Tiga hari tidak sedarkan diri, akhirnya si isteri pergi bertemu Pencipta akibat komplikasi penyakit asma dihidapinya. Suaminya, Raja Muhammad Raja Ali, 45, reda dan arwah pernah beberapa kali memaklumkan sudah mengisytiharkan untuk menderma organ.
Pergi Bertemu Pencipta Selepas Tiga Hari Tak Sedarkan Diri
Ads
Ads
Ads
Katanya, arwah sudah mendaftar sebagai penderma organ bersama tiga adiknya dan selepas berbincang bersama ahli keluarga, dia mengambil keputusan menunaikan hajat isterinya.
“Selepas pihak hospital mengesahkan nama arwah terdapat dalam rekod penderma organ, saya meneruskan hasrat itu bagi memberi peluang kepada pesakit lain yang lebih memerlukan.
“Saya fikir hasrat menderma organ ini untuk kebaikan arwah, justeru saya bersetuju dermakan organ arwah,” katanya.
Menurutnya, semoga organ itu dapat memberi manfaat dan peluang kepada orang yang lebih memerlukan meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna.
Menceritakan lebih lanjut, Raja Muhammad berkata, arwah isterinya yang berkhidmat sebagai Penolong Akauntan di Pejabat Bendahari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mula mengadu sukar bernafas pada malam Ahad sebelum dibawa ke klinik berhampiran kediamannya.
“Sebaik tiba di klinik, arwah dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pihak klinik meminta saya membawanya terus ke hospital.
“Arwah mula tidak sedarkan diri kira-kira jam 10.30 malam Ahad dan selepas tiga hari menerima rawatan, arwah disahkan meninggal dunia pada jam 7.56 malam semalam,” katanya.
Menurutnya, pihak hospital memaklumkan organ yang akan didermakan ialah buah pinggang, hati, tulang dan injap jantung.
Dia difahamkan, buah pinggang dan hati arwah sudah mempunyai penerima dan organ itu akan dihantar ke Kuala Lumpur pagi hari ini.
Proses pembedahan bermula kira-kira jam 3 pagi tadi dan difahamkan mungkin selesai sepenuhnya pada jam 6 petang atau 7 malam nanti.
Raja Muhammad yang juga pembantu tadbir di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, pemergian arwah amat dirasai empat anak mereka yang berusia antara sembilan hingga 19 tahun.
“Arwah memang seorang yang ceria, selalu buat orang di sekelilingnya gembira dan ketawa sebab itu bila dia tiada kami sekeluarga memang terasa sangat kehilangannya.
“Saya dan arwah sering keluar bersama, pergi makan, berjalan dan mencari tempat-tempat yang tular untuk kami kunjungi dan memori itu akan terpahat dalam kenangan saya dan anak-anak buat selamanya,” katanya.
Menurutnya, dia reda dengan pemergian arwah yang berlaku dalam sekelip mata kerana pada pagi Ahad, mereka pergi kerja, sarapan dan makan tengah hari bersama-sama memandang tempat kerja berdekatan.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Padang Tengir, Manir selepas selesai semua urusan berkaitan pendermaan organ dilaksanakan.
Tiada siapa yang sangka, selepas anak dikebumikan, ibu pula menyusul pergi pada hari yang sama dengan hanya berjarak kira-kira 10 jam.
Perkara itu dikongsikan seorang kenalan dikenali sebagai Cikgu Izzat Johari menerusi hantaran di Facebooknya semalam.
Menurut perkongsian itu, arwah Syed Salim Syed Abdullah, 56, meninggal dunia pada pukul 12.57 pagi, 8 Ogos, manakala ibunya, Saripah Nariah Said Hanip, 76, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.39 pagi hari sama.
Lebih menyayat hati, Allahyarham Saripah meninggal dunia ketika jenazah anaknya baru sahaja selesai dikebumikan.
“Arwah abang Salim – 12.57 pagi. Arwah maknya – 11.39 pagi (meninggal ketika anaknya baru siap dikebumi),” tulisnya.
Menurut Izzat, Allahyarham Saripah pada awalnya berada dalam keadaan sihat dan masih mampu berbual bersama ahli keluarga ketika menunggu urusan pengebumian jenazah anaknya diselesaikan.
“Semasa menunggu jenazah anaknya disiapkan, arwah maknya sihat boleh borak dalam sedih,” katanya.
Izzat turut merayu kepada keluarga dan rakan-rakan agar sama-sama menghadiahkan bacaan al-Fatihah buat kedua-dua arwah.
“Saya dengan rasa rendah diri, mohon jasa baik semua keluarga dan rakan untuk sedekahkan pahala al-Fatihah buat kedua mereka ini yang pergi serentak hari yang sama.
“Tolong ya semua. Mohon sedekahkan pahala al-Fatihah buat keduanya. Semoga ditempatkan di kalangan orang-orang beriman…Amin,” katanya.
Berdasarkan kad takziah yang dikongsikan, Syed Salim dilahirkan pada 11 September 1969, manakala Saripah dilahirkan pada 11 Ogos 1949.
Perkongsian tersebut mengundang rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial yang turut menitipkan doa buat kedua-dua arwah serta keluarga yang ditinggalkan.
“Semoga arwah kakak saya Saripah Noriah (Kak Pah) dan anak saudara saya Syed Salim) ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kasih sayang seorang ibu kepada anaknya sehingga ke hujung nyawa,” komen Sherry.
Semoga rohnya keluarga ini dicucuri rahmat bersama orang-orang yang beriman.
Al-Fatihah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Minat motor bukan haram. Berkonvoi juga bukan satu kesalahan. Tetapi apabila hobi mula mengatasi tanggungjawab, di situlah masalah bermula.
Begitulah pandangan daripada seorang Peguam Syarie, Fahmi Ramli & Co. Sebelum pergi jauh isu minat motor ini, jemput baca sejenak. Cuba hadam dan renungkan.
Pernah mengendalikan beberapa kes di Mahkamah Syariah yang akhirnya berakhir dengan perceraian. Antara puncanya bukan kerana orang ketiga pada awalnya.
Tetapi kerana seorang suami terlalu obses dengan motosikal. Setiap hujung minggu ada gathering. Setiap cuti ada konvoi.
Ada yang keluar dari awal pagi sampai tengah malam. Ada yang pergi dua tiga hari. Isteri pula? Tinggal di rumah menguruskan anak-anak seorang diri. Anak demam, isteri kepenatan. Rumah perlu diurus.
Belanja semakin sempit tetapi suami sibuk merancang trip seterusnya. Lebih menyedihkan, ada yang menggunakan alasan “konvoi” untuk keluar bersama wanita lain.
Apabila perkara itu terbongkar, rumah tangga yang sudah retak akhirnya berkecai. Ada juga yang sanggup berhabis ribuan ringgit untuk mengubah suai motosikal, membeli aksesori dan menyertai pelbagai program.
Namun apabila isteri meminta wang belanja dapur, bayaran sekolah anak atau perbelanjaan keluarga, jawapannya cuma satu.
“Tak ada duit.”
Ironinya, duit untuk hobi sentiasa ada. Saya juga pernah melihat sendiri bagaimana sebuah keluarga berubah sekelip mata apabila suami meninggal dunia akibat kemalangan ketika berkonvoi.
Yang tinggal bukan sekadar motosikal. Yang tinggal ialah seorang balu yang terpaksa membesarkan anak-anak sendirian. Yang tinggal ialah anak-anak yang membesar tanpa kasih sayang seorang ayah. Yang tinggal ialah penyesalan yang tidak lagi boleh diputar semula.
Seorang lelaki perlu faham, apabila memilih untuk menjadi suami dan ayah, kehidupan bukan lagi berpusat kepada diri sendiri.
Keutamaan sudah berubah. Anak-anak tidak akan ingat berapa banyak gathering yang ayah sertai. Tetapi mereka akan ingat. Siapa yang hadir ketika mereka sakit.
Siapa yang membawa mereka ke sekolah. Siapa yang bermain bersama mereka. Siapa yang sentiasa ada apabila mereka memerlukan seorang ayah.
Begitu juga seorang isteri. Dia tidak perlukan suami yang paling bergaya di atas motosikal.
Dia perlukan suami yang pulang membawa ketenangan ke dalam rumah. Tidak salah berehat. Tidak salah mempunyai hobi. Tetapi jangan sampai hobi mengambil masa, wang, perhatian dan kasih sayang yang sepatutnya menjadi hak keluarga.
✅ Boleh ke isteri failkan perceraian hanya sebab suami terlalu obses dengan konvoi motosikal?”
Jawapannya, boleh dipertimbangkan oleh Mahkamah, tetapi bukan semata-mata kerana suami mempunyai hobi motosikal.
Undang-undang tidak menghukum seseorang hanya kerana dia mempunyai minat atau hobi.
Namun, apabila hobi itu menyebabkan suami gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dan bapa, kedudukan undang-undang menjadi berbeza.
✅ Sebagai contoh, apabila akibat terlalu obses dengan konvoi atau aktiviti motosikal:
❎ Suami mengabaikan nafkah isteri dan anak-anak.
❎ Kerap meninggalkan keluarga tanpa alasan yang munasabah.
❎ Isteri terpaksa memikul semua tanggungjawab mengurus rumah dan anak bersendirian sehingga memudaratkan dirinya.
❎ Wang keluarga dihabiskan untuk hobi sehingga keperluan asas keluarga terabai.
❎ Suami menjadikan konvoi sebagai alasan untuk keluar bersama wanita lain.
❎ Berlaku pergaduhan berpanjangan sehingga wujud syiqaq (perpecahan rumah tangga) yang tidak lagi dapat dipulihkan.
Dalam keadaan seperti ini, isteri boleh mendapatkan nasihat undang-undang dan mempertimbangkan tindakan di Mahkamah Syariah, sama ada melalui tuntutan seperti fasakh atau prosiding lain yang bersesuaian bergantung kepada fakta kes.
Yang penting, Mahkamah tidak akan melihat hobi itu semata-mata, tetapi akan menilai kesan hobi tersebut terhadap pelaksanaan tanggungjawab suami serta kemudaratan yang dialami oleh isteri dan anak-anak.
Itulah yang sering saya tekankan kepada anak guam. Bukan motosikal yang menjadi punca perceraian. Tetapi sikap seorang suami yang memilih hobinya mengatasi amanah yang Allah SWT letakkan di atas bahunya sebagai ketua keluarga.
Kesimpulannya, di Mahkamah Syariah, terlalu banyak rumah tangga yang saya lihat musnah bukan kerana satu kesalahan besar. Tetapi kerana suami terlalu lama mengabaikan perkara-perkara kecil yang sebenarnya paling penting.
Akhirnya isteri penat. Anak-anak semakin jauh. Dan apabila surat tuntutan perceraian sampai ke mahkamah. Barulah suami sedar bahawa keluarga yang selama ini menunggu di rumah sudah hilang. Motosikal boleh dibeli semula.
Konvoi boleh disertai pada bila-bila masa. Tetapi masa bersama isteri dan anak-anak tidak akan pernah kembali.
Jadilah lelaki yang apabila anak menyebut “Ayah”, mereka tersenyum. Bukan lelaki yang hanya dikenang kerana selalu tiada di rumah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Paksa anak pumping 500 kali. Itulah fakta yang mengejutkan ramai apabila Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menggantikan hukuman mati terhadap seorang bekas anggota tentera kepada hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan selepas didapati bersalah membunuh anak perempuan kandungnya lapan tahun lalu.
Keputusan majoriti 2-1 itu diumumkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Datuk Nordin Hassan, Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Mahkamah mengekalkan sabitan terhadap Mohammad Abdullah Mohamed, 44, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hakim Datuk Nordin Hassan berkata mahkamah tidak menemui sebarang salah laksana keadilan dalam keputusan mahkamah terdahulu yang mensabitkan tertuduh bersalah.
Walaupun sabitan dikekalkan, berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan panel hakim berhubung hukuman.
Datuk Nordin memaklumkan beliau berpendapat hukuman mati sepatutnya dikekalkan berdasarkan fakta kes yang serius. Namun begitu, dua lagi hakim memutuskan hukuman mati digantikan dengan penjara 40 tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 31 Januari 2018 serta dikenakan 12 sebatan.
Menurut beliau, tertuduh bernasib baik kerana keputusan majoriti panel memilih hukuman penjara berbanding hukuman mati.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Seremban pada 22 Ogos 2023 menjatuhkan hukuman mati terhadap Mohammad Abdullah selepas didapati bersalah membunuh anaknya, Nur Aina Nabihah, di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson pada 31 Januari 2018.
Keputusan itu kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 26 Jun 2025.
Sepanjang prosiding rayuan, pihak pendakwaan mendedahkan fakta yang amat menyayat hati.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, abang mangsa yang tampil sebagai saksi pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa dia dan adiknya dihukum kerana tidak menunaikan solat.
Mereka diarahkan oleh bapa mereka melakukan paksa anak pumping 500 kali serta sit-up sebanyak 500 kali sebagai hukuman.
Apabila mangsa tidak lagi berdaya meneruskan hukuman tersebut, dia didakwa diterajang dan dipijak di bahagian perut sehingga menyebabkan pankreasnya terbelah.
Selain itu, hasil bedah siasat turut mendapati mangsa mengalami tulang rusuk patah, kesan cekikan pada leher, hentakan di kepala serta 23 kecederaan luaran pada tubuhnya.
Pendakwaan berhujah bahawa penderaan yang dialami mangsa amat serius dan tertuduh tidak layak diberikan peluang kedua.
Dalam hujah pendakwaan, Wan Shaharuddin menegaskan tertuduh tidak pernah menunjukkan sebarang rasa kesal terhadap perbuatannya.
Menurut beliau, tahap kecederaan yang dialami mangsa serta keseluruhan fakta kes menunjukkan hukuman berat wajar dikenakan.
Bagaimanapun, peguam bela Afifuddin Ahmad Hafifi berhujah bahawa terdapat isu berkaitan penerimaan keterangan saksi pendakwaan dan memohon supaya anak guamnya diberikan peluang kedua.
Mahkamah akhirnya memilih untuk mengekalkan sabitan tetapi menggantikan hukuman mati kepada penjara.
Selepas prosiding selesai, Wan Shaharuddin berkata pihak pendakwaan menerima keputusan Mahkamah Persekutuan.
Menurut beliau, hukuman penjara 40 tahun memberi ruang kepada tertuduh untuk memikirkan setiap perbuatan yang telah dilakukan terhadap anaknya.
Katanya, dalam keadaan tertentu, menjalani hukuman penjara yang panjang juga merupakan satu bentuk hukuman yang berat kerana tertuduh perlu menanggung akibat perbuatannya sepanjang tempoh tersebut.
Kes paksa anak pumping 500 kali ini sekali lagi mengingatkan masyarakat bahawa penderaan terhadap kanak-kanak, walau atas apa juga alasan, boleh membawa akibat yang tragis. Didikan tidak seharusnya bertukar menjadi keganasan sehingga meragut nyawa insan yang sepatutnya dilindungi.
Hijab Uniqlo cetus perdebatan netizen selepas iklan produk itu dipersoalkan kerana cara pemakaian model. Ini pandangan kedua-dua pihak mengenai isu berkenaan.