Sebut sahaja emas, mak-mak mesti terkesima. Seronoknya memang lain macam. Tapi lebih mengujakan lagi bila suami pula yang hadiahkan emas yang tak disangka-sangka. Bukan tak boleh beli sendiri tapi rasanya lebih bermakna bila suami yang belikan.

Sebagai isteri terutamanya yang suka dengan barangan kemas, keterujaannya memang lain macam. Sebut sahaja apa jenis, dia akan tahu. Namun, ada juga mak-mak yang tak gemar dengan barang kemas. Itu pilihan masing-masing.

Berbalik pada hadiakan emas untuk isteri. Tidak salah rasanya sesekali suami belikan untuk isteri. Rasanya, mana-mana isteri tentu terharu, tak kisahlah jenis atau bentuk asalkan daripada suami.

Sudah tentu, apa yang diberikan ini sebagai tanda kasih dan penghargaan buat isteri yang banyak berkorban untuk keluarga.

Namun, isteri di luar sana, janganlah mengharapkan barang kemas daripada suami semata-mata dan suami pula janganlah sampai berhutang semata-mata nak beli barang kemas.

Seperti apa yang dikongsikan oleh Dr Ahmad Samhan ini, cukup menarik. Suami berikan sesuatu yang istimewa kepada isteri sebagai tanda pengorbanan yang dilakukan demi keluarga.

Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Bagi Hadiah Dapat Pahala, Rupanya Banyak Fadilat Suami Gembirakan Hati Isteri

Masalah Rumah Tangga Adalah HADIAH Dalam Menerima Kekurangan Pasangan

Info Lebih Menarik DI SINI

Tanda Kasih – Hadiahkan Emas

“Kita nak pergi mana?”

“Ikut saja.”

Sekali imbas bila melihat wajahnya saja memang ketara sungguh menanggung beban kepenatan. Dalam fikirannya sekarang memang hanya nampak katil dan bantal.

IKLAN

Masuk kerja dari 7 malam dan hanya akan pulang ke rumah jam 11 pagi keesokkan harinya. 16 jam kerja tanpa rehat apatah lagi tidur. Itu hakikatnya kerja seorang doktor. Penat tolak tepi!

Aku pimpin tangan dia. Tangan inilah yang hampir 10 tahun menjaga perut aku. Menjaga pakai aku. Menjaga anak-anak aku.

Ketika aku diuji dengan ketumbuhan pipi, insan inilah yang sentiasa setia di samping. Sanggup tidur di lantai berlapikkan alas nipis tanpa sekali pun merungut sakit badan.

Sentiasa menceriakan aku dan berbicara bercerita walaupun sepatah pun aku tak mampu membalas kerana leher ditebuk untuk aku bernafas.

Ketika itu aku bukan sesiapa pun. Hanya seorang lelaki yang terlentang di katil dan miskin. Iya, dalam akaun bank memang kosong. Yilek.

Peritnya ketika itu hanya Allah yang tahu.

Pembedahan yang bakal dibuat memakan kos RM20,000. Bingung mana nak cari duit sebanyak itu. Aku belum kerja. Baru habis belajar. Simpanan memang langsung tak ada.

Kesetiaan wanita diuji saat lelaki tidak mempunyai apa-apa. Mungkin dia tahu yang dia juga sedang diuji. Jika mahu tinggalkan aku pun aku takkan persalahkan.

IKLAN

Tapi dia kuat, tabah dan terus setia. Kekal menunggu pada lelaki yang langsung tak ada apa apa ini.

Melihat ketabahan dan kesetiaannya, aku tekad berjanji pada diri ini aku tidak sesekali sia-siakan hidup dia. Akan aku semai cinta ini biar mekar hingga hujung nyawa.

“Nak pergi mana ni?”

“Abang nak beli emas”

Tak banyak cakap aku tarik tangan dia masuk ke kedai.

“Pilih yang mana berkenan. Jangan tengok harga. Yang mana sayang berkenan, ambil”

Sengaja aku pesan awal-awal. Bimbang dia teragak-agak untuk buat pilihan. Risau harga mahal.
Apalah sangat seutas dua emas jika nak dibandingkan dengan pengorbanan dia pada aku.
Kesetiaan dan sokongan dia di setiap apa yang aku lakukan.

Dr Samhan.
Lelaki ini tidak berada dimana dia berada sekarang jika bukan kerana sosok tubuh ini. Sungguh!

IKLAN

Dialah yang sentiasa beri kata-kata semangat waktu aku putus harapan. Dialah yang sentiasa memahami dan memberi sokongan penuh setiap apa yang aku lakukan.

Benar, ia bukanlah sesuatu yang mudah.

Michelle Obama (isteri Obama) pernah berkata,” Obama jadi Presiden USA hari ini kerana berkahwin dengan saya. Jika saya berkahwin dengan bekas teman lelaki saya, pasti dia yang jadi Presiden USA dan bukan Obama”

Benar. Di sebalik kehebatan seorang lelaki, ada wanita hebat di belakangnya. Wanita yang telah banyak berkorban. Kadang yang tampak diluar bukanlah yang sebenarnya.

Wajah isteri itu sangat enak dipandang. Mendukung di waktu-waktu gelap dan memberi kekuatan untuk melaluinya.

Nasihat saya pada para suami, hargailah pengorbanan seorang isteri. Beri layanan sebaik mungkin. Jika mampu, belikan emas untuknya sebagai tanda kasih padanya. InsyaAllah rezeki datang mencurah-curah. Jika masih belum mampu pasanglah niat, satu hari aku nak hadiahkan emas untuk isteri. Allah akan permudahkan.

Dr. Ahmad Samhan
-belajar menghargai isteri-

p/s: Bukanlah emas dan permata yang didambakan oleh seorang wanita yang bernama isteri.
Tapi, seorang suami patut berikan walaupun seutas sebagai tanda kasih sayang atas segala pengorbanannya. Jika masih belum mampu, niatkan satu hari aku mampu hadiahkan. Insya Allah ,Allah permudahkan.

MW: Isteri tidaklah mengharapkan semua itu tapi kalau suami mampu apa salahnya. Mahu tersenyum sampai ke telinga isteri dapat hadiah yang tak disangka-sangka.

Sumber: Dr Ahmad Samhan Awang

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI