
Isteri dalam pantang diuji, suami & anak meninggal berpelukan dalam tragedi kebakaran.
Takdir memilukan tertulis buat Nur Izzah Ahmad yang sedang melalui tempoh berpantang apabila suami dan anaknya pergi buat selama-lamanya dalam tragedi kebakaran sebuah rumah di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus, awal pagi tadi.
Lebih meruntun hati, suaminya, Amirulfahmi Wan Jusoh, 40, dan anak mereka, Rehan Yusuf, 9 ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berpelukan selepas dipercayai terperangkap di tingkat atas kediaman dua tingkat berkenaan.

Suami & Anak Meninggal Berpelukan Dalam Tragedi Kebakaran
Dalam kejadian kira-kira jam 2.49 pagi itu, rumah jenis separuh kekal berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal terbakar kira-kira 70 peratus. Ketika kejadian, Amirulfahmi dan Rehan berada di tingkat atas, manakala ibunya, Maimunah Muda, 67 yang tidur di tingkat bawah berjaya diselamatkan.
Apa yang lebih menyentuh hati, beberapa jam sebelum kejadian Amirulfahmi masih sempat menemui Nur Izzah di rumah mentuanya di Kampung Paloh, Kuala Terengganu. Dia kemudian pulang bersama Rehan ke rumah ibunya di Kampung Tok Jembal.
Pertemuan singkat itu rupa-rupanya menjadi kali terakhir Nur Izzah bertemu suami dan anaknya. Amirulfahmi yang ketika itu sedang dalam proses untuk berpindah ke rumah ibunya bagi menjaga wanita berusia 67 tahun yang kurang sihat, tidak sempat merealisasikan hasrat tersebut.
Baru Pulang Bersama Anak
Memetik laporan Harian Metro, ipar mangsa, Nik Mohd Zaim Nik Abdul Rahim, 36, Amirulfahmi yang mesra dipanggil Uda merupakan anak keempat daripada lapan beradik dan bekerja sebagai jurufoto serta videografer di sebuah restoran di Kuala Terengganu.
Katanya, Amirulfahmi pulang ke rumah ibunya bersama Rehan sehari sebelum kejadian selepas berada di rumah mentuanya.

“Sebelum itu, dia berada di rumah mentuanya di Kampung Paloh, Kuala Terengganu untuk melihat isterinya, Nur Izzah Ahmad berusia lingkungan 30-an yang baru selesai berpantang.
“Dia dan anak lelakinya kemudian pulang ke rumah ibu dan mereka dikatakan sedang dalam proses untuk berpindah ke sini bagi menjaga ibu yang kurang sihat,” katanya.
Penduduk Cuba Selamatkan Mangsa
Sementara itu, saksi kejadian, Wan Azri Wan Awang, 46, berkata dia bergegas ke rumah berkenaan selepas terdengar jeritan isterinya yang memaklumkan berlaku kebakaran.
“Ketika itu isteri saya menjerit memberitahu rumah terbakar. Saya terus keluar dan berlari ke situ. Ketika saya sampai, sudah ada dua orang penduduk kampung di situ.
“Kami cuba memanggil penghuni rumah supaya keluar dan mengetuk pintu rumah utama yang terbakar, tetapi tiada jawapan.
“Kami terpaksa terajang pintu kerana terkunci dari dalam sebelum salah seorang anak penghuni rumah yang tinggal bersebelahan rumah masuk untuk mengambil motosikal dan menarik wanita berkenaan keluar,” katanya.

Menurut Wan Azri, selepas Maimunah berjaya diselamatkan, mereka dimaklumkan Amirulfahmi dan Rehan masih berada di tingkat atas rumah.
Penduduk kemudian cuba memanggil dua beranak itu berkali-kali, namun tidak mendapat sebarang sahutan ketika api semakin marak.
“Kami panggil berkali-kali tetapi tiada jawapan. Pada masa sama, api semakin marak dan mula keluar dari rumah.
“Api ketika itu belum terlalu besar, tetapi cepat merebak. Kami hanya mampu berusaha memanggil penghuni supaya keluar.
“Mak mereka berada di bahagian bawah, manakala anak dan cucu berada di tingkat atas,” katanya.
Wan Azri yang tinggal kira-kira 40 hingga 50 meter dari rumah mangsa berkata, dia tidak mendengar sebarang bunyi pelik sebelum menyedari kediaman itu terbakar.
“Saya tidak dengar bunyi apa-apa sebelum itu. Semuanya berlaku dalam keadaan kelam-kabut dan saya ada terdengar bunyi letupan seperti atap terbakar,” katanya.
Rumah Terbakar 70 Peratus
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) II Azmi Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.49 pagi sebelum pasukan tiba di lokasi pada jam 2.58 pagi.
Anda mungkin berminat dengan
Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati rumah jenis separuh kekal dua tingkat berkeluasan kira-kira 40 x 50 kaki itu terbakar 70 peratus.
“Maklumat awal mendapati terdapat dua mangsa terperangkap di dalam rumah iaitu seorang lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki, manakala seorang mangsa wanita dewasa berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya.
Seramai 16 anggota BBP Kuala Nerus dengan bantuan BBP Kuala Terengganu terbabit dalam operasi pemadaman dan menyelamat menggunakan sebuah jentera FRT, CFRT serta water tanker.
Operasi dilaporkan terkawal pada jam 4.14 pagi sebelum usaha diteruskan bagi memastikan keadaan di lokasi benar-benar selamat.
Hasrat Jaga Ibu Tidak Kesampaian
Amirulfahmi yang pulang ke rumah ibunya bersama Rehan sebenarnya dalam proses untuk berpindah ke kediaman berkenaan bagi menjaga Maimunah yang kurang sihat.
Namun hasrat itu tidak kesampaian apabila dia dan anaknya terkorban dalam kebakaran tersebut.
Pemergian dua beranak itu bukan sahaja meninggalkan duka buat keluarga, malah cukup menyentuh hati apabila kedua-duanya ditemukan bersama pada saat akhir.
Al-Fatihah buat Amirulfahmi dan Rehan. Semoga kedua-duanya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

