali, Puteh, yang turut diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM60,000.
Sujud Syukur Pada Mu Ya Allah
Seperti mana yang dikongsi menerusi entri di akaun rasmi Instagrmnya, Hidayah memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa.
“Alhamdulillah syukur pada Allah kes Saman Hakim putus kan kemenangan kepada ku Hidayah Hamzah syukur pada Allah.
“Terima kasih kepada peguam kami, Mak, Abah, Anakku Hamzah, adik beradik famili dan rakyat Malaysia yang mendoakan kami sekeluarga. Amin Ya Rabbal Alamin,” luah Hidayah yang turut menulis tanda pagar Sujud Syukur Pada Mu Ya Allah.
Rezeki Anak Yatim Di Pagi Jumaat
Bukan itu saja malah menerusi ruangan komen juga ramai netizen yang turut mengucapkan tahniah dan kesyukuran atas kemenangan ibu tunggal itu.
“Alhamdulillah. Rezeki anak yatim di pagi jumaat, terus kuat Dayah jaga Hamzah baik-baik. Moga Allah permudahkan urusan Dayah,” komen salah seorang pengikut Hidayah di Instagram menerusi akaun aisyah19782020.
Seperti mana yang dipetik menerusi laporan di Harian Metro pula, adik ipar kepada Hidayah iaitu Ali Puteh akur dengan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar RM60,000 kepada balu Allahyarham Abam Bocey kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan, di Instagram dua tahun lalu.
Hakim, Zulqarnain Hassan memerintahkan demikian selepas membenarkan tuntutan balas yang dikemukakan Hidayah selaku plaintif terhadap Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan selaku defendan.
Ia berhubung hantaran ‘Bile balu arwah Abam berhati binatang!!!’, pada dua tahun lalu.
Terbaru pelawak ini menyatakan dia akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi berikutan terdapat beberapa fakta yang didakwa tidak tepat.
Mingguan Wanita: Semoga Hidayah dapat membesarkan anak tunggalnya Hamzah dengan penuh kasih sayang. Ternyata Hidayah seorang yang begitu tabah dalam mengharungi hidup sebagai ibu tunggal.
Kedatangan musim haji tiba lagi.Seronok rasa hati melihat para jemaah menjadi tetamu Allah, melipat gandakan amalan di tanah suci agar memperolehi haji yang mabrur.
Namun, bagi yang tidak berpeluang pergi menunaikan haji, sebenarnya juga turut mempunyai peluang yang cukup besar untuk meningkatkan amalan dan ibadat pada bulan Zulhijjah ini.Ramai yang menganggap 10 hari awal Zulhijjah tidak penting atau nikmatnya tidak seperti berada dalam bulan Ramadan.
Namun hakikatnya, 10 hari awal ZuIhijjah ini sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri. Allah SWT sedia untuk memberikan kepada hamba-Nya pintu keredaan, keampunan dan kerahmatan.
Soalan:Dr, MAZA, apakah benar bahawa sepuluh hari bulan Zulhijjah ini paling terbaik untuk kita beribadah. Tidakkah Ramadan bulan yang terbaik? Jika benar sepuluh hari Zulhijjah terbaik, apakah amalan yang patut saya lakukan?
Jawapan Dr MAZA: Memang benar, terdapat dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang memberi maksud sepuluh hari awal Zul Hijjah merupakan hari-hari yang penuh dengan kelebihan dan kurniaan Allah. Bahkan dalam hadis, Nabi s.a.w menyatakan sepuluh awal Zulhijjah merupakan hari-hari yang paling terbaik untuk seseorang melakukan apa-apa amalan soleh.
Berikut dalil dan perbincangan;
1. Dinyatakan Dalam Surah Al-Fajr
Firman Allah dalam Surah al-Fajr ayat 1-2: وَالْفَجْرِ (1) وَلَيَالٍ عَشْرٍ (2)
(maksudnya: Demi waktu fajar. Dan (demi) malam-malam yang sepuluh)
Menurut Ibn ‘Abbas, Abdullah bin al-Zubair, Mujahid dan ramai kalangan ulama salaf dan khalaf bahawa yang dimaksudkan dengan sepuluh malam dalam di ayat ialah sepuluh hari (awal) Zul Hijjah (lihat: Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, 2/593. Dar Tibah).
Apabila Allah bersumpah dengan sepuluh hari Zulhijjah tersebut, pasti ia mempunyai keistimewaan yang tersendiri.
Daripada Ibn ‘Abbas, dia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada hari-hari yang amalan soleh padanya paling Allah sukai melebihi sepuluh hari ini (sepuluh hari awal Zulhijjah)”. Mereka bertanya: “Sekalipun jihad pada jalan Allah?”. Jawab Rasulullah s.a.w: Sekalipun jihad pada jalan Allah, melainkan seorang lelaki yang keluar (berjuang) dengan diri dan hartanya dan tidak mendapat semua itu kembali walaupun sedikit” (Riwayat al-Bukhari, al-Tirmizi -lafaz di atas adalah lafaz al-Tirmizi- , Abu Daud, Ibn Majah).
Dalam riwayat al-Darimi (berstatus hasan) daripada Ibn ‘Abbas, lafaz hadis seperti berikut:
“Tiada amalan yang lebih mulia di sisi Allah dan lebih besar pahala daripada kebaikan yang seseorang lakukan pada sepuluh hari Adha (sepuluh hari awal Zulhijjah).”
Berdasarkan hadis di atas, maka sepuluh hari awal Zulhijjah merupakan hari-hari yang paling disukai oleh Allah untuk kita melakukan amalan soleh. Pahala yang dijanjikan paling banyak.
3.Dikatakan Amalan Soleh Waktu Siang 10 Hari Zulhijjah Lebih Baik Dari 10 Hari Terakhir Ramadan
Para ulama berbincang, apakah hadis ini menunjukkan sepuluh hari Zulhijjah itu lebih afdal dari sepuluh hari terakhir Ramadan?
Dalam menilai hal ini, para ulama berbeza pendapat, ada yang berpendapat amalan soleh semasa sepuluh hari awal Zulhijjah ini lebih afdal dari semua hari termasuk sepuluh akhir Ramadan. Ada pula yang mempertahankan sepuluh akhir Ramadan itu lebih afdal.
Hasil dari perbahasan mereka, ada yang mentarjihkan bahawa amalan soleh pada waktu siang hari semasa sepuluh hari awal Zulhijjah lebih baik daripada semua hari termasuk sepuluh hari akhir Ramadan. Sementara amalan soleh pada malam hari sepuluh akhir Ramadan lebih afdal dibandingkan semua malam termasuk sepuluh malam akhir Zulhijjah. Alasan mereka kerana pada malam sepuluh akhir Ramadan terdapat Lailatul Qadar yang merupakan malam yang terbaik. Sementara pada siang sepuluh hari awal Zulhijjah terdapat Hari Arafah yang merupakan hari yang terbaik (sila lihat: ‘Ali al-Qari, Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 3/1082. Beirut: Dar al-Fikr) .
4.Terkumpulnya Ibadah-Ibadah Utama
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berpendapat keistimewaan sepuluh hari Zulhijjah kerana terkumpul padanya segala ibadah-ibadah utama; solat, puasa, sedekah (zakat) dan haji. Ini tidak terdapat pada waktu yang lain (lihat: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 2/459. Beirut: Dar al-Ma’rifah).
Maka, sepuluh hari awal Zulhijjah merupakan satu tempoh yang mana manusia beribadah kepada Allah dalam segala bentuknya. Ia benar-benar satu tempoh waktu pelbagai ibadah dipersembahkan oleh sekelian para hamba yang soleh. Allah merahmati waktu tersebut dengan memberikan ganjaran yang besar kepada apa sahaja amalan soleh yang dilakukan semasa sepuluh hari berkenaan.
5. Hari Yang Paling Besar Ganjarannya
Apapun yang jelasnya, hadis Nabi s.a.w tersebut menggalakan amalan soleh pada sepuluh hari awal Zulhijjah. Amalan soleh pada hari-hari tersebut paling disukai di sisi Allah serta paling besar ganjarannya dibandingkan hari-hari yang lain. Perkataan ‘amalan soleh’ itu merangkupi segala perbuatan baik yang disukai Allah. Ini termasuk solat, puasa, sedekah, bacaan al-Quran, zikir, tahmid, takbir, tahlil, tolong-menolong untuk kebaikan, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang yang kesusahan, memberikan makan dan seumpamanya.
Maka, semasa tempoh sepuluh hari awal Zulhijjah ini marilah kita berusaha bersungguh-sungguh melakukan amalan yang mendapat pahala di sisi Allah. Demikian kita wajar menjauhkan diri dari dosa sebagai menghormati hari-hari yang Allah muliakan. Kita berusaha membanyakkan ibadah dan apa sahaja amalan baik. Ini kerana, semasa pahala meningkat, semasa itu amalan patut meningkat. Maka bergandalah amalan yang banyak dengan pahala yang besar.
Amalan yang wajib atau fardu kita perbaiki dan perindahkan. Maka bukan sahaja solat fardu, tetapi secara berjamaah. Demikian kita boleh membayar zakat wajib dalam tempoh ini. Meningkatkan berbuat baik kepada ibubapa, mengukuhkan lagi tarbiah untuk keluarga dan mereka yang menjadi tanggung jawab kita. Melakukan Amar Makruf dan Nahi Munkar dengan cara yang lebih baik.
Sementara amalan sunat ataupun nafilah seperti puasa sunat boleh dilakukan semasa sepuluh hari tersebut, apatahlagi pada Hari Arafah. Demikianlah membaca al-Quran, beristighfar, berdoa, bersedekah, membantu yang memerlukan dan seterusnya apa sahaja amalan yang baik di sisi Allah, samada antara kita dengan Allah ataupun antara kita sesama hamba-hamba Allah yang lain.
Kesimpulannya, sepuluh hari ini bagaikan pesta amalan soleh yang kita wajar penuhi setiap detik di dalamnya. Ia merupakan peluang pahala paling besar yang Allah berikan kepada kita semua. Marilah kita berusaha merebut peluang yang hebat ini.
Semoga perkongsian ini bermanfaat, sama-samalah kita mempertingkatkan amalan dan merebut ganjaran pahala pada 10 hari awal ZuIhijjah ini.
Bukan mudah untuk melupakan kenangan yang dibina hampir 32 tahun bersama ibu. Perselisihan pendapat hanyalah biasa, manakan bisa terpisah hubungan antara ibu dan anak. Tetapi kini segalanya tinggal kenangan apabila ibunya pergi menghadap Ilahi pada 3 Januari 2019 yang lalu setelah terlibat dalam kemalangan jalanraya.
Biar pun hampir setahun berlalu, tetapi segalanya masih segar di ingatan Rusda Adiba Ahmad, 33 tahun. Mengimbau pada hari kejadian, menurut Rusda Adiba, kebetulan hari tersebut merupakan hari cuti buat Rusda Adiba yang bekerja sebagai jururawat.
“Maklumlah hari cuti, sebenarnya saya merancang untuk ke rumah kawan yang anjurkan majlis makan-makan. Kebetulan mak pula rancang nak buat tahlil untuk arwah wan yang meninggal dunia pada 26 Disember 2019. Pagi itu mak hanya beritahu nak keluar beli laksa untuk majlis tahlil di kedai berdekatan. Sebelum keluar, sempat lagi dia berpesan pada saya jangan lupa kunci pintu.
“Tetapi tak lama selepas mak keluar dalam jam 11 pagi, ada orang datang rumah beritahu mak terlibat dalam kemalangan. Setelah bersiap, saya terus ke tempat kejadian. Ketika itu memang dalam fikiran akan bawa mak balik rumah kalau tak teruk sangat tapi kalau mak sakit, kami akan ke hospital terus.
“Dalam perjalanan ke sana, saya ada cuba hubungi mak dan orang lain yang jawab. Dia tanya saya di mana dan minta saya datang ke tempat kejadian dengan segera. Hati saya makin berdebar apabila soalan saya tentang keadaan mak tak dijawab dan minta saya tengok sendiri.
‘Sampai sahaja di tempat kejadian, saya sudah nampak keadaan motosikal mak, memang teruk. Tak jauh dari situ saya nampak jasad yang ditutup kain putih. Ketika orang minta sahkan betul ke mak, memang jelas mak,” ungkap Rusda Adiba sebak tak mampu menahan sebak.
Majlis kenduri tahlil yang sepatutnya dianjurkan untuk datuknya bertukar kepada majlis tahlil buat ibu Rusda Adiba. Siapa sangka, tidak sampai 10 hari, ibunya pula menyusul menghadap Ilahi.
Mak Pergi Mengejut
Sesungguhnya bukan mudah untuk menelan takdir, kehilangan ibu tercinta ibarat kehilangan nyawa sendiri, hilang tempat bergantung. Tatkala melihat jenazah ibunya, Rusda Adiba memang terduduk dan menangis semahu-mahunya. Perutnya yang sedang memboyot, mengeras secara tiba-tiba kerana dirinya sedang hamil anak ketiga.
Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia(JPAM) yang bertugas cuba menenangkan Rusda Adiba apabila melihat emosinya tidak terkawal. Bayangkan ibunya pergi mengejut, sudah tentu memberi tamparan hebat buat empunya diri. Ternyata bukan mudah Rusda Adiba menerima takdir yang menimpa.
“Lama juga saya memendam rasa dan dilanda rasa sedih, dalam keadaan mengandung ketika itu buatkan saya lebih beremosi. Sehingga selepas bersalin masih terkenangkan arwah mak. Sepatutnya mak yang menjaga saya ketika berpantang, akibat kejadian itu saya berpantang tanpa ditemani mak.
“Setelah enam bulan berlalu, barulah saya boleh kawal emosi. Tujuan utama saya berpindah daripada Hospital Seremban, Negeri Sembilan ke Hospital Alor Setar, Kedah semata-mata untuk bersama mak dan abah. Tetapi selepas beberapa bulan bersama, emak pergi dulu.
“Lagi pula saya memang rapat dengan mak kerana saya satu-satunya anak perempuan. Oleh sebab itu berat sangat nak terima kenyataan yang mak dah tiada. Sepanjang saya berpindah balik ke kampung, segalanya mak yang uruskan. Suami terlibat dalam operasi kerana dia seorang pegawai tentera, mak dan abah lah orang pertama yang hulurkan pertolongan. Jadi ketiadaan mak amat terasa,” jelasnya lagi.
Terpaksa Berdikari
Setiap kali berada di rumah ibunya membuatkan hati anak kelahiran Kedah ini terkenang pada arwah. Segenap inci rumah ibu mengingatkan memori Rusda Adiba dengan ibunya. Setiap kali menumpang solat di bilik ibunya, terasa seolah-olah ibunya masih ada.
Kehilangan ibu buatkan Rusda Adiba makin kuat menempuh hari mendatang serta lebih berdikari. Jika selama ini, wanita ini dapat sandarkan beberapa perkara pada ibunya, kini tiada lagi. Segalanya Rusda Adiba uruskan sendiri termasuklah kerja rumah dan juga menguruskan anak-anak.
“Setiap kali bersedih dan teringat mak, saya akan bacakan surah Al-fatihah. Biasanya kalau berada di rumah, saya akan masuk bilik arwah dan duduk lama-lama sambil bacakan surah Yassin. Setiap kali tibanya hari Jumaat, saya akan ziarah kubur mak.
“Ketika hari ulangtahun mak yang ke-60 pada 15 November, paginya saya ziarah kubur mak dan malamnya saya buat sedikit kenduri tahlil di masjid khas buat mak.
“Harapan dan fokus saya setelah mak tiada adalah menjaga abah. Memang tujuan utama minta pindah balik ke Kedah adalah untuk menjaga mak dan abah. Cukuplah 10 tahun tinggal berjauhan. Tetapi hanya 8 bulan sahaja Allah tunaikan hasrat saya untuk menjaga mak.
“Namun saya bersyukur dapat uruskan jenazah hingga selesai semuanya. Bermula dari tempat kejadian, pergi ke hospital naik kereta polis escort jenazah, berjumpa doktor untuk urusan bedah siasat dan termasuklah memandikan jenazah serta kafankan dia.
“Kalau saya bertugas atau tinggal jauh dari mak, mungkin saya tak dapat lakukan semua ini,” luahnya hiba yang mengakui bahawa tidak mampu membalas segalanya kebaikan ibunya kerana melahirkan dan membesarkan dia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Saharul Ridzwan jual kereta honda milik isteri. Sebelum ini ramai yang berasa sebak apabila pelakon Saharul Ridzwan mendedahkan dirinya terpaksa menjual kereta milik isterinya,...