Kredit foto: Bernama/ Instagram

Kehilangan anak dalam pantang bukanlah ujian yang mudah, isteri Syafiq sempat kucup, belai anak yang baru berusia 22 hari buat kali terakhir.

Allahuakbar, beratnya ujian buat isteri penyerang JDT Syafiq Ahmad yang kehilangan anaknya yang baru sahaja berusia 22 hari.

Tambah memilukan apabila Nur Amalina Norain turut kehilangan ibundanya dalam kemalangan jalanraya yang berlaku pagi semalam.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Suasana pilu menyelubungi perkarangan Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, apabila isteri pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Syafiq Ahmad, diberi peluang mengucup anaknya buat kali terakhir.

Baca Juga Di sini:

Pemain JDT Kemalangan, Anak Baru Berusia 22 Hari & Ibu Mentua Meninggal

Sayu Hati Eyra Hazali Anak Kena Buat Ujian Covid-19, “Mama Minta Maaf Sayang”

‘Tak Pernah Minta Duit ‘Dia’ Sara Hidup’ Syifa Melvin Dedah Cerita

Kehilangan Anak Dalam Pantang

Jenazah Muhammad Aisy Saqeef berusia 22 hari yang terkorban dalam kemalangan tragis di Kilometer 163 Lebuhraya Utara-Selatan di Sungai Bakap awal pagi ini, dibawa dari Hospital Sungai Bakap ke tempat rawatan ibunya di HSJ.

IKLAN

Sejurus jenazah tiba, Nur Amalina, 25, yang cedera dan dirawat di Wad 8 hospital itu dibawa turun dari wadnya dengan ditolak menggunakan katil ke bahagian Unit Forensik.

Kehilangan Anak Dalam Pantang, Isteri Syafiq Sempat Kucup, Belai Anak Buat Kali Terakhir
Instagram

Isteri Syafiq Sempat Kucup Anak Buat Kali Terakhir

Nur Amalina kemudiannya diberi masa kira-kira 20 minit dan kelihatan wanita itu membelai dan mengucup bayinya beberapa kali.

Wanita itu turut diberi peluang menatap wajah ibunya Zainab Wahab, 45, yang turut terkorban dalam kemalangan tersebut.

Kemalangan itu turut mengorbankan pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti berusia 30-an.

Selain Muhammad Syafiq, 25, dan isterinya, anak sulung pasangan itu Aaira Nur Saffiya, 2, mengalami cedera ringan dan kini dirawat di wad kanak-kanak HSJ.

IKLAN

Muhammad Syafiq yang turut hadir ke HSJ dilihat tidak dapat mengawal perasaan dan berterusan menangis sambil ditenangkan ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Pendang, Kedah untuk urusan pengebumian.

Syafiq Tidak Mampu Mengawal Perasaan

Terdahulu di Nibong Tebal, Muhammad Syafiq yang berada di perkarangan Unit Forensik Hospital Sungai Bakap (HSB), dilihat menangis setiap kali didekati rakan dan saudara-mara malah dia enggan bercakap dengan sesiapa yang menghubunginya menerusi telefon kerana terlalu sedih.

Muhammad Syafiq berada di situ menunggu urusan bedah siasat anak bongsunya, Muhammad Aisy Saqeef serta ibu mentuanya, Zainab.

Suasana hiba dan sedih itu turut dikongsi adiknya, Muhammad Zulfadhli, 24, yang setia menemani abangnya itu dan beliau turut memaklumkan abangnya masih terkejut serta sukar menerima kejadian yang berlaku.

IKLAN

“Dia akan menangis setiap kali ada saudara mara atau kawan datang bertanyakan keadaannya selain enggan bercakap dan hanya menyebut nama anaknya sahaja…Aisy, Aisy,” katanya kepada pemberita ketika di temui di Unit Forensik HSB.

Jurulatih Beri Masa Secukupnya

Sementara itu, Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menzahirkan ucapan takziah kepada Muhammad Syafiq ketika hadir menziarahi pemain bola sepak kebangsaan itu di HSB.

“Beliau boleh mengambil berapa lama masa yang diperlukan untuk kembali pulih sama ada mental dan fizikal malah kami akan sentiasa memberi semangat dan sokongan. Kami semua mendoakan yang terbaik buatnya,” kata Tan.

Mengulas lanjut, beliau berkata tiada sebarang latihan yang dijadualkan buat Muhammad Syafiq ekoran pembatalan Piala Malaysia disebabkan pandemik Covid-19 sekarang ini.

MW: Semoga penyerang JDT, Syafiq Ahmad, isteri dan keluarganya dapat menerima ujian ini dengan tabah. Semoga Allah mengurniakan kekuatan untuk mereka meneruskan hidup seperti biasa setelah menjalani ujian berat ini. Insyallah amin.

Sumber: myMetro

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI